Sunday, March 27, 2011

Manusia Macam Aku, Bukan Kamu


Diam.
Tunduk membisu dan teruskan pembacaan satu persatu. Anak yang keletah bercakap, kuat ketawa dan senang senyum ketap gigi tanpa meluahkan bicara sudah semakin senak pemikirannya. Mahu menjadi yang terbaik memang susah dan sukar perjalanannya. Tapi anak itu tahu, dengan menulikan telinga dengan segala tohmahan dunia, dia pasti mampu mengatasi segala. Usikan nakal, telahan gila dan makian cerca sudah lama dia hadam walaupun tekaknya luka. Lidah kelu tetapi jari gemuknya masih mahu menuntaskan bicara. Beku dan sayu.

Duduk berbual dengan seorang rakan sekerja sepanjang petang semakin membuka mata tentang perjalanan hidup sekarang. Ketawa riang dengan melemparkan segala kekusutan ke dalam naluri paling dalam sebenarnya lebih banyak menjadikan diri mampu berdiri hari ini. Setakat telahan manusia yang langsung tidak menyelami apakah makna yang terselindung disebalik aksara beku yang dipaparkan buat dunia, sekali lagi, lantangnya tulisan dan bicara sarkastik hanya mampu diterjemahkan bila dia punya sengihan yang menafsirkan celakanya dunia.

Gambar : Lebih banyak kau berikan sesuatu kepada orang, lebih banyak yang bakal kembali kepada kamu. Lebih banyak kamu tolong orang, lebih ramai yang akan sanggup menolong kamu - terjemahan daripada Brian Tracy.

Satu demi satu peristiwa yang dilalui sejak bermulanya tahun ini, membuatkan manusia beku ini sentiasa mahu melampiaskan ketawa girang dan membuang jauh rasa kesakitan yang menekan. Tidak. Menahan sakit, membiarkan diri sendiri tercedera bukan satu lagi kepuasan, cuma memandangkan itu caranya mampu melihat manusia lain gembira disekelilingnya, itu sudah lebih menggembirakan daripada kepuasan sendiri tetapi menerbitkan duka pada manusia lainnya.

Tanya seorang sahabat, kenapa masih lagi mahu memikirkan orang lain dan mengenepikan kegembiraan sendiri dengan sentiasa memandang langit dan mengawal air jernih yang mahu keluar dari tubir mata? Gelengan sambil ukir senyuman sahaja mampu dihulurkan sebagai jawapan pertama. Orang lain juga berhak bahagia walaupun kita korbankan kesenangan kita. Kegembiraan kita mungkin sementara dan dengan melepaskan penuh payah, mungkin kegembiraan itu menjadi milik mutlak di satu ketika.

Senyum.
Tawaran sarjana datang mengetuk lagi. Entah sejak bila hati tegar melepaskan satu demi satu tawaran yang bakal mengabulkan sebuah impian peribadi. Biarkan ia datang, baca setiap helaian penuh teliti, tetapi akhirnya diletakkan ke tepi. Lupakan sebuah janji kepada diri sendiri buat sementara waktu demi mendapatkan kedudukan terbaik dalam hierarki. Sakitnya mahu membiarkan kudrat dilambung ombak, tinggi. Sengsaranya mahu menelusuri ranjau yang penuh duri. Tetapi, yakinlah hati. Percaya dengan kesudahan yang bakal mengangkat darjat lebih tinggi. Tekad mahu mencapai impian sendiri suatu hari nanti. Pastinya dengan kudrat sendiri. Dengan semangat yang tidak pernah mati.

Manusia beku.
Macam aku.
Bukan kamu.
Kita bukan satu.
Kau dan aku tidak pernah sama dan kita mungkin pernah setuju.
Aku macam batu.
Barangkali sedingin salju.
Kau tidak begitu.
Kau, kau, kau dan sesiapa sahaja yang mahu mengaku.
Manusia macam aku tidak sama macam kamu.
Langsung tidak sama sekalipun hujung kuku.

Gambar : Adakah kita sanggup membiarkan diri sentiasa dikawal dalam membuat keputusan sendiri tentang hidup kita? Adakah kita perlu dikawal agar kita tidak lalai dan alpa? Itu tanggungjawab kita sendiri lepas mengenal siapa diri kita dan kebolehan kita.

Senyum sinis.
Istilah sombong, bangga diri dan bongkak pernah dilemparkan sehingga manusia beku ini termangu. Tidur malam sudah jadi tidak menentu apabila memikirkan betapa manusia yang tidak mengenali dan menyelami kiasan hidup sewenangnya melahirkan rasa hati bagaikan kentut di muka sendiri. Ah! Untuk apa meninggi diri sedangkan hidup ini ternyata hanya sementara dan diri beku ini bukan sesiapa di dunia. Tiada yang mengenali bahkan terperuk sahaja membaca satu demi satu benda kaku yang dilayangkan menggunakan teknologi. Indah manusia menjadikan kehidupan ini suatu tempat yang membuang taman permainan dari senarai tempat kegemaran.

Harapan.
Kadangkala ianya kosong dan perlu diisi dengan berhemah agar apa yang dikeluarkan tidak pernah akan membebankan. Kesakitan juga dapat dihindarkan. Bahkan, diri pasti akan penuh dengan senyuman. Walaupun ramai yang akan mencebik dan menolak sebuah impian, siapalah mereka untuk menafikan hak kita dalam kehidupan? Bahkan kita seorang insan. Binatang juga punya hak, apatah lagi kita yang bukan haiwan. Ah, menyelam dan berenang sambil ketawa riang dalam lamunan.

