Tuesday, January 17, 2012

#03 : Ini Cerita Seorang Perempuan



Sejak kebelakangan ini, ada sahaja soalan pelik yang diterima. Jujurnya memang selalu, walaupun benda itu aku sudah nyatakan dengan jelas di dalam blog. Tetapi aku harus akui, bukan semua orang baca apa aku tulis. Lagipun, aku bukan deretan penulis blog yang punya pembaca yang ramai ataupun peminat tegar. Ini kan Zara, manusia beku yang suka sembunyikan rasa tanpa mahu sesiapa baca.

Aneh.
Dalam aku sembunyikan, ada juga yang nakal meneka. Dengan deretan soalan yang aku dapat dari "Formspring". Kelakar juga sebenarnya bagaimana semua itu berlaku. Adakah aku sudah menulis dengan sedikit telus hingga mengakibatkan benda sebegini jadi bacaan orang. Aku sendiri kurang pasti. Lagi pula, benda peribadi aku bukanlah sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan orang, aku rasa. Bukan tidak pernah aku menulis benda sedemikian, ia jadi bahan kutukan pula. Tapi, apalah sangat mulut (dan tangan) manusia kan? Mereka memang tidak akan pernah mahu berhenti.

Jadi, aku buka sedikit ruang untuk menulis buat diri. Lepaskan apa yang aku tanggung dengan berbual dengan kawan baik yang memahami. Mengingatkan aku kembali apa yang aku mungkin terlupa dalam hidup ini. Benda bukan mudah - mencari sahabat sejati. Orang yang tidak akan mengangguk kepala sahaja pada kau, tetapi akan menolong terajang kepala tersebut jika ada kesalahan. Dan aku, ada sahabat sedemikian rupa. Bukanlah dia pijak kepala aku, tapi secara metaforanya, dia manusia yang boleh baca aku dalam keadaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana. Untuk itu, aku sangat berterima kasih pada dia. Orang yang aku sudah anggap seperti keluarga.

http://farm3.staticflickr.com/2496/5797491379_d95cd351a1.jpg
[Sumber Gambar]

Kebelakangan ini mungkin emosi sedikit kurang stabil. Disebabkan oleh kekangan masa dan juga kerja aku rasa, maka tumpuan aku menulis kurang. Tidak termasuk dengan hubungan jarak jauh yang aku ada. Alhamdulillah, bila dengar nasihat sahabat aku, aku kembali ke satu peringkat di mana, aku susun semula apa yang aku mahukan dalam hidup. Ambil beberapa langkah ke belakang, tetapi tidak berhenti. Dan itu memang gaya kami saling menasihati. Melihat ke belakang bukan bermaksud kalah atau mundur, tapi lihat semula apa yang telah dilalui serta belajar sesuatu daripadanya. Baiklah, itu tentang sahabat-sampai-mati aku.

Dan semalam, aku berbual dengan si dia kesayangan aku. Berbual tentang banyak perkara. Sesuatu yang unik aku rasa bagi kami adalah kebolehan kami berbual tentang perkara yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Pastinya tiada tajuk spesifik memandangkan, aku dan dia datang dari dua dunia berbeza. Seorang sudah memasuki alam pekerjaan dan seorang lagi masih belajar. Tetapi, itu bukan satu masalah. Er, mungkin sedikit masalah bagi aku bila musim peperiksaan ataupun menghantar tugasan tiba. Kurang komunikasi dan kadangkala aku tidak dapat mengawal diri. Tetapi memandangkan aku juga kadangkala sibuk, itu sesuatu yang aku boleh memaafkan diri sendiri. Hello, aku pun manusia juga.

Dia sendiri ketawa dengan pelbagai soalan yang aku terima. Kata dia, orang kenal aku, tapi orang tidak kenal dia. Jadi, soalan itu semua aku yang perlu jawab, bukan dia. Mungkinlah disebabkan aku menggunakan laman sosial secara meluas, dan dia kurang - lebih kepada permainan SC2 dia sahaja. Heh. Tapi, ada benarnya. Kalau mengikut kata sahabat baik aku sendiri, tanggungjawab sosial aku lebih berat, daripada apa yang orang lain mungkin lihat. Jadi, menulis tentang apa sahaja tentang diri aku, atau benda lain - tanggungjawab sosial aku masih lagi berat.

http://farm8.staticflickr.com/7004/6710839929_e3cef1fc12.jpg
[Sumber gambar] - Kami dan ini sekeping sahaja yang aku ada.

