Monday, January 31, 2011

Hidup Riang Perlu Diteruskan.


Hujan mencurah-curah.
Aku hilang tiga hari tanpa ada sesiapa pun yang sedar.
Ketawa.
Kau bukannya penting Zara.
Ludah ke tanah.
Ah, makin bertambah air hujan di tanah merah.

Senyum.
Ini bukan kali pertama.
Bahkan aku sudah lebih bersedia untuk tidak mengalirkan air mata.
Senyum.

[Gambar : Cukuplah permainan sampai di sini sahaja. Kudrat yang tinggal harus kembali bekerja kuat seperti dahulukala.]

Diam.
Dunia masih bergerak seperti biasa.
Ceritera sudah tamat.
Malangnya diakhiri dengan episod duka.
Senyum lagi.

Masa untuk mulakan hidup baru kembali.
Gerakkan dunia seperti biasa.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Aktiviti luar harus diperbanyakkan selepas ini. Kepala yang penuh dengan kerja adalah terapi terbaik.
2. Hujan mencurah-curah dengan lebatnya sejak Rabu lepas. Apakah itu petanda yang aku tidak hiraukan ataupun diri yang tidak mengerti?

Zara : Ternyata menulis kembali adalah terapi terbaik buat aku seperti suatu ketika dahulu. Corak hidup kembali berubah dan ternyata aku masih hidup dan kekal bernyawa. Alhamdulillah.

Friday, January 28, 2011

Kau Dengar Lagi Tangisan Anak Rapuh Itu


Hening subuh, dingin.
Titisan air yang menitis dari hujung rambut dikesat bersungguh sambil mata kerap menjeling ke arah jam yang berdetik di dinding beku. Acapkali mata salah memandang waktu sebenar dan yang sepatutnya.
Diam.

Telefon genggam berbunyi, tangan segera mencapai. Nombor entah mana muncul tidak dihiraukan. Yang pastinya, panggilan itu perlu dijawab terlebih dahulu sebelum fikir entah apa-apa. Suara di hujung talian, mersik dan bergema. Mulanya tidak dikenali, ada gurauan seperti orang luar, sebelum suara sebenar muncul dan memulakan bicara.

Pemanggil : Kau kenapa?

Mendengar suara penuh prihatin bertanya, air mata yang di empang selama berhari-hari musnah, mengalir deras begitu sahaja. Sekali lagi pemanggil mendengar tangisan penuh duka dari hati yang kuat tapi rapuh atas nama cinta. Rasa marhaen penuh celaka apabila air mata berguguran dan pemanggil terlampau baik itu hanya mendengar dan memujuk penuh berjaga.

[Gambar : Menutup mata dari tangisan kelihatan buruk dan menjijikkan hati barangkali. Aneh sekali]

Pemanggil : Ceritakan apa yang jadi.
Penjawab : Sudah dua kali kau dengar tangisan sebegini.
Pemanggil : Cerita apa yang jadi, ayuh.
Penjawab : Begini...

Butir bicara yang keluar acapkali tersekat dengan tangisan yang bukan dibuat-buat. Nafas berombak, memikirkan diri yang sudah tidak terurus, bahkan rambut pun lupa disikat. Ah, kegilaan apakah yang merasuk sehingga diri sendiri terabai entah mengapa. Air mata mengalir laju bila setiap patah bicara terhambur pada pemanggil yang mendengar penuh setia.

Aneh.
Dada lapang walaupun air mata tidak sirna menghilang.
Otak kejang.
Sakit rahang.
Mata merah menyala bagai saga potong lesen terbang.

http://farm6.static.flickr.com/5163/5358525772_2aa0369414.jpg
[Gambar : Apakah kau akan habiskan masa sendirian dan menangis dalam hujan lagi?]

Tamat di sini.
Masa berhenti.
Ini tulisan hari ini.
Tentang siapa, itu kena tanya diri.

Zara : Hidup baik-baik. Hujan lebat yang menghiasi dada langit sejak dua tiga hari ini, sila menjauh pergi. Marga perlukan warna ceria, tolong.

Bila Kekasih Bertemu Bekas Kekasih...


Hidup ini kadangkala terlampau banyak warna.
Penuh dan sesak hingga kita mahu memilih satu warna sahaja.
Warna yang menggambarkan siapa diri kita.
Benda yang melambangkan perasaan kita.

http://farm5.static.flickr.com/4019/4283576074_b88a418ecd.jpg
[Gambar : Kadangkala kanvas hidup tidak semestinya ceria]

Benda yang dirancangkan musnah. Kegembiraan dan kebahagiaan luntur bila mengenangkan masa yang ada untuk membina segala memori serta kenangan indah hilang begitu sahaja. Hati mula tercalar, sedikit demi sedikit dengan kehadiran orang yang dahulunya pernah menghuni marga sang kekasih pujaan jiwa. Satu demi satu calar mula tertusuk hingga mengalirkan darah merah. Luka kering, tinggal calar serta parut hodoh sebagai hiasan hati yang sudah sakit melata.

Satu.
Dua.
Tiga.
Izinkan berkongsi cerita seorang manusia.
Dia teman, dia sahabat yang aku mahu gembira.
Malangnya, di hatinya mula terdapat palitan duka.
Sakit dan terseksa.
Jiwa.

Dia gadis yang terlampau rapuh. Mencari kegembiraan sendiri bukanlah mudah. Sering terluka akibat memendam rasa dan tatkala dia mula kuat membina hidup dan kerjaya, hati mula disinggahi cinta manusia. Hidup yang selama ini diabadikan buat keluarga semata-mata sudah mula dibuka kepada seorang lelaki yang mencuri jiwanya. Bahagia dan senyum sentiasa dengan keadaan yang mula lain daripada biasa.

Entah kenapa, kegembiraan yang sentiasa dia syukuri itu mula terjejas dengan kehadiran bekas kekasih hatinya. Wanita itu muncul dan mula buat dirinya resah. Dia percaya lelaki itu, percaya dengan janji dan luahan cinta tetapi sejak wanita itu hadir, kelibat lelaki itu sudah hampir tiada dalam setiap hari yang dilaluinya. Tidak seperti selalu, lelaki itu akan ada dan mereka saling bertingkah cerita. Tapi sejak beberapa waktu, benda itu sudah tidak lagi berlaku. Masa seakan beku.

Apakah lelaki itu hanyut bersama bekas kekasihnya?
Apakah lelaki itu sudah lupa akan janji mereka bersama?
Apakah hatinya yang bersangka buruk hingga hampir nanar dan gila?
Entah, dia tiada jawapan walau berfikir pecah kepala.

http://farm4.static.flickr.com/3491/3713326329_c504618e58.jpg
[Gambar : Dia sudah lupa apa itu kesihatan terhadap diri sendiri.]

Gadis : Maaf tadi telefon masa kau mesyuarat.
Aku : Tak mengapa. Dah habis dah ni.
Gadis : Maaf mahu susahkan kau lagi.
Aku : Ah, tiada apa-apa. Kenapa ni?
Gadis : Aku sedih sampai dah tak tahu nak buat apa.
Aku : Apa jadi?
Gadis : Kekasih aku jumpa bekas teman wanita dia lagi. Atau lebih tepat lagi, perempuan itu cari dia.
Aku : Ada urusan apa?
Gadis : Sengaja, suka-suka. Bercuti sambil bekerja di kawasan dia.
Aku : Anggap yang baik sahaja.
Gadis : Sejak wanita itu datang, teman lelaki aku langsung tak hubungi aku.
Aku : Eh, kenapa?
Gadis : Dia kata dia sibuk uruskan keperluan wanita itu.
Aku : Kenapa wanita itu tak uruskan diri dia sendiri?
Gadis : Entah. 
Aku : Kau telefonlah teman lelaki kau, kalau dia tak hubungi kau.
Gadis : Setiap kali aku telefon, operator yang jawab. Kalau aku hantar SMS, dia tak balas.
Aku : Oh, itu gila.
Gadis : Hari itu ada kecelakaan di tempat berhampiran kediaman dia, aku risau jika kawasan rumah dia terjejas sama, aku cari dia berkali-kali tiada jawapan sampai aku terpaksa selongkar FB kawan dia satu persatu untuk tahu kalau dia selamat.
Aku : Habis tu?
Gadis : Dia selamat. Aku tanya pada kawan dia yang kawan dengan aku juga.
Aku : Dia tak hubungi kau?
Gadis : Dia cuma hantar pesanan dia selamat dan itu sahaja.
Aku : Itu sahaja?
Gadis : Ya. Kau tahu apa aku rasa sekarang ni?
Aku : Apa dia?
Gadis : Aku nak ambil penerbangan ke tempat dia dan cari mereka, tengok apa mereka buat.
Aku : Eh, kau kan kerja?
Gadis : Itu kalau aku gila, setakat ini aku cuma dapat berserah dan paksa diri aku percaya dia.
Aku : Tabahlah ya? Aku faham apa yang kau rasa.
Gadis : Kenapa? Kau pernah rasa?
Aku : Tak nak jawab soalan itu, cuma cukuplah aku kata aku faham ya? Kau kena kuat, kau sibukkanlah diri ya? Supaya kau boleh tenang macam selalu.
Gadis : Aku tak kuat Zara, aku tak kuat.
Aku : Kau boleh. Kerapuhan kau adalah kekuatan kau sebenarnya. Percayalah.
Gadis : Kau tahu aku sedang menangis kan?
Aku : Boleh dengar, cuma jangan ikut perasaan.
Gadis : Kalau kau di tempat aku sekarang ini, apa akan kau buat Zara?
Aku : Kalau aku? Aku akan buat macam aku cakap pada kau tadi. Buat sibuk dengan kerja lain sehingga aku tak fikir apa-apa selain kerja.
Gadis : Kau boleh ke lupakan benda begini bila sibuk?
Aku : Macam aku kata, kau harus cuba.
Gadis : Baik. Kau tahu?
Aku : Apa dia?
Gadis : Aku tunggu dia dari awal pagi sampai aku terlelap entah jam berapa.
Aku : Kesihatan diri kena jaga juga kan?
Gadis : Dah tak perlu aku jaga diri aku untuk manusia macam tu.
Aku : Haish! Jangan begitu.
Gadis : Kau comel macam panda, aku nak begitu juga.
Aku : Jangan tiru aku, aku ada alasan sendiri.
Gadis : Alasan apakah? Kecewa? Sedih? Marah?
Aku : Biar aku tanggung sendirian, kau usah risau pasal aku pula.
Gadis : Kau sakit?
Aku : (ketawa) Tidak.

