Sunday, October 16, 2011

Tubuh Badan Dan Keyakinan Diri


Itu benda yang selalu dialami oleh remaja bukan?
Tidak semestinya remaja, ia menular ke setiap lapisan masyarakat dan tidak mengira jantina. Mungkin di mulut kamu boleh menafikan fakta tersebut, tetapi secara jujurnya, benda begini masih menjadi kayu pengukur dalam masyarakat dan pelbagai bidang lain yang tentunya menjadi salah satu ciri-ciri yang diperlukan dalam hidup (bagi sesetengah perkara).

http://farm5.static.flickr.com/4008/4326729708_b580cf037b.jpg
[Sumber gambar]

Sabtu, disebabkan ada satu program berkaitan dengan kesihatan, aku menjalani pemeriksaan kesihatan secara suka rela. Ya, bagi sesiapa yang mengenali aku, membuat pemeriksaan gigi secara berkala dalam lima bulan atau enam bulan sekali sudah menjadi rutin. Kalau masa zaman universiti, setiap semester aku akan pergi disebabkan ia menjadi satu kepuasan diri. Menderma darah setiap tiga bulan sekali adalah salah satu rutin yang aku cuba amalkan dengan sasaran setahun mesti empat kali. Tahun lepas hanya beberapa kali dan setakat bulan September lepas, catatan dalam buku merah tersebut, baru tercatat angka 13. Perlu mengejar impian.

Dan semalam, aku berkesempatan untuk bertemu dengan pakar pemakanan. Ya, kali pertama aku jumpa pakar pemakanan bertauliah. Selama ini aku hanya mendengar tentang mereka, bagaimana cara mereka bekerja dan semalam, kebetulan aku rasa aku perlu berjumpa seseorang, maka aku luangkan sedikit masa sebelum acara bermula. Dalam pertemuan itu, pakar pemakanan itu sebenarnya terkejut aku sudah berbulan tidak menjamah nasi. Kalau ada sekalipun, pastinya tidak lebih dari 3 suap. Itupun, nasi putih sahaja tanpa lauk sampingan - beberapa bulan lepas. Ya, aku gila, aku tahu.

Dengan regim gila begitu, ditambah dengan aktiviti sukan serta kesibukan aku bekerja, aku hilang dua belas kilogram. Ya, satu nombor yang agak besar, tetapi hasil pemeriksaan semalam, aku masih dalam kategori gemuk. Masih dalam keadaan di mana berada di sempadan garis - "lebih berat badan". Perlu lebih banyak berusaha aku rasa. Secara jujurnya, mempunyai rangka yang besar seperti ini, termasuk tulang padu dan baka keturunan yang besar, aku takut. Takut dengan keadaan diri. Kesihatan diri.

Selepas pemeriksaan dan mendapat pelbagai nasihat daripada pakar pemakanan tersebut, aku duduk berbual dengan rakan sekerja. Dia bertanyakan apa tujuan aku buat segala rutin gila aku selama berbulan-bulan ini. Secara jujurnya, aku bukan mengejar badan langsing seperti mana-mana model, tetapi aku perlukan badan yang sihat dan bebas dari penyakit. Sejarah perubatan keluarga tidak cemerlang dan aku tidak mahu mengikut jejak langkah mereka dan mengorbankan usia muda aku dengan menelan deretan pelbagai ubatan. Untuk pengetahuan, walaupun tidak menjamah nasi, aku masih lagi mengamalkan pemakanan seimbang. Er, mungkin kurang bekalan karbohidrat sedikit. Hah.

http://farm4.static.flickr.com/3328/3633858301_225ca9fa11.jpg
[Sumber gambar]

Kenapa?
Apa kaitan tubuh badan dengan keyakinan diri?

Aku pernah melalui zaman kanak-kanak dan zaman remaja (sehingga sekarang pun sebenarnya) - orang di sekeliling aku memilih rupa paras, saiz tubuh badan dalam bersosial. Ya, dari dalam kelas, membawa kepada luar kelas sehinggalah membawa kepada alam pekerjaan, orang masih menilai luaran. Sakit? Ya, sangat sakit sebenarnya.

Pernah diejek sebagai hodoh, gemuk, rasaksa, "Giant",  bonsai dan sebagainya, aku melalui hidup yang meletakkan senyuman sebagai salah satu penawar paling ajaib dalam dunia. Senyum sahaja kepada mereka yang menjuihkan bibir disebabkan kehodohan aku. Senyum manis kepada mereka yang mengejek aku gemuk dengan cuba berfikir positif bahawa mereka mungkin kecewa mereka kurus. Senyum sahaja kepada mereka yang jerit aku rasaksa dengan membayangkan mereka sakit hati kerana Ultraman itu hanya wujud dalam televisyen. Ya, senyuman sebagai penawar terbaik aku dalam menjalani kehidupan dalam hidup ini. dan bonsai? Bukankah bonsai pokok yang mahal?

