Thursday, December 30, 2010

Adakah Kau Kehilangan Alasan Untuk Senyum?


Cuaca mendung.
Dingin menyelubungi penghujung Disember dua puluh sepuluh.
Sejuk mencengkam walaupun tidaklah seperti dihujani salju.
Pandang langit, hanya ada percikan kelabu.
Senyum tanpa rasa pilu.
Beku.

[Gambar : Adakah kau dan aku sedang memandang langit yang sama?]

Menjalani kehidupan sendirian bukanlah satu dugaan, bahkan ia adalah satu cabaran sama ada kau mampu untuk bertahan dan melawan pelbagai jenis ujian yang mendatang. Bukan sesuatu yang tidak menyenangkan, bahkan ia sebenarnya memberikan kelebihan apabila apa yang kita fikirkan menjadi lebih matang dan penuh keyakinan. Aku juga masih lagi sendirian walaupun hakikatnya aku harfiahnya sudah berteman.
Senyum.

Jadi, apabila kau meraung dan menangis pada aku, kesakitan hidup sendirian setelah sekian lama berteman, aku cuma mahu kau tahu kawan, yang aku pernah melalui saat begitu. Saat keseorangan dan peluk dinding dingin bukanlah benda asing bagi aku. Ah, sekarang ini mungkin lebih baik kerana aku gemar peluk mainan berbulu, patung-patung beruang beku.

Kawan : Aku benci hidup aku sekarang.
Aku : Kenapa?
Kawan : Segalanya berterabur, berubah.
Aku : Kau boleh susun semula.
Kawan : Susah Zara, susah sangat. 
Aku : Kau boleh, aku tahu kau boleh.
Kawan : Aku sakit dengan hidup aku.
Aku : Jadi, mulakan hidup baru.
Kawan : Entahlah.
Aku : Kau boleh buat sesuatu untuk aku?
Kawan : Apa dia?
Aku : Kau senyum, tolonglah senyum.
Kawan : Tiada alasan untuk aku senyum lagi. 
Aku : Kehilangan cinta bukan bermakna senyuman kau direnggut pergi selamanya.
Kawan : Buat masa ni, aku hanya kenal tangisan sahaja.
Aku : Kau senyum, kau boleh.
Kawan : Apa alasan untuk aku senyum?
Aku : Kau senyum sebab kau ada aku, boleh?
Kawan : Itu sahaja?
Aku : (ketawa) Tak cukup lagi ke?
Kawan : Kalau kau, kau akan senyum bila ada masalah kan?
Aku : Ya.
Kawan : Kenapa kau senyum?
Aku : Senyum sebab aku tahu semuanya akan baik bila aku senyum. Otak aku akan lapang dan dada aku tidak sesak menahan masalah. Jiwa aku tidak kusut.
Kawan : Itu kau.
Aku : Kalau aku yang beku boleh, kenapa bukan kau yang hidup gembira?
Kawan : Susah aku nak tersenyum semula.

[Gambar : Kadangkala kita akan keseorangan juga]

Senyumlah.
Ukirkan secangkir senyuman di bibir manis itu.
Hidup tidak selamanya indah, tetapi bila ujian melanda, aku dengan pasti tahu bahawa kita perlu tabah. Bahkan, dengan senyuman itu, kekuatan mampu dikumpul dan tenaga mampu disimpan semula. Kalau mahu menangis sekalipun, ketahuilah, air mata yang mengalir itu akan jadi kekuatan suatu hari nanti. Lepaskan segalanya dan bangkit semula.

Senyum.
Aku faham betapa sakitnya.
Aku mengerti kepiluan hati yang kau rasa.
Aku menyedari kekeliruan dan kekecewaan yang melanda.
Cuma, aku mahu kau kuat dan ceria semula.
Senyumlah, ukir lagi bahagia.
Darah merah tidak sempurna.
Tanpa sistem aliran rangsang tenaga.
Ukir bentuk hati dalam marga.

Kawan : Cuaca sejuk, tiada matahari di tempat aku.
Aku : Sama macam tempat aku juga.
Kawan : Aku dah tiada matahari sendiri.
Aku : Bukan kau seorang sahaja kehilangan.
Kawan : Bahkan aku rasa keseorangan.
Aku : Siapa yang tidak pernah punya rasa itu? Semua orang rasa.
Kawan : Tidak seteruk aku barangkali.
Aku : Penerimaan orang lain-lain. Mungkin kau rasa kau teruk, hakikatnya ada orang lebih teruk di luar sana.
Kawan : Hati aku sejuk. Nak jadi manusia beku macam kau boleh?
Aku : Kenapa?
Kawan : Kau boleh ketawa bila kau marah, kau mampu ukir senyuman walaupun kau sedih dan kecewa. Aku nak begitu, biar aku tidak menangis bila dikhianati sekali lagi.
Aku : Percayalah cakap aku. Kau takkan mahu jadi macam aku.
Dia : Aku nak.
Aku : Susah untuk kembali kepada diri sendiri kalau kau memilih jadi beku.
Dia : Kenapa?
Aku : (senyum) Percayalah. Kau akan hilang diri dan rugi waktu.