[Gambar : Perlukah aku beritahu kau bahawa sesetengah manusia dalam dunia ini sangat aneh? Mereka tidak akan hargai benda di depan mata mereka dan sibuk mengejar sesuatu yang bukan milik sendiri yang nyata.]

Gadis, aku mahu kau kuat.
Aku mahu kau terus tabah.
Ini ujian kecil yang harus kau tempuh bila sudah mula masuk fasa cinta.
Itu hakikat yang hidup tidak selamanya indah.
Ia kenyataan cinta tidak semestinya bersama.

Senyum.
Kalau air mata itu masih mengalir, tolong seka.
Dongak ke atas, pandang langit dan air mata itu pasti akan berhenti dari terus keluar ke wajah.
Betul kawan.
Kalau kau tak percaya, kau boleh buat.

http://farm4.static.flickr.com/3219/3098475267_1424c5ce34.jpg
[Gambar : Ini mungkin agak melampau dan kejam untuk kau, tapi percayalah, kau tidak akan mati tanpa cinta manusia. Bukankah kau pernah katakan pada aku bahawa cinta kau kepada Allah dan keluarga adalah lebih utama?]

Nota Kaki :
1. Langit seakan mengerti apa yang berlaku saat ini. Hujan mencurah lebat tanpa henti dan matahari hanya menjenguk sesekali. Nampaknya Helios dan Lucifer saling bertingkah siapa lebih layak menunjukkan wajah kepada manusia.
2. Tanggungjawab semakin berat dan aku suka dengan keadaan diri yang lebih kenal apa yang aku mahukan dalam hidup tatkala ini. Sesuatu yang tidak diduga berlaku dan kini, dalam proses mencari jawapan kepada persoalan yang membelenggu.

Zara : Kalaulah kau tahu senyuman yang terukir sentiasa di bibir adalah untuk siapa, dan kalaulah kau mengerti gerak serta isyarat tubuh membawa maksud dan pengertian apa. Ah, manusia sering kali hilang keupayaan merasa apabila tiba saat waktunya. Diam, kulum kesakitan, hamburkan ketawa.

Wednesday, January 26, 2011

Semalam iPhone Dalam Seluar Dalam, Hari Ini Macbook Jadi Kek Busuk.


Busuk.
Adakah legasi kita masih berterusan?
Aku percaya legasi kita sedang diperjuangkan.

Aku tahu kau tak akan jawab telefon.
Aku tahu kalau aku hantar pesanan ringkas pun tidak akan berjawab.
Aku tahu kalau aku kirim Twitter berjuta kali pun pasti tiada balasan.
Sebab kau ada pesan - di ulang tahun kau, kau tidak perlukan itu semua.
Tapi aku tetap mahu mengucapkan selamat ulang tahun buat kamu sahabat.
Senyum.

[Gambar : Selamat ulang tahun ke-24 Busuk. Kek ini sungguh sesuai dengan kau. Sumpah.]

Terima kasih sebab hadir sebagai teman terbaik aku sepanjang kita kenal antara satu sama lain. Hari ini (26 Januari) adalah ulang tahun kelahiran kau yang ketiga sepanjang aku kenal kau. Dah lama rupanya kita kawan kan Busuk?

Busuk.
Kau sahabat terbaik aku.
Walaupun macam-macam peristiwa yang aku lalui, kau tetap ada bersama aku.
Kekal berikan aku semangat, dan tarik aku bila aku jatuh.
Senyum.

Hidup kita unik kan?
Ya.
Itu sahaja.

Macam biasa, aku doakan yang terbaik untuk kau. Sentiasa.
Sebab apa?
Sebab kau manusia yang signifikan dalam hidup aku.
Ingat bicara kita?

Kau : Kalau kau kira yang itu, aku kira juga kau punya yang itu.
Aku : Mana boleh?
Kau : Kenapa?
Aku : Sebab aku langsung tak ingat apa-apa pasal dia.
Kau : Maksud kau?
Aku : Selalunya kalau orang itu ada nilai signifikan dengan aku, pasti aku ingat sesuatu pasal dia. Tapi ini tak, langsung takde.
Kau : Dah kau kawan dengan orang dalam hutan.
Aku : (ketawa) Sumpah keji.

[Gambar : Persahabatan kita yang unik. Kau sahabat aku, aku sahabat kau. Kita nampak garis yang merentangi dan tidak akan melintasi.]

Oh ya.
Kalau kita tengok semula dari tahun dua kosong kosong lapan sehingga ke hari ini, kita berdua sudah terlampau banyak berubah. Dari saat aku bergelar mahasiswi tahun akhir pengajian sarjana muda sehingga aku sudah mula mempunyai pekerjaan tetap, kau antara tulang belakang yang langsung tidak pernah memperlekehkan aku. Terima kasih sahabat.

Dan, aku harap aku jumpa butang ini untuk diberikan kepada teman wanita kau.
Kalaulah aku dapat cari ini untuk diberi pada kalian berdua.
Ketawa.

[Gambar : Baiklah, ini akan mengundang kutukan dari kau. Ketawa]

Selamat ulang tahun sahabat.
Kau masih yang terhebat.

Nota Kaki :
Tulisan aku mungkin kurang sempurna akibat ditimpa hujan tanpa henti, tapi aku mahu kau tahu wahai sahabat, aku sentiasa berharap kau akan dapat menjalani kehidupan yang kau idamkan. Semoga segala impian kau bakal tercapai.

Zara : Kalau ada sesiapa yang menyatakan lelaki dan perempuan tidak boleh menjadi sahabat, kami dengan senyum simpul akan menyatakan kalian tidak melihat dunia dengan tepat lagi. Bukankah bumi ini sfera, bukan bulat?

Tuesday, January 25, 2011

Tempat Terbaik Simpan iPhone : Dalam Seluar Dalam.


Salam semua.
Hari Selasa yang menampakkan Helios serta Lucifer berlumba-lumba mahu menunjukkan wajah. Pemutusnya, awan gelap menyelubungi dada langit dan rintikan hujan bertukar lebat walaupun kini sudah berhenti. Ah, harapnya petang juga begini supaya latihan olahraga dibatalkan. Eh?
Ketawa.

Manusia beku ini sudah bertukar menjadi panda.
Ketawa.

[Gambar : Panda memang comel kan? Cepat kata ya!]

Ah, sudah lebih empat puluh lapan jam tidak melelapkan mata. Harus aku akui bahawa menantikan sesuatu yang tidak pasti memang membunuh sebahagian daripada kekuatan yang selama ini aku kumpulkan. Ternyata, kesakitan yang manusia lain laungkan sudah mula menyelinap masuk ke segumpal darah merah bernama hati. Penuh berjaga aku cuba tapis segala unsur penuh cela, tapi ternyata, aku gagal sedikit walaupun masih lagi gagah.
Senyum manis, paksa.

