Tuesday, May 31, 2011

Kau Sayang Dia Lagi Ke?


Istilah sayang, suka dan sebagainya memang sukar mahu ditelah sebenarnya. Kalau kita suka seseorang, kadangkala bukan bermaksud kita mahukan dia sebagai teman istimewa. Kita mahu dia sebagai kawan sahaja. Ya, kawan yang memahami serta boleh duduk berbual dengan kita.

Tapi, itu yang kita selalu fikir. Malangnya bukan semua orang mampu merentas diri mereka sendiri dan lihat apa yang mereka mahukan dalam hidup. Lebih rela mencanang dan merencana benda lain sehingga terlupa apa sebenarnya kemahuan dalam hidup. Aneh-aneh sahaja manusia kan?

Gambar : Kadangkala hidup ini macam muzik. Tak semua yang kita dengar kita suka. Ada yang kita terpaksa dengar sebab perlu, dan ada yang kita tinggalkan sebab kita tak tahan. (Shafaza Zara, 2011)

Aku ada terbaca dalam kicauan burung di Twitter.

"When your ex asks if you can still be friends right after a break up its the same thing as having a kidnapper tell you to keep in touch."

Jujurnya aku senyum membacanya. 
Senyum dalam erti kata, setuju dan tidak setuju. Bergantung kepada keadaan juga kan? Tidak semestinya terus putus perhubungan bermaksud terus tiada istilah berkawan dan sebagainya. Tetapi itulah, bak kata seorang kawan aku, orang yang pernah kau sayang dan kau cintai, adalah hampir kepada negatif kemungkinan untuk berkawan selepas itu kecuali hati betul-betul kuat. Sekali lagi aku nyatakan, itu semua bergantung bagaimana peenrimaan kita sebagai manusia.
Mungkinlah.

Kawan : Aku baru lepas buang semua benda yang dia bagi.
Aku : Kenapa?
Kawan : Aku dah tiada apa-apa lagi dengan dia.
Aku : Kau buang, nanti kau ambil balik.
Kawan : Lupa nak cakap yang aku dah bakar sekali semua benda.
Aku : Kau kumpul abunya?
Kawan : Nak buat apa?
Aku : Mana tahu kau simpan dalam balang, letak atas meja.
Kawan : Tak adalah.
Aku : Kau sayang dia lagi.
Kawan : Tak.
Aku : Kalau kau tak sayang dia kenapa kau cakap pasal dia lagi?
Kawan : Aku kena bercakap dengan orang, kalau tak aku gila nanti.
Aku : Sebab itu aku kata masih ada terselit rasa sayang.
Kawan : (diam)
Aku : Kenapa diam?
Kawan : Betul, kau betul. Aku memang sayang dia lagi.
Aku : Kau cakap dengan aku hari tu yang kau boleh kawan dengan dia lagi.
Kawan : Aku ingat aku boleh. Rupa-rupanya tak.
Aku : Kenapa?
Kawan : Macam aku je yang cari dia, macam aku je yang ingatkan dia lagi. Rasa bodoh pula.
Aku : Sebab kau betul-betul sayang dia.
Kawan : Tak juga aku rasa lepas berpisah tu. Cuma sebab dah terbiasa dengan kehadiran dia.
Aku : Sebab rutin kan?
Kawan : Mana taknya, bangun BBM dengan dia, sepanjang hari pun BBM. Sebelum ada BBM, memang sentiasa SMS atau telefon.
Aku : Takpe. Rutin kau boleh ubah.
Kawan : Aku baru sedar sesuatu.
Aku : Apa dia?
Kawan : Cara untuk rasa terluka, dilukai dan dikhianati hanya satu. Kekal bujang.
Aku : Itu kesimpulan yang kau dapat?
Kawan : Kenapa? Salah ke?
Aku : Bob Marley pernah berkata bahawa kenyataannya semua orang akan melukai kita, cuma kita perlu tahu yang mana lebih menyakitkan dan membawa lebih banyak sengsara.
Kawan : Boleh tak kalau aku pura-pura benda ni semua tak pernah terjadi? 
Aku : Tujuan kau?
Kawan : Semoga ia tak menyakitkan aku lagi.
Aku : Pura-pura sesuatu benda itu tak pernah terjadi tak akan menyelesaikan masalah. Bahkan ia akan membuatkan kau ada masalah untuk diselesaikan di kemudian hari.
Kawan : Habis apa aku nak buat ni?
Aku : Tukarlah rutin kau. Buat benda lain.
Kawan : Aku dah cuba. Ni pun aku tengah berusaha minta tukar ke cawangan lain.
Aku : Susah bersama dengan dia bawah satu bumbung?
Kawan : Sebab aku tahu aku akan sentiasa suka dia, maka itulah caranya yang aku dapat fikir. Jauhkan diri.
Aku : Semoga berjaya.
Kawan : Aku nak sangat berjaya.

Gambar : Mungkin kenangan itu patut disimpan sahaja. Dikeluarkan kalau perlu melihat apakah yang boleh kita belajar daripadanya. (Shafaza Zara, 2011)

Satu benda yang aku belajar dalam hidup ini adalah, jangan pernah mudah mengalah.
Sebab selagi kita terus berusaha, selagi itulah jalan masih terbuka luas untuk kita tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun. Bukankah telah dinyatakan bahawa manusia itulah sendiri yang mampu mengubah nasib dirinya?

Kita semua berubah.
Tiada siapa mampu mengubah kita.
Dan kita mungkin boleh berubah disebabkan seseorang.
Dan itu lebih baik kalau kita berubah untuk diri kita sendiri.

Sayangi diri kita sendiri dahulu.
Itu sahaja.

Nota Kaki :
Sedang sibuk menguruskan rumah. Ya, tanggungjawab itu tergalas di bahu budak yang berusia dua puluh tiga tahun ini.

Zara : Bagi setiap keindahan, pasti akan ada mata yang memandang. Bagi setiap kebenaran, pasti akan ada telinga yang mendengar.

Sunday, May 29, 2011

Ini Mungkin Yang Kita Perlukan.


Kita semua ada benda yang kita mahukan.
Ada benda yang kita dambakan.
Keinginan.
Kemahuan.
Kehendak.
Fitrah manusia.

Gambar : Mungkinkah ini antara benda yang aku turut mahukan dalam hidup?

Dan bila kau tanya apa aku mahukan, aku cuma mampu tersenyum sahaja.
Kau tak pernah mengerti di sebalik tulisan dan perbualan kita.
Anehnya, satu pesanan kau buat aku ketawa.

Itu.
Bicara terakhir kita.

Nota Kaki :
Mengambil alih tugas selama 2 minggu.

Zara : Aku perlu berikan ceramah motivasi depan orang ramai? Padahal aku sendiri tak percaya dengan sesi sedemikian. Alahai.

Friday, May 27, 2011

Halal Haram : Ironi Masyarakat Kita


Masyarakat kita memang masyarakat yang sensitif. Letaklah apa-apa isu, buang bayi, pengedaran dadah, pembunuhan, baling asid dan sebagainya, masyarakat kita memang yang pertama sekali muncul di barisan hadapan ala-ala boleh jadikan rusuhan. Kalau kejadian gempa bumi, tanah runtuh, banjir, tsunami, peperangan, tabung bantuan akan muncul seperti kilat dan masyarakat kita berdedai hulurkan sumbangan.

Benda baik.
Siapa kata tak baik? Hulurkan bantuan, ringankan beban itu juga dikira sebagai satu sedekah.
Tapi kalau kau kata, kau sekadar hulurkan senyuman sebab senyuman itu satu sedekah, janganlah asyik senyum sahaja bila orang hulurkan tabung derma. Masukkan seringgit dua pun memadailah kalau kita-kita ini tak sekaya orang yang boleh tempah cek besar pintu rumah dan tulis sumbangan ikhlas lima puluh ribu ringgit Malaysia sahaja.

Bagus masyarakat kita.
Benda yang paling sensitif tentunya makanan.
Oi, jangan main-main pasal sumber makanan, cara penyediaan makanan semua dengan masyarakat kita. Makanan yang halal dan berkualiti sahaja (zaman dulu ini tajuk Pendidikan Islam Tingkatan Dua kan?) yang boleh masuk ke sistem penghadaman sebab kita semua percaya benda ini akan jadi darah daging dan betullah itu, apa yang kita makan, akan menjadikan siapa kita kan?

http://farm3.static.flickr.com/2631/4067493735_3cb325325a.jpg
Gambar : Sebenarnya banyak pilihan gambar lain, tapi aku rasa seronok letak gambar makanan kalori tinggi begini. (baca : lemak dan kolestrol juga tinggi)

Situasi Satu :

Encik A : Malam ni kena nak makan apa ya?
Cik B : Apa-apa.
Encik A : Makanan Barat boleh?
Cik B : Bolehlah.
Encik A : Pelayan, boleh saya tahu dalam masakan ini letak apa?
Pelayan : Kita guna daging bermutu tinggi untuk buat "steak" kita ni.
Encik A : Ini sudah bagus. Saya nak dua hidangan ini.
Pelayan : Baiklah. Bagaimana encik nak daging tu dimasak?
Encik A : Masak sepenuhnya. Daging kena masak penuh, kalau tak berdarah lagi.
Pelayan : Baiklah encik.

