Tuesday, January 31, 2012

Panduan Bagi Penceramah - Cara Atasi Gentar.




Salam semua.
Adakah sudah mengundi aku berdasarkan gambar di atas?
Ceh, sempat lagi nak tanya benda begini kan?

Apa pun, aku kembali pada momentum aku untuk menulis. Aku rasa disebabkan apa yang aku lalui sejak beberapa minggu ini, aku mula susun kembali otak aku, agar berfungsi seperti yang aku mahukan dan bukan semata-mata mengikut apa yang aku panggil sebagai kedegilan. Ya, kedegilan dalam meneruskan kehidupan. Melalui masa yang agak sukar, aku rasa kadangkala ianya juga baik dalam menentukan (dengan lebih tepat dan jitu), tentang apa yang aku paling kehendaki, dan tidak hanyut dalam nafsu diri. Ah, bicara pembuka kata sahaja sudah bikin yang baca mahu hentak kepala aku gamaknya. Tapi, ini aku seperti yang kalian semua kenal, gila tidak tentu masa.

http://farm4.staticflickr.com/3144/4077764060_a17e8e3e3a.jpg
[Sumber gambar] - Cuti panjang aku habiskan dengan keadaan lebih kurang begini, tapi sudah tentunya ini bukan aku.

Aneh.
Sesetengah orang mungkin merasakan sedikit aneh bila aku tidak memperkatakan tentang Anugerah Juara Lagu 26 (#AJL26). Sebab selalunya aku akan menulis berdasarkan apa aku suka, apa aku rasa secara peribadi. Kali ini tidak, atas dasar aku menulis dengan lebih gigih di Twitter. Seperti dikhabarkan oleh saudara Hazrey dan Sultan Muzaffar di Twitter mereka, aku berada di tempat pertama manusia yang paling banyak berkicau tentang #AJL26 mengikut rekod yang dikeluarkan pada sidang media. Baiklah, aku tidak mahu memperkatakan tentang itu, sebab ya, aku sendiri mendapat khabar itu dari mereka.

Berbalik kepada tajuk di atas, aku mendapat undangan untuk memberikan ceramah (istilah ini agak menakutkan) pada hujung minggu ini, 4 Februari 2012 di salah sebuah kolej berdekatan dengan rumah aku. Ini kali kedua aku diundang secara rasmi untuk memperkatakan sesuatu yang dekat dengan aku. Sebelum ini, aku berikan ceramah motivasi (ya, bunyinya agak macam bagus) pada sekelompok murid yang dianjurkan oleh kawasan kejiranan aku. Kali ini, peserta atau lebih tepat lagi pendengar yang bakal menyertai adalah daripada manusia yang aku tidak berapa biasa. Lebih tepat adalah golongan yang aku tidak kenali, tetapi aku pernah berada di tempat mereka, melalui apa yang mereka sedang hadapi sehingga membawa kepada siapa aku hari ini.

Jadi, membaca apa yang penganjur hantarkan kepada aku, garis panduan isi penyampaian dan ceramah membuatkan aku sedikit tergelak. Bukan tentang garis panduan itu, tetapi lebih kepada, mampukah aku memenuhi kriteria yang mereka tetapkan? Kegilaan aku sekarang ini bukannya boleh dikawal sangat, apatah lagi sejak aku mengajar mata pelajaran baru, aku memang agak dramatik dalam mengajar di kelas. Kalau ada cerita pendek, puisi, habis semua aku lakonkan. Ya, aku mungkin pelakon yang hebat serta mempunyai lantunan vokal yang menarik, eh. Sudah menyimpang pula. 

Aku akui, aku sedikit gementar tentang perkara tersebut. Jadi aku bercadang untuk mengulas setiap satu daripada panduan bagi penceramah yang telah mereka bekalkan. Bukanlah untuk tujuan yang tidak elok, cuma sebagai ingatan kepada diri sendiri agar kegilaan aku tidak berlaku. Bukankah nanti kamu semua juga yang malu ada kawan seperti aku. (bunyi cengkerik)

http://farm4.staticflickr.com/3664/3394064128_c116989c38.jpg
[Sumber gambar] - Ini semua mungkin bagaikan sekeping kek. Mungkinlah. Mungkinlah. (Cubaan untuk positifkan diri)

01 - Etika pakaian bagi penceramah adalah formal.
Baiklah, benda ini sesuatu yang mudah untuk diikuti. Disebabkan hampir setiap hari aku mengenakan pakaian formal, rasmi, jadi aku rasa ini bukan masalah. Masalahnya aku tiada baju baru. Baju paling baru aku, yang kononnya dibeli untuk majlis ini, aku sudah pakai ke majlis perkahwinan kawan aku. Er, peduli apa aku tiada baju baru. 

02 - Penceramah diminta untuk memberikan ceramah berkenaan tajuk yang diberi selama 1 jam sahaja bagi setiap tajuk.
1 jam itu tempoh masa yang agak lama sebenarnya kalau kau berdiri seorang diri di hadapan dengan diperhatikan oleh ramai orang. Aku mungkin dah lali dengan berdiri lebih daripada satu jam dan bercakap (baca : mengajar) di hadapan anak murid aku. Aku boleh berbual selama enam jam tanpa henti dengan orang yang baru pertama kali aku berjumpa, berbual tujuh jam tanpa hati secara atas talian Skype, tapi satu jam depan orang yang aku tidak kenali serta ceramah berbentuk ilmiah, apa yang aku perlu lakukan? 

