Thursday, August 12, 2010

Ramadhan #02 - Walaupun Makanan Fizikal Tidak Boleh Dihadam, Tetapi Makanan Batin Tetap Perlu.


Salam semua.
Hari ini sudah 2 Ramadhan.
Alhamdulillah, dapat melalui 1 Ramadhan dengan jayanya. Projek mini tadarus Al-Quran sudah mempunyai tiga kumpulan dan aku amat bersyukur, perkara sebegini dapat dikongsi dengan kalian semua. Ada yang memandang sinis dengan usaha sebegini, tetapi tidak mengapa. Sudah aku nyatakan, aku tidak memaksa, ini terpulang kepada masing-masing, individu itu sendiri.


Rindu mahu menulis di dalam bas seperti dahulu. Lebih mudah mencari ilham.
Senyum.

Hari ini aku mempunyai 7 kelas. 3 waktu di sebelah pagi dan 4 waktu selepas rehat. Anak-anak ini dengan gembiranya memberikan alasan mereka berpuasa, maka tugasan aku tidak perlu disiapkan. Ah, sudah dijangka alasan sebegini akan dikeluarkan oleh mereka.

Aku : Kenapa tak siap kerja saya?
Murid : Puasa cikgu, tak larat.
Aku : Alahai, macam tak biasa puasa.
Murid : Siang puasa, malam pergi terawih. Tak sempat siap cikgu.
Aku : Oh, tak mengapa. Sila buka muka surat 150 dan 151. Salin semua sekali ya? Kertas yang dihadapan ini, sila ambil seorang satu, tampal.
Murid : Banyaknya cikgu.
Aku : Sikit je ni.
Murid : Kalau buat kerja nanti lapar.
Aku : Kalau tak bagi awak semua kerja, saya pula yang lapar. Sebab itu saya bagi awak semua makanan.
Murid : Makanan apa cikgu? Kan bulan puasa?
Aku : Sebab makanan fizikal tidak boleh dihadam, ni saya beri makanan batin. Beri kerja sekolah.
Murid : Huwaa...Mana boleh cikgu.
Aku : Boleh. Sambil buat kerja saya, awak selawat banyak-banyak. Boleh?
Murid : Bila cikgu nak buku?
Aku : Esok boleh?
Murid : Kalau esok, boleh cikgu.

Cubaan untuk mengelat tidak membuat kerja sekolah dapat dipatahkan. Ketawa. Ah, tapi aku gembira bila mengajar di bulan puasa. Disebabkan sudah menjangkakan perkara sedemikian akan timbul, maka di bulan puasa ini, tugasan yang aku berikan lebih banyak kepada grafik. Maksudnya kalau mata pelajaran Sains, lebih kepada lukisan-lukisan kanta dan imej masing-masing. Cermin satah, kanta cembung atau kanta cekung. 

Makanan Fizikal vs Makanan Batin.
Makanan fizikal yang mungkin dimahukan oleh anak-anak itu adalah makanan untuk berbuka puasa. Nah, mereka sudah terbiasa di dalam kelas aku mendapat gula-gula untuk menghilangkan mengantuk, diberikan peluang untuk minum air kalau haus dan kadangkala, aku bekalkan biskut kalau berjaya menjawab soalan yang aku berikan. Bulan puasa ini, tiadalah benda itu semua.

Makanan batin banyak yang boleh diberikan untuk diri dan hati masing-masing. Walaupun aku mungkin tidak layak untuk berbicara tentang itu, aku suka untuk berkongsi apa yang pernah aku pelajari dahulu. Hati perlu diberikan makanan setiap hari agar hati itu tidak mati. Selawat, zikir, bacaan Al-Quran antara makanan jiwa yang perlu buat setiap manusia.

Pembentukan imej.
1. Cermin satah
2. Kanta cembung
3. Kanta cekung
Tajuk sebegini memang mengantuk kalau tidak kena dengan gaya. Maka, aku lebih banyak memberikan contoh sambil bercerita dengan mereka apa yang perlu. Yang paling aku suka, mengaitkan perkara yang dipelajari dengan sesuatu yang dekat dengan mereka. Contohnya, cermin melihat muka dan bagaimana mereka melihat imej tersebut. Bila dapat dikaitkan dengan apa yang mereka lalui setiap hari, lebih senang.
Sedikit sedutan Projek Mini Tadarus Al-Quran
Alhamdulillah, pembahagian juzuk-juzuk kepada setiap peserta sudah aku berikan. Setiap daripada rakan-rakan mendapat 3 juzuk dan jika kamu mahu menukarnya, bolehlah menghubungi rakan-rakan yang sudi untuk menukarnya. Oh, tarikh akhir untuk kamu menghabiskan pembacaan akan aku beritahu kemudian. Jika ada sesiapa yang sudah mendapat bahagian masing-masing, boleh memulakan bacaan kalian. 

Terima kasih atas kesudian untuk menyertai projek mini bersama rakan-rakan ini. Oh, disebabkan ada yang bertanya dengan aku sama ada keluarga masing-masing atau rakan sekerja boleh menyertai projek ini, aku dengan gembiranya menyatakan boleh.

Zara : Sepatutnya mula menukang di bengkel hari ini, tetapi murid Tingkatan 2 menghadiri ceramah pula hari ini. Alahai, terbengkalai hajat mahu memulakan projek kayu dengan mereka. Oh, baru mendapat satu panggilan telefon. Bakal suami sudah tiba, mungkin perlu menjemput dia petang ini di kawasan yang dinyatakan. Walaubagaimanapun, dia mungkin akan dikuarantin sehingga Sabtu atau Isnin nanti, bergantung kepada bayaran pelepasan. Gembira!


8 comments:

Hazzy Ishak said...

cikgu zara memang pandai panjang murid2, jgn sampai tertidur dalam kelas sudah lah. mcam2 ragam budak2 sekarang.

chentaMAYA said...

alhamdulillah! same2 bg makanan hati ok!

tmukmkd said...

nasib esok kalau hari ni mau aku pun bingit :D

manggosteen said...

macam best je jadi cikgu..
tapi saya tak boleh jd cikgu..
sbb ibu sy ckp saya tak de bakat..
hehe..

Wanita Mutalib said...

pandai nye jaga anak murid :)

LiFe KaMi said...

bukan senang mnjadi cikgu dizaman sekarang yang murid2nya lagi tau benda2 sosial ni, tahniah usaha anda perlu dibanggakan..

lili *-* said...

Penh bercita2 mnjd guru~

*My blog*

Nur Hayaty said...

owh...best dapat cikgu cam ni..

Bakal Suami..tahun depan dapatlah makan nasi minyak..hehe =P