(lepas tunggu lebih kurang 30 minit dengan ditemani dengan gesekan biola, petikan piano dan entah apa-apa lagi termasuk perbualan berdua tentang masa depan bahagia, penuh pelangi dan ceh, macam jiwang)

Pelayan : Hidangan untuk dua orang dah siap encik.
Encik A : Terima kasih. Sedapnya bau.
Cik B : Wanginya.
Pelayan : Sila nikmati hidangan ya?

(potong hidangan perlahan-lahan, kunyah-kunyah)

Cik B : Rasanya lain dari tempat yang kita selalu pergi kan?
Encik A : Ya. Rasa lebih lembut, sedap.
Cik B : Cuba awak tanya apa dia letak dalam ni.
Encik A : Pelayan.
Pelayan : Ada apa encik?
Encik A : Selain daging bermutu tinggi, apa bahan yang  diletak lagi ya?
Pelayan : Alkohol bermutu tinggi dari Perancis encik.
Encik A : Hoi! Saya ni orang Islam tahu? Mana boleh ada arak segala ni dalam makanan? B, bangun cepat!

(dan drama berterusan)

Kita memang melenting kalau tahu dalam makanan yang kita makan tercampur (ataupun sengaja dicampurkan) dengan arak, alkohol kalau istilah orang kimia macam aku, gelatin babi dan sebagainya. Kan kita dah setuju awal-awal tadi tentang itu semua kan?

Situasi Dua :

Encik A : Bengang betul saya dengan restoren tadi. Putus selera.
Cik B : Ala, dah la. 
Encik A : Makanan haram tu. Marah betul ni.
Cik B : Sudahlah, jangan marah. Baru termakan sikit kan?
Encik A : Jomlah lepak tempat biasa.
Cik B : Jom.

(sampai tempat lepak biasa mereka)

Cik B : Awak nak minum apa?
Encik A : Macam biasa.
Cik B : Pelayan, macam biasa ya?
Pelayan : (sebab pelanggan biasa, dia dah tahu sangat) Ya.

http://farm4.static.flickr.com/3131/3160307181_e6287ae993.jpg
Gambar : Susunan nampak cantik. Heh.

Encik A : Pandai awak.
Cik B : (senyum)

Ironi kan?
Makanan tak boleh.
Minuman boleh pula.

Renung-renungkan dan selamat beramal (ala-ala radio)

Nota Kaki :
Esok tugasan berat bakal bermula.

Zara : Sebenarnya mahu tulis pendek sahaja, tapi entahlah. Aku bertarung dengan masa ni.

Thursday, May 26, 2011

Mak Pengantin Tak Suruh Ulas Kerjaya Anak Dia.


Kadangkala disebalik mahu bergembira, suasana meriah tidak terkira mesti ada penyebab mahu buat keadaan jadi agak gundah gulana. Senjata mahu dikeluarkan tetapi apakan daya, keris yang mak andam beri pinjam ini hanya sewa. Kalau buat menikam orang, mesti keris itu akan dijadikan simpanan bahan bukti pihak berkuasa selagi kes belum habis bicara. Belum campur lagi keris itu bakal diconteng dan diletakkan nombor siri. Baju yang dipakai kalau kena percikan darah pun boleh jadi bahan bukti. Sekali lagi, baju pun disewa.
Celaka.

Gambar : Aku malangnya tak dapat cari gambar pengantin yang sesuai. Ini bolehlah. Kau semua tengok gambar ini tahu ini menggambarkan majlis kahwin kan?

Suasana di luar masih gegak gempita dengan bunyi lagu berputar - ikut suka hati pengulas atau apa yang kita panggil sebagai 'deejay'. Sejak dahulu lagi, kalau pergi rumah orang kahwin mesti ada manusia yang kita panggil singkatan dia DJ. Ala-ala radio cuma kau boleh tengok dia berceloteh sama ada bagus macam Fara Fauzana, Faizal Ismail atau teruk macam entah siapa-siapa yang jangka hayat sebagai penyampai radio itu berakhir.

Tapi itu bukan ceritanya.
Aku nak cerita tentang satu majlis perkahwinan yang aku hadiri. Pengantin lelaki adalah kawan aku, manakala pengantin perempuan adalah kenalan pengantin lelaki (Choi! Memanglah. Kalau tak celah mana nak kahwin?). Datang bersama kawan-kawan lain dan memanglah, kalau majlis perkahwinan sekarang ini memang bagus sebab selain nasi yang aku sudah tidak sentuh lagi, ada sahaja makanan sampingan. Kebetulan, masa kami sampai, pengantin lelaki sedang bersiap mahu berarak bersama rombongan pengantin perempuan. Lepas dapat isyarat dari pengantin lelaki dan keramahan ibunya yang suruh kami menikmati hidangan, ya, kami duduklah makan. Sedang menikmati makanan, DJ pun mengumumkan ketibaan pengantin dan adanya persembahan silat.

DJ : Itu dia pengantin sedang berarak masuk bersama dengan rombongan dari negeri X.
Kami : Bagus betul, macam ada perasmian majlis.
DJ : Pengantin dipersilakan duduk sebentar, ada orang nak bersilat.
Kami : Ni kalau program ni, ada buku program kena bagi perasmi.
DJ : Pengantin tengok sahaja tau, jangan bersilat pula laki bini.
Kami : Si K tu ada taekwando lagi. (senyum masing-masing)

Yang membuatkan kami mahu tercekik dan baling pinggan kepada DJ itu adalah ayat-ayat dia yang seterusnya apabila pengantin mahu bersanding. 

DJ : Untung si K dapat isteri cantik. Cikgu biasa dapat kahwin dengan doktor cantik.
Kami : (mula-mula biasa lagi)
DJ : Isteri kerja doktor, suami cikgu biasa, untung tuan rumah. Berseri-seri.
Kami : (mula pandang-pandang)
DJ : Kalau sakit pergi hospital, untung tak payah beratur ada menantu doktor.
Kami : Motif?
DJ : Bla..bla..bla...doktor...bla..bla..bla...cikgu...bla..bla..bla...doktor....bla...bla...cikgu.

Sepanjang kami makan, sampailah nak menghampiri pengantin di pelamin sebab nak beritahu mahu pulang, DJ itu asyik sebut benda lebih kurang sama. Kerjaya pasangan pengantin dan betapa untungnya sebab dapat kahwin dengan doktor. Macam satu benda yang ajaib sampai mahu disebut berulangkali. Perlu diingatkan bahawa, ini bukanlah kali pertama kawan-kawan aku melangsungkan perkahwinan dengan bukan guru, ada sahaja yang kahwin dengan jurutera dan sebagainya, cuma DJ kali ini amatlah pelik dan agak, boleh makan kaki kalau tak kena gaya.

Kami : Baliklah dulu K.
K : Cepat nak balik?
Kami : Apa kau nak suruh kami basuh pinggan mangkuk?
K : (ketawa) Anak-anak dara kena rajin.
Kami : Mentang-mentang dah kahwin. Tahniah.
K : Nanti kalau lalu depan DJ tu tolong bagi ayat pedas sedikit.
Kami : Tahu kau mesti panas atas pelamin ni.
K : Jangan sampai aku tikam dia dengan keris ni karang.
Kami : Jangan. Nanti masuk televisyen.
K : Aku kalau tak ingat semua benda ni sewa, dari baju sampai ke keris, memang aku tikam juga DJ tu karang. Baik kamu bisik-bisik sedikit, sebelum aku makan berdamai ni.
Kami : Siapa nak cakap?
K : Penulis blog nakal belakang tu.
Kawan-kawan lain : Betul. Betul.
Aku : Jadahnya aku?
K : Aku bagi kau tulis dalam blog. Eksklusif.
Aku : (tarik muka)
K : Pergilah. Kira hadiah kahwin aku juga ni. Cincai. Takkan nak suruh Mak aku pula.
Kami : Baik.

http://farm1.static.flickr.com/181/420518310_396ddacd67.jpg
Gambar : Kalau aku kahwin suatu hari nanti, aku nak suruh orang main benda ini (tapi versi lagi maju tentunya). Lepas tu ada harapan kena lempar dengan Puan Mulia dan Ketua Keluarga Hebat.

Kawan-kawan : Pergilah cakap.
Aku : Takut.
Kawan-kawan : Kau tengok K di belakang tu. Nanti kita semua kena bahan dengan dia.
Aku : Baiklah. Kau semua tegur dulu abang tu.
Kawan-kawan : Bang DJ, oh bang DJ.
DJ : Apa dia adik-adik?
Kawan-kawan : Ni kawan kami ada nak buat permintaan lagu (tolak aku ke depan)
DJ : Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ada gadis yang nak buat permintaan lagu untuk pengantin. Lagu apa adik?
Aku : Bukan-bukan. Saya cuma nak sampaikan pesanan pengantin.
DJ : Apa dia?
Aku : Dia suruh abang putarkan lagu sahaja lepas ni.
DJ : Kenapa?
Aku : Dia kata dia tak nak majlis perkahwinan dia ada pertumpahan darah.
DJ : (ketawa) Sebab isteri dia orang kerja hospital ke?
Aku : (dalam hati - Bingai ke apa ni?) Tak. Dia suruh putar lagu sahaja. Tak payah ulas apa-apa lagi.
DJ : Takpe. Cakap dengan dia lepas ni abang putarkan lagu ala-ala hospital.
Aku : Er, er...
DJ : (tekan apa entah - keluar siren ambulans)
Aku : Saya cuma nak nasihatkan abang satu je.
DJ : Apa dia?
Aku : Pakai jaket keselamatan kalau tak nak terbunuh. Terima kasih bang.

