Sunday, June 20, 2010

Fakta Penting Cuti Sekolah Pertengahan Tahun 2010 Bagi Zara | Selamat Hari Bapa Semua


Salam hujung minggu semua.
Sudah hari terakhir cuti sekolah, esok dah mula ke sekolah seperti biasa. 
Sangat gembira.
Sila percaya.
Senyum.


Selamat tinggal aktiviti luar buat sementara waktu.
[Kesan pulang dari Cabaran Kluang 2010]

Minggu Pertama.
Cuti sekolah yang agak bermakna bagi aku. Minggu pertama sudah menghabiskan empat hari di Pantai Timur. Menikmati percutiaan bersama dengan ahli keluarga ke Kelantan, Terengganu dan Pahang. Empat hari yang boleh dikatakan menyeronokkan walaupun hakikatnya ada sedikit kerugian yang aku alami di situ. Tidak mengapa.

Minggu Kedua.
Minggu kedua dimulakan dengan latihan mendaki gunung (walaupun hakikatnya latihan mendaki bukit). Mendaki hingga mencederakan kaki sendiri. Kenyataannya aku menyertai Cabaran Kluang 2010 dengan keadaan dua jari kaki kanan yang tercabut kulit hingga menampakkan isinya. Senyum. Balut dengan berhati-hati walaupun kesakitan itu merajai, tetapi demi semangat berpasukan, kesemuanya aku ketepi. Senyum. Empat hari bermula 14 Jun hingga 17 Jun 2010 di Kluang, adalah sesuatu yang meninggalkan kesan baik pada diri aku. Banyak yang dipelajari dan kenyataan bahawa kecederaan adalah sesuatu yang banyak hikmahnya, aku telah lalui sepanjang cuti sekolah ini.

Menderma darah
Impian menderma darah untuk tahun 2010 terlaksana dengan jayanya pada 10 Jun 2010. Baru kali kesembilan, aku mengimpikan menderma lagi pada bulan September nanti, untuk kali kesepuluh. Abaikan apa yang mahu dilaungkan oleh mereka yang tidak menyukai aktiviti ini, aku bersyukur dengan nikmat bahawa berbadan gempal seperti ini, aku dapat menyumbang sesuatu buat manusia lain. Kali terakhir menderma, paras hemoglobin aku pada kadar 15.0. Boleh dikatakan baik.

Menanda kertas peperiksaan.
Timbunan kertas peperiksaan sudah semakin berkurangan. Alhamdulillah, banyak kelas yang sudah diselesaikan dan hanya kertas objektif sahaja yang tinggal, memandangkan aku benci untuk menebuk lubang di kertas OMR. Ketawa. Selalunya aku suka, tetapi disebabkan banyak yang teramat sangat kelas dan mata pelajaran yang perlu ditanda (kertas Kimia Tingkatan 4 dan 5 - gurunya melahirkan anak, maka aku diminta untuk mengambil alih menanda), aku lebih suka kalau ada orang menolong aku menebuk lubang kertas tersebut.

Berat badan dapat dijaga.
Alhamdulillah, berat badan dapat dikekalkan pada nombor yang sama, dan aku mengimpikan agar ia dapat turun lagi. Ketawa. Ah, aku bukan mahu kurus seperti bekas-bakal-madu-tidak-jadi aku, Victoria Beckham. Ketawa. Aku mahu berhenti pada satu tahap di mana, aku masih mampu menjalani kehidupan normal tanpa perlu ada mata yang mengerling dan menghina bentuk fizikal yang aku ada. Oh, tetapi kalau turun lagi, maksudnya, urat darah aku sukar ditemui seperti hari itu kah?

Jururawat : Lambat pula darah kamu mengalir kali ni.
Aku : Selalu cepat kan Puan?
Jururawat : Ada turun berat badan ke?
Aku : Ada sedikit, kenapa?
Jururawat : Sebab tu, urat darah mungkin dah kecut sedikit.
Aku : Ya ke?

Selamat Hari Bapa Semua.
Setiap hari adalah hari bapa. Itu yang aku fikir, tetapi menyambut hari yang istimewa seperti ini sesuatu yang menyeronokkan bukan? Selamat hari bapa buat Abah yang telah memberikan yang terbaik dalam mendidik aku sehingga aku menjadi siapa aku hari ini. Abah adalah model aku dalam menjadi guru yang baik dan dia adalah pesaing yang aku perlu kalahkan serta atasi.


Abah dan Mak sewaktu majlis konvokesyen aku pada 17 Ogos 2009.
Aku mewarisi saiz tubuh dan rangka seperti Abah, kening Abah, mata Abah. Nak hidung dan ketinggian Abah!

Abah adalah sumber maklumat aku dapat menjalani kehidupan sebagai guru. Perpustakaan yang hidup dan bergerak dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik. Oh, Abah mula bertugas sebagai seorang guru sejak tahun 1987 (tahun kelahiran aku). Sudah 23 tahun berkhidmat dan masih kekal bersemangat dengan tugasan yang digalas dan amanah yang disandang. Moga Abah bertambah sihat, jangan lupa untuk mengambil ubat setiap hari dan sentiasa gembira.

Nota Kaki :
1. Perlu menyiapkan tugasan yang terbengkalai.
2. Kecederaan kaki kanan sudah semakin pulih. Kulit baru nampaknya sudah mula terbentuk.
3. Senyuman yang terukir di wajah dengan kegembiraan kehidupan sekarang, moga ia kekal dan tidak akan sirna.
4. Siapa yang menyatakan bahawa betapa kehidupan aku bosan tanpa seseorang yang bergelar teman lelaki atau suami, aku hanya mahu kalian tahu, aku masih gembira dengan keadaan sendirian ini. Senyum.

Zara : Hari terakhir cuti sekolah, aku mahu menikmatinya dengan aman dan tenteram sahaja. Oh, kalian tetap di hati aku.

3 comments:

fndrocka said...

2 fakta

1. rupa2 kau ni anak cikgu juga..tertumpah jugak kuah ke nasi

2.rupa2 nya kita sebaya..

Terbaru : Dilemma Wanita Gorjes

izzAti said...

tgk gaya akak zara mg sorg yg bz ek.. huhu. ;P

bungacahaya said...

Zara - part derma darah tu. Aku baru nk masuk ni 5 kali derma dlm tempoh 5 thn (kedekut kan?)..huhuhu..tidak..bukan kedekut. Tp reading hemoglobin aku selalu rendah. Ape reading yg baguz ek? Aku nk tanya kat nurse ala2 segan. Mau surf di net aku mls mau fahamkan istilah medic. Hahaha..Cuma selalunya mesti nurse kata..reading rendah, nk period ek?

PEACE