Friday, January 06, 2012

Itu Kerana Mereka, Awak Dan Saya Adalah Guru.




Sesi persekolahan dua puluh dua belas sudah bermula.
Tamat sudah minggu pertama, bermakna cabaran dan tugasan akan lebih bertambah. Tetapi semua itu bukan perkara besar. Terbiasa dengan kerja, bahkan minggu depan sudah bermula latihan rumah sukan. Pastinya hampir jam enam atau tujuh mungkin aku baru akan tiba di rumah. Sesetengah daripada anda semua mungkin akan berkata, apalah sangat balik waktu begitu, tapi bagi orang yang sudah punya keluarga sendiri, pastinya itu bermakna sudah kurang sedikit waktu berkualiti bagi mereka dan keluarga. Aku? Tidak mengapa, belum punya lagi.

Awal pagi tadi, aku membaca tulisan Qarl tentang persepsi masyarakat (sesetengah daripadanya) yang melabel guru dengan sindiran halus dan tajam. Lebih-lebih lagi dengan timbulnya isu berkaitan dengan bakal guru yang sibuk dengan agenda politik dan sebagainya, masyarakat kita, kebanyakan daripada mereka memang sensitif yang amat sangat dan boleh jadi tidak tentu hala. Tulisan Qarl boleh dibaca di pautan ini. Ulasan aku di blog Qarl, aku salin semula di sini sebagai suatu rujukan tentang pandangan peribadi aku.

Salam Qarl.

Benda ini adalah sesuatu yang lumrah. Terlalu pantas masyarakat kita (sesetengah daripada mereka) - menjatuhkan hukuman kalau mana-mana isu berkaitan dengan guru (atau bakal guru).

Mungkin persepsi mereka masih tebal lagi tentang cikgu ini antara yang perlu dihormati ataupun sentiasa perlu yang baik-baik sahaja, jadi, bila timbul isu kurang enak, jari-jari akan dituding, bibir-bibir akan menjuih menghina kerjaya kita.

Sama juga dengan peristiwa pelajar yang dikatakan berubah dalam beberapa hari ini. Itu hak dia sebagai manusia, mahu buat apa sahaja, tapi masyarakat kita menghentam sistem pelajaran, menghentam bagaimana guru-guru menjalankan tanggungjawab, dan lebih 'enak' sekali mengaitkan ibu dia disebabkan ibu dia juga seorang guru.


Hebatkan masyarakat kita?

Jadi Qarl, satu benda yang Kak Zara pegang dari dulu adalah, kita teruskan perjuangan kita dalam kerjaya yang kita sukai ini. Politic is not my cup of tea. I might read about it, concern but to join it? Nope. I still can't find that politic is wise & clean.

I rest my case too.

http://farm7.staticflickr.com/6070/6160274087_5511b120a8.jpg
[Sumber gambar]

Tahun ini masuk tahun ketiga aku sebagai seorang pendidik, seorang guru yang dipanggil cikgu. Banyak benda yang aku pelajari dan aku perhatikan sepanjang aku bertugas, tidak kira di sekolah ataupun di rumah. Sememangnya setiap kerjaya mempunyai cabaran masing-masing dan harus diakui, mendepani murid yang pelbagai kadangkala boleh menukar mimpi baik menjadi buruk ataupun buruk menjadi baik. Segalanya terpulang dengan cara menangani sesuatu isu.

Sebagai contohnya, jika ada sesuatu isu berbangkit - jika kita merujuk kepada kes yang melibatkan bakal guru berhimpun di universiti mereka pada malam tahun baru. Ketepikan agenda politik ataupun yang sama waktu dengannya kerana itu bukan sesuatu yang aku mahu sentuh. Tapi disebabkan status dia adalah pelajar yang sedang mengikuti pengajian dalam bidang pendidikan - itu agak menjadi tabu dalam masyarakat. Selain keluarnya persepsi seperti yang diterima oleh Qarl, sudah tentunya ia menjadi tamparan hebat bagi mereka yang menjadi guru apabila keluar kenyataan bahawa - "Cikgu-cikgu yang kerja kerajaan pun mahu menjadi anti kerajaan. Tengok bakal guru pun boleh buat begitu"