Kami terus berlalu pergi dan menuju ke arah mak pengantin. Macam biasa adat, kalau dah nak balik jumpa tuan rumah. Lepas itu salam keruk (istilah ini orang Johor guna sebagai lepas salam tuan rumah, dalam tangan letakkan sampul duit. Nilai bergantung kepada keikhlasan masing-masing).

Kami : Terima kasih makcik. Balik dulu.
Mak K : Kawan-kawan K ke?
Kami : Ya makcik.
Mak K : (sibuk hulurkan bungkusan) Ni ambil seorang satu.
Kami : Terima kasih makcik.
Mak K : Bengang betul dengan DJ ni. Orang suruh buat gembirakan majlis, dia buat makcik panas hati ni.
Kami : Sabar makcik.
Mak K : Apa salah ke K kahwin doktor?
Kami : Tak salah makcik.
Mak K : Menyesal betul ada panggil DJ ni. Tak suruh pun sebut-sebut apa kerja pengantin ke apa. Ni macam merendah-rendahkan kerja si K ni.
Kami : Er, balik dulu ya makcik?
Mak K : Hati-hati jalan.

Aku sejujurnya mengerti perasaan Mak K. Dah berapa kali aku menghadiri majlis perkahwinan, aku rasa ini antara sebab kenapa kalau aku ada rezeki kahwin nanti, aku tak nak ada DJ. Bukan apa, kalau DJ yang betul dan buat kerja dengan elok baguslah, kalau yang macam K dapat ini, memang boleh jadi neraka majlis itu nanti. Tapi, aku akui, tak semua DJ begitu. Ada yang bagus dan berhemah. Kalau ada laungan azan, dia akan tutup sebentar lagu yang sedang diputar dan sebagainya. Bukan main belasah, langgar segala benda.

Benda begini kadangkala orang kurang peka. Ada yang tak suka disebut tentang kerjaya, gaji dan sebagainya tetapi orang belasah, mahu sebut semua tanpa mengira sensitiviti sesetengah pihak. Tuan rumah sebagai contohnya, adalah yang paling sebal aku rasa. Benda yang kononnya menghiburkan tetamu buat diri jadi meluat dan nak senyum pada orang yang datang pun kena tegangkan muka dan tepuk manja pipi berkali-kali. Susahlah kalau begitu kan?

Bila fikir semula, ada beberapa sebab aku kurang gemari benda ini sejujurnya. Untuk perhatian, aku tak memandang rendah kerjaya sebagai DJ dan aku sendiri mengakui tak semua orang sama dari segi penyampaian dan gaya. Beberapa sebab aku kurang senang ada DJ di majlis perkahwinan :
1. Kadangkala muzik terlampau kuat. Tetamu nak berbual pun payah.
2. Apa yang diucapkan tak sensitif dengan suasana.
3. Khayal dengan dunia sendiri macam ada konti.
4. Tak hormat tuan rumah, pengantin dan tetamu. Agak-agak kalau nak bergurau kan?
5. Kau semua mesti tak nak tengok gambar seperti di bawah ini kan?

Gambar : Ada sesiapa nak tengok pengantin perempuan begini di majlis perkahwinan? Mungkinkah ini angkara DJ?

Apa-apa pun, aku tahu masih ada pengacara majlis, 'deejay' yang masih membuat tugasan yang hebat dan menggembirakan. Selalu juga jumpa mereka yang begini. Kita boleh makan sambil berhibur dan halwa telinga juga bahagia dengan lagu pilihan mereka.

Itu sahaja.
Dah.

Nota Kaki :
1. Akan mengambil tempat sebagai ketua keluarga selama dua minggu.
2. Dihujani dengan tugasan yang membuatkan diri tak boleh alpa dan mesti sentiasa peka.
3. Menemui cara baru untuk mengawal sekumpulan manusia yang tidak mendengar kata - jangan buat silap dengan mahu injak kepala.

Zara : Evolusi seorang survivalis sedang menunjukkan tanda-tanda kekuatan perlu dipecahkan dengan apa jua cara. Tindak balas luar menikam dengan kuat sehingga tidak dapat duduk diam tanpa sebarang kata. Angkat senjata!

Wednesday, May 25, 2011

Ini Khabarnya Perasaan Paling Teruk Dalam Hidup


Kadangkala ada orang rasa macam-macam benda teruk dalam hidup.
Aku sendiri tak mengerti.
Cuma, ini sahaja yang aku mahu kongsi dari Tumblr aku.







[sumber : Tumblr Budak Cermin Mata Besar]

Anggaplah ini yang aku tinggalkan untuk hari Rabu.
Ya, mungkinlah.

#1 : Aku dah biasa sangat.
#2 : Ini pun dah selalu kena.
#3 : Ini pun dah biasa, tapi jangan sampai aku balas balik.
#4 : Dah lama tak.
#5 : Kawan? Sahabat? Manusia sekepala? Ahli keluarga? Aku dah lalui.
#6 : Ini adalah tidak.
#7 : Ini pula bukanlah perasaan yang teruk. Lebih tepat, mungkin sekejap sahaja.
#8 : Ini boleh diperbaiki.

Lord Zara : Kau tidak akan mengerti.

Tuesday, May 24, 2011

10 Perkara Yang Membencikan Ketika Peperiksaan


Dah masuk minggu ketiga peperiksaan. Setiap kali kalau peperiksaan, setiap kali itu jugalah melihat pelbagai drama yang sejak dahulu tersaji di hadapan mata. Dari zaman menjadi seorang murid, pelajar sehinggalah mahasiswa dan juga guru sekarang ini, ceritanya masih sama. Cuma pelakon sahaja berbeza mengikut keadaan dan masa.

Gambar : Jam yang berdetik, kerusi dan meja juga memberikan sumbangan sewaktu peperiksaan tahu?

1. Pengawas peperiksaan berdiri sebelah dan tengok jawapan aku.
Choi!
Benda begini bila berlaku adalah agak kurang menyenangkan. Habis kaku segala tangan aku nak menulis, otak aku jadi beku dan entah mengapa aku akan menggelabah. Rasa tidak kena bagaikan jawapan yang ditulis itu entah betul atau tidak apabila diperhatikan. Kalau masa sekolah dulu, cikgu yang suka berhenti sebelah meja aku sewaktu peperiksaan adalah cikgu Matematik Tambahan. Dalam banyak-banyak pelajaran, kertas paling membunuh ini memang kegemaran dia berhenti sebelah aku.

Cikgu : Betul ke jalan kerja tu?
Aku : Er, er, er... (sambil mata melingas tengok kertas)
Cikgu : Macam salah je.
Aku : Ye ke? (mata terus tengok kertas lagi tekun)
Cikgu : Tengoklah kalau ada betul ke salah tu. (berlalu pergi)
Aku : (terus mencari dan akhirnya bila tak jumpa, terus buat soalan lain)

Aku sekarang amatlah kurang berjalan dari satu meja ke satu meja sewaktu menjaga peperiksaan. Lebih suka berdiri di belakang kelas dan perhatikan murid. Lebih senang demikian kerana segala pergerakan mereka dalam pemerhatian. Lagi pula, aku ada sedikit kelemahan tidak boleh membaca jawapan salah. Nanti nak sahaja aku beritahu budak jawapan yang betul. Itu dah kira menipu masa peperiksaan eh?

2. Budak sekeliling minta jawapan (serta barang) aku.
Ini bergantung kepada mata pelajaran dulu. Aku pelik kenapa orang nak tanya jawapan aku, sebab aku bukannya pandai dan kau pula berikan isyarat nak minta jawapan (kira meniru aku la tu) dalam peperiksaan. Malangnya aku nak tolong pun tak boleh sebab aku pun kurang percaya dengan jawapan aku lebih-lebih lagi kalau soalan yang perlukan mengarang esei. Memang panjang aku tulis, tapi isinya mungkin bukan setakat ke laut, tapi ke Jurang Mariana terus. Contohnya Sejarah aku dahulu.
Ketawa.

Kawan : Kedekutlah kau.
Aku : Kenapa?
Kawan : Orang minta jawapan tak bagi.
Aku : Itu kira meniru.
Kawan : Ala, tolong kawan-kawan.
Aku : Aku sendiri pun tak tahu buat.
Kawan : Aku nampak kau tulis panjang.
Aku : Kau pernah dengar menggoreng dan merapu dalam kertas?
Kawan : Kau goreng kertas kau?
Aku : Mestilah.