[Gambar : Pernah kau jumpa orang yang akan berlari bawah hujan untuk sembunyikan tangisan? Kau sedang baca tulisan dia saat ini]

Hati aku sendiri ibarat sekeping kaca.
Pernah dicalar, jatuh terhempas hingga hampir pecah segala.
Tapi aku percaya suatu perkara.
Kalau aku tidak paksa diri untuk kuat, siapa yang akan menjaga aku untuk terus senyum suka?
Kalaulah sekeping kaca ini dirosakkan lagi, aku tahu akan luka.
Bukan aku seorang, tetapi orang disekeliling aku juga.
Maka, tabahkan hati dan terus usaha.

Kawan, aku nak kau tahu suatu benda.
Hidup ini belum tiba saat penghujungnya.
Sampai Allah cabut nyawa.
Kau akan jumpa alasan untuk senyum semula.
Teruskan berjalan atas dunia yang fana.
Sebab kau dan aku tahu, di hujungnya bakal punya laluan bahagia.
Mungkin bukan hari ini, esok atau lusa.
Tapi nanti suatu masa.
Senyum ya?

Nota Kaki :
1. Bercadang untuk keluar dengan adik lelaki sebentar, tengoklah bagaimana.
2. Hari ini terbeli sesuatu untuk diri (lagi)
3. Si dia akan menghadapi peperiksaan hari ini, doakan dia ya?
4. Esok cuti umum atas kemenangan pasukan Harimau Malaya.

Zara : Tidak semua perkara memerlukan alasan sebenarnya. Manusia mencari alasan hanya kerana mahu perkara yang dilakukan punya asas dan suatu sandaran semata-mata. Perlukah kau cari alasan untuk terus bernafas dan bernyawa saat ini?

18 comments:

MamaFarhan said...

senyum bila disakiti...
itu sebab kita akan terus senyum...
senyum buat kita rasa tenang... pernah rasa kecewa yang teramat... pernah rasa marah yang menggila...

tp bila kita senyum semuanya hilang...

masturah idrus said...

panas saja mata ketika menatap tulisan kamu. Aku juga sering terluka, sejak dahulu. mereka seperti tidak menghargai dan menyayangi aku, tetapi setelah gelora berubah mjadi tenang aku sedar ada yang lebih menyayangi aku.

i like this kind of entry. touching kot. dush3. :)

Paan Ovrtd said...

Minta2 besok pun hujan di pagi hari. :)

sarah said...

"Senyumlah dkala gembira kerana itulah sebaik2 utusan menggambarkan ketenangan di hati.
Senyumlah di kala berduka kerana ia menggambarkan kerelaan hati menempuh ujian Ilahi.."

violet anggerik said...

yup! 1 senyuman boley menutup 1001 kedukaan..
benarkah? :D

ciput said...

senyum itu sedekah

betul.sedekah pada orang yang melihat

tapi sebenarnye sedekah pada diri sendiri yang utama

-cikgu kimia aku-

cikinnaberry said...

ya senyum itu memungkinkan segalanya..
;p

..hizamirahim.. said...

senyum la.
selagi boleh senyum.
kalau tak nak senyum pun, bukan boleh ubah apa2 kan?
:)

hanis said...

salam

hidup ini memang tak lekang dari ujian..ujian ini yang mematangkan kita..ujian ini jugak la yang mendekatkan diri kita kepada Al-Khaliq,Allah S.W.T..tapi adakah kita sebagai hamba menyedari tentang itu??
"tepuk dada,tanya iman" ~carilah hikmah Allah yang tersembunyi, selepas kita menemuinya..baru kita tau 'kemanisannya' kenapa Allah turunkan ujian2 ini..

~senyumlah walau teruk manapon yang berlaku kat diri kita,kalau bukan kita yang kuatkan diri kita sendiri..spe ag kan??~ape2 pon, mohon pertolongan Allah..!! Dia merindui untuk mendengar hambaNya merayu kepada Dia..carilah Allah..kerana disitulah titik kebahagiaan:)

piNky LuCiA said...

hidup sebenarnya indah. cuma kekadang kita tak sedar. senyum boleh buatkan kita berasa sangat lega. =) senyumlah. dgn senyuman kau akn awet muda. hihi.

ahsfantasy24 said...

jangan biarkan apa yg terjadi
mngganggu gugat bahagia di hadapan mata,

untuk berlar, kita sehatusnya bangun
terlebih dahulu ^^,

ahsfantasy24 said...

Entry terbaru:
Lelaki Gatal Sesuai dengan Perempuan Gedik?

jinkamen said...

salam..
senyum seindah suria..yang membawa cahya (sambung lagu ini)

Lady Dyla said...

Senyum.. hanya itu mmpu kite buat tatkala hati berkecai.. namu itu mmpu jadi penyeri buat hati yg melihat..

Acusss said...

senyum 1 sedekah....tp kdg2 senyum dipergunakan utk pekaa xguna

wini said...

Memang payah untuk tersenyum dlm keadaan berduka....sukar untuk terima apabila ada org sanggup berbuat aniaya setelah apa yg kita beri padanya tanpa berkira. tapi, percayalah..suatu hari kita akan dapat lepasi duka ini dengan syarat.... Mulakan dengan satu senyuman. Insyaallah.

wini said...

Memang payah untuk tersenyum dlm keadaan duka. tp, percayalah dengan senyuman akan membuatkan hati seseorang tenang. Jangan diingati apa yang org telah lakukan ke atas kita setelah apa yg kita beri tanpa berkira...Mulakan hari dengan bismillah, senyum lah. Cheers=)

fiza mohamad said...

Kuatkan semangat. Igt tiada yg berlaku tanpa izinNya. Dan semua yg berlaku ada sebabnya :-)