Jujurnya memanglah tidak enak. Jika Qarl dalam tulisannya menyatakan banyak perkara yang dia mahu lakukan sebelum mahu menghabiskan pengajian, aku mahu menyorot kembali, apa kegiatan aku sewaktu di zaman universiti. Setakat yang mampu aku ingat, tiada satu apa pun yang berkaitan dengan agenda politik kecuali pergi mengundi setiap kali pilihan raya kampus. Ya, aku terdidik untuk keluar mengundi disebabkan kemeriahan poster, manifesto serta calon-calon yang cantik, kacak serta baik. Maaflah, disebabkan aku tidak mahu terlibat dengan perkara sedemikian, setiap kali aku memangkah, selain daripada kenalan aku sendiri ataupun orang yang aku kenal serta bincang dengan kawan-kawan sebelum beratur di tempat mengundi, di kotak tertutup dan sepi itu, aku pangkah sahaja untuk cukupkan kuota fakulti dan universiti. Dan itu sahajalah fahaman politik aku di universiti. Tidak pernah ada keinginan mahu lebih daripada itu semua. Sampai sekarang, sudah bekerja, sudah mendaftar sebagai pengundi, aku cuma baca dan perhati sahaja dari jauh isu politik. Untuk berbahas, bukan aku.

Seperti juga bila timbulnya isu pelajar cemerlang yang diketahui umum dalam dua, tiga hari ini. Bila orang sibuk di dalam Twitter, Mukabuku, blog dan sebagainya, aku hanya memilih untuk membaca dan memerhatikan sahaja. Tiada komentar khas aku mahu keluarkan, satu disebabkan aku tidak tahu cerita sebenar dan keduanya, pada aku - itu bukan urusan aku untuk konon secara tiba-tiba menjadi lebih baik dari orang lain. Tidak perlu. Tapi sebenarnya, bila membaca tulisan banyak juga manusia yang tidak bertanggungjawab dalam isu tersebut (serta beberapa isu lain), aku sedikit terkilan dengan beberapa perkara.

Guru dikaitkan sebagai tidak tahu mengajar dan menerap nilai murni pada murid.
Aku rasa semua orang akan bersetuju dengan aku bahawa sikap, peribadi dan budi pekerti seseorang manusia itu dipegang oleh mereka sendiri. Betul bahawa didikan di rumah dan di sekolah dikatakan mampu membentuk seseorang. Sejauh mana mereka mahu mengamalkannya, itu terpulang kepada individu. Dan manusia yang melemparkan tuduhan terus, tepat kepada guru atas apa yang berlaku pada mana-mana individu, adalah kurang bijak. Mengapa mahu jatuhkan hukuman macam kamu adalah wakil Tuhan? Atas dasar apa?

Sebab itu aku selalu beritahu anak murid aku satu perkara, supaya mereka jangan buat benda gila. Untung ini Malaysia - dan wartawan serta media kita tidak segila di Jepun, Korea ataupun negara maju yang lain. Apa yang berlaku, jika seseorang ditahan atas perbuatan jenayah (sebagai contoh) - guru sekolah zaman lampau mereka turut dikejar untuk ditemubual. Kalau benda baik tidak mengapa kan?