Sewaktu rehat pagi tadi, ada dua orang murid datang berjumpa aku, membuat pengaduan ada rakan sekelas mereka yang membawa telefon genggam ke sekolah. Aduhai, aku memang lemah mahu menggeledah kelas untuk mencari barang yang terlarang dari di bawa ke sekolah. Mendapat aduan tersebut, aku bergegas mencari ketua disiplin dan pengawas. Walaupun aku sendiri adalah guru badan pengawas, aku lebih suka berbincang dengan ketua disiplin akan tindakan yang bakal diambil.

Jadi, selepas loceng berbunyi, bersama ketua disiplin dan barisan pengawas, kami melakukan pemeriksaan di dalam kelas yang berkenaan. Alhasilnya, telefon genggam ditemui di dalam sebuah beg murid lelaki walaupun aduan diterima ia sepatutnya milik seorang murid perempuan. Antara barang yang ditemui adalah alat solek dan sebagainya. Pemeriksaan badan secara umum dilakukan tetapi telefon genggam yang sepatutnya dikatakan milik murid perempuan tersebut tidak ditemui.

Suspek kelihatan resah walaupun aku tidak menjumpai telefon genggam di beg dan meja mereka. Keadaan diri dia yang membuat muka tidak tahu apa-apa memang menaikkan rasa geram dalam diri aku. Timbul satu ilham, kaedah yang digunakan oleh guru disiplin aku sewaktu zaman persekolahan dahulu.

Aku : Ada benda-benda lain yang awak semua rasa perlu serahkan pada saya?
Budak-budak : Tiada.
Aku : Saya tanya sekali lagi, ada ke tidak?
Budak-budak : Tiada cikgu.
Aku : Baiklah. Awak semua buatkan saya tiada pilihan. Cikgu saya dulu akan raba badan setiap murid kalau dia tidak puas hati dengan apa yang dia tak jumpa. Boleh saya buat?
Budak-budak : Betul cikgu, tiada.
Aku : Saya nak mulakan pemeriksaan terperinci. Sila beratur.
Budak-budak : Baik cikgu.

Sewaktu aku sedang berdiri di hadapan budak pertama, sempat aku menjeling reaksi mereka. Masih tidak ada yang mahu mengaku. Semakin menghampiri murid pertama, seorang pengawas memanggil aku. Suspek sedang bercakap dengan pengawas sebelum sempat aku melakukan pemeriksaan terperinci ke atas mereka. Nah, ugutan sedemikian memang berhasil. Kalau sepuluh tahun yang sudah ianya berhasil, nampaknya ia masih berhasil hari ini.
Ketawa.

http://farm2.static.flickr.com/1001/5178540969_1313d1925d.jpg
[Gambar : Kami dapat iPhone tahu? Dapat iPhone! - Sumpah poyo tulis begini kan? ]

Pengawas itu menghampiri ketua disiplin dan memberikan telefon genggam yang didapati dari murid perempuan tersebut. Bila diselidik, ternyata dia sembunyikan telefon genggam (baca : iPhone) tersebut di dalam seluar dalam. 
Pitam.

Kau berani letak telefon genggam kau dalam baju?
Alangkah kalau Nokia Xpressmusic 5800 pun begitu disayangi dan disimpan kemas di dalam kocek baju atau seluar atau tas tangan, ini iPhone diletakkan di dalam seluar dalam? Mesti ada bau kan?
Eh?
Ketawa.

Cuba kalau telefon itu berbunyi atau bergetar semasa di dalam seluar dalam?
Ketawa.
Jangan bayangkan.
Jangan.
Haram.
Sengih.

Ternyata ketua disiplin tidak mengetahui dari mana telefon genggam itu dikeluarkan. Hasil rampasan dibawa ke bilik guru dan sewaktu dia mahu merekodkan segala barangan yang didapati, aku menghampiri dia dengan membawa sekotak tisu.

Aku : Ustaz, nah tisu.
Ustaz : Kenapa?
Aku : Telefon itu tadi budak itu keluarkan dari seluar dalam.
Ustaz : Hah! Astaghfirullah! (sambil ambil tisu dan mengelap tangan serta merta)

Aduhai.
Entah patut kata hari ini penuh jenaka atau apa agaknya kan?
Senyum.
Tenaga berlebihan bila aku tidak tidur hampir dua malam.

[Gambar : Sungguh menggembirakan apabila ternyata otak aku kejang apabila tidak tidur langsung]

Nota Kaki :
1. Ada latihan olahraga - langit yang mendung tapi sudah mengkhianati dengan memancarkan cahaya matahari terik tidak bertepi.
2. Semakin lama semakin menguasai apa yang perlu diajarkan kepada murid dalam membuat kerja kursus Kemahiran Hidup.
3. Kejohanan merentas desa peringkat daerah akan bermula dan kami adalah tuan rumah. Nak jadi penjaga Lelaki Bawah 18! (sambil buat mata bersinar-sinar)

Zara : Ternyata aku perlu duduk diam tanpa memberikan tindak balas yang sewajarnya. Aku terlampau penat untuk terus bertahan dan menghadam segala kesakitan sendirian. Ah, itu memang aku. Sakit adalah kesayangan marga beku aku.

Monday, January 24, 2011

Maaf Mak, Hari Ini Tiada Suntikan Ekstasi.


Puan Mulia antara orang yang paling pandai membaca aku.
Sekilas apa yang terpancar di wajah aku, sudah dapat ditebak apa yang bersarang di minda sehingga perubahan kurang beberapa nano-saat sudah dapat diterjemah. Pembaca paling menakutkan, pembaca yang mengerti air muka puteri sulung yang dilahirkan hampir dua puluh empat tahun yang lepas.

Mak : Kenapa kau nampak penat sangat?
Aku : Kelas penuh pagi tadi, petang pergi mesyuarat.
Mak : Dari pagi tadi muka kau tak ceria, kenapa?
Aku : Letih agaknya, sebab minggu ini cuti Ahad sahaja kan? Sabtu sekolah.
Mak : Selalu pun kau tak rehat sebab pergi kem.
Aku : Tiada ekstasi hari ini.
Mak : Yang kau dah ambil setiap pagi itu apa?
Aku : Itu kafein.
Mak : Dah, jangan mengarut. Kalau letih sangat, nanti rehat lepas masak.
Aku : Ceh! Kena masak juga eh?

[Gambar : Mak, adakah Mak tahu yang Mak akan tengok muka sebegini setiap hari untuk beberapa ketika? Muka yang tiada sebarang riak perasaan ceria]

Sudah terdidik sejak azali, bahawa setiap kali aku menghadapi masalah, kesakitan itu akan aku alirkan kepada diri sendiri. Tidak sesekali kemarahan itu aku hamburkan kepada manusia yang menghiris setiap inci urat dan kapilari jantung serta hati aku. Di saat darah membuak panas, kemarahan, kesakitan, bahkan ada lagi yang datang mencurahkan asid masam, menitiskan perahan limau bagi membiarkan ia membengkak dan tidak mengerti erti kemaafan kepada diri sendiri.
Itu aku.

Tanggung kesakitan sendirian walaupun itu kesalahan orang lain lukakan.
Mengomel perlahan menghadap dinding biru walaupun aku tahu tiada jawapan kedengaran.
Menulis penuh emosi di buku lakaran sambil warnakan hujung setiap catatan.
Manusia kosong seperti aku yang hanya bisa menulis, bait aksara dibaca dalam bisu oleh kalian.
Mungkin tanpa perasaan.
Mungkin punya belas kasihan.
Bahkan, kononnya ada yang ihsan.
Tapi aku, tetap begini sejak sekian.

[Gambar : Ada sebab mengapa gelaran aku selama ini berubah dan diketahui oleh beberapa orang sahaja. Kau tidak boleh baca sakit yang aku rasa]

Kawan : Kenapa setiap kali kau senyum, mata berkaca?
Aku : Terlampau gembira.
Kawan : Betulkah?
Aku : Apa kau fikir aku akan menitiskan air mata?
Kawan : Simboliknya manusia semacam kau?
Aku : Kenapa?
Kawan : Terlampau banyak cerita dan kisah dalam satu wajah.
Aku : Sebab aku masih seorang manusia.

Diam, tahan.
Menunggu penuh diam dan berusaha menjadi budak baik hampir setiap hari aku lakukan.
Ah, sakit menunggu dan mengharapkan sesuatu yang tidak akan jadi kenyataan.
Hakikatnya, aku bukan gadis yang dikurniakan kecantikan.
Menjadi manusia yang cukup sifat sudah buat aku sujud kesyukuran.
Cantik, menarik pastinya jauh dari jangkauan.
Tidak pernah aku idamkan.
Impian?

