Sunday, January 31, 2010

Bila Biologi Dan Fizik Tidak Menyebelahi Aku, Kimia Buat Diri Kental Berdiri Dan Sejarah Menghidupkan Naluri Hati : Jangan Benci Sejarah.


Nah, hari aku lebih bermakna.
Aku punya teman berbicara dan bertukar fikiran dengan gaya bahasa yang buat aku terpesona.
Bukan cinta, jangan pernah kamu menerka.
Dia sahabat alam maya dan punya kelebihan berbahasa indah.
Kamu boleh panggil dia Unik.
Senyum.

Sering digelar cikgu di dalam alam maya, aku harus akur dengan nama pekerjaan yang aku sandang sekarang ini. Kamu buat aku tersenyum simpul setiap kali aku ditegur sebagai Cikgu Zara.
Buat aku terfikir, apa akan jadi kalau Dunia Sebelah Zara ini ditemui oleh pelajar-pelajar aku sekarang ini. Mungkin juga mantan pelajar, aku tidak mahu sumbat dalam benak pemikiran.

Dalam perbualan aku dengan sahabat alam maya itu, ada tercetus satu polemik tentang mata pelajaran yang aku ajar kini. Ah, aku orang Kimia, tetapi mengajar Sejarah. Bukankah jauh terpisah jurang dan bidangnya? Aku sering ketawa bila memikirkan betapa indahnya dunia serta takdir yang ditentukan oleh Maha Pencipta.

Maka, aku juga menjadikan alasan yang istimewa buat tatapan mereka yang mungkin meneka.


Aku pernah melalui kesakitan akibat biologi diri aku.
Aku pernah melalui penderitaan akibat fizik diri aku.

Biologi diri aku yang mungkin kurang nilai kewanitaan.
Fizik diri aku yang mungkin menjadi sebab aku dipinggirkan.

Biologi diri aku yang ditolak oleh pihak sebelah sana.
Fizik diri aku yang acapkali menerima hinaan akibat potongan yang tidak sempurna.

Nah, yang menerima aku seadanya adalah kimia.
Kimia yang buat aku ketawa mesra.
Rembesan adrenalin mengalir laju tanpa perlu tahu apakah proses biologi dan perubahan fizikal yang mungkin berlaku. Lambakan mukus yang entah datang dari mana setiap kali aku disinggah duka - ah, bukankah sepatutnya dihiasi dengan air mata?

Dan apa yang penting di akhirnya, kamu akan lihat balik kenangan atau disebut sejarah.
Kalau ia manis, kamu akan ingat sambil tersenyum.
Kalau ia pahit, kamu akan lontar jauh dan lupakan apa yang boleh buat kamu kehilangan diri.
Duniawi?
Mungkin benar.
Sejarah mungkin berulang - itu pasti kerana kehidupan yang dilalui adalah manifestasi kepada kejadian dan rentetan peristiwa yang pernah muncul dalam fasa yang kita kurang mengerti.
Tapi perlukah kamu membenci Sejarah?
Tidak.

Maka, sekalung ucapan terima kasih buat Sendra yang mengkhabarkan pada aku ada kumpulan-kumpulan yang membuat halaman peminat untuk bencikan Sejarah di Mukabuku. Telah aku baca di situ dan malangnya, tidak boleh meninggalkan pesan kalau bukan ahli. Sakit hati. Geram, mungkin bercampur baur. Tapi akhirnya aku pasti bahawa kesedihan itu lebih menguasai.

Diam.
Lihat sahaja.
Sejarah sedang berputar kembali.

Zara : Bila manusia mula alpa dan tidak mahu ingat sesuatu yang penting dalam hidup serta benci untuk belajar sesuatu yang penting dalam kehidupan, maka mereka harus tabah bila ditimpa kesusahan dan penderitaan.



Sudahkah kamu semua meninggalkan alamat blog (URL) di

"Kalau Iman Pun Tidak Boleh Diwarisi, Apatah Lagi Pengetahuan Mengenai Sejarah" - Suara Hati Pelajar.


Ah, geram juga bila pelajar mengatakan Sejarah ini sesuatu yang payah.
Susah.
Resah.

Pelbagai alasan diberi akibat tidak mahu belajar Sejarah.
Tapi Alhamdulillah, kelas aku masih berjalan seperti biasa, belum lagi ada pelajar yang perlu mengutip buku di tanah. Ah, ugutan mampu membuatkan yang malas memaksa diri menjadi rajin.
Pengalaman bukan?
Ketawa.

Sesungguhnya ia mengingatkan aku pada seorang budak gemuk suatu masa dulu.
Di menengah rendah, Sejarah itu cuma perkara enteng baginya.
Sebab apa?
Yang mengajarnya, sumpah garang tidak terkira.
Setiap kali lepas ucapan selamat sejahtera, jangan mimpi mahu duduk selesa di atas kerusi selagi belum menjawab soalan yang diutarakan. Kekal berdiri sampai boleh jawab. Menggeletar kaki kalau khilaf terlupa membuat kerja sekolah.
Yang lelaki - tadah punggung dipukul dengan kayu tebal pembersih papan hitam.
Yang perempuan - sedas dua layangan pembaris besi di atas tapak tangan.
Nah, berani atau tidak lupa di dalam kelas sebegitu?

Oh, aku pernah kena sekali, dan peritnya terasa sehingga kini.
Sekali kena terus taubat sehingga mati.
Senyum perit, tapi bangga dalam hati.

Sudahnya, bila naik ke Tingkatan 4 dan 5 - punya guru Sejarah yang tidak tegas.
Masuk kelas rasa bosan yang melampau.
Entah penyakit apa yang hinggap sehingga otak menjadi bengap.
Guru itu tidak pernah gagal menggunakan dakwat merah setiap kali mengisi markah.
Nah, katanya sahaja pelajar kelas sains, kelas pertama, tetapi mindanya seperti penuh sampah.
Senyum pahit, itulah sehingga separuh usia Tingkatan 5 perlu dihabiskan.

Ya, darah guru itu sudah naik sehingga ke otak barangkali.
Dia panggil pelajar gemuk yang memakai seragam kuning-kain merah hati ke sisi.

Guru : Bapa awak kan ajar Sejarah?
Aku : Ya cikgu.
Guru : Kenapa awak tak boleh buat juga?
Aku : Payah nak ingat cikgu.
Guru : Kenapa masa PMR boleh dapat A tapi sekarang asyik 7, 8 dan 9?
Aku : Entahlah cikgu.
Guru : Emak awak ajar Pendidikan Islam kan?
Aku : Ya cikgu.
Guru : Pendidikan Islam boleh dapat A, tapi mengapa sejarah tidak boleh? Apa nak jadi? Bapa ajar Sejarah, tapi anaknya lingkup sebegini.

Wah, ketika itu darah memang sudah membuak ke muka.
Darah remaja yang kalau diikut sudah boleh menjadi arwah.
Senyap, tunduk, ucap terima kasih pada guru, keluar dari situ.

Balik rumah, pasang azam baru.
Mulut guru itu harus ditutup.
Kelancangannya membunuh, apatah lagi menyeret nama ketua keluarga dalam hal ini.
Hati terdetik sesuatu.
Sedangkan iman tidak dapat diwarisi, apatah lagi pengetahuan sejarah.

Sejak hari itu, kaedah belajar diubah secara drastik.
Tiada lagi hanya membaca.
Buku kerja, buku teks dan latihan sentiasa bersama.
Perenggan demi perenggan, muka demi muka, semata-mata mahu membalas kata-kata guru itu.
Sehingga buku kerja penuh, latihan boleh dihafal jawapannya dari halaman mana.
Senyum.

Bila keputusan diumumkan, guru itu sudah sedia menanti.
Keputusan sudah ada tergenggam dalam tangannya.
Dengan muka sedih dia melangkah ke arah aku yang sedang tersandar di pintu kereta.
Nah, tidak mungkin ada berita celaka.
Pasrah.

