Friday, April 30, 2010

Kekasih Perlu Ke Sentiasa Memuji Pasangannya Cantik Dan Bergaya? - Dari Hati Teman Wanita


Salam sejahtera semua.
Apa khabar kalian semua?
Ada yang kata ada unsur lucah, aku pun terfikir di mana.
Pelik pula.
Abaikan.

Petang tadi ada seorang teman yang menghubungi aku. Sudah lama tidak berbual dan tidak bersua muka. Terima kasih kerana sudi untuk berbual dengan aku ini. Adakah kamu tahu yang aku sedang kesepian mengira entah sudah berapa hari bateri telefon genggam tidak perlu dicas akibat bilangan pesanan ringkas atau telefon yang masuk boleh dikira? Ketawa.

Teman : Apa khabar Shafaza?

Aku : Baik sahaja. Kau?

Teman : Fizikal baik, emosi kurang.

Aku : Kenapa?

Teman : Aku tak mengerti kenapa teman lelaki aku begini.

Aku : Kenapa dengan teman lelaki kau? Baik sahaja aku tengok.

Teman : Dia tak pernah cakap aku cantik ke, comel ke, langsung tak pernah. Kalau ada pun, masa mula-mula kami kenal dahulu.

Aku : Mungkin dia bukan jenis meluahkan dengan kata-kata.

Teman : Tapi bila nampak perempuan lain, boleh sahaja dia cakap cantik, seksi segala.

Aku : Itu tanda dia masih normal, apa salahnya.

Teman : Habis tu, dengan aku tak normal?

Aku : Kalau dengan kau tak normal, apa guna dia bercinta dengan kau?

Teman : Mari aku tanya kau semula. Teman lelaki kau ada kata kau cantik?

Aku : (diam sambil mengukir senyuman)

Teman : Tiada atau ada?

Aku : Dia meluahkan dengan cara lain. Pada aku, tidak penting ucapan cantik atau bergaya itu.

Teman : Kenapa?

Aku : Sebab kecantikan akan pudar, bergaya itu akan hilang. Benda yang tidak akan kekal.

Teman : Jadi, kau boleh terima kalau teman lelaki kau tidak puji kau cantik?

Aku : Kalau dia menerima aku seadanya, itu sudah lebih dari mencukupi. Dan aku jujurnya merasakan dia lebih cantik dari aku. *ketawa*

Teman : Pasti dia pernah puji kau cantik walaupun sekali. Nak kata aku tak cantik, ada juga rupa. Nak kata tidak bergaya, aku johan di dalam kelas dan fakulti. Apa masalah dia?

Aku : Kalau begitu, adakah kau mahu berpisah dengan dia?

Teman : Kenapa pula?

Aku : Hanya sebab dia tidak memuji kau cantik, tidak bermakna dia tidak cintakan kau. Aku dapat rasakan yang kau sudah cukup cantik di hati dia, kalau tidak, masakan boleh bertahan begini lama cinta kalian.

Teman : Tapi, kan indah kalau dia memuji walaupun sekali sekali.

Aku : Kalau dia mula memuji, aku takut kau akan hilang diri.

*******

http://www.designink.us/images/BeautyPoster.png

Aku sejujurnya mengerti kerisauan teman itu walaupun aku berada di tengah-tengah dalam memberikan pendapat. Kecantikan dan gaya itu penting, tetapi mungkin ia tidak perlu diluahkan selalu. Kalau Empunya Marga tidak menyatakan aku kelihatan cantik sekalipun, aku tidak berkira. Malahan, dia lebih cantik daripada aku dari pelbagai aspek tentunya. Lagipun, kalau asyik memuji cantik, sesiapa pun akan berasa mual atau bosan agaknya. Pasti mahu dengar sesuatu yang lain.

Pernah aku menyatakan hal berkaitan pada seorang teman baik pada aku.

Dia : Kamu comel.
Aku : Tidak, kamu lebih comel. Aku mana ada comel.
Dia : Wajah yang comel tidak penting, akhlak yang comel itu lebih baik.
Aku : Mudah-mudahan.
Dia : Sentiasa berdoa pada Allah agar wajah dan akhlak seiring kecantikannya.

Memuji sekali sekala itu perlu juga. Bukan apa, dengan tujuan menggembirakan hati si dia. Tidak kira lelaki atau perempuan, masing-masing mendambakan yang terbaik diucapkan oleh mereka yang disayang dan dicintai khususnya. Tetapi, janganlah menjadikan alasan untuk memulakan persengketaan kalau si dia tidak pernah memuji kamu, kerana ingat semula, apa tujuan kamu bersama. Kalau hanya disebabkan paras rupa, ianya akan pudar ditelan usia. Moga-moga ianya kerana tujuan yang mulia wahai sidang pembaca yang dikasihi sekalian.

Ah, aku tidak selayaknya mengupas perkara sebegini. Aku cuma insan yang bersyukur atas kurniaan yang diberikan oleh Allah kepada aku. Alhamdulillah, aku masih mempunyai sifat yang sempurna. Disebabkan itu, aku ketawa bila ada orang yang mengirimkan aku soalan begini di Borang Spring.

"Zara, macam mana kamu boleh hidup dengan wajah hodoh sebegitu?"

Aku memilih untuk simpan dulu soalan itu. Biarlah tidak berjawab kerana aku belum puas ketawa melihat ada lagi makhluk yang sanggup menghina kejadian Allah. Silakan, aku dengan rela hati ketawa mengenangkan betapa lawak yang tercipta oleh manusia yang bertanya.

Ia mengingatkan aku pada kata-kata seorang kawan minggu lepas. Katanya, kalau kita menerima pasangan kita seadanya dia, kalau ditakdirkan hidup bersama, pasti kita tidak akan terkejut kalau bangun tidur rambutnya mengerbang bak sarang tebuan.

Nota Kaki :
1. Orang yang menggelarkan aku manusia purba, terima kasih. Alangkah baiknya kalau kamu boleh letakkan nama di titipan komen kamu kan?
2. Usai menjalankan tanggungjawab sosial aku pada seseorang yang aku gelar ibu pertiwi.
3. Belum punya nafsu untuk menggarap tulisan baru.
4. Rindu mahu menikmati air soya sejuk. Ah, nikmatnya.
5. Mahu renung langit malam sambil mendendangkan lagu 'Nadiku' seorang diri.