Ketawa perlahan.
Manusia beku ini selalu lepaskan ketawa dan sembunyikan tangisan.
Makanan dihadam mencari gurauan.
Senda dan tingkah menjadi satu santapan.
Tinggalkan kesakitan.
Paksa diri ukir senyuman.
Walaupun terpaksa berpaut di dahan.
Meskipun perlu tegakkan diri dan dongak ke hadapan.
Aku tetap manusia penuh empati pada perasaan.
Tidak mahu ia terkilan.
Hati tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan.
Apabila aku selalu tipu dunia dengan kepura-puraan.
Sebuah senyuman penuh kepayahan.

[Gambar : Bila kali terakhir aku menikmati benda sebegini dan mengukirkan senyuman penuh kegembiraan? Bila kali terakhir aku menikmati tidur di atas ranjang penuh nyaman?]

Ah!
Manusia tidak pernah puas dengan apa yang mereka kecapi bukan?
Nah! 
Sebab itu manusia ada yang layak digelar bajingan.
Hah!
Aku cakap ini (kau baca sendiri Zara!) sebagai suatu peringatan.
Jadah!
Jangan sampai diri sendiri menjadi syaitan.

Nota Kaki :
1. Jangan tanya kenapa gelung di bawah mata semakin tebal sehingga layak digelar panda.
2. Jadual baru dibekalkan dengan aku sudah kurang 2 waktu melompat di padang bola.
3. Ujian kecil bakal bermula - tabahkah aku sebagai seorang manusia dan wanita?
4. Diam aku bukan beerti aku terlampau rela.

Zara : Kadangkala membiarkan perkara berlalu dengan senyap mungkin boleh membuatkan diri menanggung kesakitan yang bukan kepalang. Tapi, biarlah kepayahan itu ditanggung sendirian tatkala kebisingan hanya mampu menambah kecederaan.

Hadiah Perkahwinan : Apa Yang Sesuai Agaknya?


Salam.
Sudah lama rasanya tidak menulis. Badan yang keletihan serta kesibukan yang melanda membuatkan aku lebih banyak mengasingkan diri, menonton drama sebagai satu cara melelapkan mata dengan cepat (masalahnya, menonton drama Korea yang punya lelaki jambu dan kacak, boleh tidur ke Zara? Ketawa). Ah, berbual dengan kesayangan aku sedikit sebanyak membantu aku mengumpul tenaga, walaupun aku sering disuruh tidur akibat melihat mata yang sudah bertukar menjadi panda (sambil jeling-jeling orang sana - guna kamera sesawang sahaja)

[Gambar : Sepatutnya kena cari gambar Canon EOS 40D]

Bermula dengan setiap hujung minggu bulan satu dua kosong satu satu ini aku dihujani dengan lambakan jemputan ke majlis perkahwinan kawan-kawan, sahabat handai serta kenalan sama ada di dunia realiti ataupun dunia maya, aku terpaksa berkejar untuk menghadiri sesetengah acara. Acapkali banyak yang terpaksa dilepaskan memandangkan jarak yang jauh ataupun ada urusan lain yang lebih utama. Panggilan telefon penuh kegeraman pagi tadi membuatkan aku ketawa, walaupun sepatutnya bukan begitu reaksi aku rasanya.

Kawan : Kenapa kau tak datang majlis aku semalam?
Aku : Sekolah ganti semalam.
Kawan : Lepas sekolah kau tak boleh datang juga?
Aku : Pagi merentas desa, tengah hari ada mesyuarat. Habis sekolah, teman Mak pergi kedai. Aku sampai rumah jam tiga petang.
Kawan : Baru pukul tiga kan? Kenapa tak pergi je?
Aku : Gila kau. Nak ke rumah kau mungkin ambil masa lebih satu jam tahu?
Kawan : Sampai hati kau tak datang.
Aku : Kan aku dah kata aku sekolah kan? Aku bagitahu awal-awal hari tu.
Kawan : Aku kahwin sekali sahaja tahu?
Aku : Mana tahu ada lain kali (Ketawa). Kau dapat hadiah yang aku kirim?
Kawan : Hadiah dengan tuan punya diri lain.
Aku : Penting sangat ke aku?
Kawan : Tak.
Aku : Kalau macam tu, baik kau sediakan sarapan untuk suami kau dari kau membebel marah pada aku.
Kawan : Geram pada kau ni.
Aku : Kenapa? Hadiah aku tak mahal?
Kawan : Sejak bila dalam set cawan, ada botol susu bayi sekali?
Aku : (ketawa) Dua dalam satu, set istimewa.

http://farm3.static.flickr.com/2166/1844936254_7122bf0965.jpg
[Gambar : Ni kahwin kembar ke apa? Muka sumpah serupa. Ketawa.]

Baiklah.
Mari kita sama-sama fikirkan, apa benda yang sesuai untuk pengantin baru agaknya ya?
Sengih.

Barang keperluan rumah.
Dari set cawan, gelas, teko sehingga kepada barangan elektrik, ini yang selalu diberi kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga. Teringat dulu pernah berkongsi duit dengan rakan beli pembakar roti, mesin membuat kopi, kipas angin, radio dan banyak lagi jika perlu menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan. Jika yang kenal lebih rapat, tidaklah sampai berkongsi wang, kecuali zaman pengajian dahulu. Tahun akhir ramai yang buat pesta kahwin secara berjemaah sewaktu cuti semester. 

[Gambar : Mesti seronok jika dapat benda sebegini kan?]

Awak : Sayang, minuman petang dah siap?
Dia : Dah sayang. Nanti kita minum di luar ya?
Awak : Baik. Saya tunggu.
Dia : Sekejap lagi saya datang bawakan.
Awak : Jangan lupa kek sekali.
Dia : Ya.

(...sambil minum petang di halaman rumah, berdua, menikmati langit yang cerah dan berbual bersama. Minum teh dan makan kek, habiskan masa berharga....)

Ehem.
Cukuplah berangan begitu.
Terima kasih.

[Gambar : Aku kalau ini mesti seronok. Mangkuk, mug dan piring. Ada sesiapa nak beri?]

Sudah.
Bukan dapat kebenaran untuk berkahwin pun, jadi kalau nak sangat benda ini, cari untuk ulang tahun kelahiran kau sahaja Zara. Jangan nak mengada. 
Baik.
Senyum kelat.

Buku.
Ada tak orang kahwin, kita belikan buku sebagai hadiah perkahwinan?
Aku nak buat tapi masalahnya, susah juga mahu tentukan buku apa yang sesuai. Kalau ditanya pada aku, ya, aku memang sukakan buku sebagai hadiah. Aku terima buku sebagai hadiah ulang tahun,hari kecemerlangan sekolah, konvokesyen dan kadangkala sengaja suka-suka dari teman. Apakah aku akan dapat buku juga sempena majlis pernikahan?
Senyum.

[Gambar : Menariknya kalau dapat buku - boleh mengabulkan impian membuka perpustakaan peribadi sendiri satu hari nanti]

Gajet.
Ada orang yang cukup bertuah dapat hadiah begini daripada rakan sempena majlis perkahwinan mereka. Yang di dalam dulang hantaran itu daripada pasangan ya? Sila jangan silap pula. Oh, nak! Nak! (sambil lompat-lompat sampai tercabut manik pada baju pengantin).

http://farm1.static.flickr.com/56/422310048_7380222149.jpg
[Gambar : Betul, jangan susah-susah nak bawa set cawan yang boleh jatuh pecah berderai. Bawa benda begini dalam bungkusan kecil sudah. Ketawa]

Kalau hadiah sebegini, sila beri di tangan.
Takut masa sibuk-sibuk, ada orang panjang tangan.
Sekian.

Bingkai gambar atau barang perhiasan.
Benda sebegini pun orang selalu beri. Cuma masalahnya, adakah orang yang menerimanya mempunyai selera yang sama dengan kita?

[Gambar : Rasa gambar ini comel]

Awak : Kawan awak beri gambar apa ini?
Dia : Gambar comel dia kata.
Awak : Buruk betul ni, buang dalam tong sampah.
Dia : Orang beri takkan nak buang? Kita beri pada sesiapa masa hari kahwin mereka pula.
Awak : Boleh. Simpan dalam stor.
Dia : Baik.

Tiba-tiba rasa sadis.
Cuba kau beri orang lain, orang lain buat benda yang sama?
Mesti orang kata gambar atau benda itu sudah kena sumpahan.
Gila.