Jika sebelum ini, aku dapat paksa tiga orang lagi untuk teman aku - jadi dari ceramah, ia sudah jadi seperti forum, aku harap keajaiban mungkin berlaku pada hari Sabtu ini, ada orang teman aku. Tapi kalau ditakdirkan seorang diri bercakap di hadapan, aku mohon ada orang sedarkan aku jika aku melampaui masa yang dibenarkan. (sambil jeling jam)

03 - Penceramah dibenarkan menyentuh subjek atau perkara yang boleh dikaitkan dengan tajuk yang mereka sampaikan.
Menyentuh subjek itu menyentuh tajuk kan?
Bukan menyentuh peserta ceramah rasanya. Oh, aku dah tengok tajuk, aku rasa aku boleh merepek bercerita tentang banyak benda. Mungkin aku akan cerita mengenai Dunia Sebelah Zara juga. Er, boleh ke tidak agaknya?

04 - Penceramah bebas menyampaikan ceramah mengikut cara dan gaya yang dikehendaki asalkan tidak keterlaluan dan tidak melampaui batas.
(angkat kening)
Cara dan gaya yang dikehendaki? Wah! Macam mana mahu buat ini agaknya? Merujuk kepada patah perkataan seterusnya, - "asalkan tidak keterlaluan dan tidak melampaui batas" - adakah dengan tangan bersilat bagai itu dikira keterlaluan? Aku tidak boleh bercakap tanpa menggerakkan tangan. Dah terbiasa sejak dahulu, tidak kira zaman sekolah, zaman matrikulasi, universiti dan sampailah aku mengajar. Tangan aku memang akan bergerak selaju mulut aku bertutur juga. Hmm, bunyinya seperti masalah besar untuk mengawal diri sendiri. Heh.

05 - Penceramah boleh mendapatkan bantuan dari pihak pengacara majlis dari segi keperluan asas ceramah seperti persiapan peralatan tayang audio/visual, menjaga pergerakan slide show ataupun air minum.
06 - Sekiranya penceramah mempunyai powerpoint untuk digunakan semasa ceramah, sila berikan soft-copy kepada pengacara majlis untuk dimuat turun ke dalam komputer sebelum ceramah bermula.
"Mohon pengacara majlis adalah kacak" (doa dalam hati)
Itu doa merepek. Sila abaikan.

Oh, jadi boleh tayang audio atau visual. Perlu ke aku buat Vlog (video blog) khas bagi ini agaknya ya? Rasa macam teringin mahu buat memandangkan sudah lama tidak memuatnaik video merepek sendiri ke laman sosial. Walaupun tiada siapa yang menonton, tapi aku rasa mahu muncul sedemikian rupa, bukanlah benda yang mudah bagi aku. 

Aku memang manusia yang sentiasa bawa bekal air sendiri. Sekarang aku dalam perkiraan mahu menyediakan bahan ataupun tidak buat mereka yang mendengar ceramah itu. Rasanya perlu ataupun tidak?

http://farm5.staticflickr.com/4043/4350392857_9eb35fc560.jpg
[Sumber gambar] - Perangsang adrenalin aku perlu ambil. Pasti.

07 - Penceramah tidak dibenarkan sekali menyentuh isu sensitif termasuklah isu politik, perkauman, keagamaan dan sebarang perkara yang mampu mengguris mana-mana pihak.
08 - Penceramah tidak digalakkan untuk mempromosikan apa-apa perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk ceramah yang diberi. 
09 - Penceramah juga tidak digalakkan sama sekali untuk mempromosi sesuatu universiti ataupun pekerjaan/syarikat secara khusus.

Aku rasa tiga garis panduan di atas adalah saling berkaitan.

07 - Isu politik, perkauman, keagamaan - adalah perkara yang memang terang-terangan akan mengguris hati mana-mana pihak. Pihak itu (pling!) ataupun pihak (pling!) bak video Kyopropaganda di Tiub Awak (baca : YouTube). Jadi, untuk mengelakkan diri selama, sebarang benda berkaitan benda itu adalah penting untuk dipertuturkan sama ada sengaja ataupun di luar sedar. Tapi, janganlah sampai tak beri salam pada pendengar kan? Sewel betul.

08 - Ala! Tak boleh promosi ke? Baru nak promosi blog sendiri. Baru nak promosi suruh beli Kitab Terfaktab dan Hero. Baru nak suruh mengundi untuk blog ini. Kalau begini, tak boleh adalah merugikan. Terfikir untuk buat iklan antologi cerpen yang akan muncul pada bulan Mac ini serta projek terbaru Terfaktab. Kalau tak dapat ini, bagaimana? 

"Ini tidak adil, tidak adil baginya.
Ini tidak adil, tidak adil bagiku."
Eh, keluar Yuna pula.

09 - Aku paling suka UTM. Ya, aku adalah hasil keluaran UTM dan memang berbangga dengan hakikat tersebut. Kalau orang tanya, aku dengan pantas akan sebut mengenai UTM dan apa yang UTM telah berikan pada aku, sepanjang pengajian aku. Sudah tentunya dengan deretan tenaga pengajar yang bagus, persekitaran yang baik dan sebagainya - serta motonya memang akan aku ingat sampai bila-bila. "Kerana Tuhan Untuk Manusia"

Hidup UTM!
Eh, tak boleh promosi =.="

Pekerjaan pun tak boleh promosi?
Apa maksud ini?
Aku tak boleh galakkan peserta untuk memilih kerjaya serupa aku ke?

