Sunday, May 22, 2011

Cinta Ada Tarikh Luput Ya?


Semakin bertambah usia, semakin meningkat satu demi satu takah kerjaya, semakin banyak jugalah undangan ke majlis perkahwinan. Boleh dikatakan bilangan kad kahwin yang sampai ke rumah (tidak termasuk yang orang suka tandakan di Mukabuku), adalah berkadar langsung dengan penambahan usia. Lebih-lebih lagi musim mengawan pertengahan tahun hampir tiba, lebih banyak yang menimbun di peti surat. Oh ya, kalau serius mahu menghadiri, aku biasanya lebih rela dapat kad dan bukan ditanda di Mukabuku.
Ya, aku memilih.
Keji eh?

Gambar : Adakah sesiapa juga sedang tersenyum dan memikirkan seseorang apabila mereka membaca ini? Aku jujurnya tiada. Mungkin kamu punya. :)

Lelaki dan perempuan sama sahaja. Dalam bercinta, kedua-duanya mahukan yang terbaik dalam memastikan bahawa jalan cerita hidup mereka tiada percikan duka. Tiada sengketa ataupun air mata serta raungan dari mana-mana atma. Ah, celaka kalau punya terlampau banyak drama. Sebab itu kita tak mampu kata apa-apa apabila rancangan di kaca televisyen menghidangkan terlampau banyak iklan. Iklan itu sebagai penghibur tatkala mata mula bengkak menahan air mata ataupun hati yang panas minta kaki di muka.

Itu hakikat manusia. 
Percayalah. Kita sebagai manusia memang ada sedikit kelemahan mengharapkan lebih pada manusia lain dalam sesuatu perkara. Bukan kerana kita tamak, tetapi kerana kita tahu kita mampu buat yang terbaik dan lebih pada manusia yang kita sayang. Ah, tengok sahaja mana-mana pasangan bercinta di dalam filem ataupun drama (tak pastilah kalau dalam kehidupan realiti sekarang pun ada), tapi pertuturan begini pasti ada kalau kau ingat-ingat balik cerita lama.

Teruna : Untuk kekasih tercinta, lautan api juga sanggup direnangi.
Dara : Benarkah cinta?
Teruna : Jangan kata bukit belakang rumah, gunung tertinggi dunia pasti akan mampu ditawan.
Dara : Cinta benar pada kita.
Teruna : Pastinya demi kasih sayang kita.

Lebih kurang begitulah.
Tapi itulah hakikat manusia. Akan memberikan banyak apabila mereka menyenangi seseorang, menyayangi serta mengasihi manusia lain. Natijahnya, apabila perpisahan terjadi, cuba bayangkan yang kalian ada menyimpan sebuah komputer kesayangan (contohnya Macbook) di dalam bilik. Tiba-tiba jiran sebelah rumah meluru masuk dan menghempas komputer tersebut. Apa perasaan kamu? Nah, mungkin itu contoh paling mudah bagi menyatakan betapa sakitnya hati manusia yang kamu lukai walaupun hakikatnya kau mungkin tidak sengaja. 
Mungkinlah.

Gambar : Dikecewakan, dikhianati oleh seseorang yang kita percayai pastinya akan meninggalkan kesan mendalam yang tentunya perlu diisi dengan kasih sayang dan kepercayaan kembali (Shafaza Zara, 2011)

Dan bila seseorang dengan megahnya menyatakan bahawa cinta dan kasih sayang terhadap seseorang itu punya tarikh luput, satu benda sahaja yang aku terbayang dalam kepala. Cinta dan kasih sayang manusia ibarat makanan dalam tin. Bila dah tiba tarikh luput, kita ambil tin tersebut dan baling dalam tong sampah. Gedegang!