Sekarang ini aku tengok budak boleh main tukar-tukar kertas jawapan semasa peperiksaan. Kalau aku tangkap, sama ada aku koyakkan ataupun aku akan ambil gambar. Senang terus jadi bahan bukti kalau ada perkara berbangkit di kemudian hari. Senang hati aku.

Lagi satu kalau tak minta jawapan, mesti nak minta pinjam barang. Dari pemadam getah, pemadam cecair, pembaris, pengasah pensel, mesin kira, ubat pensel mekanikal (ala, yang karbon halus melidi tu) ataupun minta pinjam pen disebabkan asyik menulis terus habis dakwat. Bila ada pergerakan dan bisikan, bisikan ini pastilah pengawas peperiksaan akan menumpukan perhatian pada kita secara tiba-tiba. Sumpah tak selesa.

http://farm5.static.flickr.com/4072/4717323069_5dce6b16fa.jpg
Gambar : Aku selalunya ada pemadam, pembaris dan segalanya sebagai tambahan, supaya bila orang pinjam, dia boleh terus pegang sehingga habis peperiksaan. Kalau tidak, membingitkan sahaja sepanjang peperiksaan.

3. Orang sekeliling baca soalan kuat-kuat.
Apa barang?
Lain kali masa tulisan jawapan tu yang kau sebut kuat-kuat macam  baca pesanan ringkas sambil tersengih-sengih tu. Baru betul. Ni yang kau baca soalan kuat-kuat, apa kau ingat sesi menghafal soalan ke? Lagi satu, paling menjengkelkan, kalau kau sedang berada di soalan pertama, tetapi orang sebelah kau sedang baca soalan nombor empat atau lima. Oit! Itu sumpah mengundang sumpah seranah berbakul tahu?

Budak : Kalau kita mahu menggunakan mancis, perkataan yang sesuai...
Aku : Syhhhh...
Budak : Menggores? Mencarik? Menggaris?
Aku : Syhhhh...
Budak : Tak pernah dengar perkataan mencarek ni.
Aku : Oi, diamlah! Aku nak jawab juga!

Aku terjumpa seorang murid begini minggu lepas.
Hampir sahaja dia dibaling keluar oleh tiga puluh empat murid yang lain tidak termasuk seorang guru muda yang berbadan gempal tetapi rasa dirinya comel sewaktu berdiri di depan cermin setiap pagi. Ala, aku mengaku, aku lah tu.
Heh.

4. Bunyi tapak kasut pengawas peperiksaan berjalan.
Boleh duduk tak cikgu?
Boleh diri hujung sana sahaja tak encik atau puan? (kalau di universiti)
Ini biasanya pengawas peperiksaan perempuan dengan kasut tumit tinggi mengalahkan artis membuat pertunjukan fesyen. Tapi kalau ada seinci sahaja pun sudah boleh buat bingit memandangkan kebanyakan kelas adalah berlantaikan simen ataupun marmar (jubin). Memanglah keletuk, keletuk, keletuk, sampai satu tahap kalau bengang boleh rasa nak bangun dan menjerit.

http://farm3.static.flickr.com/2568/4068882246_5c2d1b2cff.jpg
Gambar : Dulu aku pernah terganggu dengan bunyi kasut pengawas peperiksaan sehingga terpaksa menekan kalkulator dengan bersungguh-sungguh supaya pengiraan aku tidak bercampur aduk dengan derapan kaki dia. Gila aku ni.

Bila sekarang ini aku menjadi seorang guru, aku pastikan aku memakai kasut tapak rata supaya tidak menimbulkan bunyi yang mungkin akan mengakibatkan anak murid aku tertekan seperti aku dahulu. Oh ya, bukan setakat pengawas peperiksaan wanita sahaja, pengawas peperiksaan lelaki juga, lebih-lebih lagi kalau kasut mereka mempunyai besi. Rasa nak tawarkan diri jadi tukang kasut dan buka ladam tersebut. (Gila kronik kalau dengar bunyi semasa peperiksaan).

Oh ya, pengawas peperiksaan juga tidak perlu berjalan dan mengheret kaki di lantai. Kita bukan berlakon cerita seram yang memerlukan bunyi seretan kasut (kecuali kalian ada sebab kesihatan dan sebagainya, itu dimaafkan).

5. Budak jatuhkan barang semasa peperiksaan.
Bayangkan kau sedang seronok menjawab soalan peperiksaan dan tenggelam dalam kesibukan menulis jawapan disebabkan ilham datang membuak-buak. Tiba-tiba, GEDEGANG!

http://farm4.static.flickr.com/3035/3026801010_d6b2b95009.jpg
Gambar : Choi! Gunakan bekas kain, boleh tak? >.<"

Bekas pensel besi adalah yang paling membingitkan kalau jatuh di atas lantai. Ia merangkap sekali bekas peralatan set geometri, botol air dan sebagainya. Tetapi aku paling sakit hati kalau bekas pensel besi yang jatuh. Sudahlah bunyinya bingit dan memeranjatkan (lebih-lebih lagi kalau kau kuat melatah macam budak yang pakai kaca mata bingkai hitam tu), barang-barang semua berterabur atas lantai. Masa inilah nak tengok mana pembaris tercampak, pen bergolek ke mana, dan segala macam harta benda lain. 

Ini peperiksaan.
Abaikan segala benda kau tu.
Habis peperiksaan nanti kutip (tapi sekarang ni, aku yang selalu tolong budak kutip disebabkan aku tak nak dia gunakan ini sebagai taktik untuk bercakap dan minta jawapan dari kawan-kawan dia). Kerja pengutip barang murid tak termasuk memang mengutip kertas jawapan peperiksaan.
Cikgu memang serba boleh kan?
Heh.

6. Sakit.
Memang membencikan bila sakit. Sudahlah bukan tergolong dalam murid yang betul-betul bijak, kalau kena sakit masa peperiksaan memanglah sadis. Lebih-lebih lagi kalau batuk dan selsema. Kadangkala, kalau batuk, rasa nak telan semula batuk disebabkan takut menganggu orang sebelah. Selsema jangan cakap. Meleleh hingus, terpaksa bawa tisu sebanyak mungkin masuk dewan peperiksaan. Agak-agak nak mengalir, kesat, aku selalu sumbat tisu dalam hidung. Memalukan tetapi itu sahaja jalan terbaik daripada tangan asyik sibuk nak mengesat hidung dan menulis jawapan.

http://farm4.static.flickr.com/3315/3541068689_a8037350fa.jpg
Gambar : Bila pakai ini semasa peperiksaan, sumpah berpeluh dan entah apa lagi. Tapi demi keselamatan diri, orang lain dan tak mahu orang terganggu, maka redha. Cepat buat muka pasrah!

Ada sekali masa aku Tingkatan Lima, sepanjang peperiksaan aku sakit perut yang memaksa aku ke tandas untuk melunaskan hajat besar. Memang sengsara yang amat sangat. Terpaksa siapkan secepat mungkin sebab kita sendiri tak pasti berapa lama masa yang diambil untuk buang air besar kan? Buatnya sembelit ataupun cirit birit sampai tak boleh berdiri? Sadis. Ada satu mata pelajaran sahaja yang aku tak sempat nak pergi buang air besar. Teka apa dia?
MATEMATIK TAMBAHAN.
Gila kalau sempat berak.
Aku bukan genius.

7. Lagu yang didengar semasa belajar malam sebelumnya terngiang di telinga.
Pernah kena pada aku. 
Memanglah semua orang tak sedar benda ini, tetapi aku yang melaluinya sewaktu peperiksaan adalah amat membencikan. Kalau tak silap aku, lagu yang terngiang dan bergema dalam kepala aku masa itu adalah lagu Linkin Park ataupun Evanesence. Masa itu memang terkenal dua kumpulan ini dan aku kononnya, mendengar lagu untuk kekal fokus belajar dan membuat pengiraan. Memanglah tak mengantuk, tapi hasilnya? Rasa nak hempas kepala atas meja peperiksaan.

8. Benda yang dibaca langsung tak dapat ingat.
Siapa yang suka bila benda penting yang mahu diingati langsung tak menjelma?
Mata menerawang, tangan berpusing-pusing, kaki hampir buat tarian bulan berjalan (baca : moonwalk), jari dah conteng-conteng kertas soalan tetapi otak mengkhianati hingga hampir habis masa. Kesudahannya goreng entah apa-apa jawapan sambil berharap tembakan adalah mengena sipi-sipi walaupun sejujurnya tidak akan menepati sasaran. Aku kalau boleh setiap kali peperiksaan memang tak suka tinggalkan ruang kosong, isilah segala apa yang dapat walaupun jawapan adalah tak tepat ataupun menggunakan teori aku sendiri.

http://farm3.static.flickr.com/2720/4483396731_50e581487d.jpg
Gambar : Tekanan sungguh bila otak sepatutnya menjana ingatan tentang fizik tetapi yang terbayang di kepala hanya kimia. Memang tekanan bahagi dengan isipadu dan entah apa lagi. Choi!