Jadi, bagaimana dengan pertemuan budak berdua di atas ini?
Terima kasih secara jujurnya dengan seorang yang agak dikenali di alam maya ini - daripada blog penulis itu sebenarnya, aku mula berkawan dengan dia. Dia merupakan kenalan kepada penulis tersebut. Persahabatan bermula dengan dia mengirim gambar yang aku suka dari koleksi dia. Perbualan hanya berlangsung di Twitter. Mulanya di susur masa, tapi mungkin sebab dia kurang selesa, kami berpindah ke bahagian pesanan. Tiada apa yang dibualkan sangat pada mulanya. Cuma setiap hari ada sahaja benda yang diperkatakan - dari sekadar bertanya khabar hinggalah apa yang dibuat di sekolah, universiti dan benda berkaitan dengan teknologi. Mungkin disebabkan dia adalah seseorang yang berkaitan dengan teknologi dan juga gajet, maka, isi perbualan itu kebanyakannya berkisar tentang itu. 

Hampir setahun berkawan - komunikasi menggunakan Twitter DM ataupun mel elektronik semata. Tiada telefon, pesanan ringkas dan sebagainya. Hanya dua benda itu sahaja, dan dalam proses berkawan itu juga sebenarnya, banyak benda aku belajar dan dia banyak berkongsi maklumat dengan aku. Bahkan, aku mula kenal laman sesawang teknologi seperti Gizmodo dan sebagainya. Ya, ketika aku mula menukar telefon biasa kepada telefon pintar, membeli kereta sendiri - dia sudah ada dengan aku. Ucapan ulang tahun kami pada tarikh yang sama, walaupun berlainan tahun hanya dia hantar menggunakan Twitter ketika itu. Ah, pada aku ketika itu, seorang teman yang baik muncul dan kebetulan dia seperti seorang kembar.

Ada banyak peristiwa yang berlaku dalam masa yang singkat - banyak benda yang aku belajar tentang hidup dan Alhamdulillah, aku tidak keseorangan. Tatkala menghadapi masalah, aku ada sahabat yang cukup istimewa - dan sentiasa menyokong aku. Walaupun sahabat itu mungkin tidak pernah bercakap terus dengan aku tentang ini, aku dapat rasakan bagaimana dia sentiasa ada tatkala aku memerlukan.

Ada satu ketika, aku tidak terikat dengan si dia lagi dan saat itu aku mula teruskan hidup seperti biasa. Kesakitan aku tanam dan aku lebih tertumpu pada kerjaya aku, lebih daripada seharusnya. Kesihatan, kegembiraan, semuanya aku humban demi mengejar apa aku mahukan dalam kerjaya aku. Yang aku tahu, kerjaya membuatkan aku lupa semua masalah peribadi dan aku boleh lebih fokus. Tetapi, aku mungkin lupa, ujian itu datang untuk menguji aku sebagai manusia. Aku dan si dia masih berhubungan sesekali sekala sebab pada aku, dia tetap seorang rakan baik yang aku tidak akan lupa.

http://farm3.staticflickr.com/2212/5701510561_c9a847f117.jpg
[Sumber gambar] - Ini bukan kami tentunya.

Tanpa ada ikatan atau hubungan yang wujud - hanya sekadar istilah kawan baik, pertemuan kali pertama diatur. Si dia singgah ke rumah untuk mengambil sesuatu, bersama dengan adik perempuannya. Kebetulan mereka dalam perjalanan ke sekolah adik mereka di dalam salah satu daerah di Johor. Jadi, itu kali pertama bertemu di alam nyata, tanpa ada halangan kepingan kaca dan melihat pergerakan video di Skype semata. Pertemuan singkat dan sekadar berbual endah tidak endah sahaja. Aku lebih banyak berbual dengan adik perempuan dia sahaja. Dan aku rasa, tidak sampai satu jam pun mereka di rumah aku. Kebetulan bulan puasa. Berikan hadiah ulang tahun kelahiran dia dan satu hidangan sebagai bekalan. Pencuci mulut.