Kawan : Jadi kau mesti menarik kan?
Aku : Kenapa?
Kawan : Hidup kau gembira.
Aku : Ye ke?
Kawan : Kau boleh sentiasa tersenyum walaupun kau penat.
Aku : Kau pernah tahu betapa nak senyum itu memerlukan tenaga?
Kawan : Senyum perlukan tenaga?
Aku : Kalau kau penat, kau sakit, kau marah dan tertekan, boleh kau senyum?
Kawan : Mustahil.
Aku : Tak, ia tak mustahil. Boleh. Cuma ia memerlukan lebihan tenaga dan sedikit penipuan pada diri sendiri. Kawan : Tipu diri sendiri?
Aku : Lebih kepada cuba manipulasi hati kau. Akal kau yang segala kesakitan itu adalah sesuatu yang bukan apa-apa. Rangsang otak sendiri supaya menghadapi kesukaran itu adalah pintu kepada kegembiraan.
Kawan : Mana boleh.
Aku : Boleh. Percayalah, boleh.
Kawan : Macam mana kau buat?
Aku : Macam aku kata, dari pengalaman. Panas baran dan cepat marah serta mengamuk tidak akan bawa aku ke mana-mana. Bahkan lebih menyusahkan. Baik aku telan segalanya dan luahkan yang terbaik.
Kawan : Kau sakit di dalam.
Aku : Mungkin ya dan mungkin tidak. Tapi aku lebih banyak gembira dengan siapa aku hari ini.
Kawan : Kau berikan kegembiraan pada orang tanpa fikirkan apa kau akan lalui.
Aku : Kalau itu boleh buat orang lain bahagia, apa salahnya?
Kawan : Berapa lama boleh bertahan?
Aku : Setakat ini masih boleh lagi. Selagi ada orang mahu bina kebahagiaan atas kesengsaraan dan air mata diam aku, selagi itu aku masih begini.
Kawan : Kau dah tiada perasaan, kosong.
Aku : Masih kenal benda gembira.
Kawan : Kau dah tak kenal sakit.
Aku : Kenal juga bila aku jatuh sakit.
Kawan : Dalaman, benda yang tak nampak.
Aku : Pura-pura tak nampak. Kalau tidak, hidup akan kelihatan sangat kompleks.

Gambar : Kau pernah rasa kesukaran hidup membuatkan kita susah untuk bernafas? Pernah kau ketuk dada dan mahukan segalanya lancar apabila sakit di dada mencengkam? Pernah kau letakkan tangan di atas dada dan minta jantung jangan terlampau laju menekan dan mengepam darah?

Manusia macam aku.
Ini semua tentang manusia beku.
Dia yang kau mungkin tidak kenal dulu.
Beku sehingga tidak dapat merasai detikan waktu.
Celoteh riang dan kecoh sehingga tenggelam dalam timbunan buku.
Dia tidak akan terus duduk menunggu.
Perjalanan panjang masih perlu diteruskan dan bukan duduk berteleku.
Matlamat indah bagaikan rasa keju.
Tidak siapa akan memahami dia, tiada, termasuk kamu.
Diam membisu.

Nota Kaki :
1. Sepanjang minggu yang sibuk sudah dilalui. Kepenatan selama 6 hari tanpa henti membuatkan tiga malam terakhir diakhiri dengan tenaga tersisa tumbang di atas ranjang, keseorangan.
2. Otak sentiasa mahu bercerita walaupun rehat diperlukan. Ah, bunyi macam celaka.
3. Terngiang-ngiang lagu yang didendangkan buat diri sendiri agar sempurna itu dapat dicari walaupun menghampirinya sudah dikatakan dosa terbesar manusia.

Zara : Alangkah indahnya jika dapat senyuman yang betul-betul ikhlas dari manusia disekeliling kita. Sukarkah memberikan senyuman yang dapat menjadikan orang lain gembira dengan kehadiran kita? Mencari sempurna dalam diri sendiri yang percaya diri sendiri terbaik tanpa perlukan kayu pengukur kejam dunia.

8 comments:

APi said...

Senyum..

MATAHARI said...

Lebih banyak kau berikan sesuatu kepada orang, lebih banyak yang bakal kembali kepada kamu. Lebih banyak kamu tolong orang, lebih ramai yang akan sanggup menolong kamu - terjemahan daripada Brian Tracy.
like these words, seriously.

NAJ HEBAT said...

Harus bijak manipulasi jiwa. Hati. Biar kental.

Susah.

Tapi senyum juga.

Biar perih itu dipandang mudah.

Senyum sinis.

Bahagia kan?

Raouf Sora said...

kak zara: akak pnah kate dlm satu entry senyum kan buatkan kita lebih manusia..walaupun kena getap bibir dan ukir senyum sedaya-upaya..manusia hanya sama dr satu sudut sahaja iaitu kita semua hamba yg lemah kepada Allah..yg laen semuanya bergantung drpd didikan dan sifat masing2..senyum, kak zara..~ :)

Raouf Sora said...

sy dh add akak kt skype..huhu..but i'm always invisible...just tego je klu on9 tu..hehe..~ :D

takky said...

senyum ikhlas...
semakin sukar dicari pada masa kini...
gembiranya hati jika dapat senyuman tersebut bukan??...^^

nurayunni said...

senyum jgn kata apa2..

Faaein Himura said...

As-salam..

Manusia memang begitu..
macam-macam ragamnya..

susah nak tengok orang sekitar senyum dengan ikhlas... dan saya juga susah nak senyum kepada mata-mata yang sering memandang...