Guru : Tahniah.
Aku : Ha?
Guru : Pelajar terbaik sekolah dan terima kasih kerana beri saya A1 untuk Sejarah.
Aku : Alhamdulillah.

Aku lihat air mata mengalir dari tubir mata guru itu.
Aduhai, terbantut hasrat mahu menampal huruf A1 itu di muka dia.
Nah, dia melakukan yang terbaik bagi menyedarkan aku.
Senyum.



Nah, kini dari Kimia ke meja Sejarah.
Pasti cikgu itu pasti terbeliak matanya melihat Si Gemuk yang sentiasa 7,8 dan 9 menjadi guru Sejarah setelah Kimia tidak dapat diajarnya. Mungkin kalau bertemu di mana-mana mesyuarat, harus sahaja lidah kelu melihat wakil Sejarah adalah makhluk ini.
Senyum, ceria.

Ah, terimbau kenangan dulu pula.
Selamat berhujung minggu Pencinta Dunia Sebelah Zara.
Pelukan hangat dan ciuman mesra buat kalian semua.

Zara : Sedang menafsir kekuatan diri menghadapi cabaran satu persatu ketika ini. Senyuman harus terukir sentiasa. Malam tadi sudah disuntik kekuatan oleh seorang bakal doktor dari lain benua.



Sudahkah kamu semua meninggalkan alamat blog (URL) di
Terowong Kecil Cinta Zara ?

Saturday, January 30, 2010

Terowong Kecil Cinta Zara - Pembinaan Dalam Dunia Kehancuran, Pemikiran Sempit Dan Lucah?



Terowong kecil yang aku bina semalam adalah demi kasih sayang aku pada kalian semua - pencinta Dunia Sebelah Zara.
Nah, kalau aku sering dihimpit dengan kesibukkan dan tidak dapat mengunjungi kalian, bukankah lebih baik jika ada insan lain yang sudi melawati?
Maka kita boleh berkongsi keseronokkan menulis di alam maya dengan gembira.
Senyum mesra.

Tapi, itu kronologi semalam.
Hari ini lain pula yang timbul akibat pembinaan terowong sebagai jambatan ke Dunia Sebelah Zara.

Ambil kertas, lukis gambar senyum.
Tampal di muka.
Tepat di bibir.

[Pernah menulis mengenai Bunga Hati di SINI]

Siapa setuju bahawa komentar dia boleh membuat aku ketawa?
Cepat angkat tangan.
Siapa laju cikgu bagi hadiah.
Tahniah.
Satu ciuman setiap seorang.

Aku ketawa lagi sejujurnya.
Melihat seorang 'pencinta' yang tidak mahu mengaku tentang kebenaran hati yang diulit bahagia.
Ah, kalau kamu benci, apa mungkin kamu akan berkunjung ke mari bukan?
Kalau kamu sakit hati, tidak mungkin kamu meninggalkan pesan.
Senyum.

Alahai, kebenaran sudah terbongkar.
Beritahu sahajalah.
Aku mengerti perasaan benci tapi rindu itu.
Aku faham - sebab kalau kamu jujur tidak suka, kamu tidak akan menerjah bukan?
Ketawa besar.

Tutup mulut.
Tutup mata.
Tutup telinga.
Kepala tersengguk-sengguk mengalunkan tawa.

Zara : Sudah ditemui apa yang diburu selama ini. Hati gembira bukan kepalang. Sudah meniarap, baring dan terlentang menikmati setiap inci sesuatu yang memikat hati.



Sudahkah kamu semua meninggalkan alamat blog (URL) di

"Tolong Bersihkan Virus Biozip Dalam Komputer Riba Abah". - Itu Adalah Trojan Wahai Abahku Sayang.


Selepas sarapan di pagi Sabtu yang hening.

Abah : Along, nanti tolong tengokkan komputer riba (baca : laptop) Abah.
Aku : Ya, baik.
Abah : Banyak virus Biozip dalam tu.
Aku : Ha?!
Abah : Yang bunyi macam sabun pencuci itu.
Aku : Virus Trojan lah Abah. Trojan. Mana datang Biozip? *ketawa*
Abah : Oh, silap. Terlupa yang kita gunakan sabun pencuci Biozip *ketawa*


Oh Abahku sayang.
Nasib baik sarapan sate itu tidak tercampak keluar dari mulut aku.
Alahai.
Memang gempita rumah dengan ketawa kami semua.

Tidak mengapa Abah.
Nanti Along bersihkan virus itu.
Masih tersenyum simpul.
Mahu mengusik beliau lagi selepas ini.
Ketawa.

Zara : Selamat berhujung minggu semua.

Sudahkah kamu semua meninggalkan alamat blog (URL) di Terowong Kecil Cinta Zara?
Lakukannya hari ini juga.

Terowong Kecil Cinta Zara - Aku Sediakan Khas Buat Kalian Yang Sentiasa Menyokong Aku Selama Ini.


Salam semua.
Aku sudah punya tempat khas untuk meletakkan alamat blog kalian.
Moga kamu semua sentiasa mendoakan yang terbaik buat aku.
InsyaALLAH, aku juga akan sentiasa melakukan yang sama buat kamu.


Ya, sila tinggalkan alamat blog kamu di situ ya?
Aku akan menyenaraikan nama kamu di ruang khas di situ.
Ah, buat mereka yang aku sudah ikuti, pasti nama kamu ada di situ.
Kamu boleh periksa untuk lebih kepastian.

Sayang kamu semua.
Eh, ada yang bertanya bila perayaan Thaipusam di dalam penulisan sebelum ini.
Thaipusam jatuh pada hari esok wahai sahabat sekalian.
Senyum.

Jumpa kamu di pintu hadapan terowong ya?

Zara : Merindui kasih sayang sekumpulan teman yang sering berbahasa kedua dengan aku. Alahai. Di mana kamu semua ya? Rindu.

Friday, January 29, 2010

Lelaki Itu Tidak Pernah Gagal Membangunkan Aku Setiap Pagi. Siapa Mengejutkan Kalian Setiap Hari?


Lagu cinta dari jejaka yang aku cinta.
Aku harap esok dia masih setia.
Masih setia membangunkan aku dari lena yang panjang.
Sedia menggegar tidur aku di atas ranjang.

Ada suara-suara nakal yang sering bertanya tentang mengapa aku sering bangun awal pagi.
Ah, itu disebabkan aku perlu ke sekolah setiap hari.
Jarak aku ke sekolah hampir lima puluh kilometer dan masa yang diambil lebih kurang satu jam.
Ya, ini melalui jalan yang tiada alasan mahu memecut menggila.
Selekoh berbahaya, gaung, kawasan budak sekolah, malahan kawasan ternakan dilepaskan juga adalah apa yang aku lalui setiap pagi.

Menikmati embun pagi.
Mendengar celoteh penyampai radio di awal pagi.
Melihat mentari segan silu menunjukkan wajah yang jingga berseri.
Kelibat ladang sawit dan pepohon getah yang tegak berdiri.
Juga diselang seli dengan deruman pelbagai saiz dan bentuk lori.


Oh, dan aku bangun seawal empat setengah pagi setiap hari.
Tidur malam acapkali berubah waktunya.
Kalau hari Isnin harus sahaja usai aku menghabiskan tiga jam berkualiti di hadapan kaca televisyen.
Tulang ( baca : Bones) - NCIS - Minda Penjenayah (baca : Criminal Minds)
Wajib setiap hari Isnin.
Ketawa.
Itu aku panggil maraton.

Lagu cinta.
Ya, lagu cinta yang buat aku terjaga setiap pagi.
Lelaki itu tidak pernah gagal membangunkan aku setiap pagi.
Mendengar suaranya sahaja buat aku bingkas bangun terpisat-pisat dan tersenyum.
Ah, kalau dia bisa membangunkan kekasih hatinya yang setia, apatah lagi aku kekasih gelapnya.
Pasti dengan rela menerima cinta dia.