10 - Penceramah dinasihatkan untuk tidak menipu sebarang fakta yang berkaitan dengan ceramah.
Saya dengan ini berjanji akan memberikan segala yang terbaik dalam ceramah yang akan saya sampaikan. Saya tidak akan mengaku diri saya cantik sebab itu akan dikira sebagai suatu bentuk penipuan. Eh.

Baiklah.
Itu sahaja buat kali ini.
Cara mengatasi gentar aku adalah dengan memberikan jawapan balas bagi setiap daripada garis panduan yang diberikan. Cabaran buat diri sendiri.

Nota Kaki :
4 Februari 2012 - Moga diberikan aku kekuatan untuk berdiri di hadapan orang dan berikan ceramah terbaik.

Zara : Ujian datang menimpa bila aku belajar untuk rasa selesa dengan suasana serta keadaan yang aku suka. Nampaknya, aku tidak boleh duduk diam dan memerhatikan begitu sahaja. Sesuatu sedang berlaku dan aku dapat menghidunya. Mohon doa agar kejadian setahun lepas tidak akan berulang kembali. Aku tidak cukup tabah untuk menanam hati sendiri lagi. (Shafaza Zara, 31 Januari 2012)


Sunday, January 29, 2012

Perempuan Memang Nak Cantik Eh?



Peringatan : [Ini adalah pos berbentuk iklan]

Beritahu aku kalau ada mana-mana manusia yang tidak sukakan sesuatu yang cantik, sesuatu yang menarik dan indah. Sejuk mata memandang kata orang tua zaman dahulu. Jadi, mustahil kalau kita semua tak suka benda cantik, benda menarik dan menenangkan jiwa. Kecuali orang itu gila. Mungkinlah.

Tapi orang gila pun suka benda cantik.
Sebab itu kita biasa tengok dalam drama atau filem, mereka suka main dengan bunga, barang kemas, sebab ya, mereka masih dapat rasa kecantikan sesuatu benda. Yang mengecam kata mereka tidak siuman bagai, mohon untuk betulkan semula pandangan anda.

Jadi, sekarang aku kembali untuk menulis mengenai korset, seperti yang aku pernah tulis sebelum ini. Masih ingat tentang senggugut? Ya, untuk bulan kedua aku memakai korset PB ini, sudah tidak bergantung pada ubat. Aku pakai korset, jadi budak baik dengan buat segala kerja aku, dan alhamdulillah, tiada kesakitan yang aku tanggung macam nak mati. Sakit pinggang boleh dikatakan hampir tiada. Cuma masalah sedikit apabila pakai tuala wanita dan pakai korset, aku risau kalau bocor kena korset. Nasib baik tidak.

http://farm4.staticflickr.com/3031/2703800150_24667fcd9b.jpg
[Sumber gambar] - Sayangnya pakai PB aku tak boleh langsingkan jari. Eh.

Jadi, sekarang aku mahu sambung semula dengan menjawab soalan yang dikemukakan kepada aku. Yang sudah menghubungi Kak Sha, aku ucapkan tahniah. Bagus kalau kamu bertanya terus kepada yang pakar. Aku cuma jawab setakat mana pengetahuan aku, dan pengalaman aku pakai. Soalan sebelum ini boleh dibaca di tulisan ini.


07 - Kenapa nak pakai korset? Perempuan memang nak cantik eh?
Mohon beritahu aku, kenapa wujud pusat pelangsingan badan, pusat kecantikan dan segala jenis pusat apa benda itu yang berkaitan dengan perempuan, kalau perempuan tiada keinginan mahu menjadi cantik. Kenapa mereka mahu menjadi cantik, pastinya alasan setiap seorang adalah berbeza. 

Pakai korset sebab nak nampak cantik?
Aku tak rasa begitu (secara jujurnya). Sebab pada aku, orang yang pakai korset, ada alasan mereka sendiri. Aku pakai disebabkan aku nak cuba betul ke dengan memakai korset tersebut boleh menghilangkan kesakitan senggugut yang aku tanggung selama bertahun ini. Sudah dua bulan, aku sudah nampak hasil, jadi, salahkah aku cadangkan pada mereka yang mengalami masalah serupa, untuk mencuba juga?

08 - Ni dah mula sekolah, dah mengajar, macam mana?
[Ping pong ping pong - bunyi soalan bonus]
Tetap pakai. Mulai tahun ini aku mengajar Bahasa Inggeris dan PJK. Selain daripada Pendidikan Jasmani Kesihatan - aku beri makna lain pada singkatan itu, PAJAK disebabkan aku mengajar PJK dari Tingkatan Satu hingga Lima. Jadi, dalam sehari dalam seminggu, aku boleh dikatakan bersenam hingga 3 waktu pada sebelah pagi. 1 waktu adalah 40 minit, 3 waktu adalah bersamaan dengan 120 minit. Gila memang gila, tapi sekarang kita bercakap tentang korset kan?

Aku mengajar sukan dengan pakai korset juga. Setakat ini, semua regangan, dan pergerakan aku dalam aktiviti sukan tidak terbatas. Boleh sahaja aku mengayuh basikal, lompat bintang, tekan tubi, berlari dan sebagainya dengan memakai korset ini. Sebenarnya, pakai korset ini buatkan badan aku lebih tegak untuk berdiri dan pergerakan aku lebih cantik bila mengajar senaman. (angkat kening)

Dari segi pemakaian, seawal jam 6 pagi (atau kadangkala lebih awal), aku sudah pakai. Dan disebabkan itulah, aku boleh pakai lebih daripada lapan jam (minima) dan maksima 15 jam kalau aku bekerja. Tempoh masa aku berada di sekolah kadangkala tidak menentu. Aku perlu ingatkan bahawa pemakaian korset dengan betul, akan buat kamu selesa, bukan menyeksa.

