Sunday, June 17, 2012

#12 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Hari yang sepatutnya menggembirakan bertukar jadi satu hari penuh dengan neraka. Neraka dunia yang setiap kali berlaku, setiap kali itulah aku tahan air mata agar tidak tumpah dan sabar dengan karenah yang pelbagai rasa. Memang sepatutnya aku simpan dan tahan sahaja, tapi kuat manakah aku mahu kemam segala kesakitan selama bertahun-tahun dari kecil hingga aku dewasa kini? Benda yang sama berulang setiap kali dan aku tersepit lagi di antara manusia-manusia yang aku sayang.

Dari berlapan, kami pernah bertujuh, pernah berenam dan sehingga aku pergi dan kembali semula sejak sekian lama, kami kembali berempat di bawah satu bumbung yang sama. Kadangkala kami hidup baik-baik sahaja seperti manusia lain. Kadangkala hidup berantakan - penuh drama gila hingga aku dan si kecil kurung diri dalam bilik tanpa mahu mendengarkan apa yang berlaku - himpitan kebisingan yang pada aku dan si kecil itu tidak perlu - mungkin sahaja aku sudah jadi seperti si kecil ataupun entah apa - aku menjadi manusia yang kurang emosi, gunakan logik akal dan kurangkan drama dalam hidup aku yang tidak sempurna.

Sejak kecil, aku sering lihat benda yang sama. Benda yang pernah buat aku terfikir semua benda yang aku lalui (dan perlu aku lalui pada masa akan datang hanyalah penipuan). Mana ada istilah bahagia wujud - mana ada istilah kasih sayang pada manusia, mana ada kisah gembira yang semua orang tayang di kaca televisyen ataupun di layar perak, hatta dalam buku cerita. Pada aku, semuanya itu dongeng yang maha sempurna. Kegembiraan bukan milik aku - dan tiada siapa pun tahu bahawa aku melatih diri aku senyum setiap kali kesakitan, kesedihan mendatang dalam jiwa aku - hidup aku yang caca marba. 

Tapi, sampai bila aku nak menolak benda yang dituntut oleh agama? Macam Pali cakap pada aku, apa benda sekalipun, aku kena balik pada agama. Sudah tentu. Sebab bila aku pernah tak percaya akan wujudnya institusi keluarga, aku cari sebab paling kukuh untuk aku percaya pada benda yang disuruh oleh agama. Lagi pula, sebagai budak yang habiskan pengajian sampai Darjah Khas di sekolah agama Johor (sebenarnya, tak ada kaitan dengan sekolah kan?) kalau benda begitu pun aku tak dapat nak didik diri aku - mungkin lebih baik aku tampar diri sendiri kan?

[Sumber gambar]

Betapa sakit aku hadap benda begini seorang diri - aku tahu yang Pali akan ada untuk aku (selain daripada Allah tentunya - kena tulis ini, nanti ada orang kata aku tak ingat Tuhan bila ada masalah). Seorang sahabat baik yang aku jujurnya tak kisah nak kongsi semua benda dengan dia. Ya, kadangkala benda ini mungkin kedengaran sangat peribadi, tapi dengan siapa lagi aku mahu kongsi kesakitan - sekurang-kurangnya, dia akan cadangkan aku beberapa penyelesaian (dan dia sangat tahu yang aku lebih banyak gunakan logikal berbanding dengan emosi macam sesetengah perempuan lain).

Berbual dengan Pali (guna Skype sebenarnya) - buatkan aku lepaskan segala masalah yang bertimpa dan aku hadap seorang diri saat ini. Mungkin sesetengah orang akan mengecam aku dengan apa yang aku lakukan, tapi aku percaya, dengan berkongsi, buka sedikit ruang untuk dengar, tahu pendapat lain sekurang-kurangkan, buatkan aku lega. Dengar pendapat (walaupun mungkin aku tak buat pada masa sekarang) - aku tahu yang aku ada pilihan (mungkin) yang lebih baik pada masa akan datang. Benda yang selama ini membuatkan aku tersepit, terperangkap tanpa jalan penyelesaian - dengan buka ruang bicara dengan sahabat yang jujur - dalam erti kata, dia akan berikan pendapat dia tanpe menyebelahi mana-mana pihak, aku rasa hidup aku lebih bermakna.

Dan soalan terakhir dia pada aku tadi adalah "Kau nak tukar jantina?". Motif sangat tanya aku soalan macam tu kan?

3 comments:

NoorVictory said...

Semua orang punya cara tersendiri utk berhadapan dgn masalah dan membuat hati sendiri tenang.;)

Sitie Bumz said...

=)

Sitie Bumz said...

banyak2 berdoa dan ingat kt Dia..supaya lebih tenang menghadapi hari mendatang