Saturday, December 31, 2011

Dua Puluh Sebelas : Sorotan Dan Rangkuman



Hari ini hari terakhir dua puluh sebelas.
Macam baru semalam aku menulis tentang dua puluh sepuluh. Tentang bagaimana tahun dua puluh sepuluh sebagai satu tahun menolak kematangan diri. (baca sini). Tahun dua puluh sebenarnya adalah tahun di mana aku secara dalam diamnya mendaki dan berusaha untuk menulis secara serius bagi tahun dua puluh sebelas. Ya, bagaimana dua puluh sepuluh sudah ditinggalkan, dua puluh sebelas juga bakal melabuhkan tirai.

Dalam tahun dua puluh sebelas, pelbagai peristiwa berlaku. Setiap satunya pasti meninggalkan kesan dan pengajaran untuk memberikan lebih baik pada tahun dua puluh dua belas. Sebagai catatan, tahun dua puluh sebelas bakal aku tinggalkan dengan tiada satu pun istilah percutian. Ya, tiada. Kegilaan aku pada kerjaya dan  entah apa yang merasuk semangat aku untuk tidak kenal erti penat dan lelah berusaha mencapai apa yang aku mahukan. Mungkin ada yang sudah menjadi milik aku, mungkin juga ada yang terlepas dari genggaman serta ada juga yang sudah aku lupakan dalam perjalanan. Hidup perlu diteruskan, bukan?

Senyum.
Itulah satu benda yang aku tidak pernah tinggalkan dalam hidup sepanjang dua puluh sebelas. Jujurnya, aku akan sentiasa pastikan senyuman itu tidak akan menjauh dan terus dibawa ke tahun hadapan dan seterusnya. Kalaupun mungkin aku akan menangis seketika, aku tidak mahu senyuman itu lekang kerana ia dapat mengusir derita. Walaupun orang kata itu satu langkah berpura, kau sebenarnya tidak tahu bila kau akan tersenyum lagi nanti.

[Sumber gambar] - Mari kita lihat apa yang telah dilaksanakan sepanjang dua puluh sebelas.

Januari. [pautan]
Aku mulakan Januari dengan tahun kedua berkhidmat sebagai seorang guru. Dengan tugasan yang bertambah serta banyak lagi benda menyeronokkan termasuk kegiatan aktiviti luar, aku memastikan setiap apa yang aku buat tersusun supaya apa yang aku mahukan terhasil dengan baik. Awal tahun juga kesibukan melanda, tapi aku masih menulis seperti biasa. Dalam aku saling memberikan imbangan yang aku rasa sudah cukup baik antara kerjaya dan kehidupan peribadi, aku diuji dengan kehilangan manusia yang aku cintai pada penghujung Januari. Aneh kenapa tiada dalam Dunia Sebelah Zara?
Senyum.

Februari. [pautan]
Menerima hakikat kehilangan setelah lama bersama bukanlah mudah aku rasa. Cuma bila berhadapan dengan situasi menyakitkan seorang diri, apa yang penting adalah bagaimana menguatkan diri sendiri. Aku rasa disebabkan aku menulis dengan lebih serius tentang perasaan manusia, tentang bagaimana menghadapi masalah dan sebagainya, Dunia Sebelah Zara telah menjadi satu daripada keutamaan aku selain daripada kerja hakiki. Pada bulan ini juga, aku telah dilamar menjadi sebahagian daripada tenaga kerja Terfaktab. Oh ya, bulan Februari juga menyaksikan aku memulakan misi mustahil aku sendiri - tidak makan nasi.

Mac. [pautan]
Bersedia untuk menghadapi peperiksaan - salah satu benda wajib dalam perkhidmatan aku. Saat ini, aku bergelumang dengan nota, latihan dan tugasan yang sudah lama aku tinggalkan. Aku belikan diri sendiri sebuah meja belajar, untuk duduk memberikan tumpuan. Puan Mulia kata aku gila sebab aku memilih untuk beli meja belajar berbanding dengan meja solek. Tapi, dengan meja belajar juga aku boleh bersolek. Bukan kalian tidak kenal kegilaan aku kan?