Zara : Cinta bukan mengajar kita lemah tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat tetapi membangkitkan jiwa raga. (Seorang teman menitipkan aku ini, dengan harapan aku bangkit memandang jauh ke hadapan menyelusuri pawana kesayangan diri).

Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian. [Halaman Peminat] [Kumpulan Pembaca] [Bab 01] [Bab 02] [Bab 03] [Bab 04] [Bab 05] [Bab 06] [Bab 07] [Bab 08] [Bab 09] [Bab 10] [Bab 11] [Bab 12] [Bab 13] [Bab 14] [Bab 15] [Bab 16]

Jambangan Bunga, Rangkulan Erat Akibat Jiwa Terlalu Kontang. Kucupan Lembut Sebagai Pengakhiran?


“Aduh, sakitnya”

    “Maaf saudari. Saya tidak sengaja”

Alisia menggosok kepalanya yang terasa sengal dan bengal. Kepala diangkat dan wajah pertama yang dilihat adalah Hizami Helmi. Mencerlung mata dan darah merah menyerbu ke wajah. Ah, dalam banyak-banyak manusia di kolej mengapa lelaki itu? Kepala ditundukkan dan hati mengomel dalam diam.
   
“Cik adik, awak bukan langgar saya, tapi kawan saya ni.”
    
Alisia mengangkat muka mendengar kata-kata yang dituturkan oleh lelaki bermata sepet dihadapannya. Ada lelaki lain yang sedang tersengih sambil mengusap dada akibat perlanggaran kenyal sebentar tadi. Nasib baik gadis itu rendah, kalau tidak entah apa yang bakal terjadi.

http://www.texasprocessserving.com/love-picture-hug-couple-rain-orangeacid.jpg

“Perkara mudah sangat Liya. Tersangat mudah. Tidak mahu tanya khabar diri saya, wahai cikgu jelita?”

    “Nampak kamu boleh berdiri di situ, pasti kamu sihat bukan?”
    
Hizami Helmi ketawa sendiri. Betapa gadis itu amat pelik. Kekasaran yang ditinggalkan sudah kembali merajai atau disebabkan ada manusia yang lain di sisi? Dia tersenyum dan menghampiri gadis itu dengan tangan bersilang di belakang. Diri tepat di hadapan gadis itu. Mata bertentang dan bunyi nafas jelas kedengaran. Betapa alam amat kedekut untuk berkongsi bunyi-bunyian. Sepi.

Jambangan bunga dihulurkan kepada gadis itu. Alisia mengambil dengan serba salah dan belum sempat mengucapkan terima kasih, Hizami Helmi sudah merangkul erat tubuh Alisia. Kejap dan erat sambil memejamkan mata, bagai mahu menikmati suhu badan wanita yang kaku dihadapannya.
“Lepaskan saya Hizami.”

“Sekejap Liya. Berikan saya sedikit kasih sayang. Jiwa saya terlalu kontang. Hidup saya musnah tanpa sebab Liya. Saya hanya mahukan secebis cinta.”

Pautan Hizami Helmi di badan Alisia semakin kuat. Chia Hau yang duduk di tepi menyumpah sendiri dengan kelemahan diri. Amarah menguasai melihatkan Alisia meronta mahu melepaskan diri.

“Dushum!”

********

Salam petang semua pembaca.
Hari ini 30 April 2010 - Legasi Cinta Alisia Bab 16 sudah boleh dilayari pada jam 3.04 petang.
Teruskan membaca buat kamu yang setia.

Si dia sudah pulang. Aku menarik nafas lega usai menerima kiriman pesanan ringkas dia. Betapa berjauhan amat memendam rasa yang semakin parah. Alhamdulillah, keyakinan yang aku tanam dalam diri mampu buat aku bertahan dalam melayari perlip kami yang terbina. Ukir senyuman setiap kali melihat paparan telefon genggam. Ada sesuatu yang siapa pun tidak akan dapat menjengah.

Nota kaki :
1. Esok hari pekerja maka semua orang cuti. Ah, lagipun memang hari Sabtu.
2. Terima kasih buat mereka yang meninggalkan nombor telefon pada aku. Kalau aku punya masa, insyaALLAH akan dibalas nanti.
3. Rasa bertuah kerana mempunyai mereka yang menyokong kuat di belakang tubuh yang pernah lemah dalam menangkis arus dunia.
4. Maaf buat yang menambah aku di YM. Aku sudah jarang di sana.

Zara : Manusia tidak jatuh di dalam cinta dan juga tidak keluar daripada cinta. Tetapi manusia tumbuh dan membesar bersama cinta. Aku juga tidak terlepas daripada itu semua kerana aku masih seorang manusia biasa. Jangan kau hakimi aku dengan hanya melihat wajah.

Thursday, April 29, 2010

Langit Percikan Warna Jiwa : Adakah Kau Memandang Langit Yang Sama Dengan Aku?


Langit Percikan Warna Jiwa



Langit itu masih tetap sama seperti kali pertama kau ku kenali.
Langit itu tetap dengan warna berseri.
Masih tulus tatkala aku mula berani percikan warna.

Empunya Marga.
Langit masih tulus dan ikhlas merenung kembali sambil aku lukis nama kau guna jemari.
Dongeng yang dibaca menerjah minda, menari indah.
Seumpama mawar putih sudah bertukar merah.
Perlip kau menyuntik rasa bahagia.

Kenangan beku masa aku selak satu persatu.
Kau punya tempat yang cukup istimewa.
Selagi aku punya daya mendongak ke arah langit, akan ku ukir wajahmu.

Hening pagi, matahari mencuri menyelinap masuk di celahan awan.
Renung ke luar dan terbias wajah kesayangan aku.
Milik empunya yang mesra.

Menatap langit sendirian.
Kelam malam membungkus segala perasaan.
Senyap dalam dakapan.
Tertaut dek ciuman.
Kening kanan menerima kucupan.

Langit masih ikhlas.
Langit masih rupawan.
Kaki langit masih jauh untuk aku lari ke hadapan.
Busana jiwa kau pakaikan penuh hemah.
Bisikan cinta perlahan penuh lembut menyejukkan hati pilu.
Kekuatan kau salurkan hanya dengan sebaris perkataan.

Cinta tidak berupa menatap satu sama lain,tetapi memandang ke luar langit arah yang sama.
Kalau aku renung langit itu,adakah kau juga begitu?