Tanya apa pengantin mahukan.
Ini selalunya apa yang aku buat. Aku akan tanya pada bakal pengantin apa yang mereka mahukan sebagai hadiah. Kadangkala ada yang berterus terang apa yang mereka mahukan. Sesetengahnya akan jawab terpulang. Nanti aku beri dulang, baru kamu tahu.

http://www.pricerighthome.com/images/manchester_united_double.jpg
[Gambar : Biarlah aku berterus terang. Aku nak ini sebagai hadiah perkahwinan, boleh? Ketawa]

Itu sahaja mungkin.
Ada perkara yang mahu dilunaskan.
Kalau kamu semua rasa ada benda lain yang boleh diberikan, sila beritahu aku ya?
Terlampau banyak jemputan perkahwinan yang aku terpaksa catatkan ini.
Kalau terlepas, susah pula nanti.
Senyum.

Nota Kaki :
Sedang sibuk menonton "Teman Wanitaku Seorang Musang Ekor Sembilan (read : My Girlfriend is a Gumiho). Musang ekor sembilan sungguhlah mengingatkan aku kepada Naruto. Eh? Tetapi watak lelaki pembantu adalah kacak melebihi watak utama. Aigoo!

http://25.media.tumblr.com/tumblr_l8gwvnAmEw1qd81i6o1_500.jpg
[Gambar : Gila sempurna muka. Kalah pelakon perempuan pula. No Minwoo]

Zara : Si dia kata aku seperti kanak-kanak yang mahukan gula-gula yang merajuk apabila keinginan tidak dipenuhi. Balik rumah, muka muncung, mogok lapar dan buat kerja gila apabila apa yang aku hajatkan tidak dapat dipenuhi walaupun aku berusaha sedaya upaya. Ah, kamu baca aku walaupun duduk jauh beribu batu!

Friday, January 21, 2011

Kenapa Aku Suka Lihat Lalu Lintas Ke Blog?


Salam semua.
Kepada yang sakit punggung bila baca penulisan sebelum ini, aku minta maaf kalau lubang punggung kau melecet. Tulisan manusia yang biasa-biasa ini bukanlah mahu menyokong atau menidakkan sesiapa. Ia tulisan atas dasar memerhati terlampau lama. Ah, lagi pula hari cuti, menulis ambil masa yang lama akibat menjalankan kerja sebagai suri rumah.
Ketawa.

[Gambar : Ramai pula yang tanya kenapa sudah lama tiada penulisan khusus untuk Encik Arnab. Ketawa]

Baiklah.
Mari kita langsung bicara ke arah persoalan yang aku terima petang tadi angkara penulisan yang biasa. Ah, susah juga bila baling sebiji bom, tapi bawa kesakitan melata kan? Macam tindak balas berantai dalam nuklear, benda ini akan merebak macam virus bila ada yang rasa sakitnya.
Senyum.
Sinis.

Soalan #1: Tulis blog sebab nak kejar trafik ke?
Aku : Bukan biasanya polis trafik yang kejar kita?
Soalan #2 : Penting kah trafik?
Aku : Cuba kau sampai simpang empat, tiada lampu isyarat, kau main redah. Ada berani?
Soalan #3 : Apa kegunaan trafik bagi kamu?
Aku : Ini merujuk kepada trafik apakah?

Soalan ketiga agak relevan walaupun hakikatnya ia bukanlah sesuatu yang asing jika orang memahami maksud trafik yang digunakan. Aku lebih suka melihat lalu lintas ke blog aku atas beberapa sebab walaupun ternyata aku bukanlah terkenal seperti sesetengah orang lain tentunya.
Senyum.

1. Pengunjung datang dari pautan mana.
Ini penting bagi aku disebabkan aku sendiri tidak mengetahui di mana orang meletakkan pautan aku di blog mereka. Jadi, bila aku melihat ada pengunjung yang datang dari blog tertentu, aku dapat membuat kunjungan balas dan mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sudi meletakkan blog ini dalam senarai blog yang mereka mungkin gemari atau lawati.

[Gambar : Boleh berkenalan kan?]

Aku : Terima kasih sudi letakkan pautan blog saya di blog awak ya?
Dia : Terima kasih sebab sudi baca blog saya. Mana jumpa?
Aku : Sebab saya tengok ada pengunjung dari blog awak. Terima kasih lagi sekali ya?
Dia : Kenapa cakap terima kasih dua kali? Malu saya.
Aku : Eh? Maaf.

Buat yang meletakkan pautan, tapi aku tidak ternampak atau terjumpa atau mungkin juga terlepas pandang, aku mahu ucapkan terima kasih atas kesudian kalian berkongsi dengan pembaca blog kalian laluan ke Dunia Sebelah Zara yang penuh dengan cacat cela. Ah, repekan aku boleh undang padah dan bikin hati parah.
Senyum dan geleng kepala.

Tiba-tiba pengunjung datang dari blog yang agak lucah, boleh gila aku dibuatnya seperti sebelum ini. Terkejut bila dipautkan di blog sedemikian rupad walaupun hanya sebagai senarai pautan yang selalu dibaca. Nah, kan berpeluh kau Zara.
Ketawa.
Gila.

2. Pengunjung datang dari kawasan mana.
Ini juga penting disebabkan aku boleh mengenal pasti corak pembaca yang membaca penulisan aku. Kebanyakannya datang dari tempat yang aku boleh kenal pasti siapa pembacanya. Tidaklah sampai mengesan alamat IP, aku cuma melihat siapa yang datang dan meneka sesuka kati aku. Sekurang-kurangnya orang yang mendakwa dia baca blog aku, bolehlah aku kenal dengan lebih rapat. Oh, dari situ jugalah aku boleh dapat tahu si dia singgah di blog aku atau tidak. 
Sengih.

[Gambar : Kalau dengan logo epal, larian safari dan terjunan dari negara bersalji saat ini, aku tahu kelibat siapa yang melalui. Ketawa geli hati]

Tidaklah terlampau tepat, tetapi bolehlah sekadar suka-suka mengacau kawan-kawan sendiri.
Senyum.

3. Kata carian atau kata kunci (baca : keywords) yang digunakan.
Ini sesuatu yang menyeronokkan. Sungguh buat aku ketawa betapa ramai orang mempunyai kadar imaginasi yang melampau tinggi. Mari kita lihat kata kunci yang aku dapat untuk hari ini. 

  • dunia sebelah zara
  • sweet couple cartoon
  • jalinan sentuh
  • saya cintakan awak
  • gambar ketawa kartun
  • telefon di terowong
  • kekasih gelapku
  • shafaza_zara blogspot
  • rutin guru dan rutin murid
  • ikatan tali
  • love pictures
  • lord zara
  • ikan musim mengawan
  • kenapa mahu menjadi guru
  • la tahzan
  • motor laju
  • saya rindu awak
  • surat untuk bakal ibu mertua
  • aku direbahkan
  • tiub merah

Tarik nafas.
Untuk hari ini, aku rasa yang terakhir itu agak menggusarkan.
Ketawa.

http://farm4.static.flickr.com/3347/3278230147_4a556a1c75.jpg
[Gambar : Benda yang manis itu sering memudaratkan. Adakah konsep yang sama boleh digunapakai pada manusia juga?]

Kata carian yang berubah setiap hari membuatkan aku menulis sambil berfikir, manusia adalah makhluk yang amat sukar dijangka. Apa yang mereka mahu lihat sebenarnya di luar jangkauan kita yang menulis, acapkali begitu sehingga aku menyedari, menulis ini sudah sebati menjadi urat darah.
Sebenarnya, itu sahaja yang aku mahu tulis saat ini. Tenaga aku untuk menggila sudah banyak terbebas pergi. Jumaat akan ada mesyuarat bersama dengan guru-guru sama daerah untuk membincangkan acara merentas desa kerana kami tuan rumah. Sabtu pula kerja seperti biasa dengan ada acara merentas desa peringkat sekolah.

Nota Kaki :
1. Kalau kau suka menabur sampah (baca : Spam) di Borang Musim Bunga (baca : Formspring) aku, jangan terkejut bila aku menjawab dengan tulisan yang sinikal dan sarkastik.
2. (sambil gosok mata) Budak sekarang memang unik bila berjalan pakai mahkota di atas tudung ke sana ke  mari apabila keluar berjalan. Fesyen menarik barangkali?
3. Mengajar diri senyum dengan ceria di hadapan cermin. Bila kali terakhir aku senyum ikhlas ya?

Zara : Cinta yang romatik itu ibarat dadah. Kau tidak percaya? Lihat ini. Dan, bila datang kepada kau satu drama yang sia-sia dan itu hanya menyakitkan hati, tinggalkan sahaja ia. Sungguh. Aku berkongsi sedikit di Tumblr aku.


Thursday, January 20, 2011

Mana Kau Lihat - Identiti Penulis Blog Atau Hasil Penulisannya?


Salam semua.
Ah, pagi cuti yang sepatutnya aku habiskan bersama dengan kawan-kawan berbasikal bukit, tetapi aku terperangkap di dalam rumah akibat kecederaan di tiga tempat di kaki (entah bagaimana mata Mak boleh tajam sangat nampak bengkak di lutut, betis dan buku lali). Pemutusnya, kereta aku dihalang keluar meninggalkan rumah walaupun basikal memang sudah sedia di dalam kereta.

