Tuesday, September 27, 2011

Hidup Itu Indah Walaupun Sementara


Ada ketikanya hidup kita akan dirundung dengan masalah, satu persatu tanpa kita minta. Adakah senyuman kebahagiaan akan direnggut bersama-sama sehingga kita tidak mampu untuk kenal, apa yang kita mahukan dalam kehidupan hari ini dan seterusnya?

Anehnya, ada yang mahu berhenti sahaja.
Tidak mahu melihat ke belakang, mempelajari sesuatu agar kekuatan melangkah ke hadapan bukan satu igauan ngeri, bahkan satu impian yang cantik murni. Mengapa enggan membiarkan hati dan perasaan lebih terbuka memulakan sesuatu yang baru dan tinggalkan yang lama sebagai suatu bentuk pengajaran

Dan aku sejujurnya melihat apakah yang aku mahukan dalam hidup yang sementara ini. Adakah mahu terus berduka dan mengingati kisah silam yang entah apa rasa dan perisa. Ada yang manis tentunya, dan yang pahit serta tawar juga penuh berwarna. Tapi tidak ada suatu pun yang menghalang aku daripada terus hidup dengan ceria dan memilih untuk mencari apa itu bahagia.

Diam.
Tunduk membisu dan teruskan pembacaan satu persatu. Anak yang keletah bercakap, kuat ketawa dan senang senyum ketap gigi tanpa meluahkan bicara sudah semakin senak pemikirannya. Mahu menjadi yang terbaik memang susah dan sukar perjalanannya. Tapi anak itu tahu, dengan menulikan telinga dengan segala tohmahan dunia, dia pasti mampu mengatasi segala. Usikan nakal, telahan gila dan makian cerca sudah lama dia hadam walaupun tekaknya luka. Lidah kelu tetapi jari gemuknya masih mahu menuntaskan bicara. Beku dan sayu.

Duduk berbual dengan seorang rakan sekerja sepanjang petang semakin membuka mata tentang perjalanan hidup sekarang. Ketawa riang dengan melemparkan segala kekusutan ke dalam naluri paling dalam sebenarnya lebih banyak menjadikan diri mampu berdiri hari ini. Setakat telahan manusia yang langsung tidak menyelami apakah makna yang terselindung disebalik aksara beku yang dipaparkan buat dunia, sekali lagi, lantangnya tulisan dan bicara sarkastik hanya mampu diterjemahkan bila dia punya sengihan yang menafsirkan celakanya dunia.

http://s0.i1.picplzthumbs.com/upload/img/c9/31/a2/c931a25483743b9b4d8fb3f2682e4f1f44d7a57e_wmeg_00001.jpg
Keluarga bahagia. Emak, anak dan bapa. Eh. Ini keluarga kesayangan aku. Mereka salah satu sebab mengapa aku rasakan hidup ini amat bermakna.

Senyum sinis.
Istilah sombong, bangga diri dan bongkak pernah dilemparkan sehingga manusia beku ini termangu. Tidur malam sudah jadi tidak menentu apabila memikirkan betapa manusia yang tidak mengenali dan menyelami kiasan hidup sewenangnya melahirkan rasa hati bagaikan kentut di muka sendiri. Ah! Untuk apa meninggi diri sedangkan hidup ini ternyata hanya sementara dan diri beku ini bukan sesiapa di dunia. Tiada yang mengenali bahkan terperuk sahaja membaca satu demi satu benda kaku yang dilayangkan menggunakan teknologi. Indah manusia menjadikan kehidupan ini suatu tempat yang membuang taman permainan dari senarai tempat kegemaran.

Harapan.
Kadangkala ianya kosong dan perlu diisi dengan berhemah agar apa yang dikeluarkan tidak pernah akan membebankan. Kesakitan juga dapat dihindarkan. Bahkan, diri pasti akan penuh dengan senyuman. Walaupun ramai yang akan mencebik dan menolak sebuah impian, siapalah mereka untuk menafikan hak kita dalam kehidupan? Bahkan kita seorang insan. Binatang juga punya hak, apatah lagi kita yang bukan haiwan. Ah, menyelam dan berenang sambil ketawa riang dalam lamunan.

Setiap daripada manusia yang melalui kekecewaan dan mainan perasaan pastilah pernah terlintas mahu memutarkan masa dan kembali kepada saat mereka memulakan sesuatu yang indah tetapi berakhir dengan kisah celaka yang lebih mengundang air mata dan kata-kata kesat semata. Mungkin tidak diluahkan kepada si pembuat onar, tetapi dalam imaginasi liar dan marah, bayangan pembunuhan tanpa ditangkap menjadi wayang hampir setiap malam apabila cinta yang dipertahankan musnah di tangan manusia lain ataupun si dia yang dipuja sepenuh jiwa.

