Thursday, April 21, 2011

Kadangkala Dia Mahu Ditunggu


Diam.
Dia tengok manusia sekeliling yang saling bersimpang siur lajunya melaksanakan urusan duniawi. Tidak ada seorang pun yang melintasi dan menghulurkan senyuman ikhlas. Ah, menganggukkan wajah juga jauh sekali, bagaimana dia mahu mengharapkan ada manusia ukirkan senyuman buat dia, manusia yang tidak tahu apa-apa dan hanya duduk diam sebagai seorang pemerhati sahaja?
Senyum.

Aroma indah menusuk ke dalam sistem pernafasan.
Itu mengingatkan dia kepada peristiwa yang silih berganti wujud dalam lipatan tawarikh dia sebagai seorang manusia. Satu demi satu ujian yang perlu dia hadap sampai dia merasakan, kesakitan itu perlu dihadam seperti memamah gula-gula batu yang keras. Sakit itu berikan sedikit kemanisan, umpama pembunuhan yang tiada kesudahan. Nah! Kekejaman mungkin hanya akan berikan nafas saduran, tetapi tidak akan pernah memuaskan.

Gambar : Ada orang yang sangat takutkan ketinggian. Kadangkala itu baik, sebab kalau ditakdirkan terjatuh, ia mungkin memberikan kesan yang sungguh kuat dan teruk. Begitu juga dengan hidup kita tentunya.

Melalui beberapa siri peristiwa dan episod hidup yang penuh dengan pelbagai corak dan cerita, dia merasakan tanpa itu semua dia masih lagi manusia yang lemah. Senyum kanyur sahaja yang mampu diukir buat manusia lain sekeliling dia tatkala dia dirundung, satu demi satu awan derita. Tidak, awan tidak membawa derita, bahkan dengan awan kelabu sedemikianlah, dia mampu cuci satu demi satu kenangan silam walaupun ternyata dia rasa dia masih kotor, celaka yang penuh cela.

Ah, bukan manusia kalau dia tidak pernah mengeluh memikirkan diri yang penuh noda. Tipulah kalau dia tidak pernah bersujud meratap menyesali perbuatan dia tatkala dia diberikan ujian bahagia. Tenggelam dengan keseronokkan bahagia, mengikut kata hati yang akhirnya menipu dia dan berlalu pergi dengan ketawa. Saat bahagia bukanlah mimpi di siang hari, cuma dia terleka dengan kenyataan, bahagia itu pinjaman, bahkan dunia ini juga suatu pinjaman. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik balik laksana pemiutang dan penghutang. Kalau sudah masa tiba, dia harus relakan segala natijahnya. Ah, hilang bahagia.
Bukankah bahagia itu juga satu ujian?
Tidak semestinya derita sahaja.

Dalam memulakan perjalanan baru, dia menemui pelbagai rentak manusia lagi. Satu demi satu dia lihat cuba untuk mempersembahkan tarian megah ibarat merak mahu memikat pasangan, penuh sombong dan bongkak (ah, dia benci perkataan ini) tetapi terlampau naif dengan apa sebenarnya yang dimahukan oleh pentas lakonan dunia. Mengepak penuh riak tetapi hakikatnya, segala tarian itu pincang dan tiada makna. Aneh, dia lihat manusia sekeliling masih bersorak buat segelintir manusia demikian.
Tahi.

Tarik nafas.
Perlahan.
Dia sedar, dia juga salah satu watak kecil atas pentas lakonan dunia. Bahkan dia juga punya peranan dan bukan sekadar watak tempelan - eh, dia juga punya dialog mahu dituturkan, dia juga punya aksi yang mahu dipersembahkan. Tidak termasuk perasaan yang mahu dia luahkan kepada sekalian penonton yang entahlah dari kelompok dia ataupun sekadar tersesat dan mahu membunuh masa. Cuma, setelah terjatuh dan tersadung di atas pentas beberapa kali, dia mahu teruskan watak mikro dia, sebagai seorang marhaen yang berjiwa besar. Dia tidak mahu terjelepok kesakitan lagi.
Malu.