Zaman persekolahan (sehingga sekarang pun), kalau disukai oleh lelaki, adalah suatu perkara ajaib. Disukai oleh perempuan cantik juga satu benda ajaib. Kebanyakan rakan atau manusia disekeliling aku, yang masih kekal sehingga kini adalah manusia yang tidak pernah menilai itu semua. Tetapi sesetengah daripada yang lain, menilai dengan ciri-ciri cantik, tubuh badan yang menarik dalam menjalinkan persahabatan. Kawan-kawan yang boleh saling bertukar pakaian, kasut dan sebagainya. Aku, malangnya, bukan salah seorang daripada golongan tersebut. Mana ada yang mampu menyarung pakaian 3XL aku masa zaman belajar dahulu? Boleh pakai, tapi pastinya boleh letak 5 orang mereka di dalamnya, berbanding aku yang seorang diri dalam pakaian sedemikian.

Satu perkara yang aku suka pada diri aku secara jujurnya, adalah aku meletakkan itu semua di belakang dengan memberitahu diri sendiri - "Tak cantik pun tak mengapa. Tak kurus macam orang lain pun tidak mengapa. Yang penting otak mesti berguna. Yang penting mesti pandai. Cantik dan kurus itu mungkin tak bawa ke mana kalau otak tidak berguna"

Bagi sesetengah orang, itu perkara remeh.
Bagi sesetengah orang, itu perkara mengada.
Tetapi bagi sesetengah orang macam aku (mungkin), itu satu-satunya cara aku berdiri atas dunia. Tiada kecantikan fizikal macam sesetengah orang lain, tiada penampilan menarik, tetapi aku tahu aku ada sesuatu yang lain bagi membolehkan aku 'dilihat' oleh masyarakat. Susah, tetapi itu semua perlukan usaha. 

Aku pernah melihat budak sekolah yang enggan ke sekolah disebabkan pada usia yang boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak, dalam 10 hingga 11 tahun berbadan besar - hampir 100 kilogram, seorang budak perempuan. Betapa dia menjalani hidup penuh derita diejek oleh rakan-rakan dan dia ponteng sekolah hanya disebabkan perkara sedemikian. Pada aku, itu sesuatu yang merugikan. Dan aku bukan dalam kedudukan untuk menyalahkan sesiapa. Cuma, itu sesuatu yang menyedihkan. Masa depan terjejas hanya disebabkan pandangan masyarakat yang tidak cerdik dalam membuat perubahan.

Tidak dapat dinafikan, sesetengah orang tidak kisah dengan perkara begini.
Apa salahnya badan besar kalau aku sihat?
Apa masalahnya dengan keadaan begini kalau aku gembira?

Bukan satu masalah pun sebenarnya. Seperti yang aku nyatakan, ia bagi sesetengah pihak sahaja. Tidak ditujukan kepada sesiapa dan perlu diingatkan bahawa aku menulis ini sebagai satu luahan berbentuk peribadi. 

Aku tengok langit.
Kehidupan apakah yang aku lalui sekarang?
Aku bukan sesiapa dalam dunia ini. Aku manusia yang hanya tahu buat benda yang aku pelajari sejak sekian lama. Sejak aku kenal lebih mendalam dan menjelajah lebih luas siapa aku. Yang aku temui, satu perkara yang jelas serta cukup nyata. Mata terkelip-kelip sekalipun, aku tetap jumpa sebaris kata, aku bukan sesiapa dalam dunia ini.


Tidak.
Aku tidak pernah langsung menyalahkan sesiapa dalam dunia ini. Sedar apa yang berlaku atas kelemahan diri, kebodohan dan entah apa lagi sifat mazmumah dalam tubuh sendiri membuatkan aku rasa lebih kuat untuk membasuh segala kecelakaan yang bersimpongan. Lemah bukan beerti aku kalah, kuat bukan bermaksud aku akan sentiasa menang. Itu aku selalu ingatkan pada diri sendiri. Ah, manusia kan mudah lupa.


http://farm4.static.flickr.com/3645/3505953881_2d68165dd7.jpg
[Sumber gambar]

Untuk mereka yang pernah wujud dalam hidup aku dengan melemparkan kata-kata menyakitkan seperti yang kamu semua tahu, aku cuma mampu mengucapkan terima kasih. Terima kasih kerana membuatkan aku menjadi manusia yang sanggup buat apa sahaja demi senyuman dan kepuasan diri sendiri. Terima kasih kerana menjadikan aku manusia yang berfikiran jauh dan mengambil berat akan kesihatan diri sendiri. Terima kasih kerana membuatkan aku tidak pernah berhenti berusaha untuk menjadi yang terbaik di atas dunia ini. Terima kasih atas segalanya.

Terima kasih kerana pernah menyakiti aku.

