Sunday, September 09, 2012

Senggama.


Pada waktu malam dia beradu sendirian, buku yang bergelimpangan di sisi dia hanyalah satu daripada alat-alat yang dia tidak sedar wujudnya. Otak dia kerja siang malam hinggakan kesakitan adalah sebahagian daripada nikmat yang selama ini dia lupa untuk hargai.

Cuaca panas dan dia tersentak bangun jam dua pagi. Kebiasaan bodoh yang sudah lama dia tinggalkan kerana terjaga sendirian pada waktu berkenaan hanya mengundang duka yang berpanjangan. Bukan dia tidak boleh solat tengah malam – cuma dia lebih gemar lakukan dalam jam empat pagi kerana dia boleh bangun terus dan bersiap untuk rutin pagi, kebiasaan diri.

[Sumber gambar]

Duduk di meja kosong sambil coretkan entah apa-apa di atas kertas kosong menjadikan dia sekosong meja kelabu yang belum lagi bertukar warna. Sebuah buku dicapai dan entah mengapa, tulisan itu tidak lagi menarik perhatiannya. Mengapa sampah begini boleh dijual dengan hebat atas rak buku berbanding dia yang bekerja dengan rakan-rakan sekepala? Aneh.

Naskah-naskah yang dipulangkan oleh penerbit berterabur bila dia menendang bucu meja. Bodoh, sakit sahaja yang dia rasa – bahkan mahu mengemas lagi, malas sudah rasa. Aksara yang saling menghubungkan antara frasa berceratuk mengatur barisan yang entah apa-apa. Laju menderu bagaikan ada Dementor yang menyedut nafas dan perasaan gembira.

Ternyata, memberikan peluang neuron bersenggama di waktu awal pagi hanya bikin dia separa gila. Kepala direbahkan di atas meja, timbunan kertas dibiarkan sahaja. Biarlah aksara mengelinjang henjut – tikam menikam dalam minda. Dia perlukan rehat seketika.


Ruang Altamis Awraq.
0240 : 07 Mei 2012.