Sunday, March 25, 2012

#07 : Ini Cerita Seorang Perempuan


Hidup dia hidup yang aneh. Hidup yang terlampau banyak cerita, yang kalau disampaikan, ada yang menjeluak, ada yang mungkin muntah tapi dia memilih untuk terus bercerita. Dengan cara dia, dengan cara yang mungkin orang tidak akan biasa, dengan gaya yang dia jinakkan sendiri ikut suka hati dan rasa. Manusia macam dia tidak pandai untuk buat orang terluka dengan sengaja, bahkan dia lagi rela mati sendirian dari lihat manusia lain mengalirkan air mata - kerana dia. Dan kalau dia sendiri pun yang menangis dalam atma, biar dia sahaja yang tahu dan kekal rahsia.

Manusia beku macam dia, hidup dalam dunia yang dia cipta. Dia benci saat dia perlu berperang dengan perasaan dan menoleh kembali lihat peran-peran yang dia tinggalkan demi sebuah senyuman. Mungkin sedikit celaka bagi perasaan dan hati sendiri, tapi mampu apakah kudrat dia yang terbatas ini? Dia tidak mampu bunuh semua benda, dan dia tidak mampu menggembirakan semua manusia. Yang dia pasti, dia layak untuk gembira dan bekerjalah dia demi mencari bahagia. Dia nampak satu benda dalam hidup, dengan bekerja dia mampu beli kegembiraan walaupun itu tidak akan kekal lama. Bunyi macam jahanam sudah hidupnya, tapi dengan kegembiraan yang sedikit dia mampu berikan kegembiraan lebih besar untuk manusia lain, mengapa tidak korbankan sedikit diri demi lihat senyuman yang dia tidak mampu cipta?

Dan itu dia, dan kita mencari siapa dia.
Kekal mencari siapa dia dalam diri kita.
Adakah kita lebih manusia dari dia?
Adakah dia lebih manusia dari kita?

[Sumber gambar]

Dari dia, kita sorotkan sedikit sudut cerita kepada saya.
Saya dan awak yang kabur sedikit jalan ceritanya.
Entah.

Disebabkan sejak kebelakangan ini, awak bunuh saya, saya menonton Bunohan 3 kali. Ya, filem itu lebih mudah difahami berbanding awak. Dan jika memahami filem yang dikatakan kompleks bagi sesetengah orang yang dangkal itu mudah bagi saya, awak itu apa agaknya? Mengapa buat saya terhimpit di sebalik gaya bahasa yang bikin saya gila ataupun bahasa sarkastik, sinikal yang menusuk hingga ke jiwa? Salah apakah saya hingga awak hukum saya sebegitu rupa?

Dalam diam, awak sebenarnya sedang merancang pembunuhan terbesar. Awak mungkin sangka (dan tahu sebenarnya) ia kasih sayang sepanjang hayat bagi saya, tapi adakah awak tahu apa yang saya pertaruhkan untuk lihat kebahagiaan menjadi milik saya? Adakah saya peduli dengan kesihatan saya sendiri? Adakah saya tamak dan pentingkan diri sendiri bila datang soal cinta, jiwa dan apa lagi yang berkaitan dengan hati? Saya dahulukan awak sebab saya tahu, saya milik awak. Tapi ada satu saat sejak kebelakangan ini, saya mahu jadi Ilham yang sanggup menyerahkan dirinya sendiri kepada Deng (bukan sebab Deng itu lakonan Bront Palarae yang saya gilai) tapi itu lebih kepada saya juga ada tahap keterbatasan diri.

Saya penat dan saya perlukan rehat untuk diri sendiri. Tidak perlu saya mengelinjang atas ranjang atau kasur yang selesa, dengar suara awak atau berbual dengan awak (walaupun mungkin sekadar menaip dan pandang lapisan kaca nipis) itu sudah buat saya lebih gembira dari tidur yang entah saya bangun atau tidak keesokan harinya.

[Sumber gambar]

Sesiapa yang pernah jumpa aku ataupun duduk menghabiskan masa bersama akan tahu bahawa tiada tapisan dalam apa yang aku suarakan, walaupun ada sesekali menjaga hati manusia lain itu perlu. Aku lontarkan sahaja dengan lantang walaupun di kemudian hari ada sahaja bala mendatang. Tapi di sebalik itu semua, aku masih sedar yang aku manusia. Manusia beku yang senyuman sahaja candu aku untuk terus menari. Bunyi sangat duniawi kan?

Manusia gila macam aku yang gemar jumpa manusia normal lain - bercampur dalam masyarakat mereka, cuba membaham segala budaya sebagai satu pembelajaran mahal yang tidak boleh dibayar dengan mata wang dunia, aku rasa aku lebih manusia setiap kali aku bercakap walaupun sekadar sepatah dua dengan manusia-manusia yang membawa langkah aku lebih luas meninggalkan sarang emas bersulamkan perak dan bertunjangkan gangsa. Ya, dangkal mungkin, tapi itulah aku, dan aku benci dengan topeng yang sesetengah manusia tetap mahu pakai walaupun hakikatnya, kita sama-sama cela, kita sama-sama celaka tapi kau tetap mahu pinjam sayap mulia. Aneh. Jijik. Jelik. Aku tak boleh berpatah balik dari tarik ketawa yang terhambur atau senyum sinis hujung bibir hina.

Aku manusia yang memilih untuk terus hidup.
Terus hidup dengan cara aku yang sederhana.
Kekal dalam ruang biru yang aku suka.
Yang aku boleh menguap dengan selesa.
Tanpa kau perlu hukum aku dan teruskan seksa.

Zara : Aku percaya dengan satu benda dalam dunia ini. Jika aku rasa aku boleh buat sesuatu, aku mahu terus percaya dengan diri aku sendiri kerana sehingga ke penghujungnya, yang tinggal hanyalah aku dan diri aku sendiri. Bukan sorakan, tepukan yang mungkin hanya memakan diri. (Shafaza Zara, 25 Mac 2012)

5 comments:

Anem arnamee said...

JANGAN kita mati ebelum mati itu lagi bahaya.

Zara , percaya itu kekuatan jiwa, kekuatan kita , kan?:)

Anem arnamee said...

JANGAN kita mati ebelum mati itu lagi bahaya.

Zara , percaya itu kekuatan jiwa, kekuatan kita , kan?:)

dayah said...

biar betul zara tgk bunohan sampai 3 kali..ke

reenapple said...

Ah.. teruskan hidup walaupun perlbagai onak dan duri muncul... =)

*keep strong sis. =)

HEMY said...

nice