Shafaza Zara Syed Yusof
Ranjang Merah Teratak Keluarga
8.30 malam 29 April 2010

********

Salam malam semua. 
Maaf, aku menulis puisi lagi.
Ah, entah layak digelar puisi atau tidak.
Yang penting, ia luahan rasa tinta yang membuak mengingatkan manusia penghuni jiwa.
Maaf kalau ada yang tidak menyukainya. 
Bisa sahaja keluar meninggalkan dunia aku yang penuh warna.

Nota kaki :
1. Gambar itu aku ambil tatkala dalam perjalanan ke Segamat semalam. Hati dipenuhi dengan wajah yang dirindui hingga aku tidak mampu dan enggan menidakkan rasa ini.
2. Oh, lagu di blog sudah ditukar kepada lagu kegemaran waktu ini.
3. Rasa mahu menyalurkan manisan merah jambu buat nakama selaju mungkin demi lihat dia senyum semula.

Zara : Sedang berusaha menyiapkan Legasi Cinta Alisia Bab 16. Maaf atas segala kelewatan. Diri aku dihimpit kesibukan yang amat hingga menjadi begitu kuat.

Kalau Saya Seorang Cikgu Zara, Saya Akan Pakai Tudung Macam Yuna Dan Senyum Sentiasa.


Salam semua.
Apa khabar kalian hari ini?
Baik sahaja harapnya.
Dan aku dalam keadaan rengsa mencari makna yang sepatutnya.
Nanar aku dihimpit dengan rasa yang memakan diri.
Diam dan ukir senyuman sepi.
Aku punya kegemaran yang aku bajai sesungguhnya.
Curah senyuman walaupun hakikatnya aku bernafas dengan amat payah.



Tadi aku lihat seorang pelajar sedang menulis sesuatu. Aku jengah dan dia tersenyum sahaja. Pelajar dari kelas lemah yang sedang mengarang karangan bercerita. Ada gambar sebatang pensel berwarna dan dia mengarang ayat dengan perlahan.

Aku : Awak buat karangan apa?
Dia : Karangan tentang pensel, macam mana nak bayangkan.
Aku : Oh, apa yang awak bayangkan?
Dia : Macam-macam. Warna dia semua.
Aku : Oh, bagusnya. 
Dia : Terima kasih cikgu.
Aku : Itu kalau karangan sebatang pensel, kalau karangan saya seorang Cikgu Zara?
Dia : Saya akan tulis pakai tudung macam Yuna dan senyum sentiasa.
Aku : Eh, ye ke?
Dia : Cikgu sentiasa tersenyum pada kami semua.

Terharu yang amat sangat aku dengan apa yang dituturkan oleh anak itu. Ah, begitu sekali dia memandang aku ini. Aku mengerti kini walaupun aku terpaksa hadam segala kesakitan sendiri, aku masih berpijak di atas Bumi. Kesakitan dalaman aku adalah ubat kepada mereka di luar sana. Alhamdulillah.

*******

Ningsu Empunya Marga.

Luahan rasa itu hanya untuk dia yang menghuni takhta sebuah istana. Bukan untuk kamu yang tidak mengerti untuk mencerca dengan sepenuh rasa. Ketahuilah, aku dan dia menyimpan rasa dengan pelbagai dugaan bukan untuk tontonan. Di atas pentas dunia ini, kami beraksi dengan senyuman agar warna kehidupan kami terpancar dengan kasih sayang yang bukan mainan.

Nota kaki:
1. Sedang merindui wajah kesayangan. Dia sering menukar penampilan dan aku juga menukar gambar paparan dia di telefon genggam dengan pantas walaupun jujur ada satu gambar sudah aku cetak kelmarin.
2. Menggigit tangkai hati yang mahukan sesuatu dengan tamak dan hakiki.
3. Menulis sesuatu di kanva marga dengan harapan ini bukan pengakhiran sebuah rasa.
4. Mengajar kelas tambahan Sejarah Tingkatan Tiga petang ini.

Zara : Rakaman suara ningsun aku dendangkan agar diri mampu melangkah pergi menunaikan tanggungjawab yang diberi. Ningsun empunya marga, bangkitlah demi kasih & perlip yang kita mahu jadikan singgahsana. Sentakan kepala dan tautan bibir pasti akan terpahat bila waktu dalam direlung dengan alunan madah pujangga hentakan walimah.

Wednesday, April 28, 2010

Ningsun Empunya Marga : Terima Kasih Atas Perlip Yang Kau Berikan Pada Aku.


Ningsun Empunya Marga
(buat dia, semoga dia mengerti)



Ningsun, mana perlip kita?
Aku tebarkan pemandangan serata alam buana.
Melata.

Ningsun, bahang malam membaluti marga.
Ingatan melayang mendengar mitos maulhayat dahulukala.
Sepi menyelubungi hingga tiada alunan kalam hinggap di telinga.
Atau entah gegendang sudah dipenuhi gema.
Rakaman suara seorang ningsun yang sentiasa lekat di hati.

Ningsun, aku hirup satu persatu perlip kita.
Ikat dan simpan kejap dalam rantaian salur nadi, sembunyi dalam dada.
Kesumat manusia aku buang hingga tiada cela.
Kerana perlip kau terlalu indah dan bikin aku bahagia.

Rimbunan kalam menanti hadirnya ningsun tercinta.
Tidak, bukan untuk aku paparkan buat tatapan semua.
Ini untuk pentas sebuah realiti kehidupan dunia.
Dunia yang diwarnai dengan kasih dan cinta.

Shafaza Zara Syed Yusof
28 April 2010 10.00 malam
Ranjang merah teratak keluarga dalam keadaan tubuh tidak bermaya

*******

Lontaran rasa yang cukup pendek buat insan teristimewa. Mungkin ada yang mengeluh mengapa akhir-akhir ini penulisan aku lebih condong ke arah puisi yang langsung tidak kena dengan perwatakan aku yang kelihatan kasar dan bersahaja. Melalui kawasan bendang setiap hari, aku rasakan otak aku sudah tepu dengan warna hijau dunia.

Nota kaki :
1. Cuba bereksperimentasi dengan diri.
2. Puisi ini buat seseorang yang kalau boleh aku mahu dia baca.
3. Air mata kepenatan sudah mengalir dari mata sebelah kiri.
4. Aku perlu berehat sebentar.

Zara : Terasa  mahu memeluk seseorang saat ini. Ada sesiapa yang sudi?

