Sunday, June 05, 2011

Masih Ada Yang Sayang Kau.


Tolak troli sambil tengok gelagat manusia antara kegemaran aku semasa membeli belah. Dan ya, aku membeli belah seorang diri. Dalam otak aku susun segala benda yang aku nak beli dan kalau aku rajin, aku akan tulis semua yang diperlukan. Manusia macam aku, masuk pasar raya, beli barang yang perlu, dan keluar. Ya, tak macam perempuan lain kata kawan-kawan aku. Lebih kepada lelaki, tetapi lelaki sekarang pun kalau membeli belah ambil masa yang lama. Aku rasa aku lebih kepada cara Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat. Tak pandai nak lepak tengok benda lain.
Senyum.

Di kawasan barangan segar, ramai pasangan tak kira tua dan muda sama-sama memilih sayuran, bahan mentah untuk masakan. Aku sekadar tersenyum cuma. Zaman itu aku sudah pernah lalui bersama rakan-rakan sekuliah, membeli barang untuk masak sekadar suka-suka di dalam bilik asrama. Pengalaman membeli barang bersama Ketua Keluarga Hebat aku gunakan. Segala pesanan yang dia ajar pada aku setiap kali aku menemani dia membeli barang, aku gunakan.

Gambar : Hidup ini macam membeli belah. Kita boleh pilih apa yang kita suka dan tinggalkan apa yang kita tidak gemari. Bila kita punya hak untuk memilih, kenapa tidak mahu gunakan dengan sebaiknya? (Shafaza Zara, 2011)

Ada kawan beritahu yang dia rasa kosong sangat dalam jiwa dia. Kosong sampai dia dah tak boleh merasa apa-apa lagi di sekeliling dia hatta kasih sayang keluarga. Berbalik kepada unsur agama, dan rukun hidup keluarga, itu sahaja yang aku boleh beritahu dia. Aku bukan seorang bijak pandai yang mampu selesaikan semua benda tetapi aku tahu satu perkara, benda yang aku sedar dari dulu, berkongsi dengan orang, bercerita, meluahkan masalah sebenarnya mengurangkan beban yang ditanggung dalam pundak kepala. 

Kawan : Hidup ini tak pernah adil dengan aku.
Aku : Kenapa?
Kawan : Satu demi satu benda jadi pada aku sampai aku rasa mati lebih baik.
Aku : Kau rasa mati lebih baik?
Kawan : Ya. Apa guna hidup dalam dunia kalau tak pernah gembira?
Aku : Macam-macam benda yang kau dah nikmati pun kau cakap begini?
Kawan : Apa yang aku ada?
Aku : Hidup ni pun satu nikmat, sihat ni pun satu rahmat.
Kawan : Benda macam tu aku pun tahu. Bukan aku tak bersyukur, tapi kau tahu? Aku nak gembira macam orang lain, nak ada kasih sayang juga.
Aku : Kau ada keluarga, ada kawan-kawan.
Kawan : Memang ada. Tapi mereka selalu gembirakan aku ke?
Aku : Kau selalu gembirakan mereka ke tak?
Kawan : (diam)
Aku : Kenapa kau diam?
Kawan : Hidup aku memang tak gembira. Kekasih aku pergi main dengan orang lain, aku tinggalkan dia sebab aku menyampah dengan perangai dia. Keluarga aku pula kebelakangan ini porak peranda.
Aku : Porak peranda?
Kawan : Ibu bapa aku masing-masing ada skandal tempat kerja. Hari-hari bergaduh, sampai kata mungkin nak cerai. Dah ada cucu pun nak buat perangai ke? Aku malu tak payah kata, nasib baik rumah aku jarak-jarak dengan rumah orang lain. Nak balik rumah pun aku sampai tahap malas dah.
Aku : Itu masalah mereka sendiri. Mungkin boleh jumpa pakar kaunseling ke apa kan?
Kawan : Masing-masing degil, tapi itu peduli apa aku kan? 
Aku : Kau cakap je kau tak peduli, tapi kau ambil kisah.
Kawan : Masih keluarga aku, aku fikir juga.
Aku : Kan betul?
Kawan : Paling menyakitkan, ada je kawan-kawan main tikam belakang di tempat kerja. 
Aku : Kan kau dah dapat kerja lain? 
Kawan : Aku cuma boleh masuk awal bulan depan. Lama lagi, jadi aku senyap-senyap kena tahan duduk tempat kerja sekarang.
Aku : Sabarlah. Anggap benda tu cabaran dalam hidup.
Kawan : Tak ada kasih sayang dalam dunia ini kan?
Aku : Siapa kata tak ada?
Kawan : Kasih sayang tu cuma mitos. Tiada perkahwinan yang kekal, tiada cinta yang kekal, tiada persahabatan yang kekal. Manusia pun mati juga nanti.
Aku : Siapa kata kasih sayang tu mitos?
Kawan : Kalau betul-betul ada, cuba kau beritahu.
Aku : Kasih sayang Allah pada hambaNya. Itu yang paling mudah kau nak nampak. Memang kasih sayang manusia kau boleh ragu-ragu dan tak nak percaya, tapi kasih sayang Allah kau nak rasa begitu ke?
Kawan : Tapi, aku nak juga rasa kasih sayang manusia.
Aku : Siapa yang tak sayang kau?
Kawan : Siapa yang sayang aku?
Aku : Kau kawan aku, aku sayang kau. Kau ingat aku kawan kau kalau aku tak sayang kau? 
Kawan : Kita boleh je kawan dengan orang yang kita benci.
Aku : Boleh memang boleh, tapi kalau aku benci kau, aku nak dengar kau cakap dengan aku?
Kawan : Tahu, tapi aku makin lama makin dah tak tahu nak kata apa lagi. Kau seorang je yang boleh cakap dengan aku, kawan-kawan aku yang lain semua tinggalkan aku. Bila nak senang, jumpa aku. Bila aku susah, seorang pun tak ada.
Aku : Manusia kan ada macam-macam ragam.

