Tuesday, October 16, 2012

Terbuang Lagi.


Bas Transnasional yang membawa Tariq tiba di Bandar Muar. Dia langsung tidak teringat untuk berhenti di Tol Tangkak tadi. Gara-gara tertidur, dia terlepas perhentian yang paling dekat ke destinasi dituju. Enggan melayan perasaan terlampau lama, dia melangkah ke kedai berhadapan stesen bas yang sudah using pada pandangan matanya. Kedai istimewa yang sudah berubah wajah.

            “Piiiiinnnnnnnn!”

            Bunyi hon kereta panjang menghentikan langkah Tariq. Jari tengah yang dihulurkan keluar hanya buat dia tersenyum. Setakat jari tengah di Bandar Muar, apa yang dia mahu hiraukan? Budak-budak yang baru mahu kenal dunia, dia pedulikan. Jalan raya berlorong empat buat dia rasa seperti terperangkap di kota Jakarta. Macet. Jam Casio hitam di tangan dikerling.

            “Pukul 5, patut le. Orang balik kerja. Sesak mengalahkan Kolumpo”

            Jejantas buruk dijeling. Malas mahu didaki. Biarlah. Ini bukan Bandar raya besar, tidak guna jejantas akan disaman oleh pihak berkuasa. Tariq tumpu perhatian pada jalan, tangan diangkat, tahan kereta yang menyelit macam syaitan dan dia berjaya meloloskan diri ke hadapan kedai berwarna kuning merah. Senyuman terukir di wajah. Nafas dihela.

*******

[Sumber gambar]

            “Takde ke Blue Java Beans dekat sini?”
            “Lu ingat sini Starbucks ke, amoi?”

            “Ala Tommy, gua gurau dengan lu. Tapi gua kena bagitau lu juga, Blue Java ke, Kona ke, tak boleh lawan lu punya kopi tahu?”
            “Tipu. Kalau tak boleh lawan tu semua, kenapa lu kerja sama kedai sana tu?”

            “Sebab gua barista sana. Sini lu sudah jadi barista. Nanti kalau kerja sini, setiap hari gaduh dengan lu, mana sedap kopi yang gua bikin? Gua bikin kopi dengan rasa cinta tahu?”
           
            Suara lelaki dan perempuan di kaunter kopi buatkan tumpuan Tariq terganggu. Cawan kopi disorong ke tepi, iPad bersarung LV dimasukkan ke dalam beg sandang. Tommy, lelaki Cina yang menyediakan kopinya sebentar tadi tidak menarik perhatian. Perempuan Melayu dengan gaya rambut ala Christina Perri itu menggamit perasaan. Susah mahu dicari perempuan yang pandai pasal kopi, dia ingat semua perempuan minum kopi campuran. Pearl Kacip Fatimah contohnya. Perempuan itu berjalan kasar melaluinya, Tariq kembali hirup kopi di cawan. Nikmat Kopi 434 hanya dapat dihayati di Muar. Ada istimewanya, sesuatu yang tempat lain tidak boleh tandingi. Hatta, francais lain yang telah dia lawati. Diam, dia capai roti bakar. Sua ke mulut.

            “Bro!”

            Sentuhan di bahu buatkan Tariq menoleh. Perempuan tadi kembali dengan muka tersengih. Tariq cepat-cepat capai kopi depan mata, dengan harapan tak tercekik roti bakar sapuan kaya. Celaka perempuan ini.

            “Kenapa?”
            “Badan kau ada bau Guatemala Antigua Santa Catalina”

            “Apa?”

            Jeritan Tommy buatkan perempuan itu ketawa dan keluar pergi. Tariq tunggu juga dia kalau kembali, tetapi selepas sepuluh minit, dia tidak muncul lagi. Lega. Dia bangun, capai beg dan Tommy, barista lelaki itu ucapkan terima kasih sambil tersenyum lebar. Tariq terfikir untuk tanya tentang perempuan pelik itu, tapi dia lain pula yang keluar dari mulutnya.

            “Nak pergi Tangkak, naik bas dari mana?
            “Oh, abang kena pergi stesen bas sebelah sana. Jalan kaki boleh, tunggu tepi jambatan lama sana pun boleh”

            “Terima kasih, Tommy”
            “Sama-sama abang. Minta maaf kawan saya tadi tu, dia punya hidung memang allergic dengan kopi. Saya pun tak tahu apa dia cakap pada abang tadi. Sorry aaaa”

            “Takpe”

            Tariq atur langkah menghala ke arah yang Tommy tunjukkan. Dia lihat bangunan lama, dia nampak papan tanda yang penuh dengan gambar pemimpin Negara – atau entah ahli politik, dia sendiri bukan ambil peduli. Dia belum merasai membuang undi yang menetukan corak politik Negara. Yang dia tahu, membuang undi di universiti demi memenuhkan tembolok sebab ada makanan tengah hari dan menghiasi meja belajar dia dengan cenderamata sebab sudi turun mengundi. Lebih dari itu dia tak ambil peduli. 

            Bas warna merah kuning menghampiri – Tariq nampak ada papan tanda tulis Tangkak. Dia berlari, tahan bas dan bayar tambang pada abang pemandu bas yang bercermin mata hitam yang tersengih girang. Entah kenapa dia rasakan renungan itu berbahaya. Mungkin sebab dia sendiri hilang dan tenggelam dalam kilauan cermin mata yang tidak melambangkan siapa dia. Aneh, dia sendiri kecewa tiba-tiba.

            Tariq bergerak ke belakang bas. Duduk di tepi tingkap, mahu lihat pemandangan yang pernah dia tinggalkan entah berapa lama, dia sendiri tidak pasti. Naik Jambatan Sultan Ismail – dia lihat sungai yang mengalir keruh, dia teringatkan tempat yang ingin dia tuju sekarang ini. Destinasi yang terlepas tetapi tetap akan dia kunjungi. Bukan kehendak diri sendiri, tapi atas permintaan manusia yang pernah berikan makna dalam hidupnya.

            Angin menghempas wajahnya, Tariq terlena. Dibuai mimpi.

*******

Nota Kaki : Tulisan yang terbuang dan ditolak. Sudah tentunya tajuk itu bukan yang sebenar.

1 comment:

Bidadari Besi said...

Suasana muar. Bnadar Maharani. Kedai kopi tu wujud kan? Bandar yang kecil tapi penuh dengan hidup :)