April. [pautan]
Aku lebih fokus menulis tentang benda yang berlaku dalam hidup aku dan manusia di sekeliling aku. Masa ini aku sudah buang segala perasaan mengarut aku pada benda yang tidak membawa kepentingan langsung. Kegilaan aku pada kerjaya memuncak mulai saat itu. Keseronokkan yang aku dapat daripada apa yang aku buat, tidak termasuk aktiviti luar dan sekolah membuatkan aku lupa segala masalah dan dapat memberikan tumpuan lebih banyak pada diri sendiri dan keluarga. 

Mei. [pautan]
Orang lain mungkin bercerita tentang cuti, tapi aku lebih suka memikirkan kerja aku. Menulis dan terus menulis walaupun banyak kritikan dan komentar yang tidak membina dilemparkan. Aku seperti biasa, hadam segala duka, telan segala kepahitan supaya tidak akan ada jiwa yang tercedera. Cukuplah dengan apa yang aku terpaksa lihat depan mata. Oh, penghujung Mei - Ketua Keluarga Hebat, Puan Mulia dan adik bongsu aku melakukan umrah lagi, bersama dengan beberapa anggota keluarga. Bermula episod aku menjaga adik beradik di rumah ketika cuti dengan mengorbankan kegiatan luar aku semasa cuti.

Jun. [pautan]
Amanah yang ditinggalkan, alhamdulillah dapat dilaksanakan secara baik. Aku banyak belajar bagaimana menguruskan rumah tanpa kehadiran orang tua, belajar memasak secara aku seorang sahaja yang menguasai dapur, menguruskan kewangan dan sebagainya. Tapi malangnya, kegembiraan menyambut orang tua aku di lapangan terbang dicemari dengan insiden yang merobek hati aku sebagai seorang manusia. Herdikan dan makian yang aku terima saat itu daripada manusia yang aku pernah kagumi merubah persepsi aku terhadap apa yang kita panggil sebagai berhemah dan rasa hormat aku terhakis serta merta. Apa pun yang berlaku saat itu, aku dengan gembiranya tahu bahawa aku masih punya Emak dan Abah serta adik beradik yang sentiasa percaya dengan aku. Alhamdulillah.

Julai. [pautan]
Siapa sangka permulaan bulan yang baik akan berubah dalam masa yang sangat singkat? 20 Julai, aku kemalangan dengan Adam Awraq kesayangan yang belum pun mencecah setahun remuk habis di bahagian hadapan, petang dalam perjalanan aku pulang dari sekolah. 22 Julai, dalam jam tiga pagi, rumah aku dimasuki perompak bersenjata seramai empat orang. Segala harta benda berharga direnggut daripada kami sekeluarga. Dan itu adalah tiga hari penuh menyakitkan sepanjang tahun dua puluh sebelas sebenarnya. Malang yang bertimpa di saat Ramadhan bakal menjelma. Hilang pengangkutan disebabkan Adam Awraq ditarik ke bengkel dan telefon genggam memutuskan aku terus daripada semua kenalan sekian lama. Dalam kesedihan yang aku hadapi, sebenarnya aku nampak bahawa rakan alam maya banyak membantu aku sebenarnya. Twitterjaya terutamanya.