9. Main tenung-tenung dengan pengawas peperiksaan.
Aku rasa ini kegemaran pengawas peperiksaan.
Suka sangat main tenung-tenung dengan orang yang sedang jawab peperiksaan. Oi, aku jenis yang sensitif. Kalau orang tengok aku, aku boleh sedar biasanya. Dan itu adalah sangat mencemaskan (serta kadangkala boleh jadi meluat sehingga menimbulkan kebencian) apabila pengawas peperiksaan merenung kita yang tak buat salah atau melanggar peraturan. Mengganggu tumpuan menjawab peperiksaan macam ada benda yang tidak kena.

Tapi, bila aku dah jadi cikgu ini, aku tenung balik orang yang tenung aku.
Ya. Aku tenung orang yang tenung aku.
Tak ada sebab kenapa aku nak tenung orang tak tentu pasal kecuali aku pasti dia sedang melanggar peraturan peperiksaan seperti meniru dan sebagainya. Sekarang aku sedar yang calon-calon peperiksaan merenung pengawas peperiksaan adalah disebabkan mahu mengalihkan tumpuan pengawas peperiksaan daripada memerhatikan mereka sebab secara teorinya siapa yang tahan direnung lama kan? Oh ya, kau boleh abaikan Spongebob dan Patrick - itu memang kegemaran mereka dan berjadual setiap Sabtu (sila rujuk salah satu episod kartun itu).

Cuma, aku belum tahu sebab kenapa pengawas peperiksaan merenung calon tanpa sebab.
Entahlah, mereka mungkin ada sebab tersendiri aku rasa.

10. Jeling orang sebelah yang tulis banyak dan dah lama siap.
Kita baru terkial-kial nak menjawab soalan, sibuk nak fikir jawapan, merangka isi penting dan sebagainya, tetapi orang sebelah dah tulis sepanjang-panjangnya, sampai guna muka surat belakang dan penuh dengan huraian serta gambar rajah pelik yang kita ingat ada dalam nota sekolah ataupun kuliah. Masa itu mula nak menggelabah, dan lagi menyakitkan hati orang sebelah boleh dah lama siap dan bersedia untuk bangun meninggalkan dewan peperiksaan.

Gambar : Tak cukup dengan muka depan, kulit belakang pun jadi nak tulis jawapan ke?

Masih sibuk menulis jawapan, tapi satu demi satu orang lalu tepi dan menghantar jawapan. Aku akui ini pernah aku buat untuk sesetengah mata pelajaran sahaja. Kalau di kampus selatan, mata pelajaran pendidikan bolehlah nak buat begini. Mata pelajaran Kimia dan Matematik? 
Ptuih!

Jika peperiksaan memperuntukkan masa tiga jam, memang tiga jam aku duduk dalam dewan peperiksaan itu menghabiskan sisa jawapan yang entah betul atau tidak - khas untuk mata pelajaran Kimia dan Matematik. Tulislah dan hamburkan segala-galanya yang pernah diajar di dalam kelas ataupun yang tertonggeng belajar dengan kawan-kawan. Selalu juga sambil tulis sambil pusing-pusing tengok kalau ada kawan-kawan dah keluar. Bila nampak genius pun masih gigih menulis, apatah lagi kita yang cikai ini?
Tulis Zara tulis.
(ala-ala Forest Gump pula)

Baiklah.
Itu apa yang aku mahu kongsikan sempena minggu peperiksaan dan cuti sekolah bakal menjelang. Semuanya adalah dari pengalaman sendiri dan sejujurnya mungkin masih banyak lagi, tetapi aku rasa ini antara yang mempunyai kesan mendalam kepada aku dari menjadi seorang pelajar sehinggalah tenaga pengajar sekarang ini.

Nota Kaki :
1. Peperiksaan sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan.
2. Dibuli di sekolah tadi oleh jiran sebelah meja. Sampai hati dia.

Zara : Jangan salah sangka hanya kerana aku masih sendiri, itu tidak bermakna aku kesunyian, kesepiaan ataupun terdesak untuk berdua. Kadangkala orang yang hebat perlu berjalan sendirian demi mencapai matlamat hidup sebelum memulakan hidup yang lebih mencabar.

Monday, May 23, 2011

Mahukan Mesin Masa Dalam Percintaan?


Kalaulah ada mesin masa dalam kehidupan nyata ini, pastinya manusia akan gunakan sehingga melebihi had sama seperti sesetengah daripada kita menggunakan Twitter. Kita akan dengan tidak sabar (serta tamak) mahu melihat apa akan terjadi pada masa akan datang ataupun kembali ke zaman silam semata-mata untuk mendapatkan kembali apa yang kita sudah terlepas dari genggaman. Celaka badan bila terlampau mendambakan sesuatu yang tidak dapat ditunaikan secara nyata dan tinggal impian gila.

Gambar : Manusia lebih dekat mencintai manusia yang membenci mereka, dibandingkan dengan manusia lain yang memuja dan mendambakan mereka lebih daripada dibayangkan. (Shafaza Zara, 2011)

Setiap daripada manusia yang melalui kekecewaan dan mainan perasaan pastilah pernah terlintas mahu memutarkan masa dan kembali kepada saat mereka memulakan sesuatu yang indah tetapi berakhir dengan kisah celaka yang lebih mengundang air mata dan kata-kata kesat semata. Mungkin tidak diluahkan kepada si pembuat onar, tetapi dalam imaginasi liar dan marah, bayangan pembunuhan tanpa ditangkap menjadi wayang hampir setiap malam apabila cinta yang dipertahankan musnah di tangan manusia lain ataupun si dia yang dipuja sepenuh jiwa.

Satu demi satu babak yang dibayangkan muncul di kaca mata.
Bagaimana segalanya dilakukan dengan terperinci, disusun bagaikan mengarahkan sebuah filem seram berdurasi satu setengah jam. Sempurna tanpa satu cacat cela dengan watak utamanya hanya berdua dan pengakhiran yang nyata, pengkhianat akan mati di tangan pencerita walaupun entah berapa kali jalan cerita berubah. Pastinya, mati itu adalah tujuan walaupun hakikatnya bangun dan menangis mengenangkan betapa celakanya manusia yang mengkhianati sesuatu yang indah dan dirai.

Tetapi, itu kalau kita di pihak yang merasai kegagalan yang amat sangat.
Kita di sebelah tembok yang menahan kesakitan bagaikan ditembak.
Kita di bahagian yang menadah diri dengan tikaman bertubi kenyataan kejam.
Itu kalau kita di situ.
Tetapi bagaimana di pihak yang mungkin merasa kesal akan perbuatan mereka?

[sumber : Tiub Awak - Kembali Ke Disember]

Mungkinkah ada pihak yang merasa kesal dengan perbuatan mereka mengkhianati percintaan dan memusnahkan harapan di sebelah pihak lagi? Terdapat juga kemungkinan tidur malam mereka dihantui oleh bagaimana mereka didendami sehingga menjadi mata panda tidak dapat tidur akibat dosa silam yang menghantui. Kita tidak dapat menolak kemungkinan begini walaupun sesetengah daripada kita akan menyatakan "padan muka" sebab pernah mengecewakan hati manusia lain.

Kawan : Kenapa mesin masa macam cerita Doraemon tak wujud dalam dunia ini?
Aku : Kenapa?
Kawan : Aku nak balik ke masa lampau.
Aku : Masa yang mana?
Kawan : Masa aku menyerahkan kasih sayang dan kepercayaan aku kepada si dia.
Aku : Ada benda yang kau nak ubah?
Kawan : Aku tak akan menerima huluran kasih sayang itu semua.
Aku : Malangnya kita tak boleh mengubah benda yang berlalu. Kita belajar dan mulakan hidup baru serta ambil yang lama sebagai satu bentuk pelajaran yang istimewa.
Kawan : Istimewa apanya kalau kita gagal dalam bercinta?
Aku : Istimewanya kita ada pengajaran dalam hidup.
Kawan : Dengan memulakan percintaan baru bulan Disember dulu, aku kehilangan hampir segalanya dalam hidup aku selepas kehilangan dia awal Februari.
Aku : Maksudnya?
Kawan : Kawan baik, pendengar setia, tempat meluahkan, tempat bergurau senda hilang begitu sahaja. Alangkah baiknya kalau aku terus kekal bersama dia sebagai kawan sahaja.
Aku : Sebab itu aku kata, benda itu akan jadi pengajaran supaya ianya tak berulang lagi.
Kawan : Hidup aku jadi jahanam. 
Aku : Sesetengah orang hanya layak jadi kawan sahaja kan?
Kawan : Mungkinlah. Tapi semua orang memang mahu bahagia kan?
Aku : Thomas pernah berkata, kebahagiaan itu seperti mengejar rama-rama. Kalau kita terlalu sibuk mengejarnya, dia akan lari daripada kita. Tapi bila kita berhenti dan alihkan perhatian kita pada perkara lain, ia akan datang hinggap di bahu kita.
Kawan : Kau selalu berada di kedudukan mengalah, tetapi kau tak mempertahankan sekuat kau berbicara.
Aku : (ketawa) Kenapa hal aku yang kau bangkitkan?
Kawan : Sebab kau tegar melepaskan hak kau berkali-kali.
Aku : (ketawa) Aku berada di kedudukan yang terpaksa melepaskan dengan rela hati walaupun aku tahu aku hadapi kesakitan sendirian. Benda mudah, aku tidak mahu bertelagah dengan wanita lain. Kepercayaan itu bagaikan sebuah tembikar, sekali jatuh dan pecah, kalaupun kau dapat mencantumkan ia kembali, pastinya tidak akan serupa dengan yang asal.
Kawan : Ah, kau.
Aku : (ketawa) Sekurang-kurangnya kau mahu kembali ke waktu dulu dan membaiki segala kesilapan.
Kawan : Kau tak nak?
Aku : Rasa kesal tidak perlu dilibatkan kalau mahu memulakan hidup baru sebab kita akan ada sedikit rasa mahu berpaling dan menikmati semula musim yang kita tinggalkan. Aku tak mahu benda begitu jadi pada aku sebab aku sendiri yang melalui hidup aku.
Kawan : Tapi bila aku tengok masa dulu, aku nak kembali semula.
Aku : Itu normal. Kita mengenang masa lalu itu sesuatu yang normal, cuma janganlah terlampau terbawa-bawa hingga memakan diri.
Kawan : Pelik.
Aku : Apa yang pelik?
Kawan : Kau pelik.
Aku : (ketawa) Kenapa beritahu aku benda yang aku tahu?
Kawan : Kau satu-satunya orang yang beritahu aku normal untuk mengenang kisah lalu.
Aku : Tapi dengan syarat.
Kawan : Tahu. Cuma kau satu-satunya orang yang tak membangkang aku lihat ke belakang.
Aku : (ketawa) Memang aku manusia aneh.