Ben Ashaari : Lelaki Yang Bertanggungjawab Atas Limpahan Lampu Argon Penggiat Seni Dunia Sendiri


Salam semua.
Apa khabar kalian semua?
Moga dalam keadaan sihat sejahtera.
Senyum mesra.

Hari ini mahu menulis sesuatu tentang Ben Ashaari. Pasti sesiapa yang berkecimpung di dalam penulisan blog mengenali lelaki yang terkenal dengan kata-kata : Jangan Bagi Aku Membebel. Ben dengan usaha yang sangat baik membuat penjelahan blog aku yang biasa-biasa sahaja ini.

Bagaimana aku boleh mengetahui tentang Ben Ashaari - pasti sama dengan kebanyakan orang yang mengenali dia iaitu dari GengBlogger. Ya, sesuatu yang sangat istimewa disediakan oleh pelantar penulisan blog bagi mereka-mereka yang menulis. Bermula dari situ, aku juga pernah menyertai satu pertandingan yang dianjurkan oleh Ben iaitu Top 100 Wanita. Siapa yang mahu menuduh aku gila untuk menjadi terkenal, anda silap kerana pertandingan yang dianjurkan oleh Ben tidak menilai paras rupa tetapi dari segi intelektual juga. 


(Ini poster yang dibuat oleh Emora semasa aku menyertai pertandingan itu)

Semalam, aku menyedari pesanan serta pautan ditinggalkan oleh Ben di Mukabuku aku. Sangat terharu dengan kesudiaan beliau untuk menulis mengenai aku yang menyebabkan limpahan pengunjung datang ke blog aku. Alhamdulillah, terima kasih Ben atas kunjungan dalam siri jelajah blog sahabat FB. Ben menulis mengenai aku di blog dia dengan tajuk Jelajah Blog Sahabat FB : Dunia Sebelah Zara. Terima kasih sekali lagi Ben. Aku bertemu antara teman baik dari siri pertandingan yang dianjurkan oleh beliau juga. Ben, bila nak letak blog Zara dalam senarai blog kamu? *perasan Zara*

*******

Penjelajahan Persahabatan Benua Merentas Dunia

Senyuman mesra.
Langkah diteruskan, tautan persahabatan terbina.
Laluan dilungsuri semakin bermakna.
Tidak, ia bukan kerana nama.
Ia bukan kerana niat mahu mendabik dada.
Semuanya disandarkan atas tujuan mulia.
Persahabatan yang terjalin walaupun tidak pernah bertemu muka.

Pujian dihulurkan dengan ikhlas dan penuh makna.
Bukan untuk mengangkat tetapi sebagai tanda.
Ukhuwah dibina dan disuburkan dengan kasih sastera.
Dunia penulisan bersulam seribu satu rasa.
Terima kasih pada lelaki berbadan sasa.
Awas, dia sudah berumah tangga.
Ben Ashaari, jelajah kamu membuat hari Zara ceria!

Shafaza Zara Syed
Bilik Guru Berlangsir Hijau Kuning
28 April 2010 10.10 pagi.

Penulisan ringkas aku sebagai tanda penghargaan atas apa yang telah dilakukan. Membawa seribu keceriaan tatkala semalam aku meraikan hari yang bahagia. Senyum itu penawar duka dan pemberi semangat yang paling berharga.

Nota kaki :
1. Petang ini bakal menyertai pertandingan boling antara guru. Sesiapa yang kebetulan berada di Segamat, kalau bertemu, tegurlah aku ya?
2. Legasi Cinta Alisia Bab 16 belum dimulakan proses penulisan akibat aku sibuk membaca untuk menghadiri temuduga pengesahan jawatan minggu hadapan.
3. Buat adik-adik serta rakan-rakan yang dikasihi, maaf, aku tidak dapat memenuhi permintaan kalian untuk kembali menggantung kad pelajar sarjana dalam masa terdekat. Aku punya tugas yang lebih utama di sini, insyaALLAH, bila segalanya selesai, aku akan korbankan keseronokkan dan kembali beraksi.
4. Sokongan dari mereka yang memahami, aku dapat curahkan terima kasih yang tidak terperi.

Zara : Buang senyuman palsu pada wajah. Ukir senyuman bahagia tatkala lihat sebaris kata. Suara gemersik itu bergema dalam hati, berdetap dalam jiwa. Kalau kamu rasa manisan warna warni itu dan teringatkan aku, ketahuilah aku mengira detik waktu untuk bertemu.

Cinta Manisan Warna Warni - Terkadang Pahit, Manis Tetapi Tetap Dihadam Bersama.


Cinta Manisan Warna Warni
(Dedikasi buat Jiwa yang dirindui)

http://farm5.static.flickr.com/4048/4451617247_79771a4aa5.jpg
[Gambar dari Flickr seorang teman berbakat dari Moscow]

Lena dibuai mimpi
Perjalanan mengembara satu dimensi yang tidak bertepi.
Tapi aku tahu kau bernaung dalam rimbunan diri.
Tersimpan rapi dalam kamar hati.

Bisikan kasih sayang menjadi suntikan yang paling ampuh.
Kau tidak memanjakan seperti yang ku mimpikan.
Kerana kau punya cara tersendiri untuk meluahkan.
Dan ia lebih hebat dari apa yang menjadi impian.
Kau wajah kesayangan.

Cinta ibarat manisan berwarna warni.
Pelbagai percikan meliputi laluan yang dipilih.
Kita senyum dan gunakan semuanya mewarnai kanvas indah.
Hiasi megah sebuah takhta.
Untuk diduduki bersama.
Susun atur taman bahagia.

Manis.
Kita telan satu persatu.
Perlahan sambil renung masa depan bersama.
Jiwa bertaut, cinta bersatu.
Tangan belum mampu mampu menggapai.
Namun kasih subur dan semakin utuh.

Pahit.
Kita mamah sendirian.
Kongsi segala kepahitan sambil sadur rasa manis dalam minda.
Yakin pahit itu ubat kepada manis.
Percaya kepahitan pasti akan sirna.
Dugaan itu warna simpang kiri empayar kita.
Pahit itu kita telan.
Wajah ukir senyuman.

Bisikan lembut.
Aku cinta kau.
Kekang tubir mata dari mengalirkan air mata.
Tidak, bukan sebab kesedihan.
Terharu dalam doa yang dititip buat Tuhan.
Perasaan ini bukan satu seksa.
Ini kiriman bahagia dari Yang Maha Esa.
Dan aku bertuah memiliki engkau Jiwa.

