Wednesday, November 21, 2012

#18 : Ini Cerita Seorang Perempuan.


Alhamdulillah.
Apa yang dirancangkan, walaupun dalam keadaan sedikit tergesa-gesa dan dihimpit kesibukan serta tuntutan kerja, segalanya berjalan lancar. Muncul satu dua kekangan yang boleh bikin manusia mahu dilempar ke dinding akibat merosakkan perasaan, tetapi syukur segalanya mampu dikawal dengan mengenangkan segalanya atas hormat kepada yang lebih tua. Tidak mengapa, asalkan keluarga tahu apa yang dibuat - segala kacau bilau yang muncul boleh kita cuba pejamkan mata (walaupun ternyata geram masih bersisa).

Begitulah.
Manusia merancang, Allah yang menentukan sama ada perancangan kita akan seperti yang diharapkan atau tidak. Bila mana kita tidak mahu menjadi seperti manusia lain yang terlampau tunduk dengan adat serta budaya yang langsung tidak membawa apa-apa kebaikan bahkan kemudaratan (serta umpatan) - akan ada sahaja makhluk yang muncul untuk menjadikan segala yang dirancang sedikit terjejas dan mengakibatkan kita yang mahu lari dari kebiasaan, terjebak ke dalam laluan yang paling mahu dielakkan. Natijahnya, yang dihamburkan kemarahan bukannya mereka, tetapi kita yang berusaha mengelak - kena marah tatkala mereka semua sudah berhambus keluar tanpa tahu apa-apa.

Ajar diri untuk terima.
Itulah. Beritahu kepada diri bahawa ada manusia yang masih menjunjung adat ke tahap paling tinggi walaupun agama boleh dibuat mainan baling ke tepi. Ya, manusia yang masih pegang dengan pepatah - "Biar mati anak, jangan mati adat" - makanya, dengan orang sebegini, betapa kuatnya kita mahu hindari, dengan ada sokongan keluarga yang bagus juga - tetapi orang begitu sanggup memijak masuk, tanpa mengira sesiapa demi adat, demi budaya yang mereka pertahankan walaupun ternyata tidak membawa sedikit kebaikan pun kepada sesiapa. Hanya kegembiraan palsu dalam kenangan beku masa.

Keras suara.
Tetapkan pendirian - walaupun mungkin ada hati yang terguris tanpa sengaja. Mana mungkin membiarkan diri jadi sasaran kemarahan sahaja, padahal diri tersepit dengan desakan masyarakat yang seperti tidak kenal dengan siapa mereka berurusan. Ah, jangan lupa mereka sangat menjunjung adat sehingga akal terbejat. Orang lain juga ada yang masih nampak adat, masih pandang tinggi adat, tapi tidaklah sehingga melanggar batas apa yang tidak disuka. 

http://farm4.staticflickr.com/3343/3269017842_8f7af7c385.jpg
[Sumber gambar]

Terima kasih.
Kalau mahu disebutkan satu persatu, mana mungkin boleh dinyatakan semua. Tetapi tetap juga mahu ucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama - yang memahami mengapa semua ini harus dilalui dalam keadaan penuh diam, penuh sederhana - penuh dengan apa sahaja tanpa perlu kacau bilau dan segala benda yang hanya mengeruhkan keadaan serta suasana. Apakah manusia tidak layak untuk senyum ikhlas tatkala dia bahagia?

Selsema.
Tarik mukus keluar dan kita mungkin belum rasa lega.
Berdehem sakit sehingga berdengung telinga.
Bunyi nafas mendesah, naik turun - lebih sakit kepala.
Mungkin itu masih sakit dalam jiwa.

Berak.
Kadangkala sembelit - susah keluar macam nak berak.
Berapa lama mencangkung, tiada jatuh berdetak.
Duduk termenung, kadangkala sambil berborak.
Tetap menunggu sampai mahu pecah otak.
Mungkin itu yang dirasakan, rabak.

Demam.
Suhu badan panas, tengok bacaan sampai tergamam.
Sakit tekak, perit - semua makanan hanya dikemam.
Langsung apa  yang dimakan tidak dapat dihadam.
Senyap, menggigil dalam diam.
Mungkin itu yang sedang dipendam.

Zara : Kadangkala kita kena berpura-pura tidak tahu apa yang terjadi, walaupun kebenarannya sudah terbentang di hadapan mata dengan harapan supaya segalanya baik-baik sahaja. Ketap gigi, tarik nafas paling dalam dan berikan senyuman paling ikhlas demi menghadapi hidup ini. (Shafaza Zara, 21 November 2012)

4 comments:

Cik Syida said...

betul, sangat setuju dengan kamu :D

oshinz said...

masa saya mahu bernikah tempoh hari, saya cuma mahu menjadi yang halal untuk dia. dah malas nak fikir hal lain. remeh. hehehe.

neyra shazeyra said...

tahniah zara. eh? ;p

misz aisya said...

yeyyy! dah terjawab persoalan saya. nway congrats kak! :)