Ya, itu ketika dia menyanyi buat cinta hati dia.
Lagu yang sama buat aku.
Tapi rakaman kami bersama?
Yang dia menyanyi buat aku?
Ah, jangan pernah kamu tanya.
Itu rahsia kami berdua.
Tiada kelambu, kami tutup lampu.
Masa untuk beradu.

Zara : Selamat hari Thaipusam buat mereka yang menyambutnya. Selamat hujung minggu buat semua. Jangan nakal-nakal, nanti kena ciuman dan pelukan hangat. Cinta kamu semua!

Thursday, January 28, 2010

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor - Bila Agaknya Boleh Bertemu Dengan Beliau Dalam Waktu Terdekat Ini.


Oh, tentu sahaja ada mata yang menjeling tajam.
Pasti ada bibir yang menjuih dengki dengan penulisan kali ini.
Mungkin ada tutur kata yang bersulam benci.
Nah, tidak mengapa.
Aku menulis dari hati sendiri.
Tidak meminta pinjam hati yang iri.



Ketawa.
Senyum dalam hati.
Oh, tiba-tiba rasa mahu menukar kata ganti nama sebagai Sha.
Eh, lalang sungguh ini Zara.
Mana mungkin mahu menukar sesuka hati.

Oh, memang hajat dan impian serta mimpi mahu bertemu dengan pengamal perubatan ini.
Entah mengapa rasa mahu menjemput beliau ke sekolah.
Mungkin disebabkan kedengaran cerita menarik yang disampaikan dalam memupuk minat pelajar di sekolah.

Ah, impian itu bukan impian aku seorang.
Bahkan impian bagi setiap orang yang mempunyai cita-cita menggapai langit yang tinggi.
Ya, aku tidak perlukan sayap untuk terbang tinggi, tapi aku mahukan keazaman yang menggunung bagi menjadikan impian bukan mimpi yang tidak akan tercapai.

Oh, mungkin juga impian itu akan separa terlaksana hujung minggu ini.
Please watch CNBC Astro Channel 518 ( Malaysia ) on 30th Jan 530pm and next episode 31st Jan at 6pm for my astronaut interview ... Im not sure Im in which segment !
Ya, itu aku salin secara menekan Ctrl+C dan Ctrl+V dari Mukabuku peribadi beliau.
Ah, walaupun ianya hanya di kaca televisyen, aku masih gembira.
Tiba-tiba teringat abang Jejaka Panas yang menang tempat ketiga AJL baru-baru ini.
Sihatkah beliau kini?
Senyum.

Ah, mengapa menulis seperti membuat liputan mengenai tokoh yang aku gemari?
Oh, mungkin disebabkan aku mengajar bahagian "Wawasan Diri" dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi pelajar Tingkatan Empat. Ada yang menyenaraikan nama Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai antara tokoh yang memberikan wawasan dan semangat pada mereka.

Zara : Bersemangat menempuh hari terakhir dalam minggu ini. Bakal menyalin nama bulan minggu hadapan. Selamat tinggal Januari. Hampir mengoyakkan satu helaian takwim.

Siaran Tertunda - Rumah Laksamana Di Tempat Kedua Dan Syaitan Merah Menang Awal Pagi Tadi.


Laksamana!
Laksamana!
Laksamana!

Ya, keputusan rasmi sudah dikeluarkan tadi.
Laksamana Merah di tempat kedua di belakang Temenggung Biru dan di hadapan Bendahara Hijau.
Ya, beza mata adalah tiga belas.
Jumlah yang bukan sedikit untuk dikejar di kejohanan sukan sekolah nanti.
Berusaha!
Berusaha!
Berusaha!

Ya, ketua pasukan Merah bersorak kuat sebelum ke sekolah pagi tadi bila menyemak keputusan terkini perlawanan antara dua seteru di sekolah. Ya, aku pasukan Laksamana Merah yang menyokong Kesatuan Manchester (baca : Manchester United), manakala Ustaz G pasukan Temenggung Biru yang merupakan peminat setia Bandar Manchester (baca : Manchester City). Kemenangan agregat 4-3 awal pagi tadi sudah cukup buat aku bersemangat ke sekolah.
Ketawa.



Ya, ini muka penggiat seni yang separa siap ketika menjaga tempat pemeriksaan (baca : checkpoint) keempat semalam. Baju merah itulah jersi Syaitan Merah yang membuatkan ramai musuh-musuh tradisi menjeling cemburu dan tidak berpuas hati.

Oh, topi itu memang milik aku.
Ya, latar belakang memang ladang kelapa sawit.
Baju hijau berkilauan itu memang disediakan untuk guru penjaga laluan.
Muka gemuk dan bulat itu wajah artis Dunia Sebelah Zara.
Tempat penggambaran adalah rahsia.
Ketawa.
Senyum.

Tolak wajah duka dan lara.
Kerana aku lebih kenal erti bahagia dan ceria.
Ukir senyuman.
Pahat kasih sayang.
Teguhkan cinta buat diri sendiri.
Sebab aku sayang diri aku.
Dan ya, aku sayang dan cinta kalian semua yang hadir di sini.

Zara : Sudah membelikan sesuatu buat pelajar aku. Ah, masih belum menjumpai hadiah yang bagus untuk pemenang peraduan. Alahai, kalau ganti dengan hadiah lain boleh?

Wednesday, January 27, 2010

Aku Mahu Senyap Dan Duduk Diam.




Diam.
Duduk.
Baring.
Terlentang.
Kejang.
Berguling.
Berpaling.

Aku susun lipatan kaki.
Aku aturkan pergerakan sisi.
Tegak, kemas dan megah berdiri.
Siap dicuci dengan nilai mata hati.

Aku benci mahu membunuh lagi.
Sebab aku bukan lagi pembunuh upahan yang nakal.
Aku sudah disalut dengan tepung jingga dan kemerahan.
Senyum.
Sepi.
Tolak ke tepi.

Muka ukir senyuman.
Bibir tarik-tarik paksa otot senyum mesra.
Gigi atur rapi walaupun mahu dikejap-kejap geram.
Nakal.
Geram.
Tembam.
Peluk.
Si manis perang di sudut ranjang.

Zara : Saya tidak mahu orang lain, saya hanya mahu kamu. ( baca : I want nobody, nobody but you). Gila sungguh aku hari ini.

Bunga Hati - Kalau Tidak Cantik Dan Hodoh, Tidak Boleh Jadi Artis Ya?


Oh, soalan itu aku tujukan buat Bunga Hati yang dengan baik hatinya telah meninggalkan komen di penulisan aku sebelum ini. Ya, sekalung tahniah buat Bunga Hati.



Oh, kalau hendak menjadi artis kena cantik, menarik, kacak dan apa lagi ya?
Aku sendiri kurang pasti.
Nah, sejak bila aku menjadi artis?
Aku adalah penggiat seni yang memperjuangkan aliran tulisan aku dan juga kerjaya seni aku.
Ya, kerjaya seni aku sebagai pendidik.
Aku tiada hasil keluaran berbentuk lagu, drama atau filem buat tontonan kamu.
Ketawa.

Aduhai.
Aku keletihan sekarang ini.
Mungkin akan menulis tentang acara merentas desa kalau aku tidak sibuk memenuhi undangan acara menandatangani autograf di buku-buku latihan dan nota peminat aku yang memakai seragam putih, hijau dan biru. Ya, peminat aku adalah budak bawah umur tahu. Hebat bukan?
Ketawa.

Sudahlah.
Aku mahu buat penggambaran di atas ranjang dengan bayi aku.
Sean sedang menanti aku bersama dengan buku-buku tentang tokoh-tokoh yang harus aku tiru untuk menjadi terkenal. Ah, mereka terlekat di buku sejarah. Oh, tidak lupa juga di buku perdagangan dan sains.