Kawan : Tadi kau pergi majlis kahwin?
Aku : Ya. Kenapa?
Kawan : Kenapa semua orang sibuk pasal kahwin eh?
Aku : Benda baik, apa salahnya.
Kawan : Cinta semua ni palsu semata. Mana ada kekal.
Aku : Apa maksud kau?
Kawan : Cinta manisnya sekejap. Lepas tu dah tawar.
Aku : Jadi pada kau cinta ini macam makan aiskrim? Sedut, sedut, hisap, hisap dan sampai satu tahap tawar?
Kawan : Boleh juga kalau kau nak buat contoh camtu.
Aku : Jadi sampai satu tahap cinta itu akan habis?
Kawan : Cinta itu akan habis dan boleh dibuang. Bergantung berapa lama boleh bertahan.
Aku : Jadi, sampai sekarang dah berapa banyak aiskrim yang kau dah makan?
Kawan : Aku lupa bilangan sebenar.
Aku : Berapa lama yang bertahan rasa manisnya?
Kawan : Setakat ini paling lama setahun. Paling sekejap adalah dalam tiga hari.
Aku : Kenapa tiga hari sahaja?
Kawan : Sebab aku rasa berikan kasih sayang pada budak tu cuma satu kesilapan.
Aku : Ada orang pernah kata bahawa, kita melalui hari yang buruk hanya untuk berjumpa dengan hari yang baik. Sama juga dengan hidup, kita jumpa orang yang teruk sebelum jumpa manusia yang terbaik.
Kawan : (ketawa) Kau sedar apa yang tak betul dalam ayat tu?
Aku : Dia tak beritahu berapa banyak kali kita nak jumpa orang yang salah?
Kawan : (ketawa) Betul. Jadi salahkah aku terus jumpa orang dan membuktikan mereka bukanlah orang yang layak untuk aku atas beberapa sebab.
Aku : Dan anehnya kau boleh ketawa lagi.
Kawan : Bukan suatu masalah bagi aku. Cinta ada tarikh luput.
Aku : Kau ingat cinta macam roti atau makanan lain ke?
Kawan : Lebih kurang. Bila benda tu rasa tak sedap, kurang enak, ataupun rasa lain macam, tinggalkan. Buang dan teruskan hidup dengan cari benda yang masih bernilai dan belum tiba tarikh luput.
Aku : Itu kejam.
Kawan : Lebih baik dari kita simpan, makan dan seterusnya sakit.
Aku : Sekurang-kurangnya sebelum sampai tarikh luput, kita boleh buat sesuatu untuk sedapkan atau panjangkan tarikh luput.
Kawan : Tak. Tarikh luput adalah tarikh luput. Cuma pendek atau panjang sahaja.
Aku : Terpulang.
Kawan : Kau dah dua kali terjumpa tarikh luput kan?
Aku : Sekurang-kurangnya bukan aku yang luput kalau ikut perkiraan kau.
Kawan : Dan mereka adalah yang mempunyai tarikh luput?
Aku : Tak. Sebab pada aku benda yang berkaitan dengan manusia tiada tarikh luputnya kecuali kematian.

Gambar : Akan sentiasa ada orang yang bakal melukai kita, tetapi apa yang kita perlu lakukan adalah terus mempercayai diri sendiri dan berhati-hati dengan siapa yang akan kita percayai selepas ini. Mustahil? Tidak. Kita yang tentukan apa yang kita mahukan dalam hidup ini. (Shafaza Zara, 2011)

Bila kita meletakkan sesuatu itu di tempat yang tidak sepatutnya, adakah kita menyedari bahawa kita sedang menempah kesakitan yang bukan sedikit? Bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada manusia di sekeliling kita. Ah, jadi manusia jangan celaka sangat boleh?