Gambar : Motif gambar adalah nak tunjuk kegembiraan keluarga. Boleh? Ada sesiapa rasa lapar?

Kita selalu anggap diri kita keseorangan dalam dunia. Rasa tersisih, dipinggirkan, tetapi adakah kita pernah lihat kembali diri kita dan berfikir mengapa kita mempunyai perasaan sedemikian? Apakah faktor penyebab semua itu berlaku? Tentunya sedikit sebanyak ada kaitan dengan diri kita sendiri bukan? Ah, jadi manusia bukan selamanya boleh menongkat langit. Ego itu bukan boleh memberikan kita kepuasan jika natijahnya sesuatu yang memakan diri kita semula. Sampai bila mahu berbangga dengan pinjaman dunia bukan?

Satu demi satu luahan, kejian ataupun entah apa-apa lagi yang kita boleh lihat dalam meladeni hidup sebagai seorang manusia. Rungutan demi rungutan kita terima setiap hari membuatkan kita sungguh mengiyakan bahawa manusia tidak akan pernah puas. Ada pasangan tapi pasangan ditinggalkan demi mencari yang lain dengan alasan tidak menggembirakan walaupun pernah hidup susah senang bersama, dan entah macam-macam lagi.

Kita membaca dan memberikan pandangan walaupun yang bertanya seperti tidak tahu apa itu terima kasih. Bahkan menjawab dan menyatakan kita salah pula. Apa tindak balas kita dengan manusia begini? Ah, kita ketawa sahaja bila dapat tindak balas sedemikian. Kita seharusnya percaya, manusia tidak layak merungut apabila mereka tidak berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Kan lebih enak kalau berikan yang terbaik dan berusaha demi kebaikan diri?
Salahkah?

