Wednesday, May 04, 2011

Ini Tidak Perlukan Tajuk


Dia terjaga dalam kesuraman lampu tidur yang sudah berkhidmat lebih sedekad dan tidak pernah merungut walaupun sedikit. Dinding yang dilimpahi cahaya berembang dilihat aneh kesejukannya. Bahkan hujan yang sedang turun dengan lebatnya di luar tidak mampu menandingi keringnya hati seorang manusia dingin yang sudah melupakan apa itu kesukaran dan kepayahan dalam menjalani kehidupan. Anak itu, anak yang aneh. Anak yang tidak kenal lagi apa erti penderitaan sejak dia sudah mangli dengan semuanya.

Gambar : Kehidupan itu sendiri sudah cukup indah. Kenapa tidak mahu berhenti sebentar dan hargainya? Tidak kira bagaimana sukarnya hidup itu, cubalah untuk terus tersenyum. (Shafaza Zara 2011)

Satu demi satu rentetan peristiwa muncul di layar minda tatkala dia mengenangkan betapa syukurnya dia kerana masih bernyawa. Sesuatu yang dipinjamkan oleh Yang Maha Kuasa dan entah bila akan ditarik semula. Ah! Rapuhnya manusia itu sendiri. Bagaikan api lilin yang memancar, manusia itu juga yang perlu menjaga apinya daripada padam dalam meneruskan kelangsungan hidup. Dia sendiri sudah pernah melalui cabaran yang bukan sedikit dan dia tahu, akan banyak lagi ujian yang menunggu sepanjang jalan kehidupan itu sendiri. 

Bila orang bertanya tentang hati dan sebagainya, dia cuma mampu merenung jauh dan ketawa. Apa yang mereka fahami tentang hati dia? Dia akui, hanya sesetengah daripada sahabat dia yang benar-benar memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam hati ini. Bertahun berseorangan tanpa seseorang istimewa, banyak mengajar dia apa yang dinamakan sebagai kehidupan itu sendiri. Terlalu banyak yang dilalui, kebanyakannya keseorangan atau hanya bersama teman-teman serta keluarga, dia harus akur yang hidup dia dalam gelanggang dunia ini terlalu naif tetapi istimewa.

Apakah dia terlalu tamak? Kehidupan itu telah indah dengan sendirinya. Apakah dia kurang bersyukur?. Dia ingin menganggap semua yang berlaku adalah satu ujian, sama ada dia akan tabah atau tidak dalam menjalani sesuatu yang dipanggil kehidupan. Tapi dia lebih mahu memilih ketabahan sebagai pelindung kekuatan hatinya. Sebagai tempat dia mampu berdiri dan beraksi di atas pentas dunia. Dia tidak mahu apa-apa lagi kegilaan yang memesongkan dia.

http://farm4.static.flickr.com/3428/3770854222_fc76ae8a78.jpg
Gambar : Kalau kita sendiri tidak tahu akan nilai diri, jangan mengharapkan ada orang lain akan mengiranya buat kita.

Cinta Manisan Warna Warni

Lena dibuai mimpi
Perjalanan mengembara satu dimensi yang tidak bertepi.
Tapi aku tahu kau bernaung dalam rimbunan diri.
Tersimpan rapi dalam kamar hati.

Bisikan kasih sayang menjadi suntikan yang paling ampuh.
Kau tidak memanjakan seperti yang ku mimpikan.
Kerana kau punya cara tersendiri untuk meluahkan.
Dan ia lebih hebat dari apa yang menjadi impian.
Kau wajah kesayangan.

Cinta ibarat manisan berwarna warni.
Pelbagai percikan meliputi laluan yang dipilih.
Kita senyum dan gunakan semuanya mewarnai kanvas indah.
Hiasi megah sebuah takhta.
Untuk diduduki bersama.
Susun atur taman bahagia.

Manis.
Kita telan satu persatu.
Perlahan sambil renung masa depan bersama.
Jiwa bertaut, cinta bersatu.
Tangan belum mampu mampu menggapai.
Namun kasih subur dan semakin utuh.

Pahit.
Kita mamah sendirian.
Kongsi segala kepahitan sambil sadur rasa manis dalam minda.
Yakin pahit itu ubat kepada manis.
Percaya kepahitan pasti akan sirna.
Dugaan itu warna simpang kiri empayar kita.
Pahit itu kita telan.
Wajah ukir senyuman.

Bisikan lembut.
Aku cinta kau.
Kekang tubir mata dari mengalirkan air mata.
Tidak, bukan sebab kesedihan.
Terharu dalam doa yang dititip buat Tuhan.
Perasaan ini bukan satu seksa.
Ini kiriman bahagia dari Yang Maha Esa.
Dan aku bertuah memiliki engkau Jiwa.

Pahit, manis itu kita yang rasa.
Warkah aku titipkan pada bayu.
Moga ditiupkan ke dalam dada.
Seorang insan yang aku gelar Jiwa.

Doa buat sang pencinta.
Moga sentiasa dalam rahmat dan kasih sayangNya.

Sayang, mahu hadam manisan lagi?

Shafaza Zara Syed
Ranjang merah Teratak Keluarga.
28 April 2010 5.30 pagi
Nota Kaki :
1. Kesibukan melanda lagi. Maaf.
2. Puisi pendek itu sekadar catatan yang mahu dideklamasikan dua minggu lagi kepada umum. Kenapa agaknya ya?

Zara : Tahukah kamu apa benda paling berharga dalam hidup kamu sebagai seorang manusia?

6 comments:

0sh!Nz d' sen0r!ta said...

puisi yang indah.. rasa macam nak simpan je puisi ni. boleh ke?

shafinaz (: said...

Paling berharga ? keluarga lah :D

MysLykeMeeh said...

wow...this was so beautifully written. The words and its thoughts alongside with the writer expressed deep meaning.

How wonderful to read such a wonderful poetry!

oreo oreo said...

nice one kakak! selamat mendeklamasi kan yaaa =]

Fikri said...

paling berharga- ilmu yg bermanfaat dan keluarga.

mari mengundi said...

mari mengundi di sini

http://mari-mengundi.blogspot.com