Pahit, manis itu kita yang rasa.
Warkah aku titipkan pada bayu.
Moga ditiupkan ke dalam dada.
Seorang insan yang aku gelar Jiwa.

Doa buat sang pencinta.
Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Sayang, mahu hadam manisan lagi?

Shafaza Zara Syed
Ranjang merah Teratak Keluarga.
28 April 2010 5.30 pagi

*******
Coretan hati yang entah boleh dianggap puisi atau apa. Sebagai satu ekspresi diri dalam meladeni kehidupan yang semakin dewasa. Bangun pagi tadi ternampak sesuatu yang sungguh mengusik hati dan lahirlah coretan ini. Buat yang tidak menyukai, maaf aku hulurkan buat semua. Buat yang menyenangi, ini sahaja titipan rasa seorang insan buat dia yang istimewa. Jangan ditebak siapa dia kerana dia tetap rahsia kejap lipatan rasa.

Nota kaki :
1. Aku mungkin tidak pandai mengatur kata dalam memberikan yang terbaik buat dia.
2. Petang ini bakal menghadiri pertandingan boling dan aku berdoa moga aku punya tenaga.
3. Kirim rindu dan cinta buat dia dalam setiap doa yang aku panjatkan buat Yang Maha Esa.
4. Tidak lupa juga buat kalian, teman-teman yang sentiasa bersama.

Zara : Keindahan yang Allah pinjamkan buat aku adalah anugerah terbaik untuk aku terus kehadapan dan maju dalam mencerna hidup sebagai seorang insan. Mengerti yang amat bahawa tidak semua orang bakal menyukai kita. Tidak mengapa, aku berdoa biar sebahagian yang kecil itu bakal menemui bahagia yang mereka cipta dalam mencerca.

Tuesday, April 27, 2010

Blog Wanita Lebih Suka Diserang Berbanding Blog Lelaki. Mengapa Agaknya Ya?


Salam semua.
Sebelum aku mahu mengatur bicara, aku minta maaf disebabkan aku terpaksa meletakkan penapisan di ruangan komen. Tidak pernah aku buat begitu walaupun telah menulis blog secara rasmi kira-kira dua tahun. Ini kali pertama dan aku sejujurnya sudah malas melayan manusia tanpa nama yang punya terlampau banyak masa hingga boleh mencerca sana sini. pandangan peribadi aku selitkan di sini sebagai meluahkan apa yang aku lalui.

Persoalan di atas kerap bermain di fikiran aku sebelum ini.
Walaupun aku ketawa dengan sikap mereka-mereka yang menyerang sesuka hati seperti membuang najis di mana sahaja disukai, ada juga terselit rasa kasihan bila mengenangkan betapa mereka punya waktu untuk menelaah setiap inci blog aku semata-mata untuk menghentam kembali. Pelik bila lihat ada manusia yang begitu lapang harinya.

Aku punya ramai teman yang menulis blog.
Terlampau ramai yang aku kenali sejak aku menjadikan ia sebagai satu terapi yang paling berkesan setakat ini. Aku punya kehidupan yang baik dan menyalurkan di tempat yang aku rasa aku mampu menjadi diri aku. Penulisan dan dunia sastera adalah makanan senggang aku dalam usia menginjak dewasa. Tidak mengapa apa jenisnya, aku gemar membaca. Rakan-rakan yang aku kenali kebanyakannya menulis secara suka-suka dan kalau mereka itu wanita, pasti ada sahaja coretan menghina dan selalunya tanpa nama dan pengenalan diri. Kalau lelaki, jarang sekali mahu mendengar dikutuk, dihina atau dimaki.

Serangan peribadi.
Menelusuri apa yang aku lalui sepanjang waktu ini, kebanyakkan hinaan adalah berbentuk serangan secara peribadi. Sebagai contoh, ada manusia-manusia tanpa nama (atau meletakkan nama palsu helah semata) menyerang aku - bukan tulisan aku, sampai aku tertanya-tanya, apa istimewanya aku ini hingga mahu dijadikan bahan dicerca? Gila tiada kerjakah anda? Dan manusia begini pasti akan kembali untuk melihat apa yang jadi pada najis yang dilepaskan.


Cara memakai tudung yang tidak cantik.
Cermin mata yang hodoh.
Pekerjaan yang hina dan membosankan.
Karya novel seperti sampah.
Penulisan mengarut dan merapu entah apa-apa.
Berbadan gemuk, gempal dan tidak menarik. 
Ada halaman peminat, apa fikir diri artis?
Wajah yang hodoh dan tidak layak hidup sebagai seorang manusia.

Itu antara yang aku biasa terima di ruangan komen aku sebelum ini. Sungguh memang aku ketawa seorang diri bila mengenangkan betapa ada mata yang memerhati setiap apa yang aku lakukan dan entah bagaimana menyimpan perasaan yang bukan-bukan lalu meluahkan sedemikian. Kalau aku seorang penulis hebat, mungkin kamu boleh lakukan sedemikian. Tetapi aku ini hanya manusia yang biasa-biasa sahaja. Hidup juga terlampau biasa hingga aku tidak mengerti kenapa ada orang yang punya perasaan begini.

Pembinaan Jati Diri.
Aku menganggap apa yang dilalui adalah asam garam kehidupan di dalam dunia yang penuh cabaran. Sudah biasa dihentam oleh manusia yang tidak dikenali, aku semakin tabah berhadapan dengan realiti. Sukar tetapi inilah harga yang perlu dibayar bila aku menjadi diri sendiri dalam cubaan mengekspresi diri. Kekuatan dalaman yang disalurkan secara tidak sengaja mengajar aku manusia ini ada pelbagai kegilaan mereka. Sungguh!

Lelaki Atau Wanita?
Walaupun menggunakan kata ganti Tanpa Nama (Anonymous) atau entah apa-apa nama tanpa pengenalan diri (baca : ID), dari gaya penyampaian penulisan, sudah dapat mengagak jantina yang membuang tahi. Kebanyakkan bercorak penulisan wanita yang secara faktanya bakal mengeluarkan dua puluh ribu patah perkataan sehari. Maka, blog aku mungkin tempat meluahkan beberapa isi hati yang tidak terluah kepada suami, teman lelaki atau entah siapa lagi. Aku sendiri seorang guru, memerhatikan pelajar setiap hari, buat aku lebih mengerti tentang gaya manusia dalam menzahirkan apa yang terbuku di hai.