Masa untuk merehatkan neurons.
Masa untuk meregangkan ligamen.
Sambil mengulangkaji mata pelajaran Sains Tingkatan Empat.
Oh, aku memang bukan artis Bunga Hati.
Aku penggiat seni yang gilakan kerjaya sebagai seorang pendidik bergelar guru.
Sekian.

Zara : Masih ketawa sambil mahu menyumpah gembira bersama teman baik yang sangat memahami.

Enaknya Kalau Kepanasan Berlawan Dengan Kesejukan Dan Kedinginan : Bakal Bersiaran Langsung Dari Celahan Ladang Kelapa Sawit.


Laksamana!
Laksamana!
Laksamana!

Merah!
Merah!
Merah!

Ya, sekarang masa untuk memperkenalkan ketua rumah Laksamana iaitu rumah merah.
Ini ketua yang gila bersorak dan bersemangat tinggi.
Jangan perlekeh kemampuan dia yang sukakan Syaitan Merah.
Mungkin sebab itu dia berada di rumah Merah walaupun hakikatnya dari sekolah dia adalah rumah Biru.



Menjaga acara merentas desa pagi ini bersama dua guru lelaki berjawatan tinggi dan merupakan ketua-ketua aku.
Di tengah-tengah ladang kelapa sawit sementara menunggu pelajar melalui tempat pemeriksaan ke-4.
Cuaca dikhabarkan akan panas seperti biasa.
Bukankah elok kalau dapat menjamah ais kisar oren di kala itu?
Alahai, indahnya.

Untuk lebih maklumat, sila ikuti siaran langsung acara merentas desa melalui Twitter aku hari ini.
Wah, sungguh artis aku punya kenyataan.
Ketawa.

Zara : Bakal bersorak kencang setiap kali melihat kelibat pelajar rumah sendiri yang melalui jalan di hadapan diri. Ah, bukan jalan, tetapi denai kecil di dalam ladang kelapa sawit.

Tuesday, January 26, 2010

Bila Perkataan Cantik Jauh Terpisah Dan Aku Kekal Dengan Identiti Cikgu Batu


Entah bila kali terakhir aku mengendong tas tangan yang kecil.
Terdiam bila memikirkan betapa kegilaan aku pada sesuatu yang berunsur kewanitaan sudah bertambah. Bak kata sahabat aku, harus bunuh diri penanam tebu di tepi bibir yang pernah menjalani kehidupan bersama sebelum ini.
Ketawa.
Senyum.

Aku tidak pernah kenal perkataan cantik.
Tidak pernah orang gunakan perkataan itu pada aku.
Nah, aku selalu gunakan untuk diri sendiri.



"Zara, tas tangan yang kamu beli ini menarik."

Dan ya, ada di kalangan teman yang menyatakan aku sesungguhnya adalah guru yang sangat batu (baca : Rock) jika aku menggunakan tas tangan ini. Ah, dengar suara aku dulu, pasti kamu akan tahu.
Ketawa.

Oh, aku dapatkan tas yang berwarna coklat kopi ini usai pulang dari sekolah tengah hari tadi.
Tiba-tiba rasa berkenan di hati, maka aku gagahkan juga diri membeli.
Ah, hadiah pertandingan masih belum lengkap lagi.
Aku perlu harus terus memburu.

Siapa Si Tengik dan Si Busuk?
Masihkah anda keliru?
Senyum.

Zara : Kepenatan. Esok ada acara merentas desa.

Dari Si Tengik Buat Si Busuk Sempena Ulang Tahun Ke-23 Si Busuk.


Busuk.
Busuk.
Selamat ulang tahun ke-23 Busuk sayang.
Kamu sahabat terbaik Si Tengik yang tidak mahu menginjak dewasa.

Busuk.
Hari ini kamu sudah dua puluh tiga tahun.
Banyak kenangan yang kamu lalui selama ini dan Tengik bersyukur sebab dia menemui seseorang seperti kamu sepanjang lebih dari setahun ini.
Ah, walaupun Busuk dan Tengik tidak pernah bertemu di dunia realiti, terima kasih kepada teknologi, mereka masih mampu berdiri, jatuh, bangun, duduk dan berdiri kembali bersama.



Busuk, kamu lebih dari sekadar kawan buat Tengik.
Kamu sahabat terbaik dia, kamu teman menggila yang selalu menyedarkan dia.
Kalau Tengik jatuh, kamu bangunkan dia, kamu gerakkan dia.
Bila Busuk jatuh, Tengik juga mahu seret dia kembali ke alam nyata.
Persahabatan pelik yang indah.
Mahu menggegar dunia?
Senyum mesra.

Tengik suka kalau Busuk ajak menggila bersama.
Oit.
Oit.
Oit.
Pembuka bicara bila mahu memulakan misi membuka kamera sesawang di ruang sembang.
Ah, berselubung, berkejar mencari sarung, kain tudung.
Nah, Busuk tekun membuat kerja, Tengik curi-curi buat kerja sekolah.
Ketawa.

Dengan ada Si Busuk, Si Tengik belajar tidak mahu mengeluarkan air mata duka.
Dengan ada Si Busuk, Si Tengik hanya mahu erti gembira.
Si Busuk ada penawar ketika duka.
Si Busuk ada pewarna ketika dunia mahu mesra dan ceria.
Bilang sahaja pada dia, dia akan coretkan sesuatu yang indah.

Senyum.
Busuk, Tengik sayang kamu.
Sebagai sahabat sejati yang mahu kekal hingga mati.
Persahabatan unik sambil meneruskan satu legasi.
Pasti.

Busuk.
Moga kamu punya hari yang ceria.
Dan dapat segala apa yang kamu citakan.

Zara : Kalau boleh aku mahu bersama teman itu sempena ulang tahun kelahirannya, tapi tidak mengapa. Dia memahami tugas aku sebagai pendidik bangsa.

Monday, January 25, 2010

Bila Dua Bayi Dewasa Terlentang Di Atas Ranjang : Edisi Pembunuhan Bakal Berakhir?




Semalam aku hanya sempat menjenguk dan menanda penulisan baru kamu masuk ke dalam perjanjian kita.
Cuma hari ini aku mampu membaca dan tersentak bila lihat kamu memulakan kalam bicara.
Nah, manusia kamu buat aku terfikir.
Betapa di sebalik sifat gila kamu di kotak bicara, kamu punya hati yang telah rapuh.
Pecah.
Berderai.

[BACA]

Ya, aku tidak kenal kamu.
Tapi atas dasar saling membantu, kamu hulurkan sesuatu yang digelar ilham ke dalam perjanjian kita.
Kata kamu biarkan ada yang menghina kerana mereka alpa.
Tapi harta dunia bukan buruan kamu.
Kita berkongsi sesuatu yang digelar bahasa bila kamu terjumpa aku di alam maya.

Nah.
Aku mahu berhenti menulis bicara.
Jangan biar pembaca aku menderita menyingkap apa yang berlaku sebenarnya.
Aku cuma mahu kamu tabah.
Kerana apa?
Kerana aku pasti kamu akan beroleh bahagia.

Senyum kawan.
Sebab bila kamu sudah mulakan permainan gila itu, kamu pasti akan kehilangan darah dan air mata.
Peluh berkuah membasahi langkah.
Berhenti rehat kawan.
Masa untuk hidup udara segar.




Zara : Aku juga pernah kehilangan makna bahagia tiga persalinan kalendar sebelum ini, dan aku percaya setiap manusia perlu tabah atas dugaan kecil ini.


Bila Aku Bertemu Ramai Manusia Hebat Di Atas Talian : Blog Dan Ruang Sembang.




Bila aku mula menulis di dalam alam maya, ada yang mencebik wajah.
Menjuih bibir pada aku.
Seperti yang akan ada ambil berat pada aku.
Seperti yang akan berhenti dan membaca luahan aku.
Coretan.
Nukilan.