Ah, demam panas aku semakin meningkat suhunya (Memang akan jadi kemarahan si dia bila aku degil mahu terus dengan aktiviti lasak yang memamah tenaga diri tanpa fikir kesihatan sendiri). Maaf sayang, aku memang begini, tidak, kita berdua memang sama-sama degil bukan? 
Ketawa.

[Gambar : Kita sama-sama duduk di dalam kasut yang sama kan?]

Aku, manusia beku yang tahu menulis apa yang aku rasa aku perlu luahkan pada dunia. Mungkin tidak menarik bagi kebanyakan manusia lain, tapi yang merasa dan membaca berkongsi asas sama, pasti dapat menilai apa ia sekadar repekan atau tulisan munasabah. Ah, itu bukan persoalannya bukan?

Ada sesuatu yang menarik minat aku dalam dunia maya ini, salah satunya adalah perbalahan antara manusia yang berterusan tanpa ada sebab yang munasabah selalunya. Ah, manusia memang makhluk aneh bukan? Benda sedikit yang tidak menganggu mereka akan dibesarkan menjadi satu pertengkaran yang berterusan padahal masalah besar ditutup sebelah mata.
Ludah.

Baiklah.
Merujuk kepada persoalan di atas, aku memilih yang kedua, iaitu hasil penulisan. Kenapa? Aku akan beri justifikasi berdasarkan pendapat peribadi aku sendiri. Kalau sesiapa rasa mahu sentap sehingga mahu rentap pakaian dan sebagainya, sila dapatkan baju tambahan di kedai berhampiran.

[Gambar : Begini tidak perlu identiti bukan? Ketawa]

1. Hasil penulisan sebab identiti itu hak peribadi masing-masing.
Identiti setiap penulis adalah hak peribadi mereka. Siapa mereka di sebalik tulisan mereka tidak menjadi masalah buat aku. Ya, ada yang dengan terang-terangan menonjolkan diri mereka dan ada pula yang lebih gemar duduk menulis di belakang skrin tanpa mendedahkan siapa mereka kepada dunia. Pada aku, asalkan penulis selesa, itu lebih baik kerana mereka akan menghasilkan sesuatu yang berkualiti. Teringat aku dengan seorang penulis blog yang kini sudah kurang mengemaskini blog dia walaupun ternyata dia lebih terkenal daripada artis.

Kawan : Aku kalau boleh putarkan masa, aku nak jadi seperti dahulu.
Aku : Maksud kau?
Kawan : Aku yang orang langsung tak kenal, dapat aku tulis suka-suka tanpa perlu ramai yang menggila.
Aku : Ini bukan apa yang kau nak, memang datang sendiri.
Kawan : Aku tahu, tapi dah sampai kacau hidup peribadi aku, aku rasa bosan, menyampah.
Aku : Kita tak boleh kekang manusia kan?
Kawan : Tahu.

Sampai mengecam peribadi orang, perlukah?
Aku rasa tidak perlu.

2. Identiti bukan satu peluang mengaibkan orang.
Seringkali ada yang menjadikan identiti penulis blog itu untuk mengaibkan mereka. Disebabkan itulah, ramai yang berselindung, enggan mendedahkan diri dan wajah kepada pembaca. Biarlah hasil tulisan mereka sahaja yang dibaca dan diminati ramai dan bukan diri mereka.

Ah, menulis ini sama juga seperti aku yang berkongsi serba sedikit tentang diri. Pembaca kenal aku sebagai guru, dan itu seringkali jadi tohmahan golongan pembenci yang dengan senang hati menuding jari kepada kerjaya aku jika berlaku sesuatu. Sekejap, kalian dulu lahir ke dunia, membesar dan tiba-tiba terus bekerja ya? Hebat! (sambil tepuk tangan kuat-kuat)

Macam aku kata sebelum ini, terlampau ramai yang akan sakit punggung apabila benda yang tidak ada kena mengena dengan mereka jadi bahan untuk terus meluaskan empayar dan bergelar jagoan di dalam gelanggang yang langsung tidak bermutu. Ah, kita yang tentukan di mana kita patut beraksi dan sila ingat, dunia realiti tidak boleh dicerap masuk ke dunia maya kalau tidak kena dengan gayanya.
Itu fakta.

[Gambar : Kau nampak kuku kaki orang berwarna, kau terus tebak dia lupa agama? Mungkin dia ambil gambar kaki orang lain kan? - Ini ternyata memang bukan kaki aku. Ketawa]

Senyum.
Apa lagi yang mahu diselongkar agaknya?
Ketawa.
Sinis.

3. Hasil penulisan akan membawa kepada siapa penulisnya.
Ada orang baca blog dan terus suka disebabkan penulisnya. 
Ada orang baca blog sebab dia mendasari tulisannya.
Itu ternyata membawa kepada dua benda yang berbeza.

Sebagai contoh, ada yang asyik membaca blog seseorang itu disebabkan tuan punya blog seorang yang dikenali dengan paras dan penampilan yang menarik walaupun gaya penulisannya sedikit membantu menaikkan lagi sahamnya di mata pembaca. Padahal, isi kandungan serta gaya penulisan itu sebenarnya adalah hak milikan penulis lain yang tiada nilai komersial dan kurang menarik.

Kalau kau menipu di dalam karya (aku anggap menulis blog sebagai satu karya - di mana hasil tulisan itu sepatutnya milikan sendiri), orang akan mendapatkan kau secara menggila. Ada yang menulis jujur pun orang menggila mahu mencari apabila hanya karyanya sahaja tersebar tanpa manusia yang menaip di belakang itu dikenali. Ah, manusia memang mahu mencari benda yang tidak nyata di depan mata. Kalau tidak, mana mungkin aktiviti paranormal muncul melata?
Setuju?

[Gambar : Kadangkala, ada manusia yang mahu lari dari identiti dia sendiri, itu sesuatu yang kau patut hormati]

Citarasa manusia memang berbeza.
Begitu juga menulis, setiap orang punya pemikiran yang berbeza walaupun ada fahaman yang serupa.
Jadi, kalau kau menjadikan memburu dan menghentam orang sebagai sumber utama, ada perkara yang terlepas pandang - mesti ditoleh semula sebelum tersungkur kerana hidup ini tetap bagai pusingan roda. Karma itu terjadi walaupun konsepnya ada yang tidak mengerti bagaimana mahu diasimilasi.
Senyum, pahit lagi.

Jagoan.
Perlu cari gelanggang yang sesuai.
Aku seperti yang dahulu, masih lagi suka menjadi penonton dan pendengar drama yang hebat - bukan penuh dengan ayat melarat dan cacian penuh merempat. Ah, kalau kau pakai bingkai sampai orang jerit mata empat, kau tetap manusia yang bisa jadi hebat, cuma harus kena masa dan tempat.
Hidup ini tidak semudah kau lihat langit dan nampak awan larat.
Tidak kawan.
Sebab hidup kadangkala macam palat.
Tamat.
*******
- Selingan -
Buat penggemar pembeli barangan secara atas talian, anda dijemput untuk ke blog ini untuk membeli barangan yang anda minati. Oh ya, boleh juga menambah Kak Fazemy di Mukabuku dia untuk sebarang urusan pembelian ya? Terima kasih.
Nota Kaki :
1. Cuti Thaipusam aku dihabiskan dengan mengawal diri daripada mengambil ubatan yang ternyata satu simbol aku menolak kewujudan sakit dalam diri. Proses menolak (baca : in-denial) yang aku kurang sihat barangkali.
2. Senyum melihatkan manusia yang tidak dikenali sebenarnya mampu buat diri kau tersenyum sebentar dan melupakan kesakitan.

Zara : Kau yang melanggar punggung kereta aku yang sedang pegun di bawah tempat meletak kenderaan, tiba-tiba kau tarik muka bila aku menghadiahkan senyuman seperti biasa tanpa penuh dendam dan marah? Ini sudah lebih memandangkan kau dan aku ternyata berbeza jantina.

Wednesday, January 19, 2011

Laman Sosial Penghubung Cinta : Twitter Salah Satu Cara.