Kalam Akhir.
Mengalah tidak akan sekali. Cuma aku sudah malas untuk membuang waktu melayan titipan pesanan yang lebih banyak berulaskan urat lidahnya iblis dan berseliratnya jalinan syaitan pada manusia yang tidak layak digelar insan. Karya tulisan bersahaja aku bukan tempat kamu bikin onar melata. Tidak, bukan hak kamu. Kalau kamu benci dengan apa yang aku coretkan, sila keluar dari sini. Aku tidak mengundang musuh tetapi mengalu-alukan kawan untuk mengikat persahabatan.

Nota kaki :
1. Sangat berterima kasih kepada Ben Ashaari yang menulis mengenai blog aku di sini. InsyaALLAH, Zara akan membalas semula usaha beliau membuat kempen jelajah blog sahabat. Pasti akan dibuat.
2. Mengajar diri untuk kembali berhati kering seperti dulu nampaknya bukan mudah.
3. Doa kalian terhadap apa yang dilalui amatlah dihargai.
4. Sepanjang berpergian minggu hadapan, mungkin akan mengadakan sedikit ruangan khas menguji kesayangan.

Zara : Siapa sahaja watak yang kita lakonkan di dunia, pasti ada simpanan ruangan menjadi diri sendiri yang tidak dapat ditunjukkan kepada semua. Maka jangan hina aku serta kerjaya yang aku sanjungi sepenuh jiwa. Ya, aku guru, aku pendidik tetapi aku masih punya rasa.

Opocot, Mak Kau! Bila Buku Mula Terbang Di Dalam Kelas, Itu Petanda Kasut Mungkin Menyusul Nanti.


Salam semua.
Selamat hari Selasa.
Senyum mesra.

Kelas pagi menguji kesabaran sedikit.
Walaupun hakikatnya kesejukkan itu sudah mengatasi rasa sakit.
Musnah sahaja harapan berbukit.

Kelas Sains Tingkatan Empat yang membahagiakan.
Dipenuhi lelaki dan hanya seorang perempuan.
Toleh ke kanan, di kiri bermain.
Toleh ke kiri, yang kanan bergurau senda.
Yang tengah macam-macam acara.
Senyum sahaja.
Simpan rasa marah.


[Gambar asal di sini]

Aku sedang menerangkan proses yang berkaitan dengan jirim sambil menunjukkan model. Boleh pula ada yang duduk termenung menghadap padang melihat pelajar perempuan Tingkatan Dua sedang bermain bola jaring. Berbual-bual dan langsung tidak memberikan perhatian. Aku pandang sambil angkat kening tanda amaran, yang nampak, terus ambil tindakan, pandang semula ke hadapan. Yang sedang asyik, aku tahankan dulu perasaan. Aku teruskan penerangan sambil contoh diberikan. Masih yang hujung hadapan merenung luar sambil tersengih-sengih kegatalan.

"Opocot, mak kau!"

Buku nota peribadi Sains aku sudah mendarat tepat di badan dia. Dari depan dan terus menuju ke arah dia. Aku pandang muka pelajar yang sedang tersengih bila rakan sekelas mentertawakan dia. Berjalan menuju ke arah dia sambil tarik wajah geram dan marah.

Aku : Awak pandang siapa di luar?
Pelajar S : Tiada sesiapa cikgu.
Pelajar H : Makwe dia kat luar.
Aku : Kalau awak nak sangat duduk luar, saya boleh hantarkan.
Pelajar S : Tak nak cikgu.
Aku : Kalau tak nak kena buat apa?
Pelajar S : Tengok cikgu.

Memang setiap kali pulang dari sekolah selepas mengajar kelas ini, aku akan memeriksa tekanan darah. Jangan tanya aku apa keputusannya. Tetapi jujurnya, aku sukakan kelas ini. Walaupun nakal, masih ada yang mahu mendengar kata. Masih menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Malah, boleh aku katakan yang bangga mengajar kelas ini. Cuma acapkali, ada sahaja perbuatan mereka yang boleh menimbulkan rengsa dalam jiwa. Aduhai.

Nota kaki :
1. Esok ada perlawanan boling antara guru selepas waktu persekolahan.
2. Surat untuk menghadiri kursus selama tiga hari di Mersing minggu depan sudah diterima.
3. Temuduga pengesahan jawatan minggu hadapan dan aku sedang bergelut membaca nota-nota berkaitan.
4. Teman Moscow mengajukan satu soalan nakal malam tadi, dan aku berpura-pura naif tidak tahu apa yang ditanya. Ya, sila berikan saya peluang untuk pura-pura naif ya?

Zara : Masih dibelenggu kecederaan tetapi hati tidak lagi rawan atau walang. Menjalani kehidupan yang membahagiakan saat ini kerana hati telah belajar cara-cara untuk mengikhlaskan diri walaupun ianya sesuatu yang kelihatan agak mustahil pada harfiah diri. Cubaan pertama berjaya semalam, dan aku mahu terus menguatkan diri.

Nikmati karya pertama Shafaza Zara Syed di Aksara Keraian. [Halaman Peminat] [Kumpulan Pembaca] [Bab 01] [Bab 02] [Bab 03] [Bab 04] [Bab 05] [Bab 06] [Bab 07] [Bab 08] [Bab 09] [Bab 10] [Bab 11] [Bab 12] [Bab 13] [Bab 14] [Bab 15]

Safwan Husaini - Insomia Yang Bisu : Mawar Merah Gunung Ledang Menebar Kelopak Ke Serambi Mekah


Catatan buat seorang teman seperjuangan.
Karya kita adalah nafas yang sama di bawah Aksara Keraian.
Maka, ini khas buat kamu teman.
Suatu perutusan.


Selamat Ulang Tahun Ke-19 Safwan Husaini.
Terima kasih kepada Chef Zach Max dari MadAboutCake.

Utusan Buat Manusia Husaini.

Rama-rama terbang hinggap di sudut matamu.
Aku tahu kamu seorang yang ceria.
Kurniaan Yang Maha Esa sudah sempurna buat kamu.
Nah, hati terpaku.
Membisu.
Senyum.

Sayang.
Aku lama memerhati.
Adakah tarikh itu dapat aku datangi?
Adakah aku mampu bersemuka dengan takdir diri?
Ah, kebetulan ia jatuh pada saat kamu dilahirkan.
Adakah cinta yang tersulam tercatat bila kamu menjerit nangis keluar dari perut bonda?
Senyum.
Simpul.
Pegang rama-rama.
Jingga.
Jam berdentang dua belas kali.
Telefon genggam bergetar tanda peringatan diri.
Tapi aku tidak peduli.
Sebab aku sudah sedia menanti.