http://farm5.static.flickr.com/4111/5176359243_3f6f992e5a.jpg
Gambar : Kalau hati kau pernah disakiti dan dilukai, tetapi masih mampu memaafkan dan menyayangi manusia itu seperti dahulunya walaupun tanpa ada apa-apa ikatan, itu sesungguhnya adalah cinta yang sejati. (Shafaza Zara, 2011)
Senyum.
Ada sebaris ayat yang membuatkan aku tersenyum girang walaupun ternyata, aku tidak mampu berbuat apa-apa. Raup muka dan senyum sahaja. Aneh, aku sudah tidak punya rasa apa-apa lagi. Semuanya sudah diserahkan kepada penulis takdir yang lebih hebat, Yang Maha Berkuasa. Aku sudah tidak mahu membunuh saraf dan neuron sebuah atma. Ternyata, kesakitan dan keanehan dengan hanya melihat gambar dan mengingatkan suara pada suatu masa sudah bikin hati aku gulau penuh dengan tanda tanya dan kebingitan suara. Itu cerita lama. Kisah yang tidak mahu dipusingkan kepala dengan pertanyaan yang entah apa-apa kerana aku lebih mengenali siapa aku.


Tambahan : Selepas lima minit aku siarkan ini, kawan itu menghantar pesanan ringkas bahawa bapanya sudah membawa pulang isteri kedua di rumah. Ternyata anak itu dalam keadaan terkejut dan suasana rumah sedang kacau bilau dengan berita yang mereka tidak pernah sangka. Doakan dia tabah ya?

Nota Kaki :
1. Kali ini kesakitan menjenguk lagi walaupun aku berusaha menolak dan bertahan tanpa ada dadah perubatan menderu masuk ke sistem penghadaman. Tabah hati, tabah jiwa. Ini benda biasa.
2. Bertemu dengan seorang yang kau kenal bertahun walaupun tidak pernah bersua muka adalah pengalaman yang menarik.
3. Masih terus bekerja. Hujung minggu aku penuh dengan jadual kerja tambahan.

Zara : Bila kau bercadang mahu berputus asa dalam hidup, pastikan kau sedar dan fikirkan berapa lama kau sudah menunggu dan berapa lama kau sebenarnya telah berharap serta betapa sesuatu itu amat bermakna dalam hidup kau. 

11 comments:

y-A-n-A said...

selalu rasa keseorangan. tapi cepat terubat. aku cuba lupakan rasa keseorangan tu dgn luangkan masa bergembira dgn kawan2 n keluarga. kawan kau patut lebih tabah n cuba senyum walaupun susah. senyum tu la ubat kita walaupun sekejap. :))

.fariza. said...

Allah sentiasa ada di waktu susah dan senang :)

kembatolo™ said...

dan ketahuilah pertolongan Allah itu amatlah dekat. dan kasih sayangNya juga begitu luas. merungut bukan penyelesaian tapi redha itu kekuatan.


*terus jadi puitis lepas bace entri akak. berjangkit eh benda ni? hahaha =P

za said...

saye silent reader yg baru first nak komen. cuak rasenyer..

zara tak buat buku ke?=)

ilhani_nurash said...

ALLAH selalu d cc hambaNYA..

FATIN SYAHIRA RAMLI said...

seronok baca semua entry kak zara. rasa macam ada orang bagi semangat. belog wajib saya baca tiap2 hari even baca entry banyak2 kali. banyak pengisian yang saya dapat :)

p/s : belog aktiviti menjana minda kalau kena pada caranya kan?

regards :)

a kl citizen said...

Zara... Doa saya buat rakan zara itu dan keluarganyan, agar Allah beri harmoni dan tenang dalam hati.

* cuma kita manusia ini, bila harmoni itu mencecah hati, kita gambarkan ia sebagai rutin hidup yang membosankan pula, kan.

Sungguh, memang sifat kita sentiasa keluh kesah

AUDY said...

sabarr je lahh T_T

emieysandra said...

msti ade yg terbaik lg utk die kan, kbahagiaan milik smua, die pun mmpu kacapi itu^^

suha said...

cik suha mungkin antara yang terlambat mengenali blog zara tapi percayalah,pertama kali membaca blog ini dah membuatkan cik suha dah jatuh hati (^_^)

kasih sayang itu harus ada..

takky said...

kasih sayang keluarga n kasih sayang sahabat handai berlainan...
rindu kasih sayang keluarga tapi semuanya musnah sekelip mata...

walaupun situasi tidak sama tapi saya memahami kerana perkara yg sama...