Persahabatan dan percintaan dipisahkan oleh garis yang cukup halus. Kita kadangkala terlajak menganggap persahabatan dan perkenalan terlampau lama itu akan membawa kepada percintaan walaupun hakikatnya tidak. Ada di antara kita yang mungkin berkenalan lama, sehingga membuahkan bibit percintaan walaupun akhirnya terlerai dan kembali semula kepada persahabatan. Itu dikira bernasib baik. Ada yang hilang kedua-duanya sekali. Persahabatan dan percintaan - kedua-duanya tidak dapat dikekalkan. Yang bercinta dengan sahabat baik hingga mendirikan perkahwinan juga ada. Kan takdir manusia itu lain-lain bukan?
Senyum.

Diam.
Masa untuk cari ketenangan dan duduk perhatian gelagat manusia di dunia sebelah sana. Menyelami dasar perkara yang lebih menghiburkan jiwa daripada menghadapi makhluk yang dahagakan sesuatu yang tidak dapat disajikan demi satu kepuasan berlebihan. Tidak. Bukan pramusaji segala benda enak dalam dunia. Kau terasa, kau makan dalam sendiri, aku tidak mampu buat apa-apa.

Gambar : Kadangkala kita tak menyedari betapa kita perlukan manusia itu sehinggalah kita nampak dia bersama dengan orang lain dan hati kita berdetak tidak senang. (Shafaza Zara, 2011)

Kalau kau membebel lagi dengan diri sendiri demi mahu mencari mesin masa dan kembali ke masa lalu ataupu ke masa hadapan, tanya balik kepada diri sendiri beberapa perkara berikut :
1. Apa yang mahu dilakukan?
2. Kalau itu satu-satunya saat bahagia, apakah mahu dihentikan senyuman dan cipta satu kenangan?
3. Kalau saat itu masa celaka, apakah mahu dimatikan waktu baik pada masa sekarang?
4. Apakah dengan melihat benda demikian akan memberikan yang terbaik buat diri?

Kalau kau dapat jawab semua soalan dengan baik sekalipun, aku hanya mahu beritahu satu perkara.
Kita TIADA mesin masa.
TIADA.

Noktah.

Nota Kaki :
Tahukah kau bahawa sesuatu benda itu boleh disangkal mudah oleh minda tetapi kedegilan hati terhadap sesuatu perkara ibarat mencungkil kotoran degil dicelah sisip kaca makmal? Macam celaka bila terpaksa tarik sehelai fiber optik semata-mata mahu disusupkan ke salur. Begitulah lebih kurang perumpamaannya.

Zara : Melepaskan seseorang atau sesuatu itu lebih mudah sebenarnya daripada membuang segala memori dan kenangan sewaktu bersama, kerana apabila seseorang atau sesuatu itu pergi, yang tinggal pada kita hanyalah kenangan. Ya, masa membekukan itu sahaja buat kita.

Sunday, May 22, 2011

Cinta Ada Tarikh Luput Ya?


Semakin bertambah usia, semakin meningkat satu demi satu takah kerjaya, semakin banyak jugalah undangan ke majlis perkahwinan. Boleh dikatakan bilangan kad kahwin yang sampai ke rumah (tidak termasuk yang orang suka tandakan di Mukabuku), adalah berkadar langsung dengan penambahan usia. Lebih-lebih lagi musim mengawan pertengahan tahun hampir tiba, lebih banyak yang menimbun di peti surat. Oh ya, kalau serius mahu menghadiri, aku biasanya lebih rela dapat kad dan bukan ditanda di Mukabuku.
Ya, aku memilih.
Keji eh?

Gambar : Adakah sesiapa juga sedang tersenyum dan memikirkan seseorang apabila mereka membaca ini? Aku jujurnya tiada. Mungkin kamu punya. :)

Lelaki dan perempuan sama sahaja. Dalam bercinta, kedua-duanya mahukan yang terbaik dalam memastikan bahawa jalan cerita hidup mereka tiada percikan duka. Tiada sengketa ataupun air mata serta raungan dari mana-mana atma. Ah, celaka kalau punya terlampau banyak drama. Sebab itu kita tak mampu kata apa-apa apabila rancangan di kaca televisyen menghidangkan terlampau banyak iklan. Iklan itu sebagai penghibur tatkala mata mula bengkak menahan air mata ataupun hati yang panas minta kaki di muka.

Itu hakikat manusia. 
Percayalah. Kita sebagai manusia memang ada sedikit kelemahan mengharapkan lebih pada manusia lain dalam sesuatu perkara. Bukan kerana kita tamak, tetapi kerana kita tahu kita mampu buat yang terbaik dan lebih pada manusia yang kita sayang. Ah, tengok sahaja mana-mana pasangan bercinta di dalam filem ataupun drama (tak pastilah kalau dalam kehidupan realiti sekarang pun ada), tapi pertuturan begini pasti ada kalau kau ingat-ingat balik cerita lama.

Teruna : Untuk kekasih tercinta, lautan api juga sanggup direnangi.
Dara : Benarkah cinta?
Teruna : Jangan kata bukit belakang rumah, gunung tertinggi dunia pasti akan mampu ditawan.
Dara : Cinta benar pada kita.
Teruna : Pastinya demi kasih sayang kita.

Lebih kurang begitulah.
Tapi itulah hakikat manusia. Akan memberikan banyak apabila mereka menyenangi seseorang, menyayangi serta mengasihi manusia lain. Natijahnya, apabila perpisahan terjadi, cuba bayangkan yang kalian ada menyimpan sebuah komputer kesayangan (contohnya Macbook) di dalam bilik. Tiba-tiba jiran sebelah rumah meluru masuk dan menghempas komputer tersebut. Apa perasaan kamu? Nah, mungkin itu contoh paling mudah bagi menyatakan betapa sakitnya hati manusia yang kamu lukai walaupun hakikatnya kau mungkin tidak sengaja. 
Mungkinlah.

Gambar : Dikecewakan, dikhianati oleh seseorang yang kita percayai pastinya akan meninggalkan kesan mendalam yang tentunya perlu diisi dengan kasih sayang dan kepercayaan kembali (Shafaza Zara, 2011)

Dan bila seseorang dengan megahnya menyatakan bahawa cinta dan kasih sayang terhadap seseorang itu punya tarikh luput, satu benda sahaja yang aku terbayang dalam kepala. Cinta dan kasih sayang manusia ibarat makanan dalam tin. Bila dah tiba tarikh luput, kita ambil tin tersebut dan baling dalam tong sampah. Gedegang!