Selamat ulang tahun sayang.
Kita masih punya ruang.
Untuk meneruskan karya di medan juang.
Menulis bukan laparkan perhatian tetapi itu jiwa yang membahang.
Kita dahagakan seni bukan untuk semata-mata jadi manusia terbilang.

Ros merah tiga kuntum jadi saksi.
Gunung Ledang tersergam megah mengintai manusia di serambi.
Ada senyuman terukir di wajah kini.
Biar pun payah, aku mahu kamu senyum dan tabiri bibir dengan gigi.
Nampakkan gusi.

Kegelapan malam meliputi alam.
Mengira pantas bilangan bintang.
Kurang satu cukup sembilan belas.
Boleh aku tambahkan bulan untuk digenapkan?
Senyum sayang.

Bila tarikh itu datang sayang, aku pasti tiada disisi.
Tapi aku mahu kamu tahu, doa aku sentiasa buat kamu.
Kasih ini akan subur mewangi.
Aku tahu mungkin ada hati yang mati.
Mungkin ada sumpahan yang mengiringi, tetapi aku tetap sayangkan kamu.
Sumpah, sepenuh hati.
Oh, tarikh itu telah datang.

Aku panjatkan doa yang terbaik buat kamu di hari bahagia.
Baca dalam hati.
Senyap.
Sepi.
Biar aku simpan sendiri.
Merenung ke dalam diri.
Pasti.
Tabahkan diri.
Kuatkan semangat.
Kekuatan kamu tunjang kepada manusia di sekeliling kamu.
Senyuman kamu bisa buat sesiapa bangkit kembali.

Hembusan bayu sejuk meliputi diri.
Ulang tahun dan takwim mungkin silih berganti.
Doa aku moga kau akan kekal di sini

Rama-rama mahu terbang pergi.
Haruman mawar merah dari Gunung Ledang ke Serambi Mekah.

Shafaza Zara Syed Yusof
Teratak Keluarga Daerah Banjaran Gunung Ledang
27 April 2010 12.00 tengah malam

******

Buat teman penulis merangkap adik kesayangan, selamat ulang tahun buat kamu. Moga sentiasa dalam limpahan rahmat dan kasih sayang Yang Maha Esa. InsyaALLAH, segala sesuatu yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Jangan pernah mengalah kerana itu bukan sikap kamu yang sudah tertanam di dalam kamar jiwa setiap dari kami wahai adik yang dirindui.
Adik, cepat pulang!
Wajah kesayanga, mampir dekat dengan kami semula.


Nota Kaki :
1. Usai berbicara dan menyanyikan lagu ulang tahun buat dia.
2. Menunggu bingkisan penulisan yang seterusnya dari kamu.
3. Mahu mulakan proses garapan Legasi Cinta Alisia Bab 16 secepat mungkin.
4. Mahu terus senyum ceria.

Zara : Alhamdulillah atas kurniaan rezeki. Terima kasih kerana aku menemui sesuatu yang menggembirakan hati ini. Jalan yang diselusuri makin jelas ke mana hala tuju dan pengakhirannya. Karya sudah jadi makanan jiwa dalam menemui penyelesaian sesuatu masalah.

Monday, April 26, 2010

Kancah Politik Hizami Helmi Harith Stephen - Manifesto Berbau Tommy Hilfiger Kenangan Abadi.


“Sudah, mari pulang.”

“Memang mahu pulang. Kereta saya parkir di sana.”

“Takut Bonda marah kalau lewat pulang?”

“Itu sudah semestinya. Bukan awak tidak pernah jumpa dia.”

“Bonda awak, bonda saya juga”

Alisia mencerlungkan mata pada Danish Aryan sambil mencebikkan bibirnya. Danish hanya tertawa sambil terus menghala ke kawasan meletakkan kenderaan pelawat Hospital Sultanah Zahrah. Kenderaan sedang bertali arus keluar memandangkan waktu melawat sudah hampir tamat. Kebanyakan pulang dengan wajah sugul, mungkin mengenangkan anggota keluarga yang masih kurang sihat dan tidak bertenaga. Sudah terlampau biasa dengan pemandangan sebegitu hingga kadangkala dia sendiri tertanya-tanya apakah diri ini sudah kurang emosi.


[Legasi Cinta Alisia Bab 15]

Alisia menurunkan tingkap di sebelah kiri pemandu apabila lelaki itu menghampiri keretanya. Haruman Tommy Hilfiger menusuk di hidung gadis itu. Sudah petang begini masih tidak putus baunya? Sungguh ciri-ciri lelaki metroseksual cukup terserlah dalam diri lelaki itu. Senyuman terukir di wajah.
 
“Liya, baru habis temujanji?”

“Temujanji apa pula?”

“Sangat romantik. Temujanji di hospital.”

“Eh, sejak bila pula? Saya dapatkan rawatan dan melawat seorang teman tadi. Tiada istilah temujanji. Di hospital pula tu, alahai”

“Ah, manalah tahu kan? Liya, kamu masih ingat nama saya?”

“Sudah tentu. Saya tidak cepat hilang ingatan, Hizami Helmi”

“Ah, kamu seorang yang cergas. Tidak pernah memanggil nama saya dengan nama gelaran yang entah apa-apa.”

“Double H?”


********

Selamat membaca semua!

Hizami Helmi Harith Stephen adalah gabungan dua manusia yang aku kenali di dalam dunia tanpa sempadan ini. Hizami dan Helmi adalah teman yang sangat baik pada aku.Keduanya hampir mempunyai perwatakan yang sama serta gaya rambut menarik. Tentunya dari mereka berdua aku garap dan timbul watak lelaki bernama Hizami Helmi Harith Stephen ini.

Buat dua teman itu, kamu tahu siapa diri kamu dan betapa aku kagumi kalian berdua. Seorang jejaka yang bakal bergelar doktor dan seorang lagi adik yang bakal bergelar guru. Gabungan berdua menghasilkan seorang peguam. Ya, nantikan ketokohan politik Hizami Helmi dalam membentangkan manifesto dalam Bab 15 Legasi Cinta Alisia.