Salam semua.
Menulis tatkala emosi sungguh tidak stabil akibat Adam Awraq telah dilanggar oleh seorang guru yang baru sahaja melaporkan diri di sekolah pagi semalam. Kejadian berlaku petang semalam selepas latihan merentas desa diadakan. Menangis di sekolah dan sepanjang jalan hampir satu jam membuatkan air mata aku sudah kering tetapi kesakitannya membunuh.
Senyum kelat.
Zara, sila tabah.
Nati aku bawa ke Perodua, tahulah bagaimana nanti mereka selesaikannya.
(kesat air mata)

Baiklah.
Mari kita menulis sesuatu yang menggembirakan, boleh? (Boleh ke tak engkau ni Zara?)
Ada sesiapa rasa lapar lepas memandang gambar di bawah?
Senyum (masih kelat)

[Gambar : Macam logo Twitter pula rasanya. Ketawa]

Mari kita lihat apa yang Twitter sajikan untuk semua penggunanya.
Sebelum itu, aku pernah bicara tentang pasangan yang terlampau cemburu tidak perlu ada laman sosial bukan? Cuma kali ini kita lihat bagaimana teknologi yang mudah itu sebenarnya memberikan impak kepada kehidupan.

1. Fungsi "All Friends"
Di sini kita akan dapat lihat status yang dikemaskini oleh setiap orang yang kita ikut (baca : follow). Sesetengahnya menjadikan ia sebagai tempat melepaskan perasaan (macam aku), berkongsi fakta-fakta menarik, tempat menghentam orang lain yang tidak punya akaun Twitter serta banyak lagi. Kadangkala ada yang meletakkan status penuh bunga dan sebagainya, tidak mustahil ada yang akan jatuh cinta. (Tapi kalau dia tujukan pada pasangan dia secara terbuka, jangan pula kau jatuh cinta secara tiba-tiba)

Oh, penulis blog sukakan bahagian ini kerana dapat mempromosi penulisan mereka juga.
Eh, macam biasa buat kan?
Ketawa (pahit)

2. Fungsi "Mentions"
Ini biasanya kita akan tujukan kepada sesiapa sahaja yang kita mahukan. Jika garis masa terlampau laju, kadangkala kita boleh tersalah "mention" - biasa kena pada aku, sebab itu tersangatlah perlu berhati-hati memandangkan setiap kali aku guna Twitter, ia melibatkan beberapa golongan yang berbeza.

Kawan : Kau tulis apa tadi Zara?
Aku : Eh?
Kawan : Kau salah tulis ni.
Aku : (ketawa) Nanti aku padam. Laju betul garis masa gerak.
Kawan : (ketawa)

Di sini juga, kau boleh lihat ada pasangan yang mengungkapkan kata cinta (dan mungkin juga nista) kepada pasangan masing-masing jika kebetulan kamu ikut kedua-dua mereka ataupun membaca profil peribadi mereka. Rahsia yang terbongkar juga kerap berlaku di bahagian fungsi ini.

Kawan #1 : Bunny kau duduk mana?
Kawan #2 : Dah tahu, dah tahu.
Kawan #3 : @Kawan#2 Siapa? Siapa?

[Gambar : Jangan malu-malu eh? Ketawa]

Oh, akibat perbualan di sini jugalah, ramai teman-teman wanita kawan aku di Twitter mula menjadikan aktiviti mengintai sebagai salah satu kegiatan rasmi mereka. Kakak-kakak, adik-adik, saya sudah punya Encik Arnab. Walaupun dia jauh, dia tetap sentiasa ada dengan saya. Kemalangan yang menimpa saya semalam, dia antara yang terawal membuat panggilan kepada saya walaupun saya tahu ia melibatkan kos yang banyak ya? Terima kasih.

3. Fungsi "Direct Message"
Ini yang menyeronokkan. Aku berkenalan dengan Arnab dan berbual dengan dia lebih setengah tahun hanya di Twitter. Gila bukan? Tapi sesungguhnya ia sesuatu yang mencabar sebenarnya buat orang macam aku yang banyak bercakap, aksara 140 adalah mencabar kreativiti untuk menulis dan lebih-lebih lagi kami berdua menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris yang sempurna ketika menulis. Senang kata, tiada singkatan. Ketawa.

http://farm5.static.flickr.com/4051/4655301937_48b88dfdd5.jpg
[Gambar : Kalau kau boleh baca tulisan itu]

Oh, DM juga dijadikan tempat bergosip yang agak peribadi jika tidak mahu semua orang baca di garis masa.
Senyum.

Nota Kaki :
1. Tulisan aku sumpah bercelaru saat ini.
2. Demam panas secara tiba-tiba : mungkin akibat kemalangan kecil semalam.
3. Kaki bengkak akibat jatuh di laluan merentas desa semalam. 
4. Petang ini ada latihan merentas desa lagi.

Zara : Sedang mengajar diri sendiri untuk lebih tabah atas apa sahaja yang menimpa.

Monday, January 17, 2011

Perkara Pantang Apabila Aku Mengajar Di Dalam Kelas


Salam semua.
Ya, aku dah kembali setelah kehilangan semua pautan akibat menukar dari 32-bit kepada 64-bit. Baiklah, akibat kecuaian diri sendiri yang tidak menyimpan data atau pautan semua blog kegemaran dan apa yang diperlukan, dalam erti kata yang mudah, Sean dalam keadaan baru semula dalam masa kurang daripada sebulan selepas kali terakhir menjalani pemeriksaan kesihatan oleh bapa angkat dia, Si Busuk. Eh, bapa angkat ke pakcik angkat?
Ketawa.

Ehem, cantik teman wanita Busuk.
Bila nak kahwin?
Senyum.

Aku ditanya mengenai pekerjaan aku dan seperti biasa, apabila bertemu dengan rakan-rakan, mereka akan ketawa riang melihatkan aku yang masih bertahan dalam kerjaya ini walaupun kalau diimbau kembali, adalah mustahil aku berada di sini seperti yang dijangka dan diperhati. Ketawa.

Kawan : Kau belum masuk surat khabar lagi.
Aku : Apa dia?
Kawan : Kau belum mengganas di sekolah.
Aku : (=.=) Apa kau ingat aku penjenayah?
Kawan : Keganasan kau masa sekolah masih digeruni, dah jadi cikgu belum ada aksi?
Aku : (=.=) Aku tidak mengganas seperti zaman belajar.
Kawan : (ketawa) Rasa nak sangat tengok kau di sekolah.
Aku : (=.=) Silakan datang kalau berani.
Kawan : (ketawa) Perempuan ganas!
Aku : (ketawa)

http://farm5.static.flickr.com/4077/4931714506_4ecbb2856a.jpg
[Gambar : Agak-agak kau berani ke tidak aku pakai pewarna bibir sebegini?]

Ya, mereka semua memang selalu ulang dialog di atas sejak aku habis Tingkatan Lima bila aku berminat untuk mengisi borang BPG. Oh, tetapi tidak terpilih dan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Johor sebelum menyambung pengajian di UTM Skudai dalam jurusan pendidikan. Jadi jangan sibuk tanya aku, adakah aku budak KPLI atau DPLI. Sesungguhnya bukan ya?
Senyum.

Kembali kepada tajuk yang dipaparkan, ada beberapa pantang di dalam kelas aku apabila pengajaran berlangsung. Oh, apa kau ingat amalan ilmu-ilmu atau petua sahaja yang ada pantang? Dalam kelas aku juga ada pantang, cuma tidaklah akan diserbu oleh Death Eater jika menyebut nama Lord Voldermort. Sudah mula merepek disebabkan dua hari tidak dilimpahi cahaya helios.

1. Bercakap, berbual secara kuat di dalam kelas.
Ini benda paling pantang. Bercakap sesama sendiri, berbual dengan orang sebelah, orang depan, orang belakang, kiri, kanan malahan di hujung kelas sekalipun amatlah tidak digalakkan kerana suara aku akan serta merta bertukar nyaring dan menyindir tepat ke muka. Sementelahan itu, sikap sarkastik aku dari dulu, kalau aku mengajar, dan ada orang bercakap, aku akan diam dan tengok orang yang bercakap.

Budak : (berbual)
Aku : (berhenti mengajar dan renung budak yang rancak berbual)
Budak-budak lain : (semua tengok pada budak yang aku sedang pandang)
Budak : (berhenti berbual dan tengok aku tanpa rasa bersalah)
Aku : Dah habis bercakap?
Budak : Dah cikgu.
Aku : Kalau belum habis, awak boleh angkat meja dan kerusi awak, duduk di luar, berbual sampai awak berdua gigit lidah sendiri.
Budak : Tak nak cikgu.
Aku : Kalau tak nak, boleh tengok apa saya nak sampaikan? Terima kasih.

http://farm3.static.flickr.com/2460/3598197018_df3f52887f.jpg
[Gambar : Nak bercakap juga? Sila bercakap dengan tangan saya]

Itu untung ditegur sedemikian.
Selalunya jika kesalahan berulang, aku dengan tidak sengaja, terbaling (aku dah kata tidak sengaja, kau lihat imbuhan TER- di situ), buku atau kapur atau pemadam papan hitam atau apa sahaja yang boleh dicapai oleh aku. Setakat ini hanya tiga benda sahaja itu pernah aku baling - pemadam papan hitam aku baling keluar kelas minggu lepas akibat marah dengan kebiadapan budak.