Aku diam dan tetap terus menulis.
Bila orang kata bodoh, aku senyum.
Bila orang kata aku songsang, aku gelak.
Bila orang kata aku perasan terkenal, aku ketawa berdekah dan berguling.
Sungguh, kamu cuba bunuh aku dengan kata-kata.
Walhal, kata-kata adalah permainan aku dalam dunia sebelah Zara.

Entah sejak bila aku mula berminat masuk ke ruang sembang.
Sekadar melepaskan tekanan perasaan di ruang bersama manusia yang aku tidak kenal.
Aku bertemu pelbagai jenis manusia.
Ada yang macam celaka.
Ada yang kekal menjadi kawan.
Ada pelbagai ragam dan rupa.

Bila aku kata nama aku Zara, ada yang ketawa.
Mereka tuduh aku manusia dua alam.
Mereka kata yang guna nama Zara hanya manusia dua alam.
Aku membidas dengan gagah, dengan fakta.
Jangan lupa bahawa fakta itu sandaran seorang guru Sejarah.
Nah, Kimia dalam darah, Sejarah terluah dari lidah yang pantas menikam kembali.



Kamu kata aku baik bila aku duduk dengan kamu.
Kamu tikam belakang aku bila aku terlupa mengunjungi kamu.
Ketawa.
Sederhana.
Senyum mesra.
Aku hanya manusia biasa.

Bila aku kehilangan diri sebentar, kamu jejaki aku dengan tabah.
Kamu cuba renggut tangan dan bertanya apakah yang berlaku pada aku.
Aku diam membisu tapi kamu tidak akan menyerah dengan mudah.
Kamu halang aku.
Bentak aku.
Berhentikan aku.
Tetap bertanya apa yang berlaku.
Aku kunci mulut, diam membisu.

Zara : Esok sekolah akan memulakan minggu keempat. Akan memakai pakaian berkabung mulai esok juga. Selamat tinggal sahabat sekalian yang sentiasa buat aku aku gembira. Maaf jika ada yang terluka.

Sunday, January 24, 2010

Tidak Memerlukan Sayap Untuk Terbang Tinggi Bila Ejaan Menepati.




Buat muka menggoda.
Pakai kaca mata besar serangga.
Bibir disapu dengan calitan merah jambu.
Nampakkan gebu.
Jangan lupa pemerah pipi agar tidak pucat di siang hari.
Pakai baju merah menyala dan ada bintik-bintik merah (baca : polka dot)

Senyum mesra.
Jalan lenggang lenggok penuh gaya.
Penuh sopan, penuh gaya, penuh segalanya.
Pusing, alunkan badan dan hadapi semua.
Baiklah, sudah tiba masanya.
Pusing!

"Awak semua boleh tak senyap kalau saya mengajar di hadapan? Saya dah pesan, tulis dalam buku nota wahai kakak dan abang sekalian. Susah sangat ke?"

Ketawa dalam hati bila melihat muka budak pucat lesi.
Berjalan dari satu meja ke satu meja melihat buku pelajar sambil memberi penerangan dengan lebih jelas rentetan peristiwa yang berlaku. Ya, aku seorang penglipur lara yang berunsurkan Sejarah di hadapan pelajar Tingkatan Dua.

Badan tunduk, jengah buku pelajar.
Alahai, salah ejaan lagi.

"Bang, saya kata apa? Eja betul-betul bang. Nama gabenor adalah Leith. Bukan letih. Kan dah memberi makna berbeza"

Budak tersengih sambil memohon maaf.
Pelajar lain sibuk melihat buku sendiri, takut kesilapan yang sama di kesan oleh aku.

"Betulkan semula ya?. Siapa lagi yang salah eja sila betulkan. Alahai..."

Eh, sebentar.
Kamu fikir aku pakai seperti di atas ke?
Mustahil.
Aku bukan watak di sebuah pentas opera.
Aku watak di sebuah sekolah.
Pakaian aku perlu memenuhi etika.



Nah, aku mahu kembali mengulangkaji.
Eh, bukan buku fesyen gaya terkini tetapi Sejarah yang semakin dekat di hati.
Di mana Kimia aku?
Aku simpan buat bekalan di hari mendatang.
Kalau diterjah, aku akan sedia menentang.
Sediakan parang dan senapang.
Tembak tepat dan kertas jawapan tidak akan penuh dengan warna merah.

Selamat berhujung minggu semua.
Aku perlu menghadiri urusan walimatul urus seorang rakan sekelas selepas Zuhur nanti.
Rakan sekolah menengah ketika zaman aku memakai seragam putih dan biru muda.



Zara : Ingatan mula menghilang tatkala diri dihimpit kesibukan pekerjaan. Nah, nasib baik ada yang mengingatkan bahawa aku perlu menghadiri majlis perkahwinan, kalau tidak sudah tentu akan menempah keranda dibunuh di hari bahagia. Aduhai, nasib badan.

Saturday, January 23, 2010

Ini Bukan Kerana Rasa Terkenal Seperti Penggiat Seni, Tetapi Sekadar Suka-Suka.


Aduhai.
Baru semalam mewujudkan halaman peminat (baca : fan page) untuk Dunia Sebelah Zara, sudah ada yang menghentam di surat elektronik dan komen yang ditinggalkan di penulisan sebelum ini. Tidak mengapa, anda boleh menulis apa sahaja. Nah, kata penulis terkenal yang ada halaman sendiri?
(Baca dengan muka ketat sambil rasa mahu memaki)

Tarik nafas dalam-dalam.
Tampal senyuman di wajah.



Ya, aku tahu kamu minat aku.
Kalau tidak minat, aku pasti kamu tidak akan mengambil berat akan perjalanan blog ini bukan?
Ya, sekali lagi aku menulis tulisan pojok seperti ini dengan harapan ia memenuhi nafsu kamu yang menyatakan aku adalah seperti artis. Mungkin aku artis bagi kamu, tapi pada aku, aku adalah penggiat seni.
Ketawa.
Baling bom tahi ke bawah.
Tutup hidung.
Halau bau pada kamu.
Ketawa.
Senyum kanyur.

Seperti yang aku nyatakan sebelum ini, ya aku memang penggiat seni.
Penggiat seni yang berbudaya.
Aku adalah pelakon di dunia aku.
Aku adalah penulis skrip, lakon layar, pengarah, pekerja belakang tabir, pengurusan peralatan, dan aku juga mungkin adalah penerbit.
Nah, kerja aku memang meliputi semua bukan?
Ketawa.
Hentak-hentak tangan atas meja.



Sekejap.
Aku tukar watak.
Kamu mahu aku berlakon ikut skrip yang kamu tulis?
Boleh sahaja.
Berapa banyak sampah yang kamu buang merata?
Ah, tentu kamu juga mahu terkenal dengan cara sendiri bukan?
Sebentar.
Sabar.

Eh, kamu tidak tinggalkan nota siapa diri kamu.
Oh, kamu mahu gunakan tandas tetapi tidak pandai membersihkan najis selepas dilepaskan?
Patutlah baunya menusuk hidung aku yang besar ini.
Tutup hidung.
Tekup mulut.
Elak dari muntah.

Jangan ambil kesempatan walaupun aku menulis dengan gagah.
Jangan berak merata sambil terlupa ambil semula seluar dalam yang jatuh merata.
Oh, jangan lupa bersihkan bila membuang ya?
Baunya kurang menyenangkan.
Hidung berkerut.
Mata mengecil.

Aku tidak pernah memaksa kamu sertai aku.
Itu hanya untuk mereka yang mengambil berat tentang siapa aku.
Kamu juga mahu bukan?
Ketawa.
Tepuk kepala.

Zara : Esok hari Ahad. Bersedia untuk memulakan pekerjaan dengan lebih sempurna selepas ini.

Dunia Sebelah Zahrah Itu Adalah Dunia Sebelah Zara.


Salam semua.
Aku bersiaran dari suatu tempat yang mempunyai saiz empat persegi.
Ya, di atas  katil dan di dalam bilik peribadi.