Manusia memang pelik.
Begitu banyak kasih sayang di atas dunia ini, mereka masih memilih perasaan benci sebagai kekuatan dan sumber tenaga untuk hidup. Bila kebencian adalah sumber tenaga terbaik mereka, kasih sayang dan perasaan yang menggembirakan bukan lagi satu benda yang menjadi nikmat. Benci, muka bengis, bibir melengkung dan dahi berkerut adalah satu kebanggaan.
Aneh.
Manusia.
Masa.
Suatu bentuk pengkhianatan yang langsung tidak boleh dimaafkan. Menjalani kehidupan dan memerhatikan kehidupan dalam diam serta memanjatkan doa kesyukuran dapat mendengarkan suatu perkhabaran rupanya adalah balasan dosa silam. Dosa kerana tidak pernah mahu menunggu dan terbang meninggalkan. Hanyut terbang bersama salju tebal dan meninggalkan kepingan putih yang tidak berguguran. Menanti hiba penuh ketidakpastian dan hanya bersandarkan kepada pengamatan rakan. Ternyata, yang dikejar tidak kesampaian, yang dilepaskan membunuh kesepian.
Hidup ini kadangkala terlampau banyak warna.
Penuh dan sesak hingga kita mahu memilih satu warna sahaja.
Warna yang menggambarkan siapa diri kita.
Benda yang melambangkan perasaan kita.
Nota Kaki :
1. Pekerjaan sampingan setiap Sabtu sudah aku lepaskan. Nyawa aku nampaknya memerlukan ruang yang lebih untuk bercampur dengan manusia lain.
2. Ada sesiapa yang belum tengok sesuatu yang agak menarik di sini?

Zara : Aku tidak  kalah apabila aku berada di bawah, tetapi aku hanya akan kalah kalau aku tidak pernah mahu bangkit semula menghadapi dunia nyata. Ini bukan ego atau ayat keji seorang manusia, cuma berapa lama kau mahu biarkan diri terbaring dan menangisi sesuatu yang tidak akan pernah pulang ke pangkuan?

9 comments:

Nailah Azman said...

Mesti badan Zara melompat gembira sebab dapat ruang untuk berehat pada hari Sabtu lepas ni. Hehehe. ;))

Btw, kalau cinta kerana Allah, inshaAllah tidak akan luput malah kekal hingga ke Syurga.

Moga bertemu bahagia suatu hari nanti! Doa akak sentiasa mengiringi Zara. ;))

Aku... aKu... akU... SaNg PencINTa said...

Di maya kita suka merapu, merapu itu kata mereka, mereka dan mereka, kata kita, maya itu berfantasi yang realitinya disamakan dengan merapu di ruang nyata...

best monolog2 hati di blog nie.. wa budak baru study, mo study2 lagi sampai stedy.. best100x

Aku... aKu... akU... SaNg PencINTa said...

best..

cik ciput said...

zara, kdg2 mmg sy ada terfikir, cinta ada tarikh luputnya..tpi tarikh luput tu bergantung kepada pasangan tu sendiri.

bila rentak dah tak sehaluan, mungkin hubungan dah hampir sampai ke penghujung..dan haruslah kita memilih, samada utk mempertahankn hubungn tersebut, atau melepaskannya begitu shja.

yg pasti, cinta Maha Pencipta kepada hamba-Nya takkan pernah luput.

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Nailah Azman

hahaha.
badan ni kadangkala degil.
dapat rehat pun tetap nak kerja.

terima kasih atas doa kakak.
sayang kakak.
sungguh.

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Aku... aKu... akU... SaNg PencINTa

selamat belajar tentunya.

:)

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Aku... aKu... akU... SaNg PencINTa

dan ya, terima kaish atas pujian itu :)

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@cik ciput

pernyataan yang terakhir itu tepat.

:)

Qaseh dalia adelia said...

haha dah banyak kali dapat cinta tarikh luput .. yg paling lama 2 tahun setengah .. kadang2 cinta tu boleh dibuang sekelip mata saja .. tapi cinta jugak penguat segala semangat .. sebab "lautan api pun direnangi" cuma ada ketika cinta itu rapuh .. entah lah kenapa mungkin hanya bergantung pada nama cinta