09 - Susah tak nak buka semula korset lepas pakai?
Setakat ini aku tiada masalah mahu buka korset ini selepas pakai. 
Mula-mula nak buka yang berbentuk seluar itu memang sukar, sebab paha dan punggung adalah sangat besar kan? Tapi bila dah terbiasa, ia bukan masalah lagi bagi aku. Senang kata, ia semudah kau buka semula pakaian dalam yang dipakai setiap hari itu.

http://2.bp.blogspot.com/-URxKBN81RpA/TlkSNeNl2sI/AAAAAAAAA6c/HG1kZqeRHoY/s1600/premium-beautiful-corset-bra.jpg
"Long Brassiere" (LB)

http://2.bp.blogspot.com/-GmHZNBkMCTo/TlkSa-9W-bI/AAAAAAAAA6k/GuZREvw94xI/s1600/premium-beautiful-waist-nipper.jpg
"Waist Nipper" (WN)

http://1.bp.blogspot.com/-JPssMy3t4hs/TlkSVzbfQyI/AAAAAAAAA6g/fK6-32jdAq0/s1600/premium-beautiful-girdle.jpg
"Long Girdle" (LG) [Dari blog Kak Sha]

10 - Perkembangan selepas lebih sebulan pakai korset ini?
Pakai pakaian dalam ini sudah jadi kebiasaan sejak Kak Sha hantar datang ke rumah pada 11 Disember 2011. Aku mula pakai secara konsisten bermula pada 16 Disember 2011 (selepas tamat kursus). Macam aku ceritakan sebelum ini (sini) - kejayaan aku memasukkan tubuh gempal dengan usaha gigih Kak Sha tarik sekuat tenaga dia ada menunjukkan sedikit peningkatan.

1-  LG
Kalau dulu separuh nyawa aku nak masukkan diri, sekarang ini, aku boleh masukkan dengan mudah berbanding sebelum ini. Bukan kata punggung aku dah mengecil tapi mungkin sudah ada pembentukan atau entah apa namanya, ia mudah sedikit. Jadi, kalau aku berkejar mahu buang air kecil, tidaklah sampai merah muka nak buka. 

2 - LB
Dari cangkuk pertama, aku sudah mampu pakai ke cangkuk kedua dengan selesa. Ya, masa aku tulis ini (29 Januari 2012) - aku sudah berjaya ke cangkuk kedua. Jika sebelum ini, nak pusingkan LB di cangkuk pertama kena menahan nafas bagaikan mahu menyelam, ia bukan satu masalah lagi. Yang kalau kata, aku ni kecil, kau boleh tanya aku secara peribadi, berapa saiz yang aku pakai sekarang ini. Sungguh, aku akan beritahu.

3 - WN.
Kalau pada 28 Januari 2012, aku bergegas menghantar pesanan pada Kak Sha yang WN aku sudah masuk cangkuk kedua, pada hari ini (29 Januari) - aku sengaja cuba ke cangkuk ketiga. Muat dengan selesa weh! Aku macam nak lompat kegirangan bila dah boleh masuk. Macam betul ke benda ini berlaku pada aku, rasa macam nak lompat bintang secara berjemaah dengan diri sendiri di atas katil. Ya, aku boleh beritahu saiz juga kalau kamu nak bandingkan bentuk badan dengan aku, sebab ramai kata aku kurus sebelum ini. Bukan aku kurus, aku pakai baju besar. Sebab tu kau tak nampak.

http://farm3.staticflickr.com/2557/3886563065_fc910ae59f.jpg
[Sumber gambar]

Aku mengambil pendekatan mudah dalam menulis mengenai korset ini dan cara pendekatannya. Aku tidak akan menulis benda yang tidak aku alami sebab aku percaya, kesan pada setiap orang akan berbeza mengikut kesungguhan dan keyakinan kau sendiri.


Kesungguhan yang aku nyatakan di sini adalah, bila kau berazam untuk mendapatkan sesuatu, pasti kau akan berusaha dengan gigih kan? Aku dapat banyak komentar tentang bagaimana kebanyakan pembaca mempunya korset masing-masing, tidak kisah dari jenama apa, tapi bila pakai sekali dua dan rasakan payah, maka mereka tinggalkan begitu sahaja, dan tidak bersentuh lagi. Kenapa perlu buat begitu? Bukankah benda itu kau dapatkan dengan harga yang agak tinggi, mengapa mahu membazir? Ke aku seorang sahaja yang ambil berat tentang harga barang yang aku beli?

Keyakinan adalah, bagaimana mahu beritahu ya?
Kalau kau yakin kau kuat untuk dapatkan apa kau mahukan, kenapa mahu berputus asa begitu sahaja? Pada aku, berputus asa itu adalah kenapa apa yang kau mahukan tidak dapat dicapai. Yakin dengan kebolehan diri, dengan apa yang kau gunakan atau pilih dan cuba sehingga berjaya. Sebab, pada aku, untuk sihat, untuk bahagia, aku perlukan keyakinan diri yang tinggi dalam hidup. Dan bila benda itu semua tiada, bagaimana mahu teruskan kehidupan?