Seperti juga kali pertama bersama, aku sendiri tidak tahu bagaiman hubungan kali kedua kali bermula. Tiba-tiba sahaja kami kembali bersama, seperti suatu ketika yang kami pernah lalui - hubungan lebih daripada sekadar sepasang kawan baik. Hubungan yang ada rasa cinta. Pertemuan kali kedua lebih aneh sebenarnya. Tidak sampai lima belas minit, itulah di luar rumah aku - di tepi jalan, berhadapan dengan rumah jiran aku. Ibu si dia ada bersama, puas aku mengajak masuk tetapi mereka menolak akibat kesuntukan masa, baru pulang menghantar adik ketiga ke sekolah asrama. Berbual dengan ibu dia dalam masa lebih kurang sepuluh minit - dan dengan dia tidak banyak bercakap pun sebenarnya, dia sekadar hulurkan hadiah ulang tahun kelahiran buat aku. Dan itu pertemuan kali terakhir sebenarnya sebelum dia berangkat pulang ke tempat dia belajar. 

Sepatutnya ada satu lagi pertemuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan termasuk kekangan masa. Jadi, dia membuat panggilan telefon kepada Abah dan berbual bersama. Apa isi perbualan antara dua lelaki tersebut, hanya mereka yang lebih tahu sebenarnya. Cukuplah untuk menyatakan yang aku gembira bila keluarga aku tahu dengan siapa aku berkawan. Sekurang-kurangnya, apa yang aku lakukan dalam pengetahuan mereka. Jadi, sejak kali terakhir bertemu pada awal September itu, aku mungkin (dan doakan sahaja), akan ada pertemuan lagi pada bulan Julai yang akan datang. Dan sehingga saat aku menulis ini, semuanya dalam keadaan baik-baik dan kami masih lagi dalam proses belajar tentang satu sama lain, kerana setiap hari pasti ada benda baru kan?

http://farm6.staticflickr.com/5148/5701509399_59f77e2fc6.jpg
[Sumber gambar]

“But let there be spaces in your togetherness and let the winds of the heavens dance between you. Love one another but make not a bond of love: let it rather be a moving sea between the shores of your souls.” - Kahlil Gibran


Nota Kaki :
Dijemput untuk berkongsi pandangan dalam satu majlis bersama pelajar pada awal bulan Februari di salah satu pusat pengajian tinggi. Alhamdulillah.

Zara : Sesetengah orang akan membuatkan kamu kuat dengan menyakiti dan meninggalkan kamu. Sesetengah daripada mereka mungkin akan menyebabkan kamu lebih baik dengan mencintai dan menyayangi serta kekal bersama kamu. (Shafaza Zara Syed Yusof, 17 Januari 2012)

17 comments:

reenapple said...

ah..sweet.. =)

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@reenapple :

Terima kasih :')

ishiko said...

insyallah, punya kesudahan yg baik ^^,

Anonymous said...

laaa kenapa 3/4 saja gambarnya ??

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@ishiko :

Moga2 :')

♛ LORD ZARA 札拉 ♛ said...

@Anonymous January 17, 2012 7:05 PM :

Sengaja :p

TheBentPencil said...

ohhhhhh.....ok faham cerita penuhnya. hehe

macamana kitorg boleh teka? well, orang bercinta. kadang satu huruf, satu perkataan, satu hari, kalau disambungkan, ia jadi cerita juga. dan semakin hari, semakin cerita itu lengkap.

ps. teruskan menjadi kawan baik kepada si kekasih. kerana tiada yang lebih baik nilainya daripada seorang kawan baik yang juga seorang pencinta. kehkeh

-syira- said...

sweet..:)

-syira- said...

sweet..:)

Farah Alyaa said...

semoga kekal hingga ke syurga...so sweet..=)

takky said...

perasaan mencintai dan dicintai sememangnya aneh bukan?
tapi yg aneh itu lah yg manis...
x sabar rasanya saya utk rasa perasaan itu..

KUKUMALU said...

Dah bertaut kembali. Semoga ke jinjang pelamin=)

Lifesaver Hamzah said...

bila baca..macam baca novel cinta!serius!

si ngokngek said...

great cerita perempuan..sweet;)
ini bukan menutupi perasaan tapi inginkan lebih keselamatan.ye dak..HEHE

Anonymous said...

Boleh tahu font apa dalam gambar tu?

✯Miz Purple Violet✯ said...

Mata tertumpu ke arah no plat keta. xD

ima said...

saya baca dan saya senyum.
semoga akak zara gembira selalu. :)