Memang tanggungjawab cikgu tidak berakhir di sekolah. Berapa ramai daripada kita bila bertemu dengan bekas guru kita, mereka masih mengingati dan berikan nasihat kepada kita? Pastinya ada dalam sekadar bertegur sapa, terselit pesanan seorang guru tu. Aku kalau terjumpa bekas guru, mereka kata "jaga diri" pun dah cukup seronok oh.

http://farm7.staticflickr.com/6062/6153875123_89c735d73d.jpg
[Sumber gambar]

Sistem pendidikan yang (mungkin) tidak sempurna.
Satu benda yang kita kena ingat, tiada benda yang sempurna atas dunia kecuali Allah Yang Maha Esa. Apatah lagi sistem pendidikan yang diciptakan oleh manusia kan? Betapa kita berusaha sekalipun mencipta yang terbaik, pastinya akan ada yang lebih baik. Mungkin betul, disebabkan sistem pendidikan kita bertunjangkan peperiksaan semata-mata, kita menilai setiap individu dengan bilangan A dan juga gred purata di universiti. Lebih banyak A, lebih bijak. Lebih banyak gred purata sehingga ke empat rata, itu yang terbaik. Kita harus akui juga, dalam banyak perkara, ada yang menjurus kepada yang baik. Dalam sesetengah perkara ataupun kes, mungkin akan ada yang menyimpang serta sedikit tersasar. 

Tapi untuk menyalahkan guru seratus peratus, aku masih lagi kurang bersetuju. Bukan disebabkan aku guru, tetapi aku lihat banyak juga orang yang jadi manusia dengan sistem pendidikan yang kita gunapakai selama ini. Ya, jadi manusia. Sebab itu, kampus selatan kesayangan aku menggunakan moto - "Kerana Tuhan Untuk Manusia". Menjadikan orang itu sebagai manusia bukanlah benda mudah. Bak kata seorang pensyarah pada aku, "semua manusia adalah orang. Tapi tak semua orang adalah manusia". Aku rasa ada benarnya. Sebab itu kita selalu dengar orang tua menjerit marah pada anak, suruh anak jadi manusia kan?

Dalam falsafah pendidikan ada menerangkan untuk melahirkan insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek, bahkan juga dari segi sahsiah. Sepanjang aku hidup, melalui kehidupan sebagai seorang murid sekolah, masuk matrikulasi, universiti dan keluar sebagai seorang guru - aku rasa dalam pendekatan yang cikgu-cikgu aku ajar selama ini tidak pernah berpaksikan peperiksaan semata-mata. Ada sahaja unsur kebaikan yang diselitkan. Mohon jangan jadi jumud dengan beranggapan benda yang berkaitan dengan rohani serta sahsiah itu hanya pada mata pelajaran Pendidikan Islam, Moral dan apa sahaja yang berteraskan agama. Dalam Matematik, Sains dan banyak lagi ada membawa kepada itu  semua. Mungkin tidak nampak secara langsung, tetapi secara tersiratnya ada perkaitan yang boleh kita perhatikan dan perhalusi.

http://farm7.staticflickr.com/6166/6151707619_086dc8db59.jpg
[Sumber gambar]

Dalam banyak-banyak tulisan merapu yang menghentam tidak tentu hala, aku nampak satu perkara yang buat aku tersenyum. Orang ramai selain menuding jari pada guru, semua nak menyalahkan media. Baiklah, itu sesuatu yang aneh. Kau menghentam sana sini pun menggunakan media (Twitter, blog, laman sesawang, Mukabuku itu semua adalah media sosial), jadi kau nak salahkan media juga? Memanglah ada orang salah menggunakan media, benda baik diputarbelit menjadi serupa tahi ataupun benda buruk digambarkan baik, tetapi bukankah setiap daripada kita mampu memilih mana yang baik, mana yang tidak baik dalam hidup? Secara rasionalnya, pilihan di tangan kita. Tidak perlu mengikut arus setiap orang dalam kehidupan sendiri. Gila sungguh perangai begini. 

Dan di media jugalah, perkara begini sering mendapat tempat. Gunalah tajuk "guru-murid-pelajar-sekolah", pastinya lensa kamera dan apa sahaja terus laju mencekup untuk dijadikan bahan berita. Ya, sensasi. Banyak contoh boleh kamu kaitkan, tidak tertakluk kepada satu perkara sahaja. Nanti ada pula kata aku menyokong isu tertentu. Perlu diingatkan, aku menulis dengan neutral, berpegang kepada pendirian aku sendiri sahaja. Tidak perlu ada sokongan ataupun apa, ini tulisan bersifat peribadi sebagai satu reaksi dalam kerjaya aku sendiri.