Dan kita semua yakin bahawa Allah ada untuk semua manusia.
Manusia kan boleh berubah dengan usaha mereka sendiri. Jadi, jangan sesuka hati mahu berhenti berharap. Rugi untuk diri kita sendiri.

Baiklah.
Itu sahaja buat kali ini. Kalau kalian perlukan maklumat lanjut, boleh jengah blog Kak Sha yang kecil molek di sini ataupun ke halaman yang aku wujudkan untuk dia dan PB ini

Nota Kaki : 
Banyak benda lagi yang mahu dikejar dalam hidup. Aku sudah tidak mahu hiraukan manusia yang mengutuk paras rupa dan bentuk fizikal aku lagi. Cukuplah aku rasa aku menarik bila aku berdiri di hadapan cermin setiap hari.

Zara : Kadangkala seorang perempuan itu tidak perlu beritahu semua perkara yang dia rasakan. Kau sendiri boleh tahu segalanya bila dia berada di samping kau, segalanya tertulis dengan bagaimana dia melakukan sesuatu perkara tersebut. Begitu juga dengan lelaki yang kau sayangi sepenuh hati. (Shafaza Zara, 29 Januari 2012)


Thursday, January 26, 2012

Persahabatan Dua Dunia Berbeza.




Apa yang penting dalam hidup manusia?
Aku rasa selain hidup untuk diri sendiri, keluarga, cinta - manusia memerlukan seseorang (atau beberapa) yang lain sebagai kawan. Manusia macam aku banyak kenalan, banyak kawan, banyak teman, tapi aku ada beberapa sahaja yang boleh digelar sahabat. Kali ini, aku tujukan pada seseorang yang mencorakkan makna yang bukan sedikit dalam hidup aku. Manusia yang banyak mengajar aku nilai menjadi seorang manusia, tabah sebagaimana aku hari ini - lebih pantas mendongak lihat manusia yang melemparkan apa mereka suka tentang aku.

Dan hari ini, aku memilih untuk bercakap tentang seorang sahabat yang sangat memahami. Dengan hanya sepatah perkataan yang aku ucapkan, dia boleh meneka seluruh cerita dengan tepat. Kuasa apakah ini sahabat?

Aku rasa orang yang baca blog aku sejak daripada blog bahasa Inggeris, hingga ke Dunia Sebelah Zara - mungkin pernah terbaca tentang Pali. Seorang sahabat yang mencapai tahap keluarga. Ya, pada aku, Pali adalah sebahagian daripada keluarga aku. Orang yang aku tanpa segan dan silu akan kongsi semua benda. Mungkin dengan keluarga, mereka tidak dengar aku menangis, merintih, mengeluh tapi aku rasa, Pali sudah pinjamkan itu semua untuk aku. Dia dengar aku menangis, dia dengar aku menggila, dia ada sejak aku bertatih untuk mulakan segalanya bila hidup aku terumbang ambing suatu ketika dulu.

2008.
Aku mulakan tahun akhir pengajian di universiti. Disebabkan kemudahan yang aku ada di bilik, dan aku mungkin bosan ketika itu, aku guna Skype. Aku tegur sesiapa yang aku mahu dan masa itu, aku tegur Pali. Dia guna nama lain pada waktu tersebut - 'Jump Jump Jumper'. Betapa uniknya persahabatan kami bermula, sebab saling tidak mengenali, Pali bukan manusia yang aku kenal dari blog, ataupun dia kenal aku dari mana-mana laman sosial, cuma dari Skype.

Dan, waktu aku saling bertingkah dengan hidup sendiri, dengan persoalan peribadi yang menghantui, dia tolong aku untuk bangun perlahan-lahan dan menhadapi kenyataan dunia.

2009.
Kali pertama aku ucapkan selamat ulang tahun buat sahabat baik ini.

Waktu ini, Pali melalui satu keadaan yang mengujikan dalam hidup dia. Dan aku boleh katakan dia berjaya melaluinya dengan baik. Tahun 2009 menyaksikan banyak benda berlaku, Dari saat aku menamatkan pengajian, menghadiri temuduga kerja hingga memulakan kerjaya - aku boleh katakan semuanya ada kehadiran Pali. Aku ingat lagi masa aku mahu menghadiri temuduga kerja, ujian INSAK - Dia cuma cakap dengan aku satu benda yang aku pergi dengan berlapang dada.

" Aku cuma nak dengar kau berjaya, tu je. Benda lain tak nak!"

Persahabatan unik itu membawa kepada pelbagai cerita.
Tahun 2009, banyak benda berlaku, kami saling membantu, bila seorang jatuh, seorang yang lain akan tolong tarik ke atas semula. Membebel dengan cara masing-masing, tapa batasan dalam kosa kata, benda yang kami paling suka. 2009 berakhir dengan kami hanya masih lagi tidak berjumpa.

2010.
Permulaan tahun bagaikan banyak sangat benda yang tidak menarik. Tetapi Alhamdulillah, kami berjumpa akhirnya. Jumpa selepas melalui peristiwa yang tidak boleh dilupakan. Peristiwa yang membawa kepada lebih banyak pengertian hidup. Dan pada tahun 2010 juga aku rasa, Pali ada singgah di rumah. Jumpa keluarga aku atas urusan berkaitan komputer. Siap tulis lagi tips kalau datang ke rumah aku. [baca]

2011.
Jatuh, bangun, jatuh, bangun.
Sahabat itu ada.

Dan, apa yang aku banyak mahu cerita di atas dari tadi ini, sudah Pali tuliskan dalam penulisan dia sempena ulang tahun kelahiran  aku .