Senyum.
Aku selalu ingatkan diri. Tidak perlu mengejar mahu jadi yang terbaik dalam semua benda. Boleh jadi baik, tetapi kalau boleh, biarlah memberi tumpuan dalam satu perkara kerana itu akan menjadikan diri lebih istimewa dan bernilai. Bersungguh benar  mencari apa kelebihan dan kekurangan diri. Penilaian kendiri buat aku lebih tahu apa yang dia mahu dalam perjalanan menuju abadi.


Betul.
Semakin menginjak usia, semakin banyak benda yang dekat dengan masyarakat yang terpaksa dihadam dan ditelan walaupun pahit. Lebih-lebih lagi dengan kerjaya aku yang dekat dengan masyarakat, setiap hari bercampur gaul dengan masyarakat, mahu atau tidak, kena juga tahan dan ambil sahaja yang perlu dan berguna pada diri. Yang kurang berguna dan aku tandakan sebagai kurang penting, aku abaikan. Senang sahaja hidup aku.

Aku belajar.
Menghargai diri sendiri yang tidak pernah beerti kepada sesiapa.
Akur.

Mencari redha Allah lebih baik daripada redha manusia.
Dan ya, tulisan aku ini bukan tanda tidak bersyukur. Sudah tentu aku bersyukur dengan nikmat Allah, dengan ciptaanNya, dan tidak pernah terfikir untuk mengubahnya. Aku cuma buat sesuatu untuk kesihatan diri sendiri. Itu sahaja.

Noktah.

Nota Kaki :
1. Aku perlu mengurangkan lagi berat badan. 12 kilo itu tidak cukup lagi. Ha ha ha.
2. Ada sesiapa nak menaja aku PB? Eh.

Zara : Hidup kita kena gembira. Orang yang paling tidak gembira sekali dalam dunia ini adalah orang yang tidak menghargai apa yang dia ada, tetapi sibuk nak menghargai dan mendambakan apa orang lain ada. Jadi, sila hargai diri sendiri dan apa disekeliling kita. (Shafaza Zara, 2011)


16 comments:

tOyO said...

pedulikan kata orang..yg penting aku tahu hargai dan sygkan diri..bersyukut dgn kurniaan yg diberikan kerana ramai gi yang krg bernasib daripada kita..

peace!!

kembatolo™ said...

hidup untuk mendapatkan redha Allah. itu lebih utama dari redha manusia. kan kak?

baby elepent said...

truskn idup ngan ceria..jgn ambik peduli sgt ngan ape yg dickpkan..idup kita..kita yg tentukan

baby elepent said...

truskn idup ngan ceria..jgn ambik peduli sgt ngan ape yg dickpkan..idup kita..kita yg tentukan

Anonymous said...

perot punca segala penyakit... jagelah perot anda... nie main makan jer... nnt sakit jangan pulak kau mengeluh... puiii!

reenapple said...

betull.. otak yang berguna adalah yg paling penting..=)

Si Gadis Semasa said...

sakit bila terpaksa senyum dan tahan ejekan orang . manusia .

Diyana said...

You know what, your post buat terfikir something.

Those times that they used to say I'm ugly, I should've laugh at them instead of crying.

tan said...

wOw..12kg zara??hebat!
x gegel ke x mkn nasik?

pe pOn yup agree ngn pe yg awak tulis =)

Anonymous said...

yyy

Anonymous said...

aku pun masih begitu.. mempunyai rasa diri yang sangat rendah. dalam fasa paling rendah dalam hidup aku.. ketika bangun pagi, aku rasa..kenapa aku masih hidup..mahkluk yang hodoh dan hanya menyusahkan orang..
usia sudah dewasa pun..masih berperasaan yang sama.

maizatul suraya said...

hebatlah zara! aku pun tgh berusaha diet tak makan nasik skrg. orang sekeliling risau, tapi aku lg risau kalau kolestrol tinggi. aku tidaklah gemuk, tp berat aku heavy sgt, tak sesuai dgn kebonzaian aku. so, zara! c'mon. makan sayur dgn buah je tiap2 hari. yg zat lain just amik suplimen. byk minum air tau! :))

muahmuah zara!

TheBentPencil said...

baca buku novel Girl daripada Danielle Steel. sedih jugak baca sebab terkena batang hidung sendiri. uhuk~

tapi ada perkataan dalam tu yg menarik perhatian saya "every lid for a crockpot--every one has his/her soulmate, just be patient of it."

Little_froggy said...

kadang kite cuba positif,positif dan terus positif,
smpai kite penat dah nk berfikir, nk terus positif, sbb hakikat tu mmg tak boleh diubah,
tapi nk tak nak, hidup perlu diteruskan, dem jee rase, pfft! =.=

EZAN IDMA said...

keyakinan diri adalah bende yang sgt penting utk hadapi semua ni. peduli kata org. janji kita bahgia dengan cara kita

enigma girl said...

We know we love ourselves but we still have to take care ourselves that Allah give to us
Keep ur efforts in to be a Healthy person =)