Baiklah.
Itu sahaja aku rasa. Selamat berhujung minggu buat kalian semua.
Aku mungkin masih perlu bekerja bagi memuaskan diri sendiri yang tidak kenal erti penat dan lelah.

Nota kaki :
Aku tersenyum sahaja melihat seseorang yang aku kenali melarikan diri daripada bertembung dengan aku. Mungkin dia masih teringat yang dia menghalang aku menjadi seorang guru dengan alasan - "kerjaya guru tiada masa hadapan" - padahal dia ketika itu seorang guru juga.

Tambahan : Pertandingan ulang tahun blog masih dibuka. [sini]

Zara : Jadual sehingga penghujung Januari sudah penuh. Aku sedang mengintai peluang dan ruang, sama ada awal Februari aku ada kelapangan ataupun tidak. Permintaan seorang kawan sukar untuk ditolak, tambahan pula, ia boleh memberikan sedikit warna menarik dalam prestasi kerjaya aku.

10 comments:

Qarl said...

Terima kasih Cikgu Zara atas komentar tersebut dan terima kasih juga dengan entri ini yang ditulis selengkapnya, panjang lebarnya dan berjaya membuatkan saya (bakal guru) berfikir.

Ila Aqilah said...

kak zara betul! guru masih seorang manusia, tapi mungkin title guru itu membawa maksud yang besar bagi masyarakat..apa-apa yang berkaitan dengan guru sering dipandang..

madammondoq said...

i pun tak suka politik.. huhu.. salam kenal.. ;)

takky said...

jadi cikgu mmg senang...
tapi bukan senang jadi seorang pendidik...
dan guru = cikgu + pendidik...

entri kak z kali ini buat saya teringat cikgu math saya masa form 4 n form 5...
walaupun mereka ialah guru yang berbeza tapi mereka akan sentiasa selitkan nasihat, motivasi, ulasan dan apa sahaja ttg isu2 semasa yang berlaku bila habis kelas...(or masa take 5)

harap kak z pun boleh buat macam 2 juga agar anak2 murid kak z dapat memahami realiti dunia sebenar sekarang di samping berkongsi2 pendapat dgn anak murid ttg isu semasa...

norinaomar said...

good entri Zara..sangat menyedarkan semua pihak.

kita teruskan hidup,kita lakukan apa yang diamanahkan,kita positif terhadap semua orang..

Terbang Bersamaku said...

boleh dikatakn majoriti org kt mmg suka bersikap begitu. Suka benar menuding jari dan mencari keslaahn org lain sedangkn kesilapan sendiri mahu sahaja di sorokkan dalam almari..sbb itulah isu kecil boleh jadi besar,isu besar seakin kelihatn besar..

apapun smoga zara menjadi cikgu yg berjaya mendidik anak bangsa..teruskn perjuangan sebagai guru..=)

Cik Lyeen said...

inilah realiti yang bakal dihadapi oleh seorang guru dan cabarn hebat juga untuk saya yang juga bakal guru suatu hari nnt...dunia semakin mendesak! huru perlu lebih proaktif untk berdepan dengan cabaran masa depan yang kian menyakitkan..

kueh bakar said...

'i still can't find that politic is wise and clean' - u never will.

aku suka dengan motto utm 'kerana tuhan untuk manusia' - ia motto terbaik universiti di dunia.motto univ lain, aku tak tahu pun..

er, ko pangkah atas dasar muka dan kenal? tak baik.ahaks.

didie noxious said...

yep.saya bakal guru juga sering kali tersentuh ati bila title guru dijadikan topik utama.sesungguhnya,guru sentiasa menjadi tumpuan.

dan saya juga tdk suka berpolitik.kdg2 jemu mendengar rakan yg lantang bersuara berkaitan politik.

Lifesaver Hamzah said...

bila orang lain jadi guru..baru dia tahu macam mana