Sunday, February 19, 2012

#05 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Dalam dua tiga minggu kebelakangan ini, banyak sangat benda yang terjadi. Benda yang aku nak, benda yang aku langsung tak pernah mahu berlaku, bergaul antara satu sama lain dan menjadikan kehidupan mungkin tunggang langgang di dalam kepala aku sendiri. Sakit hati, menyampah dengan semua yang berlaku membuatkan aku buat beberapa keputusan yang aku mula fikirkan kembali, walaupun aku jujurnya tidak ada rasa kesal langsung. Buat apa aku mahu kesal, sedangkan keputusan itu aku buat dalam keadaan hati yang tenang (dan mengakulah, ada disuntik oleh sedikit rasa marah).

Sesuatu yang paling aku suka tentang diri aku sendiri sejak zaman universiti, sejak aku digula-gulakan dengan hakikat kononnya lelaki suka perempuan rambut panjang, aku simpan dan jaga rambut aku dengan teliti. Walaupun mungkin tidak secantik model dalam peti bersuara dan bergambar di setiap rumah itu, aku masih suka sebab impian aku untuk punya rambut panjang terlaksana. Benda yang aku benci sewaktu sekolah dan matrikulasi, tapi aku mula suka bila aku masuk universiti dan seterusnya bekerja. Penghujungnya, aku gunting sampai sudah ala Rihanna ataupun Aishah Sinclair minggu lepas. Aku keluar rumah, pergi kedai yang aku suka dan ya, tiada istilah pelihara ataupun potong sedikit sahaja, aku biarkan pemilik kedai itu mulakan kerja penggondolan ikut suka.

Baiklah, sekarang aku boleh menyanyi lagu Rihanna.
*betulkan petak suara - Love The Way You Lie*

[Sumber gambar] - Aku pernah ada cita-cita untuk bagi rambut itu panjang begini. Heh.

Serta, dalam menjalani kehidupan yang berantakan, aku bersyukur dan sangat berterima kasih dengan kehadiran seorang teman yang mampu berfikir secara rasional dan logikal untuk aku yang mungkin nampak macam boleh hadapi semua benda seorang diri, tapi sedikit terbawa dengan emosi. Ah, aku masih perempuan lagi, walaupun aku seringkali nafikan naluri itu. Naluri tidak mahu terbawa dengan masalah dan mengakibatkan emosi makan diri aku kembali. Ya, aku tak suka perkara sedemikian berlaku tetapi kadangkala (tidak semua keadaan) - yang membuatkan aku mahu sahaja meletakkan emosi dalam keputusan supaya bila keadaan reda, aku akan punya tempat untuk menyalahkan. Gagal, aku gagal sebab aku tidak pernah mahu keadaan itu berlaku. Jadi, aku lebih berusaha untuk memujuk diri sendiri kalau apa yang aku mahukan tidak menjadi.

Ya.
Ada sahabat.
Sahabat yang buat aku berfikir, apakah tindakan yang aku ambil rasional ataupun logikal ataupun mengikut kepuasan nafsu aku sendiri. Emosi, memang aku emosi bila keinginan aku tidak dapat aku penuhi sendiri. Sesuatu yang aku benci apabila aku tak mampu untuk buat diri sendiri gembira tanpa perlu menjahit luka dan duka yang dalam hingga buatkan aku seperti mayat bernyawa. Aneh perumpamaan, aneh lagi kesan yang tinggal dalam jiwa. Senyuman penuh pura, gerak geri penuh drama dan akhirnya, aku yang sakit, makan diri sendirian. Tapi, sesuatu membawa jiwa aku hidup kembali. Nafsu membaca aku membuak lebih tinggi dan tenaga aku berlebihan dengan kehadiran penjana kegembiraan palsu tetapi merangsang hormon adrenalin. Heh. 

Apa yang membezakan aku dengan penagih alkohol atau dadah bila mereka murung?
Aku ambil kopi dan mereka ambil bahan terlarang.
Mungkin itu sesuatu yang membezakan, menjadikan tindakan aku sedikit mulia.
Tapi masih menggunakan medium lain untuk gembira.
Macam celaka bila difikirkan aku boleh terlentang minum kopi berlebihan.
Heh.

Dan aku masih dalam perjalanan mencari sesuatu dalam hidup.
Langkah akan terhenti suatu hari nanti.
Tapi harapan tidak akan sama sekali.

Nota Kaki :
Hidup ini bukan satu perjudian.

Zara : Ini hidup aku. Hidup yang kau tidak akan mahu tahu, mungkin.

4 comments:

reenapple said...

be strong sis.. =)

lisa said...

kuatkan hati. mesti semuanya dpt diatasi :)

Syafiq Лomoтехн said...

apa lagi~ bean satu! tapi kalau sampai telentang itu bahaya beb.

maksu said...

you go girl! love you Zara!!