Hari ini sepatutnya sekolah seperti biasa dan sekolah punya acara merentas desa serta mesyuarat kokurikulum. Tapi seluruh rakyat negeri Johor hari ini berkabung atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar pada jam 7.15 malam semalam.
Maka, aku juga cuti dan dalam suasana berkabung.
Takziah aku ucapkan buat Keluarga Diraja Johor dan seluruh rakyat naungannya.



Oh, kalau kamu terlihat kotak ini di tepi blog aku ini, ya, itu memang milik aku sendiri.
Di bina atas dasar aku akaun peribadi aku biasanya dipenuhi oleh teman-teman persejuangan dan aku selalu terlepas pandang apa yang kamu utarakan buat aku. Kalau berminat dan kamu juga mempunyai akaun Mukabuku, ya, mari sertai aku di sana.

Kenapa Zahrah dan bukan Zara?
Ini disebabkan nama Zara itu telah dipakai secara rasmi oleh jenama terkenal, maka aku meletakkan H di antara nama aku yang mewakili nama sebenar terakhir aku juga, Zahrah. Ah, pelajar aku juga memanggil aku Cikgu Zahrah di sekolah.
Nah, mari kita berhubung di situ.
Lebih mesra, insyaALLAH.
Sayang aku buat kalian semua.
Peluk boleh?

Zara : Sudah minum lebih lima botol air masak dan mulakan tugasan seperti biasa di hujung minggu.

Friday, January 22, 2010

"Cikgu, Selalu Cikgu Manis Sahaja. Tadi Cikgu Kelihatan Sangat Panas Dan Ganas"


Ya.
Buat pertama kali dalam sejarah di sekolah baru, suara aku sudah memenuhi satu blok dan boleh didengari oleh lapan buah kelas. Jeritan kelantangan sudah memecahkan nilai-nilai desibel dan frekuensi Hertz tidak dapat dibaca akibat kenyaringan yang nyata.



Aku memang mempunyai pantang-pantang tertentu bila aku mengajar. Sebab aku tahu pembalasan memang datang dalam bentuk roda. Kalau kita pernah buat dahulu, akan datang kita akan kena juga walaupun sedikit. Dan bila aku sungguh menjaga pantang diri aku, jangan pernah melangkaui batas yang aku gariskan sejak hari pertama aku mengajar di kelas.

Kelas Sains yang bermula pada jam 8.35 pagi dan berakhir pada 9.45 pagi harus dipenuhkan oleh 17 orang pelajar. 15 lelaki dan 2 perempuan. Nah, kalau lambat sekalipun ke makmal, harus muncul di selewat-lewatnya pada jam 8.45 pagi. Aku masih memberi kelonggaran.

Ada yang masuk.
Beransur-ansur.
Empat, lima, dua, dua.
Aku mengira.
Kurang empat orang.
Bila aku tanyakan pada mereka yang sudah duduk dan bersedia memulakan sesi pembelajaran, jawab mereka masih ada di kelas. Aku teruskan menulis di papan tarik sorong atas bawah dengan hati yang mula membara.

Jam 9 pagi.
Darah aku sudah mula memenuhi bahagian belakang rangka otak.
Neurons aku mula menerajang saraf-saraf tertentu.
Kena pula dengan tajuk yang aku ajar hari ini iaitu saraf tunjang manusia.
Muka mula bertukar rupa.
Aku semakin laju menulis di papan hijau.

Jam 9.15 pagi.
Aku tarik pintu makmal dan tutup dengan kuat.
Hati mula mendongkol.
"Kalau mereka muncul, aku tak mahu bagi mereka masuk"

Jam 9.20 pagi.
Aku letakkan noktah terakhir pada tulisan aku.
Penerangan sudah mengiringi setiap bait yang aku layahkan di atas papan hitam.
Aku berikan tugasan dan aku keluar dari makmal dengan satu misi.
Manusia-manusia itu sudah membuat hati aku berdarah.

Jam 9.23 pagi.
Ya, aku memang berjalan dengan laju.
Aku lihat tiga orang sedang menulis di dalam kelas dan ada seorang makhluk dari kelas lain juga bergetanyang melepak di situ.

"Apa yang awak semua buat?! Dah hampir satu jam tapi awak tak masuk makmal lagi!"

Makhluk dari kelas lain berlari pulang ke kelas.
Suasana hiruk pikuk kelas sebelah bertukar senyap bagai dilanda garuda.


"Buat kerja sekolah cikgu".
"Kerja apa?"
"Kerja cikgu. Lupa nak siapkan semalam"

Ketika ini darah aku sudah sampai di ubun-ubun.

"Kalau tak siap kerja saya sekalipun, masuk juga makmal! Orang lain ada yang tak siap tapi masuk juga. Ambil barang awak semua, pergi makmal sekarang juga! Mana lagi seorang?!"


"Entah cikgu"

Mereka bertiga kumpul barang laju-laju.
Berlari ke makmal dengan diperhatikan aku.
Keluar dari kelas dan terjumpa lagi seorang yang muncul dari kelas sebelah.

"Kenapa awak tak masuk makmal?"
"Saya tunggu cikgu jemput saya datang"

Betapa Yang Maha Esa sahaja yang tahu perasaan aku ketika mendengar ayat itu.
Gigi mula menggelatuk menahan marah.

"Ambil barang awak sekarang - pergi makmal"

Aku masuk ke makmal dan mereka berempat sudah ada.
Aku teruskan kelas seperti biasa dan sembunyi muka ganas di dalam.
Jangan biarkan rasaksa keluar sekali lagi.
Ya, aku pujuk hati.



Rehat aku disapa oleh beberapa pelajar.

"Cikgu, tadi cikgu mengamuk di kelas mana? Saya di tingkat bawah boleh dengar suara cikgu. Cuak betul".


"Cikgu, selalu cikgu nampak sungguh manis (baca : sweet). Tapi nampak muka cikgu lepas marah budak kelas sebelah, cikgu kelihatan sangat panas (baca : hot) dan ganas. Cikgu jangan marah kelas kami macam itu ya? Sangat takut bila cikgu lain dari biasa."

Aku hanya tersenyum mendengar kata-kata pelajar tersebut.
Ah, marah aku hanya bila aku rasa dikhianati oleh mereka yang aku sayangi.
Aku sayang mereka walaupun aku tahu tahap mereka.
Sebab dengan mereka, aku belajar sesuatu yang lebih tentang kehidupan itu sendiri.



Ah, bukankah dahulu aku pernah mengatakan bahawa kerjaya guru ini adalah sebahagian daripada penggiat seni?
Aku seorang pelakon, pengarah filem, penulis skrip dan aku juga yang bertugas di belakang tabir.
Senyum.
Hela nafas panjang.
Senyum lagi.

Zara : Esok acara merentas desa sekolah bakal berlangsung. Ya, gembira sangat-sangat. Aku bakal menjaga titik pemeriksaan (baca : checkpoint) keempat bersama dengan dua orang guru kanan bidang lelaki. Alahai, dua-dua adalah ketua aku yang aku sanjungi.

Thursday, January 21, 2010

Memang Kelakar Cara Kamu Menyeludup Gula Di Tepi Cawan.


Sumpah.
Aku sedang ketawa terbahak-bahak lagi.
Malam semalam si penipu kelihatan di jaringan sosial dengan kata-kata yang buat aku tertawa.
Dalam masa yang sama, bekas pemuja dia pula menulis mengenai kisah mereka berdua.
Kasihan pada pendayung seterusnya, kapal yang kamu naiki sekarang ini penuh nista.
Hati-hati.
Kamu mungkin karam tapi sebagai manusia, aku mendoakan yang terbaik.
Sungguh, hati aku bukan tempat terbaik untuk menyimpan dendam.



