Saturday, August 06, 2011

#06 #Ramadhan : Cinta Kicau Burung Biru


Bangun pagi sebelum ini didendangkan oleh suara lelaki yang menyanyikan lagu indah. Aneh-aneh sahaja sejak tiga minggu kebelakangan ini tanpa suara lelaki bermata sepet yang tidak pernah gagal mengejutkan setiap jam empat setengah pagi. Dengan suara bangun tidur yang ceria, suara itu sudah dengar entah berapa lama.

Ah!
Gong Yoo dan Norul Saranghae.
Lagu yang dinyanyikan untuk mengejut gadis kesayangan yang dengkurnya kedengaran apabila panggilan telefon tidak diputuskan sebelum lena malam.

Aku menemui sesuatu yang dipanggil cinta kicau burung biru. Bukan "Cinta Mukabuku" macam Najwa Latif yang sebaya anak-anak murid aku. Tidak tentunya. Untuk berlaku jujur, lagu itu menarik juga - cuma dalam keadaan aku sebegini, lagu sedemikian bukanlah pilihan utama. Sekadar mendengar di radio, penyedap halwa telinga. Dan, cinta aku pada kicau burung biru adalah kicauan setiap satu penghuni di dalamnya serta aku sendiri yang gila menghabiskan masa menulis apa sahaja.

[Sumber Gambar]

Satu demi satu bait dalam Dunia Sebelah Zara aku terjemahkan dalam kicauan aku yang kadangkala entah apa-apa. Mungkin ramai yang kata suka, tetapi aku tidak menolak acapkali jadi sumber kebencian orang lain. Tidak mengapa, membayangkan manusia ini seperti makanan sebenarnya. Ada enak. Ada yang nampak sedap. Ada yang kelihatan mual. Baru luaran manusia sudah jadi terlampau bijak menilai, jadi apa lagi bila soal rasa, tekak masing-masing entah bagaimana.

Kita mungkin akan jatuh hati dengan sesiapa sahaja.
Mungkin jatuh hati sebab rupa.
Mungkin jatuh hati sebab kata-kata.
Mungkin jatuh hati sebab layanan mesra.
Mungkin jatuh hati sebab itu kehendak kita.

Dan siapalah kita untuk menolak perasaan dan kehendak diri sendiri?
Boleh, kita boleh kawal diri, kawal nafsu dan apa sahaja bila bercakap mengenai kehendak - tetapi kalau ada orang merasakan ianya sebagai satu bentuk keperluan hakiki, bagaimana? Aneh sahaja mahu suruh orang mengawal segalanya sedangkan masing-masing mahu bahagia.

Itu menjadikan aku cinta kicau burung biru.
Aku bebas menulis dengan seratus empat puluh aksara sesuka hati aku.
Merasakan cabaran aksara yang terhad, cinta aku tidak terhalang dan aku tidak mahu membiarkan ilham aku terbatas dengan apa yang aku mahukan. Walaupun kadangkala kicauan aku tiada sambutan.
Ah, masih lagi yang bergelimpangan.

Cinta aku pada kicau burung biru adalaha di mana aku boleh lihat manusia dari pelbagai sudut apabila mereka menyusun aksara. Manusia yang berceratuk yang digelar anak-anak burung di dalam garis masa aku kebanyakannya manusia yang mengerti apa tulisan sebenar dan bukanlah dalam kelompok yang kau akan muntah bila baca. Sebab itu cinta kicau burung biru muncul ibarat nyanyian burung di pagi hari mencari rezeki dan pulang malam apabila perut sudah terisi.

Tidak.
Dalam kicauan yang kadangkala terlampau perlahan, kadangkala anehnya laju - percambahan minda dan jiwa mungkin berlaku.

Di situ mungkin ada lakonan terlampau keji.
Di sana mungkin ada drama aneh yang kau gelak geli hati.
Di situ mungkin ada mereka yang bercakap sendiri.
Di sana mungkin ada sesuatu yang kau boleh simpan dan jadikan renungan diri.

Macam-macam dengan seratus empat puluh aksara.
Jadi aku, manusia beku yang masih setia menulis sebab suka-suka, kepuasan peribadi bila ada seorang dua yang baca lebih terarah untuk mengumpulkan berita daripada khabar angin yang bertiup menggila. Membaca itu tidak salah, menyebarkan benda yang tidak tahu kebenarannya boleh bikin fitnah gila.

Tidak (lagi).
Ini bukan persoalan cinta ibarat makan mi segera.
Ini bukan mengenai cinta jatuh dari tangga bergerak di pasar raya.
Ini bukan tentang kata-kata manis ibarat gula tumpah di dalam periuk sirap jingga.
Ini bukan berkaitan dengan mana-mana ikatan jiwa.

Ini hanya satu kicauan bila aku terbatas menulis di garis masa yang had cuma seratus empat puluh aksara. Ya, aku tahu boleh dipanjangkan dengan pelbagai cara, tetapi aku harap kicauan seratus empat puluh aksara itu lebih bermakna. Seperti aku menulis tentang pemilik rusuk kiri yang belum ditemui di mana-mana sudut muka bumi ini, aku sedar ramai yang mengeji dengan sepenuh hati.

Tapi itulah.
Benci bawa kita kepada cinta kicau burung biru.
Suka bawa kita kepada cinta kicau burung biru.
Marah bawa kita kepada cinta kicau burung biru.
Geram bawa kita kepada cinta kicau burung biru.
Bosan juga bawa kita kepada cinta kicau burung biru.

Bukan menolak kewujudan dan kelebihan Mukabuku, tetapi bila mula berkicau bersama burung biru, anehnya Mukabuku sudah rasa seperti melihat tiang yang dipakaikan seluar dalam. Sepatutnya bernafsu melihat seluar dalam, tapi bila melihat tiang, nafsu luntur begitu sahaja. Boleh?

[Sumber Gambar]

Cinta kicau burung biru.
Memberikan aku nafas dalam setiap tulisan yang baru.
Buatkan aku terfikir akan sesuatu.
Ada sesiapa mahu beli jika aku buat buku?

Nota Kaki :
Pelik apabila menyatakan tulisan aku ibarat manusia yang kecewa akan sesuatu. Ah, kalian tidak menyelami apa yang sebenarnya aku cuba untuk sampaikan dan menebak kasar dengan berikan satu pengertian yang buat aku ketawa.

Zara : Senyumlah seperti kita tidak pernah menangisi kehidupan yang kadangkala penuh ujian yang tiada henti kerana dengan senyuman itu kita akan jadi manusia yang tidak pernah kalah dengan apa pun. (Shafaza Zara, 2011)

6 comments:

oreo oreo said...

mestila nak beli kalau kak zara buat bukuuuuu! jadi silekan buat cepat cepatin okay!

senyumlah senyumla senyumlah kak zara hansem kacak! :P

neyra shazeyra said...

=p

lizz said...

senyum boleh buat kita menjadi lebih positif pastinyer. senyum biar ikhlas untuk semua orang ;)

asnizaziz said...

ya kak zara yang hensem dan awesome..sy pon nak beli kalau anda buat buku ^^

SyazwanSarawak said...

tajuk entri boleh buat lagu. hehe

Wadi AR said...

kak zaraaaaaaaa sepp!