Kawan : Tadi kau pergi majlis kahwin?
Aku : Ya. Kenapa?
Kawan : Kenapa semua orang sibuk pasal kahwin eh?
Aku : Benda baik, apa salahnya.
Kawan : Cinta semua ni palsu semata. Mana ada kekal.
Aku : Apa maksud kau?
Kawan : Cinta manisnya sekejap. Lepas tu dah tawar.
Aku : Jadi pada kau cinta ini macam makan aiskrim? Sedut, sedut, hisap, hisap dan sampai satu tahap tawar?
Kawan : Boleh juga kalau kau nak buat contoh camtu.
Aku : Jadi sampai satu tahap cinta itu akan habis?
Kawan : Cinta itu akan habis dan boleh dibuang. Bergantung berapa lama boleh bertahan.
Aku : Jadi, sampai sekarang dah berapa banyak aiskrim yang kau dah makan?
Kawan : Aku lupa bilangan sebenar.
Aku : Berapa lama yang bertahan rasa manisnya?
Kawan : Setakat ini paling lama setahun. Paling sekejap adalah dalam tiga hari.
Aku : Kenapa tiga hari sahaja?
Kawan : Sebab aku rasa berikan kasih sayang pada budak tu cuma satu kesilapan.
Aku : Ada orang pernah kata bahawa, kita melalui hari yang buruk hanya untuk berjumpa dengan hari yang baik. Sama juga dengan hidup, kita jumpa orang yang teruk sebelum jumpa manusia yang terbaik.
Kawan : (ketawa) Kau sedar apa yang tak betul dalam ayat tu?
Aku : Dia tak beritahu berapa banyak kali kita nak jumpa orang yang salah?
Kawan : (ketawa) Betul. Jadi salahkah aku terus jumpa orang dan membuktikan mereka bukanlah orang yang layak untuk aku atas beberapa sebab.
Aku : Dan anehnya kau boleh ketawa lagi.
Kawan : Bukan suatu masalah bagi aku. Cinta ada tarikh luput.
Aku : Kau ingat cinta macam roti atau makanan lain ke?
Kawan : Lebih kurang. Bila benda tu rasa tak sedap, kurang enak, ataupun rasa lain macam, tinggalkan. Buang dan teruskan hidup dengan cari benda yang masih bernilai dan belum tiba tarikh luput.
Aku : Itu kejam.
Kawan : Lebih baik dari kita simpan, makan dan seterusnya sakit.
Aku : Sekurang-kurangnya sebelum sampai tarikh luput, kita boleh buat sesuatu untuk sedapkan atau panjangkan tarikh luput.
Kawan : Tak. Tarikh luput adalah tarikh luput. Cuma pendek atau panjang sahaja.
Aku : Terpulang.
Kawan : Kau dah dua kali terjumpa tarikh luput kan?
Aku : Sekurang-kurangnya bukan aku yang luput kalau ikut perkiraan kau.
Kawan : Dan mereka adalah yang mempunyai tarikh luput?
Aku : Tak. Sebab pada aku benda yang berkaitan dengan manusia tiada tarikh luputnya kecuali kematian.

Gambar : Akan sentiasa ada orang yang bakal melukai kita, tetapi apa yang kita perlu lakukan adalah terus mempercayai diri sendiri dan berhati-hati dengan siapa yang akan kita percayai selepas ini. Mustahil? Tidak. Kita yang tentukan apa yang kita mahukan dalam hidup ini. (Shafaza Zara, 2011)

Bila kita meletakkan sesuatu itu di tempat yang tidak sepatutnya, adakah kita menyedari bahawa kita sedang menempah kesakitan yang bukan sedikit? Bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi kepada manusia di sekeliling kita. Ah, jadi manusia jangan celaka sangat boleh?

Manusia memang pelik.
Begitu banyak kasih sayang di atas dunia ini, mereka masih memilih perasaan benci sebagai kekuatan dan sumber tenaga untuk hidup. Bila kebencian adalah sumber tenaga terbaik mereka, kasih sayang dan perasaan yang menggembirakan bukan lagi satu benda yang menjadi nikmat. Benci, muka bengis, bibir melengkung dan dahi berkerut adalah satu kebanggaan.
Aneh.
Manusia.
Masa.
Suatu bentuk pengkhianatan yang langsung tidak boleh dimaafkan. Menjalani kehidupan dan memerhatikan kehidupan dalam diam serta memanjatkan doa kesyukuran dapat mendengarkan suatu perkhabaran rupanya adalah balasan dosa silam. Dosa kerana tidak pernah mahu menunggu dan terbang meninggalkan. Hanyut terbang bersama salju tebal dan meninggalkan kepingan putih yang tidak berguguran. Menanti hiba penuh ketidakpastian dan hanya bersandarkan kepada pengamatan rakan. Ternyata, yang dikejar tidak kesampaian, yang dilepaskan membunuh kesepian.
Hidup ini kadangkala terlampau banyak warna.
Penuh dan sesak hingga kita mahu memilih satu warna sahaja.
Warna yang menggambarkan siapa diri kita.
Benda yang melambangkan perasaan kita.
Nota Kaki :
1. Pekerjaan sampingan setiap Sabtu sudah aku lepaskan. Nyawa aku nampaknya memerlukan ruang yang lebih untuk bercampur dengan manusia lain.
2. Ada sesiapa yang belum tengok sesuatu yang agak menarik di sini?

Zara : Aku tidak  kalah apabila aku berada di bawah, tetapi aku hanya akan kalah kalau aku tidak pernah mahu bangkit semula menghadapi dunia nyata. Ini bukan ego atau ayat keji seorang manusia, cuma berapa lama kau mahu biarkan diri terbaring dan menangisi sesuatu yang tidak akan pernah pulang ke pangkuan?

Saturday, May 21, 2011

Kau Sayang Dia Sebab Perlukan Dia Atau Sebaliknya?


#sedang mendengarkan : Taylor Swift - Kembali ke Disember (Baca : Back To December)

Kadangkala kita perlukan seseorang itu sebab dia sebahagian daripada kita, tapi kita selalu terlupa, adakah disebabkan kita sayang dia, maka kita perlukan dia, ataupun kita perlukan dia disebabkan kita sayang dia? [Lepas ditegur, aku baru perasan yang ayat aku salah. Maka yang betul adalah ini = Adakah disebabkan kita sayang dia, maka kita perlukan dia, ataupun kita sayang dia disebabkan kita perlu dia?] Itu membawa kepada dua pengertian berbeza yang pastinya.

Gambar : Orang yang kurang matang akan menyatakan saya cintakan awak kerana saya perlukan awak, tetapi orang yang matang akan menyatakan saya perlukan awak kerana saya cintakan awak. Jadi mana satu antara kita?

Kelemahan manusia adalah terlalu bergantung kepada manusia lain sehingga tanpa disedari mengakibatkan lebih banyak kesakitan dalam usaha memperbaiki sesuatu yang pincang. Anehnya, kita kurang menyedari kepedihan yang dialami bila melalui kepayahan begitu.

Kawan : Kau pernah rasa rindukan seseorang?
Aku : (ketawa) Soalan apakah ini?
Kawan : Jawab sahajalah.
Aku : Pernah.
Kawan : Susahkan bila kita rindu orang ni?
Aku : Susah ke? Kalau orang itu hidup lagi, pastinya banyak cara nak hubungi dia. Gunakan sahajalah dan lepaskan rasa rindu tu.
Kawan : Tapi kalau orang yang kita rindu itu tak rindukan kita?
Aku : (ketawa) Ini kelakar.
Kawan : Kenapa?
Aku : Sebab kau tak tahu hati orang. Mana kau tahu dia tak rindu kau juga?
Kawan : Sebab bila aku kata aku rindu, dia senyap je.
Aku : Mungkin dia segan? Ataupun aku rasa benda begini tak perlulah sentiasa diluahkan guna kata-kata kan?
Kawan : Rasa macam bodoh pula bila aku rindu orang begini. Aku je yang sayang dan perlukan dia agaknya.
Aku : Kau sayang dia sebab perlukan dia atau kau perlukan dia sebab kau sayang dia?
Kawan : Ada beza ke?
Aku : Ada.
Kawan : Aku perlukan dia sebab aku sayang dia. Kalau aku tak sayang dia, buat apa aku perlukan dia?
Aku : Jawapan orang matang.
Kawan : Eh, kalau orang minta gambar kau, apa kau buat?
Aku : Bergantung siapa orang tu.
Kawan : Katakanlah kalau orang tu minat kau, apa kau akan buat?
Aku : Senang sahaja. Aku akan jawab begini, "Google sahaja gambar saya". (ketawa)
Kawan : Keji gila perangai.
Aku : (ketawa) Sebab kita tak tahu adakah orang yang minat kita itu, kita minat atau tidak. Tapi selalunya, orang yang minat kita adalah orang yang kita kurang minat dan orang yang kita minat adalah orang yang langsung tak pandang kita.
Kawan : Macam menyindir.
Aku : Choi! Mana ada. Itu benda ironi yang manusia selalu buat.

Gambar : Kadangkala ada orang yang singgah di hati kita dan meninggalkan jejak yang dalam tetapi malangnya, mereka hanya tinggalkan kesan tapak kaki yang tidak dapat ditanggalkan apabila mereka berlalu pergi. (Shafaza Zara, 2011)

Kadangkala kita merenung sebuah hati yang kosong tanpa isi serta membuat kita tertanya-tanya, apakah ada peluang kita menyelinap masuk dan tinggal di dalamnya. Seperti juga kau duduk termenung di luar pintu sebuah rumah, tangan teragak-agak mahu menekan loceng atau mengetuk pintu rumah tersebut. Adakah ada ruang yang istimewa untuk kita?

Awak, ingat lagi kata kunci kita berdua?
Kata kunci hati kita berdua.
Awak ingat lagi?

Masa kita mula-mula kenal, awak cuma nampak permukaan jiwa saya.

Masa mula-mula kita kawan, awak cuma nampak luaran hati saya.
Tapi awak terima dan awak mula tamak.

Awak berdiri di luar hati saya.

Awak ketuk perlahan-lahan.
Awak datang setiap masa, setiap hari.
Awak tanya, bila agaknya awak dapat masuk ke pintunya.

Awak datang setiap hari sehingga saya kehilangan diri.