2012.
Ketika aku menulis dia, hari ini adalah ulang tahun ke-25 sahabat itu.
Seorang sahabat yang aku rasa aku akan cukup kesal kalau hilang daripada hidup. Bila menoleh kembali apa yang dilalui selama ini, aku tahu, aku sudah cukup bertuah.

Terima kasih sahabat.
Kau tahu lebih lanjut kenapa kau sentiasa seorang sahabat.

Nota Kaki :
Aku benci cuti lama.

Dan, bolehkah kamu undi aku untuk Best Educational Blog? - Siapa yang calonkan aku tu, terima kasih yang teramat sangat. [pautan]

Zara : Tanpa sahabat, aku mungkin manusia bodoh tanpa bantuan.


Tuesday, January 24, 2012

#04 : Ini Cerita Seorang Perempuan




Tekanan sungguh bila darah tidak berhenti mengalir daripada jari telunjuk yang terkena pinggan pecah. Menaip menggunakan jari tengah atau jari hantu rasa agak kekok, tapi masih boleh dikatakan laju. Mengelakkan guna jari telunjuk diseebabkan enggan papan kekunci dipenuhi darah seperti minggu lepas setelah tercucuk jarum tudung. Gila apabila darah dibazirkan pada tempat yang tidak sepatutnya. Aku rasa disebabkan sudah terlampau lali menderma darah di hospital, jadi apabila cedera begini, aku rasa sayang pada darah sendiri. Warna pekat sedemikian patut digunakan di tempat yang betul.

Dan hari ini sudah masuk hari cuti yang keentah berapa. Aku malas mahu kira disebabkan aku tidak jumpa makna cuti dalam hidup aku. Rutin harian aku masih serupa, bangun awal pagi - jam biologi diri tidak pernah mengkhianati. Sebelum jam lima pagi aku pasti sudah tercacak bangun untuk memulakan hari. Kalau bermalasan sekalipun, sebelum jam tujuh pagi aku perlu melapor diri ke dapur Puan Mulia. Cuma sejak beberapa hari ini, aku agak culas. Itupun, jam tujuh sepuluh aku dah mula berdondang dengan alatan dapur serta Puan Mulia. Aneh lihat ada orang boleh bangun lambat tanpa dijerkah oleh ibu bapa. Jika di rumah aku, itu sudah jadi tabu. 

Aku menulis tentang detik. Dari empat kepada tujuh, dan saat aku menulis ini, ia sudah masuk ke lapan detik. Nasib baiklah, aku sudah biasa dan mampu menghadapi empat detik. Alangkah dengan empat detik ke belakang aku sudah jadi separa panda (ehem!), kalau lapan detik ataupun tiga belas detik seperti kawan-kawan yang lain, aku rasa aku akan jadi rasaksa. Ah, tidak mahu! Kegilaan apakah aku jadi rasaksa? Impian aku kan mahu jadi seorang adiwira. Ultraman sebagai contohnya. Heh.

http://farm3.staticflickr.com/2469/3537291009_f5f45c2d09.jpg
[Sumber gambar]

Sejak kebelakangan ini, sama ada aku terlampau tua ataupun dasar aku sudah berubah, aku berkicau di Twitter dengan niat seperti selalunya. Berbicara tentang hal sendiri, apa yang aku tidak puas hati dalam hidup aku, apa yang aku rasa dengan manusia lain - benda yang aku malas mahu tulis di blog atau laman sosial yang dipenuhi dengan rakan sekolah, keluarga ataupun rakan sekerja, aku luahkan di sana. Sekurang-kurangnya, dalam seratus empat puluh aksara, apa yang aku tulis hanya sebagai satu bentuk terapai melepaskan apa yang terbuku di dada. Tapi, ada pula sesetengah manusia yang terasa hati tidak tentu hala. Kegilaan apakah ini?

Dalam hidup aku, aku berpegang kepada satu benda. Jika kekurangan kasih sayang daripada manusia, kita boleh cari cinta Maha Pencipta. Kasih sayang dan cinta Dia tiada batasan. Jadi, jika kau tidak mahu mencari cinta Dia, tapi masih mahu mengejar cinta manusia, aku sarankan jangan berikan masalah pada orang lain. Sekurang-kurangnya, kejar apa kau mahukan dengan jalan yang sebaiknya. Ini bila kau mencari masalah dengan aku, sebagai contohnya, aku yang tidak tahu menahu hanya dengar cerita daripada orang lain. Kau marah-marah dengan aku dan melibatkan kawan-kawan aku yang lain, itu benda yang tidak enak tentunya. Sebab pada aku, aku tiada masalah atau isu dengan orang. Kenapa orang nak buat begitu pada aku? Tidak bolehkah kau duduk diam-diam dalam dunia kau dan berkhayal dengan apa kau mahukan? Macam aku buat dalam dunia aku?

Oh.
Manusia kan tidak sama.
Aku tahu dan aku sangat sedar perkara tersebut.
Tapi, aku rasa sesetengah daripada kita pasti tahu apa itu ruang dan peluang. Gunakan dua perkara itu sebaiknya, kerana bila kau peroleh dua benda tersebut, itu suatu benda yang kau wajar tidak persiakan. Kecuali kau selalu bertuah dan dapat apa kau mahukan, kau boleh abaikan benda tersebut.