Permainan yang berunsurkan kata-kata sering menjadi taruhan kamu.
Aku termangu berfikir tentangnya.
Mengapa setiap kali harus aku lihat penceritaan yang serupa walaupun wataknya berbeza.
Nah, yang arjunanya sudah tentu kamu tetapi bidadari yang mengiringi acapkali manusia yang entah siapa.
Aku sesungguhnya enggan mahu ambil tahu.
Tapi kerana kamu wujud dalam hidup aku, aku merasakan yang aku perlu menegur walaupun sedikit.
Kamu pernah menjadi kawan baik bagi aku.

Diam.
Fikir.
Baca.

"Ibu, papa sayang ibu. Ibu jaga diri ya? Papa janji papa makan nanti. Ibu pun makan juga tahu?"

Aku ketawa lagi bila membaca coretan kamu kawan.
Setiap kali harus memainkan watak yang bertopengkan kasih sayang.
Kasihan aku melihat diri kamu kawan.
Simpati aku menggunung tinggi.
Kesat mata, hilangkan tangisan.
Akibat ketawa menggila.

Kawan, tidak ada yang salah dengan cinta.
Kamu berhak memilih sesiapa sahaja.
Tapi, dalam perjalanan mengejar erti bahagia, jangan jadi manusia celaka dan buaya.
Berapa banyak hati wanita yang kamu injak dengan megah?
Kesal aku kawan.
Kesal.

Tatkala kamu sedang ketawa gembira merangkul pinggang sempit dara terbaru, aku sedang melihat seorang lagi gadis tumbang akibat cinta gila kamu. Permainan keji yang kamu mainkan sejak bertahun kini berputar lagi. Adakah kamu akan datang jumpa aku semula dan menyatakan betapa kecewanya kamu dengan dunia yang kononnya tidak pernah menjanjikan bahagia? Aku harap kamu tidak akan datang lagi kerana kamu pernah mengkhianati sesuatu janji.



Satu dalam sejuta.
Gunakan sebagai kata pemikat hati sang pencinta.
Pertama, kedua, ketiga dan entah keberapa.
Masih modal yang sama.
Kaku.
Beku.
Sayu.
Pilu.

Kamu boleh ketawa gagah dan megah.
Tapi jangan lupa satu perkara.
Hidup ini ibarat roda.
Karma.

Zara : Terfikir adakah patut membunuh secara berdepan ataupun membiarkan kejahatan dia berlalu begitu sahaja. Kasihan pada mereka yang kecewa dan bakal kecewa tapi hati hanya mampu mendoakan sekelumit bahagia buat insan-insan yang teraniaya dan menganiaya.

Wednesday, January 20, 2010

Dunia Sebelah Zara Mungkin Tidak Akan Wujud Lagi. Maaf Semua.




Entah mengapa tiba-tiba pemikiran aku berkecamuk.
Keinginan untuk mencari diri yang pernah hilang tiba-tiba memuncak.
Hati resah dan gelisah.
Tidur malam sudah kurang dikunjungi mimpi indah.
Nasib baik tiada mimpi celaka dan bahaya.

Diam.
Aku sedang hilang lagi.
Sedikit demi sedikit malangnya.
Perlahan.
Sakit.
Hidung rasa sempit.
Perit.

Sedang berusaha untuk mencari makna yang utuh di sebalik diri yang mungkin tidak akan sempurna.
Bibir kejap kuat-kuat.
Otak simpan dalam bekas takungan teh herba.
Mata kaku pada paparan bayi kesayangan.
Kejang.
Sendu.
Mahu makan keju?

Mata mengantuk.
Kerja bersusun.
Pegang tangan kiri, hulur tangan kanan.
Rebahkan diri di ranjang pembaringan.

Tutup mata.
Tutup mulut.
Tutup telinga.
Aku rasa bahagia.

Zara : Sedang mencari nama baru untuk Dunia Sebelah Zara. Perlukah agaknya?

Tuesday, January 19, 2010

Mahu Simpan Otak Dalam Ais Kisar Mangga - Biar Kuning Dan Sejuk.


Hari yang meletihkan.
Badan penat, suara tenat, perut ketat.
Balik, lunjurkan kaki, buat senaman lipat-lipat.
Muka kelat.
Penat.



Dapat roti telur satu.
Satu bungkus ais kisar (baca : ice blended) mangga.
Mulut diam - mengunyah dengan gigih.
Mata memanggil untuk ditutup.
Otak berdengung.
Pemanas air berkeletuk.

Otak mula diserapi nikmat kesejukkan ais kisar mangga.
Naik satu takah demi satu takah.
Sedut laju-laju.
Sampai otak.
Mata kuyu.
Hati layu.
Sayu.

Jari pegang kaca mata.
Tangan kanan mula terjuntai.
Jasad rebah atas wanita separa bogel yang sedang mandi dalam kolah merah - sumpah, tidak basah.
Buih sabun hanya kekal di bawah.
Tidak naik ke tubuh.
Ilusi mati.
Sepi.
Sunyi.
Geli.

Zara : Badan kepenatan dan hampir mati. Otak kejang dan tidak mahu berfikir buat masa ini. Hanya senyap dan sunyi pengganti diri yang bising bingit. Lunyai.


Monday, January 18, 2010

Bila Aku Bersama Wanita Yang Enggan Keluar Dari Tab Mandi Merah.


Sumpah!
Bukan salah aku.
Tapi salah dia.
Betul, salah dia.

Kepala berbalut dengan tuala kelabu.
Badan terbaring dalam tab mandi merah.
Buih sabun memenuhi setiap inci badan.
Kaki dibiarkan terjuntai keluar.
Rehat, santai.
Kucing mengiau manja menunggu tuan keluar dari ruang yang nyaman.
Ada minuman sebagai peneman merehatkan badan.

Sekejap.
Itu ruang santai aku.
Itu tempat aku hamparkan badan, melepaskan lelah setelah seharian kerja.
Tapi kini kenapa digunakan dia?

Aku mahu tidur di atas ranjang peribadi aku.
Ya, itu memang ranjang, kamar peribadi aku sendiri.
Salahkah aku tidur, beristirehat di atas kasur aku sendiri?
Badan yang letih memerlukan rehat yang secukupnya.
Ah, aku manusia, bukan robot besi yang mampu sentiasa terjaga.
Malahan robot juga perlukan waktu untuk ditambah tenaga semula.

Tapi dia buat endah tidak endah.
Masih mahu kekal mandi di dalam tab mandi merah.
Masih mahu mandi bersama kucing kesayangan di sisi.
Sayang, aku mahu tidur!
Mengapa kamu masih mahu berendam dan berbuih di dalam bekas merah itu?
Ini tempat aku!
Kamu masih mahu berendam panas di sana?



Kejam.
Mungkin aku harus tidur bersama dengan dia lagi malam ini.
Semalam malam pertama kami bersama.
Dalam hati terselit rasa bahagia.
Susun bunga pada wajah.
Ketawa.

Zara : Esok acara merentas desa kembali bermula. Ya, latihan padu dan jitu!


Sunday, January 17, 2010

Selak Kain, Kamu Nampak Apa?


Keadaan diri yang sentiasa dikekang oleh waktu kebelakangan ini membuatkan aku sakit.
Sakit kerana daya kreativiti aku berkurang.
Otak padat dengan perkara lain.
Duniawi.

Kerja sentiasa penuh.
Hati ditanam bunga matahari.
Mahu senyum dengan gembira.



Aku benci dengan manusia jenis ini.

"Suka jaga tepi kain orang"

Apa bagusnya?

Selak teruslah kalau berani!

Ketawa.
Senyum.
Sengih.
Berguling.

Malam tadi aku gembira memasang kamera Sean.
Lihat teman baik aku.

Zara : Selamat berhujung minggu semua!

Saturday, January 16, 2010

Bila Mak Buyung Merungut Tentang Nilai Pendidik Bangsa Yang Dicerca.


Bekas teman wanita yang kini isteri orang dan bakal ibu muncul petang tadi.
Bukan muncul di hadapan mata, tetapi menjerit memekik di talian maya.
Si Merah - telefon genggam berbunyi dan keluar gambar perkahwinan dua sejoli.