Awak marah saya - awak kata saya menyelinap masuk ke dalam hati awak tanpa perlu usaha.
Saya termangu - saya dalam hati awak, jiwa awak?
Awak merayu - berikan awak kunci, kata laluan atau apa sahaja agar awak bisa masuk ke dalam.

Saya berikan awak kata laluan.

Awak buka dengan perlahan.
Awak mula berikan sepenuh tumpuan dengan tinggal di situ.
Awak baca setiap helaian manuskrip dalam hati saya.
Lembaran demi lembaran awak baca.

Awak, bila tiba halaman yang sukar untuk difahami, mengapa awak berdiam diri?

Mengapa awak tidak mahu lebih mengerti?
Mengapa awak tidak mahu bertanya kepada saya, tuan punya diri?

Awak, hati yang awak masuki adalah hati saya.

Kamus yang awak perlukan adalah saya.
Awak, adakah awak masih mahu membaca lagi?
Atau mahu berpaling pergi?

(tulisan aku dari penulisan ini)

Pincang?
Ya, tulisan hari ini pincang.

Nota Kaki :
Sesuatu yang diinginkan sudah punya dalam tangan.

Zara : Kekuatan untuk mencintai adalah anugerah terbesar yang diberikan Tuhan kepada manusia, sebab kekuatan itu tidak akan pernah direnggut dari manusia penuh berkat yang mencinta. (Kahlil Gibran)

Thursday, May 19, 2011

Aku, Kau Dan Dia Sudah Berpisah Alam.


Aku sejujurnya memang mengharapkan pasangan itu bahagia.
Bahagia yang teramat sangat memandangkan apa yang mereka lalui bukanlah sesuatu yang mudah. Menjalani kehidupan suami isteri pada usia yang boleh dikatakan cukup muda serta tidak memahami kehidupan itu sendiri membuatkan mereka lakukan yang terbaik demi kehidupan masing-masing. Ego diketepikan dan apa yang dimahukan oleh keluarga dilaksanakan sebaik mungkin dengan satu niat mahu mengubah diri masing-masing. Meninggalkan segala kisah silam di belakang dan memulakan kehidupan yang lebih baik tentunya.

Diam.
Anak itu seorang yang cukup degil dan cukup kuat mengusik.
Kadangkala gurauan keterlaluan yang bisa menyayat hati akan keluar dari dia yang menganggap persahabatan dengan manusia lain adalah sesuatu yang cukup berharga sementelahan dia sudah terlalu lama meninggalkan kehidupan yang pernah menenggelamkan dia. Aneh, dengan sahabat yang seorang itu, betapa sakitnya hati, aku akan tetap mendengar apa sahaja yang diluahkan hanya kerana terikat dengan persahabatan dengan seseorang yang sudah berpindah alam.

Gambar : Kepercayaan itu ibarat sebuah bikar. Jika ia pernah pecah, bagaimana kita berusaha membaikinya, pasti ia tidak akan menjadi seperti yang asalnya. (Shafaza Zara, 2011)

Tahun ini tahun dua kosong satu satu.
Sudah lima tahun peristiwa itu berlalu tentunya. Melihatkan kesakitan yang pernah kau lalui teman dan betapa kau berusaha untuk kembali ke jalan asal pastinya bukan sesuatu yang mudah. Jatuh bangun kau daripada seseorang yang aku hanya kenal nama hinggalah kepada orang yang boleh membaca kilasan aku, aku tahu, sentiasa berada di mana sahaja kau perlukan aku adalah yang terbaik. Sekurang-kurangnya itulah apa yang aku rasa.

Kau : Shafaza, kau tahu hari ini hari apa?
Aku : Hari Rabu.
Kau : Memanglah. Tarikhnya?
Aku : 18 Mei. 
Kau : Ingat apa jadi 18 Mei?
Aku : Apa benda?
Kau : Seseorang yang mengikat aku, kau dan dia dalam hidup kita.
Aku : Astaghfirullah. Aku terlupa. Al-Fatihah.
Kau : Selalunya kau akan jadi orang yang beritahu aku kan?
Aku : Maaf. Aku terlampau sibuk.
Kau : Tak mengapa.
Aku : Bunyi bising belakang kau. Kau kat mana?
Kau : Hospital.
Aku : Kenapa?
Kau : Ini tempat terakhir Rina baring atas katil. 
Aku : Sudahlah. Ingat anak dan isteri di rumah.
Kau : Aku menangis bila aku tanpa sengaja lalu jalan tempat Rina kemalangan dulu.
Aku : Sudahlah. Baliklah.
Kau : Aku memang nak balik, tapi otak aku menerawang memikirkan betapa cepat betul masa berlalu.
Aku : Anak kau dah nak masuk empat orang dah.
Kau : Kalau aku masih dengan Rina, agak-agak kau aku dapat kahwin cepat tak?
Aku : Bergantung. Mungkin kena tunggu habis belajar dan ada kerja dulu.
Kau : Dengan isteri yang keluarga pilih, aku kahwin masa umur 20 tahun dan dah nak ada anak lagi. Lima tahun rupanya cepat saja kan?
Aku : Memang. Baliklah.
Kau : Ada lagi tempat aku nak pergi.
Aku : Mana lagi?
Kau : Rumah Rina yang bertiang dua.
Aku : Dah malam ni!
Kau : Kenapa dengan malam?
Aku : Sudahlah. Balik rumah. Kenapa degil sangat? Kesiankan isteri kau.
Kau : Dulu aku tak duduk sini. Jadi aku tak macam ini kan?
Aku : Lepas kau pergi situ, kau baliklah rumah.
Kau : Aku nak naik Bukit Broga.
Aku : Kau gila ke apa?
Kau : Aku nak tengok matahari naik. Moga aku boleh lupakan sedikit benda lama ini.

Gambar : Betapa sesetengah orang sukar melupakan cinta pertama hingga memakan diri sendiri apabila cinta pertama itu pergi dan malangnya tidak mampu untuk kembali lagi. Jasad dan nyawa bukan urusan kita, itu pasti. (Shafaza Zara, 2011)

Anak itu pastinya sedang berlegar-legar di luar bagi melunaskan apa yang terpendam dalam hatinya. Malangnya, aku jauh beribu batu dengan manusia baik itu. Aku cuma mahu dia tahu yang aku pastinya mendoakan yang terbaik buat dia.

Kau : Aku duduk rumah ayah yang aku langsung tak sebulu.
Aku : Dia tetap ayah kau.
Kau : Rina kata kita kena hormat orang tua kita tak kira siapa mereka.
Aku : Itu betul. Lagi pula, kau seorang ayah sekarang. Pastinya tak mahu anak kau layan kau dengan teruk suatu hari nanti kan?
Kau : Aku macam tak adil pula pada isteri aku kan?
Aku : Maksud kau?
Kau : Bila tarikh Rina pergi tiba, aku akan mamai begini. Macam lima tahun lepas masa aku dapat tahu dia dah tiada.
Aku : Kau kena belajar melupakan.
Kau : Aku tahu aku cintakan isteri aku cuma kenangan dengan Rina adalah menyedihkan sebab berpisah nyawa.
Aku : Kau jangan cakap macam orang tiada agama.
Kau : Tahu. Maaflah. Terlampau ikut perasaan.

http://farm4.static.flickr.com/3553/3615369348_4c8d51de9c.jpg
Gambar : Jujurnya kalau kita lihat ke segenap alam sekalipun untuk mencari siapakah orang yang boleh kita sayangi sejujurnya tanpa ada alasan lain, aku percaya yang kita tidak akan menemui orang lain kecuali diri sendiri.

Kawan.
Janji pernah tersimpul rapi.
Maaf atas keterlanjuran kata aku yang membuatkan kamu menghantarkan pesanan ringkas sebentar tadi. Sumpah, tiada terniat hati ini membuatkan kamu merasa sakit.
Kamu masih berada di tempat yang sama walaupun telah menghirup udara berlainan benua.

Kita pernah menggalakkan sesama sendiri mencari jalan yang baru.
Aku hanya mampu mendoakan yang terbaik buat kamu dari jauh.
Air mata yang mengalir sewaktu semuanya berakhir telah aku seka sendirian.
Dan aku juga tahu betapa kuatnya kau bangun dari kelicinan dan gelinciran.
Genangan dan raungan kau yang saling bertimpa pernah aku dengarkan.

Sudah tiba masanya untuk bangkit dan mengucapkan selamat tinggal pada kenangan.
Sudah hampir lima tahun segalanya menendang kepala dan hati.
Kamu masih punya tempat yang istimewa dan ketahuilah bahawa hati manusia itu masih rumah yang terbaik.

Nota Kaki :
1. Al-Fatihah Rina.
2. Emosi kurang stabil memandangkan kerja memerlukan tumpuan berlebihan.

Zara : Aku mahu belajar tentang hidup dengan lebih tabah. Minda berkembang, tenaga bekerja menghasilkan masyarakat yang sentiasa bergerak ke hadapan tanpa rasa curiga akan sesuatu yang boleh mengundang gundah gulana. Sakit dan keperitan dalam kehidupan membuatkan hati akan beku dan penuh dengan batu lava yang sentiasa memanaskan suasana. Sakit?

 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template