Ogos. [pautan]
Awal Ramadhan disambut dengan penuh kesederhanaan seperti biasa. Tetapi, episod penderitaan sebenarnya baru sahaja mahu bermula. 10 Ogos bersamaan dengan 10 Ramadhan, Puan Mulia jatuh di longkang kecil sekolah. Panggilan yang aku terima di sekolah buatkan aku bergegas ke sekolah dia hanya untuk mengejar ambulans yang membawa dia ke pusat kesihatan berhampiran. Pemeriksaan selanjutnya di hospital hanya memberikan kepastian terseliuh yang kami sangka rupanya patah buku lali kanan. Itu tamparan hebat kepada seorang yang kuat bekerja seperti Puan Mulia. Bermalam di hospital bersama dia dan aku mengambil alih sepenuhnya urusan di rumah. Alhamdulillah, pengalaman ditinggalkan selama dua minggu sebelum itu amat membantu. Adam Awraq juga kembali pulih. Selain itu, pada 25 Ogos, kembar yang selama ini aku kenal dengan gambar, perbualan semata-mata datang ke rumah aku. Kali pertama bertemu, bertentang mata secara alam nyata, kasihan, dia dapat hadiah yang pastinya dia tidak akan lupa. 29 Ogos - aku menginjak usia dua puluh empat tahun.

September. [pautan]
Aidilfitri yang menjelma pada penghujung Ogos disambut dengan sedikit kemurungan dengan keadaan Puan Mulia yang masih cedera, tapi kehidupan diteruskan seperti biasa. Dengan Adam Awraq sudah kembali dalam tangan, aku dihimpit dengan kesibukan semula. Pergi kursus, ekspedisi, kegiatan luar, berbasikal dan sebagainya mengisi jadual aku sepanjang bulan September, termasuk beraya dan juga menghadiri majlis graduasi seorang kenalan lama. Buat kali pertama, aku menghadiri #twtupraya bersama dengan kenalan Twitter yang pulang beraya di Muar. Kenangan terindah bersama dengan manusia yang aku kenal di alam maya tentunya. Di samping itu, aku bekerja dengan lebih gila sebagai bayaran selepas sebulan menyisihkan aktiviti sempena menghormati bulan puasa.

Oktober. [pautan]
1 Oktober membawa tulisan aku ke satu dimensi baru. Bersama dengan Terfaktab, kami melancarkan Kitab Terfaktab #1 di Uya Distro. Satu pengalaman baru melihat tulisan aku yang selama ini hanya boleh dibaca di blog sudah tercetak (dan alhamdulillah, dikhabarkan sudah masuk cetakan kedua dan masih banyak tempahan lagi). Tahniah kepada semua skuad Terfaktab dan mereka yang sentiasa menyokong kami. Dalam kesibukan berkejar ke Subang Jaya, dan sebagainya, aku memulakan tugas sebagai pengawas PMR buat kali pertama. Bulan Oktober sememangnya sibuk dan ini kali pertama aku melihat peperiksaan sebagai satu bentuk pertempuran buat diri sendiri juga. Kali pertama memegang kelas Tingkatan Tiga.

November. [pautan]
Di sebalik kesibukan peperiksaan akhir tahun, dan juga raya Aidiladha - aku dapat tugasan lagi. Menjadi pengawas peperiksaan SPM. Betapa aku mencari pengganti, tiada siapa yang mahu. Dalam aku memberontak, aku pergi juga melunaskan arahan. Kan kerja aku adalah SYMP - "Saya Yang Menurut Perintah". Aku terpaksa melupakan aktiviti kokurikulum aku yang menyeronokkan. Berkorban dan keinginan aku juga terkorban. Terpaksa melupakan lawatan ke Perlis dan Selangor. Terpaksa melepaskan peluang menyertai cabaran. Tahniah kepada diri sendiri yang dengan tabahnya tidak buat apa-apa selain menjaga peperiksaan. Sedih. Oh, aku juga mulakan menulis dengan lebih gigih untuk bulan Disember. Ramai kawan-kawan melangsungkan perkahwinan, dan ada yang terpaksa aku tolak undangan dengan baik akibat kesibukan. Seorang kawan baik sejak tiga belas tahun yang lepas melangsungkan pertunangan. Berada di samping dia saat itu, buatkan aku gembira kerana dapat meraikan hari bahagia.