Gambar : Kegembiraan dan kebahagiaan itu nampak seperti sesuatu yang kecil bila kita pegang dengan tangan sendiri. Berkongsilah dengan yang lainnya, maka kita akan dapat melihatnya dalam keadaan yang lebih besar dari biasa.

Hidup dia masih aneh.
Aneh kerana bila dia memberikan sepenuhnya dan setia dengan sesuatu perkara, semuanya akan jadi kucar kacir dan tidak menjadi seperti perancangan yang sepatutnya. Dia pernah terdetik dan berbisik ke dalam hati, apakah dia perlu jadi seperti lintah, mengeliut dan menyedut segalanya, berpura-pura pakai topeng opera dan berhentikan muzik cha cha?

Ah!
Dia tidak mahu letakkan diri dia sebaris dengan sesiapa yang menikam tepat dan membunuh rasa manusia. Rasa manusia itulah satu-satunya yang menjadikan dia mampu membezakan apa yang dia mahukan, apa yang dia dambakan dan apa yang mahu dikejar dalam hidupnya yang penuh warna sehingga pernah menjadi hampir hitam akibat percampuran tona yang tidak sekata.
Noda?
Eh!

Bergelut dengan masalah sendiri dan memulakan segalanya semula. Cuma kali ini dia tidak perlu bersusah payah memulakan dari titik sifar dan garis permulaan lagi. Hidup bagaikan dam ular, kadangkala dimakan dan dipatuk, tidak semestinya akan jatuh ke petak pertama semula. Mungkin dia pernah sakit terduduk menggelongsor dari kepala ke ekor dan terpaksa berdiri di kotak mula, tetapi kali ini, dia sempat berpaut pada tangga, maka jatuhnya dia tidak sesakit dahulunya. Ah, sudah berapa kali terjatuh ini ya? Nasib baik punggung tidak bengkak segala, kalau tidak pastinya nampak dia terbongkok menahan sakit rasa.
Ketawa.

Kawan : Apa jadi dengan hidup kau?
Dia : Kenapa?
Kawan : Putarannya sungguh pantas.
Dia : Hidup memang pantas.
Kawan : Belum sempat asimilasi, kau sudah ada refleksi.
Dia : (ketawa) Itu namanya sekadar berbasa basi dengan duniawi.
Kawan : Masih mampu ketawa.
Dia : Kalau tidak ketawa, badan akan lebih celaka.
Kawan : Ah, aku dengki.
Dia : Tidak apa perlu rasa iri.
Kawan : Aku mahu rasa perasaan ditunggu.
Dia : Silakan.
Kawan : Kau pernah rasa?
Dia : Tidak pernah, bahkan aku halang diri aku dari bermimpi ditunggu sesiapa.
Kawan : Aneh. Kau sentiasa menunggu?
Dia : (ketawa) Aku hanya menunggu kematian. Tapi itu tidak bermaksud aku langsung tidak berusaha. Bahkan, menghadap kematian juga punya cara bukan?
Kawan : Lagak cerita seperti sudah putus asa.
Dia : Gila! Manusia seperti aku tidak akan kenal erti putus asa. Malu jadi khalifah dunia jika mudah putus asa. Bahkan haiwan yang tiada akal berusaha meneruskan kelangsungan hidup, apatah kita ini manusia. 
Kawan : Bolehkah aku mahu ditunggu?
Dia : Boleh sahaja.
Kawan : Aku akan berusaha agar aku akan ditunggu.
Dia : Sudahkah kau punya seseorang yang akan menunggu kau?
Kawan : Belum lagi, tapi aku punya cita-cita ke arah itu.
Dia : Aku akan ucapkan tahniah bila saat itu tiba.
Kawan : Kau pula bagaimana?
Dia : Takkan lari dari norma manusia.
Kawan : Maksudnya?
Dia : Aku tidak mahu sandarkan hidup aku pada manusia lagi kalau aku mahu teruskan percubaan seterusnya. Tapi tunggu sahaja, aku masih belum ada rentak dan tarian dalam kepala.

Gambar : Bila dia sudah tiba ke arah puncak adrenalin yang tinggi, mungkin dia akan mula menari kembali. Tidak, dia tidak dapat meramalkan bila itu semua bakal terjadi. Aneh? Tidak sama sekali.