Aku?
Sudah tentu aku sukar untuk dapat benda tersebut. Jadi bila ia terhidang depan aku, dengan bonus seperti masa, aku akan manfaatkan sebaik mungkin. Kata orang, bagaikan ruas tebu, kita perah sampai tinggal hampas. Kalau aku, sampai tahap begitu sekali aku gunakan. Sebab itu, kalau badan aku sakit sekalipun selepas aku dapat apa aku suka, mahukan, aku masih mampu senyum gembira. Bukan mudah untuk aku capai sesuatu yang aku suka, jadi senyuman itu adalah hadiah paling berharga buat diri sendiri sebagai contohnya.

http://farm4.staticflickr.com/3384/3517876373_4daf4d2a1c.jpg
[Sumber gambar]

Begitu juga dengan keadaan sekarang ini. Sudah hampir setahun aku tidak makan nasi. Aku tulikan diri dengan kutukan, kecaman dan apa sahaja orang lemparkan. Entah, aku sendiri sudah tidak dapat mengingati kenapa aku tinggalkan makanan ruji masyarakat Malaysia tersebut. Kebodohan melampau kata sesetengah orang, tapi macam biasa, aku senyum sahaja. Apa yang aku nak, aku dapat juga, jadi apa yang dikorbankan, kalau ada hasil yang dimahukan, aku sudah boleh tersenyum dan gembira. 

Ia termasuk manusia yang aku suka. Mungkin aku tidak pandai berikan apa yang dia mahukan. Memahami dia sepenuhnya walaupun aku pastinya berusaha, tapi manusia seperti aku mahu berputus asa adalah mustahil. Sebab aku tahu, apa aku mahukan dalam hidup perlu disertai dengan usaha. Kalau aku gagal selepas berusaha, aku boleh menarik nafas lega sebab aku tahu, aku bukan berdiam diri dan tengok begitu sahaja. Melemparkan segalanya kepada takdir untuk menentukan apa aku mahukan. Mustahil benda baik akan sentiasa muncul pada aku, aku bukannya manusia maksum. Terlampau banyak khilaf dan aku tidak mahu tenggelam daripada merasai nikmat dunia yang membolehkan aku hidup sebagai manusia.

Seperti suara mamai yang aku dengar pagi tadi, suara yang jarang kedengaran begitu bunyinya. Selalunya aku yang berkeadaan demikian, selalunya aku yang akan terlelap walaupun talian masih bernyala. Selalunya aku yang akan dipaksa untuk jadi budak baik dan rebahkan diri, menikmati ruang tidur yang berharga. Tapi bila keadaan terbalik, aku tersenyum dan lebih banyak ketawa. Peluang begitu tidak akan selalu muncul. Jarang. Jadi, bila aku dapat, aku rasa bahagia. 

Dia : Saya nak merajuk.
Aku : Kenapa?
Dia : Nak merajuk boleh?
Aku : Beritahulah kenapa nak merajuk.
Dia : Nak merajuk juga, boleh?
Aku : Kalau saya tahu kenapa awak nak merajuk, saya beri. Kalau alasan yang awak berikan, diterima akal, nanti saya fikirkan. Kalau sengaja suka-suka tak boleh.
Dia : Saja suka-suka nak merajuk.
Aku : Tak boleh.
Dia : Kenapa tak boleh?
Aku : Kalau awak merajuk saya kena pujuk kan?
Dia : Ya.
Aku : Awak makan pujuk ke? Macam tak je.
Dia : Entah. Tak tahu.
Aku : Kalau awak merajuk, saya rindu, saya kena pujuk. Betul?
Dia : Betul. Awak kena pujuk.
Aku : Tak boleh. Awak tak boleh merajuk. Saya tak beri awak merajuk.
Dia : Habis tu apa yang boleh?
Aku : Minta benda lain, jangan nak merajuk. Susah saya nanti.


Dan perbualan berlangsung dengan agenda mahu merajuk tidak muncul lagi. Banyak benda yang dibualkan dan ajaibnya, sudah dua hari aku tidak menikmati dadah sintetik yang aku rengguk setiap pagi. Adakah disebabkan aku sudah menikmati dadah yang lebih berharga dan bermakna dalam hidup? Aku sendiri kurang pasti, tapi macam biasa, aku lebih suka untuk teruskan hidup macam biasa dan menikmati sesuatu yang aku hargai dan aku dihargai di dalamnya.

http://data.whicdn.com/images/20586894/big-ben-bracelet-gorgeous-i-love-londen-Favim.com-257518_large.jpg
[Sumber gambar]

Ada orang kata tulisan aku sudah lebih jadi manusia daripada dulunya. Seperti ciptaan beku yang tidak berperasaan. Tahukah kamu bahawa sukar menjadi pelakon atas dunia bila tiada bantuan sesiapa di belakang jika kita terlupa kepada cerita sendiri yang kita cipta? 

Nota Kaki :
Pagi ini sesuatu berlaku dan aku buka mata kepada realiti hidup yang selama ini aku enggan mahu percaya dan terima. Ya, manusia yang kita anggap kawan, yang kita anggap manusia yang mulia, yang kita hormat sepenuh jiwa dan anggap seperti keluarga selalunya akan jadi pemusnah senyuman yang kita tidaka akan dapat jangka. Mereka yang kita kenal sejak sekian lama itulah yang membunuh kita semula.