Nota kaki :
1. Berusaha untuk menyiapkan tugasan seperti yang diminta.
2. Menunggu seseorang menyempurnakan permintaan hati.
3. Ulang tahun insan istimewa bakal menjelang tatkala jam berdetik waktu Cinderella bertukar.
4. Rindukan tuan punya sarkas dan teman manisan merah jambu.

Zara : Terlewatkah kehadiran aku dalam merebut kepercayaan dalam sebuah persahabatan tatkala kau melaungkan aku seorang teman? Moga ada titik noktah dalam terus melayari hubungan ukhuwah dunia akhirat wahai sahabat.

Hatinya Adalah Rumah Terbaik - Inspirasi Menukar Ganti Sebuah Angka Bermakna Setahun Sekali


Salam semua.
Moga kalian punya Isnin yang gembira.
Aku masih seperti biasa.
Cuma tubuh dipenuhi dengan kesan cedera.
Alhamdulillah, aku masih kukuh bertahan dan ceria.

Doa kuat-kuat agar esok bawa bahagia.
Bisik pada telinga moga mentari kekal bercahaya.

http://farm4.static.flickr.com/3115/3157286140_b5d56281e3.jpg?v=0

Hatinya Adalah Rumah Terbaik.

Senyum.
Bibir tidak lekang dari senyuman.
Merah jambu dan berkilauan setiap kali dada berdegup melihat kepingan sepi.
Senyum lagi.
Toleh gambar lekat di dinding.
Bersatu keras walaupun tidak pernah bertemu.
Renung sambil doa tidak putus berbisik.
Tenggelam matahari ini, ada angka bersalin lagi.
Tidak, kita bukan mengira bilangan si peramal.
Kita menghitung usai saat bonda melahirkan.

Kalau dapat disentuh, pasti sangat lembut.
Kalau dapat diusap, pasti matahari sembunyikan diri.
Kalau dapat digapai, bulan menyorok di sebalik awan.
Kalau dapat bertemu, pasti gegak gempita alam.

Bisik di jiwa.
Aku untuk kau, kau untuk aku.
Bisik di hati.
Kau jaga diri, aku jaga diri.
Paparkan di mata.
Aku cinta kau, kau cinta aku.
Sematkan di minda.
InsyaALLAH berjaya, kerana Tuhan untuk manusia.

Damainya rasa.
Sejuknya jiwa.
Lautan rindu mengelilingi sebuah teratak bahagia.
Kerana kau simpan diri ini dalam sebuah rumah.
Rumah yang terbina dari segumpal darah merah bernama hati.
Kerana aku tahu, hatimu adalah rumah terbaik.

Sayang, aku mengira matahari tenggelam hari ini.
Aku menghitung datangnya tengah malam.

Shafaza Zara Syed Yusof
26 April 2010 - 10.10 pagi

Catatan ringkas yang entah boleh dikatakan puisi atau entah. Cuma luahan rasa hati tatkala aku mahu menulis terus apa yang tejadi dalam diri. Meja tempat aku bekerja menjanjikan tempat yang indah serta bahagia. Di sudut tepi aku lekatkan puisi hati, di sudut tepat pandangan mata aku bayangkan wajah pemilik jiwa.

Nota kaki:
1. InsyaALLAH kalian bisa membaca Legasi Cinta Alisia malam ini - 8.04 malam.
2. Kecederaan bertambah teruk dan terima kasih Dwen atas ucapan malam tadi.
3. Terima kasih buat 'Nombor peribadi' yang menelefon aku pagi tadi tatkala aku menyiapkan tugasan. Moga Allah merahmati kamu, walaupun entah siapa gerangan.
4. Senyuman hati kekal dalam usaha mengikhlaskan diri dalam menghadapi hari.

Zara : Semalam, aku mendengar pesanan yang dititipkan oleh seorang kawan yang baru dikenali. Banyak yang dipelajari dan kini aku mengerti, betapa sukar untuk mengawal diri. Senyuman mungkin pernah sirna sebentar, tapi hanya kita yang bisa merebutnya kembali.

Sunday, April 25, 2010

Sakit Tetapi Nikmat Dan Menggembirakan. Kaki, Tangan Serta Leher Dipenuhi Ciuman Dan Kucupan.


Salam Ahad semua.
Apa khabar semua yang aku sayangi sentiasa?
Moga dalam keadaan gembira.

Aku baru pulang dari Melaka.
Bermain bola cat (baca : paintball) yang telah bertukar menjadi bola kesakitan (baca : painball)
Ketawa.
Gembira walaupun agak cedera.

5 di kaki kanan.
2 di tangan kanan.
1 di tangan kiri.
1 di pipi kanan.
1 di leher (paling sakit!)


Ini kecederaan di lengan kanan.
(Yang sudah bertukar menjadi biru tatkala aku menulis ini)

Oh, memang sakit wahai pembaca.
Tapi entah kenapa terselit perasaan bahagia dan gembira.
Mungkinkah aku sudah melepaskan tekanan aku di situ dengan jayanya.
Dan aku sedang melengkapkan bab terbaru LCA.
Doakan aku berjaya ya?

Sandaran Hati Titanium Megah

Meneliti kepingan gambar kenangan beku masa.
Setiap ekspresi itu buat aku senyum gembira.
Senyuman itu membuat aku boleh keluar melihat dunia.
Takdir menemukan urat karya demi kesinambungan bangsa.
Luapan rasa bangga membuatkan tinta bernyawa.
Tidak, bukan untuk sesiapa.
Tapi untuk kita.
Untuk kepuasan jiwa.
Salutan titanium megah dioksidakan cinta.
Lautan direnangi kerana kita percaya.
Dugaan itu bakal mematangkan usia.
 Dan Allah tidak akan pernah meninggalkan hambaNya.

Entah mengapa aku menulis puisi lagi
Pendek sahaja, luahan rasa hati dalam menelusuri hidup ini.
Menerjah ke gunung bersulaman jiwa seni.
Aku tidak mahu kekal di sini.
Meneluku di serambi.
Santai dan senyum sendiri.

Nota kaki :
1. Kaki sudah cedera.
2. Menyiapkan tugasan sekolah.
3. Mendapat berita bakal berpergian lagi.
4. Dia sudah pulang - menerima pesanan ringkas sebentar tadi.

Zara : Kesakitan yang dialami memudarkan sedikit kesengsaraan batin yang dialami. Tidak, aku bahagia dan gembira dengan hidup aku, cuma batin sedikit meronta bila aku sudah payah untuk berkarya. Itu sahaja.