Dia sudah pasti.
Apa yang dia mahukan dalam hidup ini.
Cuma sesuatu yang dia dapat rasai.
Dia tidak mahu kesakitan lagi.

Nota Kaki :
Pekerjaan aku sudah jadi makanan ruji. Aku boleh tinggalkan nasi, tidak menjamah walaupun sebutir tetapi tidak kepada pekerjaan aku yang ibarat nadi.

Zara : Menulis seawal pagi membuatkan apa yang aku proses semasa tidur penuh gaya keluar sebutir demi sebutir. Pelik tetapi aku rasakan, meluahkan sekurang-kurangnya dengan orang yang tidak kau kenali akan melegakan otak yang sarat dengan segala macam benda duniawi.

15 comments:

ima said...

sampai sekarang saya masih menunggu. walaupun tak tau apa akan jadi, tapi sy tetap tunggu.

kak zara kuat!!!! :)

ima said...

sampai sekarang saya masih menunggu. walaupun tak tau apa akan jadi, tapi sy tetap tunggu.

kak zara kuat!!!! :)

b a m b a m ' s said...

baca dgn penuh penghayatan nie..uhukk~ :)

oreo oreo said...

kak zara punya entri yang ni terlalu rumit untuk saya faham oh. haish haish. ada yang tidak kenakah dengan kehidupan manusia beku saya sejak akhir akhir ini? hmm, mungkin pekerjaan yang menjadi makanan ruji kak zara itu terlalu membebankan kan hingga saya susah nak faham entri yang penuh dengan ayat puitis ni. takpela, kuatkan semangat okay, pastikan rehat yang cukup jugak untuk hasilkan next post.virtual hug!

much love ,
me =]

LORD ZARA 札拉 said...

@ima

Thanks!
:)

Kamu juga :)

LORD ZARA 札拉 said...

@b a m b a m ' s

Thanks a lot!
:)

cik azeya said...

sy suke menunggu! walaupun menunggu macam tunggu buah durian jatuh dari bulan. -_-

kak zara,, chaiyokk2 :D

LORD ZARA 札拉 said...

@oreo oreo

Hahaha.
Bukan pekerjaan dan bukan semata2 tentang Kak Zara dalam ni dear :)

luckylizan said...

bahagia satu ujian, musibah pun ujian gak..asalkan kita tidak pernah menyalahkan takdir tuhan ke atas diri kita, insyaalah allah akan membantu kita sepanjang jalan.

hihihi...tetiba lak bermadah helah kat dunia zara....

http://lucklylizan.blogspot.com

Theye said...

salam kak zara..
makin hari makain hairan saya..
adakah segalanya berkisar mengenai kak zara atau hanya kehidupan alam fantasi??

tapi..saya suka baca blog akak..

nusrah said...

setuju. saya juga begitu kak zara -----> "meluahkan sekurang-kurangnya dengan orang yang tidak kau kenali akan melegakan otak yang sarat dengan segala macam benda duniawi."

Nailah Azman said...

Dulu 7 tahun akak penah tungguh seseorang ..
Tapi akhirnya, hari disakiti.

Kemudian, sebulan akak buat seseorang menunggu.
Kesudahnnya?
Kami bahagia hingga ke hari ini.

Alhamdulillah. ;)

FasiHaH SupiaN said...

betul tu kak zara, hidup di dunia ini begitu pantas, siapa yang leka dia tertinggal jauh. Hanya mereka yang tidak kenal erti putus asa yang akan berjaya. Moga kejayaan itu hingga ke akhirat..

Cik Kamoo said...

Zara! tulisan awak betul2 buat saya teruja ... walaupun saya kadangkala jenguk di sini, tetapi sekali jenguk saya akan usaha baca semua entri awak!

penulisan awak cukup indah dan menarik di pandangan mata saya. saya kagum dengan penulisan awak!!

Happy blogging LORD ZARA ... teruskan usaha menulis dan simbahkan idea2 yang terbaik di sini.

cikmimmie said...

setiap yg terjadi pasti ada hikmahnya..hidup cuma perlu pandang ke depan...tp jgn lupa untuk toleh ke belakang sekali sekala agar kita tau..hidup ini bukan sahaja untuk bergelak ketawa..