Satu demi satu babak yang dibayangkan muncul di kaca mata.
Bagaimana segalanya dilakukan dengan terperinci, disusun bagaikan mengarahkan sebuah filem seram berdurasi satu setengah jam. Sempurna tanpa satu cacat cela dengan watak utamanya hanya berdua dan pengakhiran yang nyata, pengkhianat akan mati di tangan pencerita walaupun entah berapa kali jalan cerita berubah. Pastinya, mati itu adalah tujuan walaupun hakikatnya bangun dan menangis mengenangkan betapa celakanya manusia yang mengkhianati sesuatu yang indah dan dirai.

Tetapi, itu kalau kita di pihak yang merasai kegagalan yang amat sangat.
Kita di sebelah tembok yang menahan kesakitan bagaikan ditembak.
Kita di bahagian yang menadah diri dengan tikaman bertubi kenyataan kejam.
Itu kalau kita di situ.
Tetapi bagaimana di pihak yang mungkin merasa kesal akan perbuatan mereka?

http://s0.i1.picplzthumbs.com/upload/img/18/dc/d7/18dcd76e87feefea0c6210a602c260d142af90e7_wmeg_00001.jpg
25 September 2011 - Mula semula mencari sesuatu yang lebih baik dalam diri. Apakah mampu memasuki dunia baru dengan senang hati ataupun berhati-hati?


Dan itu antara penyebab mengapa aku memilih untuk terus kekal gembira. Untuk terus ukir wajah ceria.Kerana aku tahu aku berhak memilih yang terbaik dalam hidup aku sendiri. Cukup sudah memberikan terlampau banyak untuk orang lain sehingga diri sendiri tidak mengenal erti gembira yang sebenar.

Doa kuat-kuat agar esok bawa bahagia.
Bisik pada telinga moga mentari kekal bercahaya.

Nota Kaki :
1. Maaf kalau ada yang tidak senang dengan gambar kali ini.
2. Tahukah kamu bahawa sesuatu benda itu boleh disangkal mudah oleh minda tetapi kedegilan hati terhadap sesuatu perkara ibarat mencungkil kotoran degil dicelah sisip kaca makmal?

Zara : Ketawa riang aku mahu kamu renggut. Ini bukan padang ragut yang penuh dengan haiwan berjanggut, ini bukan ladang ternakan yang penuh dengan rumput, ini sebuah hati yang sedang mereput.

9 comments:

abdul azim b mohamad isa said...

penjodoh bilangan yg sesuai utk hati adalah sekeping. sebuah adalah utk hati yg besar. oh, zara pasti mempunyai hati yg besar utk telan semua keperitan dan merawat luka sendiri. sebuah hati zara.. =)

Angah said...

(Senyum sinis.
Istilah sombong, bangga diri dan bongkak pernah dilemparkan sehingga manusia beku ini termangu. Tidur malam sudah jadi tidak menentu apabila memikirkan betapa manusia yang tidak mengenali dan menyelami kiasan hidup sewenangnya melahirkan rasa hati bagaikan kentut di muka sendiri. Ah! Untuk apa meninggi diri sedangkan hidup ini ternyata hanya sementara dan diri beku ini bukan sesiapa di dunia. Tiada yang mengenali bahkan terperuk sahaja membaca satu demi satu benda kaku yang dilayangkan menggunakan teknologi. Indah manusia menjadikan kehidupan ini suatu tempat yang membuang taman permainan dari senarai tempat kegemaran.)

-zara, munkin kamu perlu ubah sedikit cara pembawaan diri kamu, supaya org tidak lagi mengistilahkan diri kamu seperti yg kamu tulis ini...

F A R Y N said...

budak cina tu comel...
ekekekkekee

Hami Asraff said...

Suka entri ini. Terus melangkah dengan gagah. Terus tersenyum walaupun payah :)

eiela said...

suka dengan tajuk, hidup memang indah walaupun sementara. nikmati hidup itu dengan sebaiknya.

SECRET IN THE HEART said...

Benar...
Hidup itu indah walaupun sementara...

Eyzan Encha said...

sangat suka. bersama membina hidup yg ceria, gembira.
hidup ini singkat, hanya sementara. jangan buang masa terlalu lama dengan berduka. bersyukurlah, dan merasa bahagia. ^_^

izzad b* said...

hidup kene tabah, hati kene kuat!sape yg tak senng hati dgn gambar tu, abaikan aje... kekeke

takky said...

sedang mencari senyuman ikhlas di tempat baru....
kuatkan hati dan tabah hadapi dugaan....
u can do it Takky...
thankz kak Z 4 ur entry....
^O^