Tak seronok sebenarnya ada rasa marah semasa mengajar.
Perasaan akan menjadi lain dan keikhlasan untuk memberikan yang terbaik akan berkurangan.
Disebabkan itulah aku memang sedaya upaya menzahirkan diri untuk tahan marah dan perasaan.
Jangan meledak menjadi letupan.

2. Bersentuhan, bercuitan, berpegang tangan.
Baik lelaki atau perempuan, ada sahaja yang sambil bercakap, sambil bercuit-cuit, bertolak-tolak padahal aku sedang mengajar di depan. Bergurau senda hingga aku rasa nak makan seorang demi seorang hingga sendawa. Boleh begitu? Ketawa. Tak ingin aku makan budak-budak ini, banyak lagi makanan lain yang menyelerakan. 
Alahai.

http://farm4.static.flickr.com/3148/2929657330_03f89577da.jpg
[Gambar : Kau nak berpegang tangan begini? Boleh. Biar saya pateri dua-dua jari tu dulu]

Aku jujurnya pelik apabila budak lelaki bercakap sesama sendiri sambil bercuitan. Bukan aku tidak biasa melihat gaya mesra manusia, tetapi tidak begitu kena dengan cara dan budaya Malaysia barangkali. Bercakap, ketawa dan saling bertolakan itu mungkin, tapi bercuit-cuit sudah agak janggal di mata aku. Yang perempuan tidak perlu kata banyak, pergerakan tangan bagaikan sedang berpidato di khalayak ramai. Semakin dibiarkan, semakin kuat intonasi suara, semakin pantas gaya tangan seiring dengan bicara.
Sakit kepala.

3. Mata melingas tengok jam dan asyik tanya bila nak rehat.
Cukup suka bila masuk ke kelas yang tiada jam dinding. Ini bermaksud, budak bergantung kepada jam di tangan cikgu atau tangan sendiri atau tangan rakan-rakan mereka. Kebanyakannya akan memilih jam yang paling cepat supaya mata pelajaran cepat habis dan lebih-lebih lagi jika waktu itu sebelum rehat, mereka akan memastikan jam paling cepat akan digunakan (apa kau ingat jam aku salah ke budak-budak?)

Budak : Cikgu, hari ini dapat rehat awal tak?
Aku : Kenapa nak rehat awal?
Budak : Tadi pagi tak makan.
Aku : Siapa yang bising, jangan harap saya beri keluar. Saya boleh duduk di sini dengan awak semua sampai habis rehat.
Budak : (semua diam dan mungkin paksa diri untuk tekun bagi tiga puluh lima minit berikutnya)
Aku : (sengih)

http://farm3.static.flickr.com/2754/4334456172_f4d32f68f4.jpg
[Gambar : Budak-budak memang suka lagu Ana Raffali - Tolong Ingatkan Aku bila rehat hampir menjelma. Mereka akan mula mengira bila saat dapat keluar dari kelas]

Aku : Baiklah, kelas sampai di sini sahaja.
Budak - budak : (separuh dah sampai depan pintu)
Aku : Ada saya kata boleh keluar?
Budak-budak : (patah balik ke meja masing-masing)
Aku : Jangan lupa nak buku minggu depan, macam biasa. Terima kasih semua.
Budak - budak : Terima kasih cikgu (berlari mencicit ke kantin)

Masing-masing macam mangsa kebuluran padahal paginya aku nampak setiap seorang makan nasi lemak sebungkus selepas perhimpunan. Cepat betul dihadam agaknya (sambil geleng-geleng kepala).

4. Tak siap tugasan yang diberikan.
Bikin panas.
Bila kita kata kerja sekolah - dia kata kena buat di sekolah sebab kerja sekolah.
Bila kita kata kerja rumah - dia kata kena buat di rumah sebab kerja rumah.
Senang aku panggil tugasan, jadi peduli apa aku hendak dibuat di mana asalkan kerja aku akan dilangsaikan dan ada bila diminta.

http://farm2.static.flickr.com/1340/5132612818_b7355f7b86.jpg
[Gambar : Pernah bila kau minta hantar buku latihan, yang muncul adalah buku contengan penuh rojak?]

Bab ini adalah yang paling sadis dan menguji keimanan. Jarang dapat seluruh kelas menghantar buku yang aku minta. Pasti ada sahaja yang memenuhkan carta alasan yang boleh sampai termuntah-muntah mahu didengar. Benda yang sama berulang setiap kali, dari zaman aku sekolah bertahun-tahun lepas sampai ke hari ini.

Aku : Kenapa tak hantar?
Budak 1 : Buku lupa bawa.
Aku : Oh, hilang ingatan. Orang seterusnya?
Budak 2 : Tertinggal di rumah.
Aku : Siapa nak baca? Haiwan ternakan? Seterusnya?
Budak 3 : Buku hilang cikgu.
Aku : Dah jual ke bakar dalam tong sampah? Seterusnya?
Budak 4 : Kawan pinjam, tapi kawan tak datang hari ni.
Aku : Kalau saya suruh awak cari di rumah dia boleh?

Begitulah alasan akan berjela-jela.
Tahun ini aku bercadang tidak mahu mengugut sahaja seperti selalunya.
Mahu terus denda.
Ketawa.

5. Biadap.
Ini satu perkara yang sangatlah tidak boleh diterima. Setakat ini, sekumpulan murid Tingkatan Satu yang telah berjaya mencabar etika dan kesabaran aku sebagai seorang guru. Biadap dalam kelas aku, itu satu. Tidak pernah senakal-nakal murid lain sepanjang aku mengajar membuatkan darah aku menyangga hingga ke kepala. Kalau ada sekalipun, masih terkawal dan tidaklah menyerbu darah merah ke muka. Ini melampau hingga aku hilang kesabaran.

[Gambar : Kalaulah aku boleh melancarkan serangan tanpa belas kasihan kan? Baiklah, itu sesuatu yang sungguh mustahil sebenarnya]

Oh, akan berdepan dengan mereka lagi.
Apa perlu aku buat?
Seperti selalunya, ketap gigi dalam-dalam dan lemparkan senyuman bersahaja.
Ah, hati aku bukan rumah terbaik untuk menyimpan dendam kerana ia akan terbaja dengan subur oleh percikan syaitan dan iblis durjana. Baik sahaja aku buang fikiran yang menyesakkan bukan?
Senyum.

6. Tidur di dalam kelas.
Tiada siapa yang dapat enak membuai mimpi di dalam kelas aku. Kau tidur, aku datang kejut, aku goncang, goyang sampai kau bangun. Kalau tak bangun juga, aku akan suruh orang lain kejut. Tak bangun juga aku jerit biar tersentak. Biasanya cara ini berkesan. Jika tidak bangun juga, mungkin aku akan siramkan dengan air atau bacakan Yasin secara berjemaah di sekeliling mejanya sekiranya perlu.

http://farm4.static.flickr.com/3192/2476371119_bb497215ff.jpg
[Gambar : Setakat tahun lepas, semua yang tidur berjaya dikejut dan disuruh basuh muka di bilik air dalam masa kurang dari lima minit]

Walaupun ada orang kata lebih baik dibiarkan mereka tidur dari bangun dan mengacau orang, aku beranggapan yuran yang sudah dibayar adalah amanah yang perlu dipelihara dan dijaga. Gaji yang aku dapat setiap bulan sepatutnya hasil mengajar budak-budak ini menjadi manusia, maka seharusnya, kalau tidur, aku membangunkan mereka agar pengajaran aku dapat dilaksanakan.

Baiklah.
Itu perkara yang aku pantang dan amat jaki jika berlaku di dalam kelas aku. Lain orang mungkin lain gayanya. Aku tetap dengan apa yang aku pegang dari dulu. Itu sahaja.

Nota Kaki :
1. Isnin dan Selasa akan pulang lewat disebabkan ada latihan merentas desa.
2. Aku sudah lupa kehangatan matahari disebabkan cuaca sejuk sejak dua hari ini.
3. Tidak tidur lagi untuk kesekian kalinya minggu ini. Ah, persetankan dengan kesihatan diri, aku punya misi yang lebih penting dalam melunaskan kemarahan diri.

Zara : Semakin lama aku menyedari bahawa apa yang aku perlukan bukanlah apa yang aku lalui saat ini. Detikan dan kata-kata seseorang pada aku di hujung talian telefon mengingatkan aku betapa hidup aku berubah secara mendadak sehingga tiada apa yang diperjuangkan pertengahan tahun lalu dalam genggaman. Kosong. Hilang.

 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template