B : Sayang yang tembam, apa khabar?
Aku : Oh mak buyung yang sudah lupakan Malaysia. Aku baik dan bertambah gemuk. Mak buyung pula?
B : Aku tentu sedang bahagia mengusung perut dan dibelai jejaka yang semakin berkumis nipis.
Aku : Sengaja mahu buat aku cemburu ke? Pasti tidak akan berjaya (ketawa) 
B : Alahai, aku ingat kamu tengah bersedih.
Aku : Nak bersedih apa?
B : Aku lihat apa yang berlaku tetapi kamu pandai mahu sembunyi.
Aku : Jangan berdolak-dalik. Aku tidak mengerti.
B : Alam maya yang tanpa sempadan ini bisa buat sesiapa sahaja lihat kamu tanpa kamu sedari.
Aku : Memang, tapi aku masih kurang memahami.
B : Tentang dia.
Aku : Dia?
B : Dia lah!
Aku : Oh, mengapa?
B : Aku lihat perjalanan masa ungkapan terkini dia.
Aku : Aku malas mahu fikir lagi tentang perkara lama. Nanti otak kusut, jiwa kacau.
B : Tapi dia menghina kerjaya kamu.
Aku : Aku malas mahu fikir lagi. Biarlah dia begitu.
B : Bahkan dia mengatakan kamu bodoh, tolol, lembam.
Aku : Moga doa dia itu tidak akan sampai kepada aku.
B : Sejak bila kamu tutup hati sampai keras dan batu begini?
Aku : Sejak aku belajar aku perlu berjalan sendiri semula.
B : Setahu aku kamu akan menghempas muka mereka yang mengata kamu dengan terbuka.
Aku : Sudah sampai masa aku biarkan mereka.
B : Celaka badan tidak mengapa?
Aku : Bukan badan aku.
B : Habis, badan siapa?
Aku : Entahlah.
B : Ah, Zara sudah semakin dewasa.
Aku : Kamu kan mahu aku jadi ibu angkat pada anak dalam kandungan kamu?



Kelakar bila mengenangkan mak buyung itu sanggup membuat panggilan dari jauh untuk aku semata-mata untuk mengamuk tentang hal yang satu itu.
Alahai sayang.
Sumpah, aku memang memahami mengapa kamu begitu marah.
Aku kenal hati aku.
Sungguh.

Eh, mak buyung mana boleh marah-marah?
Nanti muka anak kamu masam sayang.
Jejaka, jaga isteri kamu yang comel itu.
Cubit pipi dia jika dia merungut perlu makan vitamin setiap hari.
Penting untuk bayi.
Ketawa.

Zara : Hujung minggu yang entah mengapa kurang ceria dari sepatutnya. Ah, mungkin kerana terlalu banyak kerja. Mahu ketawa dan meregang otot badan dengan sekata.

Friday, January 15, 2010

Alahai, Kalau Sungguh Mahu Mengata Aku, Sila Buat Dengan Cemerlang.


Tiba-tiba rasa mahu ketawa sampai terkentut.
Eh silap, harus sopan. Nanti orang gunakan ayat kita untuk hentam kita semula.
Alahai sayang semua, jangan buat aku bermuka masam.
Benci tahu?
Tak suka, tak suka, tak suka (sambil pukul-pukul bantal dengan manja).

Oh, amat gedik.
Kamu menulis di kawasan kamu tanpa menyatakan nama aku. Perlukah aku ucapkan terima kasih? Tetapi kamu lupa. Penulisan di dunia maya ini ada yang melihat, ada yang membaca.
Masih ada yang mahu memberitahu kerana mereka kenal aku.
Walaupun tidak pernah bertemu, tetapi hati yang bersatu?
Alahai.

 Kalau kamu tulis begini...
"Ada seorang penulis blog yang sangat kepoh dan sukakan hubungan songsang (boleh tengok Mukabuku dia). Sudahlah begitu, kalau tengok profil blog dia, ada ditulis gilakan pelukan dan ciuman. Sekejap, aku mahu salin. Lepas ini boleh baca sampai muntah. - Seorang ahli kimia berusia 22 tahun yang gilakan pelukan dan ciuman. Dia kadangkala keliru dengan jantina sendiri setelah berjaya menghasilkan tiga kilang kasih sayang, cinta dan juga racun untuk digunakan terhadap makhluk yang memakai seragam putih-hijau-biru secara konsisten setiap hari. Jom muntah sama-sama."



Ada panjang lagi.
Malas mahu salin di sini.
Hubungan songsang?
Sekejap, aku mahu ketawa.
Mungkin aku harus beritahu teman wanita yang aku terpaksa memutuskan hubungan dengan dia.
Alahai.
Mahu ketawa lagi.

Ada orang kata, Dunia Sebelah Zara adalah tempat di mana kasih sayang mencurah dari kali.
Ada orang kata Dunia Sebelah Zara tempat pelukan hangat boleh dicari.
Ada orang kata Dunia Sebelah Zara tempat ciuman tepat di hati.
Aku hanya mampu tersenyum dan tunduk.
Dalam hati penuh bunga matahari.



Aku cuma mahu berpesan.
Kalau betul kamu mahu mengata aku di laman maya, sila tinggalkan pautan alamat blog aku di situ. Jangan biarkan pembaca kamu terpaksa menyalin ayat tersebut dan gunakan enjin carian. Untung-untung boleh menaikkan laluan ke blog aku yang kecil ini. Ya lah, mana tahu kan?
Ketawa.

Oh ya, aku terjumpa sesuatu yang menggeletek hati petang tadi.
Dunia ini memang kecil.
Lebih-lebih lagi kalau ini dunia blog.
Ketawa.

Zara : Esok cuti hujung minggu bermula. Kerja aku menimbun sudah di bawa pulang ke rumah. Misi untuk menyelesaikan kerja sekolah bermula.


Thursday, January 14, 2010

"Mana Ada Perempuan Biasa Pakai Kasut Saiz Lebih Dari Tujuh?"


Dua hari yang memenatkan.
Dua hari yang menggembirakan.
Walaupun tidak menjadi juara keseluruhan seperti tahun lepas, syukur, ada di antara peserta dari sekolah aku yang berjaya ke peringkat negeri.
Adakah aku akan dipilih mengiringi mereka?
Entah.
Diam.

Entah sejak bila hati jadi semakin kering.
Petang tadi lihat ada manusia yang tinggalkan pesanan di penulisan INI.
Kelakar.
Walaupun sakit agaknya, tetapi badan yang penat membuatkan aku melupakan segalanya.
Senyum.



Ya.
Ini muka pengadil atau dipanggil sebagai pendamai (baca : arbiter) dalam perlawanan catur selama dua hari.
Biarkan dia tersenyum.
Biarkan dia mahu mengukir senyuman bahagia.
Biarkan hati yang pernah dicalar tidak akan robek dengan kata nista.
Ini bukan kali pertama.

Dia masih mahu kekal begini.
Kekalkan segarit senyuman dalam hati.
Walaupun mungkin hati itu telah mati.
Sepi bukan jawapan pasti.
Hati.
Bahagia dan damai yang dicari sudah ditemui.

Dalam segumpal darah bernama hati.
Hati kepunyaan tuan punya diri.
Ya, sendiri.

Esok hari Jumaat.
Mahu kembali ke sekolah.
Bersama mereka yang lebih mengerti kehidupan peribadi aku.
Yang bekerja sebagai guru.
Tidak perlu bingkisan hina dalam status terkini Mukabuku kamu.
Sebab kamu adalah mereka yang berhati berbulu.

Zara : Keadaan kaki yang kejang bukan petanda penyakit gila. Ini akibat memakai kasut tumit tinggi secara berpanjangan selama dua hari. Esok mahu insaf sebentar. Pakai yang satu setengah inci sahaja. Tiga inci sila berehat dahulu.