Sunday, August 05, 2012

Tulisan Telanjang.


[Sheryfa Luna - il avait les mots]

Entah kenapa apa yang ditulis, diterjemah dalam bentuk tulisan - menebar rasa, berkongsi cerita serta mendidik diri sendiri untuk tekun bekerja sudah jadi nanah bagi sesetengah manusia. Apakah dengan cubaan menjadi diri sendiri - melampiaskan perasaan yang acapkali tidak teratur mampu bunuh manusia lain yang tidak punya kena mengena? Aku seringkali tertanya-tanya tentang itu - yang malangnya, tulisan juga mampu diperkosa oleh tangan-tangan yang ajaibnya - memegang tinta iblis neraka.

Ya.
Tulisan jujur. Bercerita sebab aku percaya semua manusia punya jalan hidup sendiri. Cerita mereka sendiri - bahkan, ada cerita yang mereka dapati daripada pengalaman yang tidak boleh ditukar dengan wang melata. Ah, kalau sahaja kau tidak punya peranan dalam cerita yang disusun hambur tanpa nista, untuk apa kau merempan tidak tentu hala seperti aku kenal kau siapa. Bahkan anehnya, tulisan telanjang - tulisan tanpa berselindung atau menutup apa-apa tentang kehidupan, kau pula melenting bagai dibogelkan. Pelik.

Mengapa mahu mencari masalah tatkala aku tidak menyentuh sisi kehidupan orang lain - dan aku cuma cerita tentang diri sendiri. Tidak perlu hantar gerombolan manusia yang aku tidak kehendaki dalam cerita hidup aku yang kosong dan hanya bertikam lidah membunuh perkataan sepi. Kebodohan apa yang cuba dihidangkan bila cerita aku kau pusingkan di luar sana? Aku bahkan bukan sesiapa - jika mahu disusun atas tangga kebanggaan manusia lain seperti kau barangkali. Berdiri di tepi tangga juga aku mungkin tidak mampu, apatah lagi mahu impikan berdiri cecah anak tangga.

Tulisan telanjang - kalau ada cerita sekalipun, ia hanya cerita tentang aku. Tentang hidup aku yang berkongsi kamar tenang seorang diri - renung luar jendela dan panggung kepala merenung langit. Mengira kebahagiaan yang aku perolehi - sujud syukur dengan apa aku miliki. Apakah yang kau mahu bising pada kehidupan sederhana aku ini? Bahkan aku tidak punya apa-apa yang mampu bikin orang lain mahu iri hati.

Ah, gila.
Kenapa senyuman aku mahu kau renggut pergi?
Apa dulunya kau kekurangan kasih sayang duniawi?

http://farm6.staticflickr.com/5259/5530632586_b24bc79e70.jpg
[Sumber gambar]

Aku percaya bila kau benci diri aku - itu hanya petanda aku wujud dalam dunia. Aneh - kau benci tapi kau masih menagih membaca lagi. Adakah tulisan aku adalah dadah yang kau perlu hirup setiap hari?

3 comments:

Seri Ayu said...

mereka cemburu kerana kehidupan kita yang jauuh lebih baik. InsyaAllah, bukan hak kita melenting kembali. Biarkan manusia-manusia tersebut menyalak sendiri..

reenapple said...

itulah.. aku faham ini. Baru sahaja alami tadi.. waa... aku tak jaga tepi kain mereka, tapi mereka sesuka hati mengutuk aku.. huhuh. Bersabar sahaja di bulan ramadhan ini. =)

4feet8 said...

Zara, saya nak sharekan quotes dari FB Best Quotes; "Never hate people who are jealous of you, but respect their jealousy. They are people who think that u're better than them"