Disember [pautan]
Akhirnya berakhir juga SPM. Aku dapat tumpukan pada acara terbesar dalam takwim kerja aku sebagai seorang jurulatih dengan program basikal peringkat kebangsaan. Sekurang-kurangnya, ada juga benda yang aku suka dapat aku buat. Kenal dengan lebih ramai orang, belajar banyak benda baru dan bertugas dengan cara pimpinan yang berbeza setiap hari membuka mata aku tentang bagaimana manusia perlu terus hidup atas dunia ini. Jujurnya, mereka adalah keluarga yang aku tidak mahu hilang selagi aku terus hidup dan kekal dalam kerjaya ini secara amnya. Oh, selain daripada itu, buku kedua aku muncul pada 10 Disember 2011. Dengan tajuk HERO, aku satu-satunya penulis perempuan di dalam antologi yang menampilkan lima penulis itu. Dilancarkan di Uya Distro (sekali lagi) - dengan kehadiran manusia-manusia yang aku sayang, tapi hanya mampu luahkan dalam hati, aku sangat gembira atas semua kurniaan Ilahi. Aku punya sahabat-sahabat yang baik, keluarga yang menyokong serta pembaca budiman yang aku anggap sebagai kawan. Apa lagi aku mahu minta?

http://farm4.staticflickr.com/3158/3080606182_af39d78aaf.jpg
[Sumber gambar] - Jadi bagaimana dengan cerita peribadi? Aku tidak punya jawapan mahu diberi.

Seperti selalunya, aku mengharapkan kalian yang sudi membaca akan terus menyokong Dunia Sebelah Zara sehingga ke penghujungnya. Oh, esok - 1 Januari 2012 - Dunia Sebelah Zara akan memasuki ulang tahun yang ketiga. InsyaALLAH, akan cuba berikan sesuatu kepada pembaca bertuah yang selama ini sentiasa memberikan semangat serta dorongan untuk aku terus berusaha.

Semoga yang terbaik menjadi milik kita semua. Amin.

Nota Kaki :
1. Orang sering bertanya, apakah setiap kali menjelang tahun baru perlu ada azam baru? Aku memilih untuk buat azam baru setiap hari sebab setiap hari adalah permulaan hari yang baru. Lagipun, tahun baru pada aku adalah semasa bergeraknya awal Muharam. Sebab saat itu adalah pertambahan usia aku bermula.
2. Tahun dua puluh sebelas juga merupakan tahun di mana tulisan aku berkurang dengan drastik.

Zara : Selamat menukar takwim anda semua. Selamat memberikan yang terbaik buat diri sendiri dan semua manusia. Jangan terlampau korbankan kepentingan diri hingga merana demi melihat orang lain tersenyum gembira (peringatan kepada diri sendiri sebenarnya). Jaga diri, jaga hati, jaga iman dan aku cuma mahu beritahu yang aku sayang kamu semua.


4 comments:

Si Gadis Semasa said...

up and down dalam tahun 2011 :')

Terfaktab paling bermakna buat readers :) thank youu !!!

reenapple said...

selamat tahun baru juga...

aku entah...azam aku setiap bulan setiap minggu dan setiap hari...

mengharap yang lebih baik dan bermakna pada akan datang...=)

takky said...

tahniah kak z sebab byk benda yg kak z capai menerusi apa yg kak z tulis 2...
(bagi pendapat saya la)

byk suka duka yg akak telah lalui dan akak berjaya melepasi semua halangan dengan jayanya....
walaupun halangan tersebut lebih tggi dari halangan lari berpagar ( hihiihii :P )

walauapapun yg berlaku, harap kak z tabah hadapinya...
sampaikan salam pada adam dan sean ye...
lame x dgr khabar mereka berdua...^O^

^m.r.s. f.a.r.i.z.a.l^ said...

selamat tahun baru 2012 buat kamu!
welldone for 2011 achievement.
may 2012 will be merrier:)