Friday, September 07, 2012

Baju.


Setiap kali dia keluar, baju yang tersarung di tubuh gempal (dan mungkin sudah semakin susut, kata sesetengah orang) itu menarik perhatian yang bukan sedikit. Bukan sebab dia memikat mata yang memandang, cuma dia sering dipandang pelik oleh masyarakat berikutan nama kerjaya yang dia pikul setakat ini. Tidak, dia tiada niat mahu berhenti – barangkali kerana dia terlampau sayang dengan takdir yang satu-satunya tidak pernah mengkhianati dia. Apa yang dia mahu harapkan lagi pada dunia yang penuh pura?

Suatu hari dia berkunjung ke pesta buku. Statusnya dikatakan antarabangsa, tapi apa yang dia lihat cuma penerbit tempatan dan sesetengah sahaja daripada kelompok nusantara barangkali. Dia dengan misi tertentu dan pastinya beg sandang digalas tinggi untuk dipenuhkan dengan buku. Ternyata, kegilaan dia masih seperti dia dapat hadiah ulang tahun daripada bapa. Tapi bapa tidak segarang bonda yang mengugut mahu bakar bahan bacaan dia yang suka – lalai kata bonda bila dia bersungguh membaca komik berbanding buku teks yang minimal dari segala ceria kecuali aksara yang pastinya berjuta.

http://farm5.staticflickr.com/4138/4815858640_ddbc17a38e.jpg
[Sumber gambar]

Tiba di satu tapak penerbit buku, dia keluarkan telefon genggam putih dari kocek seluar dan meneliti pesanan bonda. Ada beberapa tajuk dan naskah yang perlu diburu. Dia menghampiri rak-rak dan ruang-ruang sambil memilih buku idaman bonda, walaupun dia hampir sahaja pasti perjalanan dia pulang ke selatan pastinya merengkek dengan naskah yang bakal memakan tenaga. Ah, demi bonda, persetankan kesakitan bisiknya.

Tiba di kaunter bayaran, gadis yang menjaga kaunter pandang dia atas bawah, atas bawah. Dia hanya memaniskan muka dan menjelaskan bayaran sambil mengukir senyuman. Usai keluar dari tapak penerbit berkenaan, dia menyumpah halus dalam hati yang sedang menjeruk perasaan. Apa salah pakai jeans, t-shirt longgar dan selendang berbelit di kedai buku agama? Dia bukan bogel kan?

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012
06 Mei 2012
Nota Kaki :
Ini tulisan aku yang tidak akan terbit. Heh.

2 comments:

Phat said...

phat follow sini ya

4feet8 said...

Zara, saya pernah pergi Pameran buku di PWTC sekitar 1-6 Feb yang lepas. pun sama juga. dipandang atas bawah bila audien rata-rata memakai baju kurung dan berjubah..