Zara : Bila aku buka hati dan cerita aku pada manusia lain, kesakitan aku salurkan di tempat yang betul, harapan aku cuma satu - agar hati aku tidak menjadi tempat yang subur dengan kemarahan dan dendam sebab itu tempat yang paling disukai oleh syaitan dan iblis menabur baja dan benih celaka. (Shafaza Zara, 24 Januari 2012)


Monday, January 23, 2012

Dari 4 Detik Ke 7 Detik.




Rasa nak tempeleng diri sendiri bila masuk bilik dari dapur dan nampak dua panggilan tidak berjawab. Dua panggilan dengan 0306 dan 0301, mana boleh aku nak telefon semula. Nampak sangat ada orang mencuba sebanyak dua kali - mungkin dengan harapan aku jawab di awal pagi, sebelum dia masuk tidur beradu selepas penat berjalan. 

Nampak pesanan di Mukabuku.
Keinginan untuk tempeleng diri sendiri meningkat dua kali ganda. Laju aku membalas tapi tiada jawapan. Laju tangan berlari ke Twitter, jika ada teguran. Hampa. Mungkin disebabkan kebodohan dan kealpaan diri sendiri yang suka tinggalkan telefon genggam dalam bilik, memang tidak dapat dengar suara yang dirindui. Bebal sungguh rasa.

Bawa telefon ke dapur.
Biarkan di tepi dengan harapan ada orang akan berusaha untuk telefon kembali. Nampak lampu biru-hijau berkelipan. Aplikasi "WhatsApp" menyala. Ah, dia muncul di situ akhirnya. Bibir menguntum senyuman. Dapur ditinggalkan sementara. Berlari ke bilik, lihat di Twitter, dia juga muncul di situ, menegur kembali aku yang ribut bertanya adakah dia yang membuat panggilan tidak berjawab tersebut.

Aneh.
Jarak jauh, tapi hati aku tenang bila tahu dia selamat di sana. Dengan keluarga, mungkin itu lebih baik daripada aku tidak dengar langsung khabar berita. Dari empat denting ke belakang, aku harus menambah lagi tiga denting. Tujuh denting ke belakang, berderap lebih jauh.

[Sumber gambar]

Semoga selamat di sana.
Tiga minggu sehingga masing-masing dapat lihat wajah semula?
Walaupun dipisahkan oleh kepingan kaca dan jarak jauh yang kita sudah malas kira.

Nota Kaki :
Cuti seminggu tetapi jadual padat dengan entah apa-apa. Cari ruang untuk diri sendiri tetapi masih tidak berjumpa.

Zara : Sukakan seseorang bukan bermaksud kena bersama setiap masa. Berikan dia ruang dalam hidup dia. (Shafaza Zara, 21 Januari 2012)

Thursday, January 19, 2012

Awak, Dia Pemusnah Senyuman Awak.




Awak.
Susah rupanya mahu gembira.
Susah rupanya mahu bahagia.
Susah rupanya mahu nikmati rasa suka.
Dia yang buat awak tersenyum pada mula.
Tapi dia pemusnahnya juga.

Awak.
Betapa awak cinta.
Betapa awak suka.
Betapa awak sayang sepenuh jiwa.
Betapa awak hanya mahukan dia.
Tapi dia yang bikin onar akhirnya.
Dia pemusnah senyuman di muka.

Awak.
Dalam hati awak ada dia.
Dalam hati awak mahu hidup bersama.
Dalam hati awak dambakan kebahagiaan berdua.
Dalam hati awak wujud kisah cerita dua jiwa.
Dalam hati awak hidup taman berbunga.
Dalam hati awak mekar senyuman gembira.
Siapa tahu sudah musnah begitu sahaja.
Oleh dia, perampas senyuman yang dia bina.

http://farm6.staticflickr.com/5279/5907091460_cf82f1dc52.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Mulanya awak mahu sembunyikan segala cerita.
Mulanya awak mahu simpan segala kisah jiwa.
Mulanya awak mahu tanam sahaja agar tiada siapa mampu teka.
Tapi awak luahkan juga derita.
Awak tidak mampu tahan duka.
Awak tidak boleh simpan dan pendam luka.
Awak memilih untuk hambur semua.
Kepada mereka yang awak percaya.
Tapi bukan pada si dia.

Awak.
Dia buatkan awak tertekan.
Perasaan awak jadi bahan mainan.
Jiwa awak jadi bahan ujian.
Dia pakai dan gunakan.
Setiap masa menghisap segala kemanisan.
Agar awak mati kekontangan.
Hilang jiwa dan menghadapi kematian.
Keseorangan.
Penuh penderitaan.

Awak.
Dia selalu kata perlukan awak sentiasa.
Tapi perlakuan dia tidak selari butir bicara.
Dalam diam, awak sering tertanya.
Apa yang dia mahu sebenarnya.
Apakah yang berlaku ini cinta.
Ataupun gurauan semata.
Awak cuma sekadar teman di kala bosan sahaja.
Anehnya, bila bosan pun dia cari kawan lama.
Bukan awak yang dia mengaku suka.
Bukan awak yang dia kata tidak boleh hilang dari hidup dia.

http://farm3.staticflickr.com/2371/5767122878_bf295e6d04.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Betapa awak hidup dalam tekanan menanggung derita.
Di mata semua orang, awak gembira.
Di mata semua orang, awak pasung senyuman ceria.
Di mata semua orang, awak berikan gambaran hidup bahagia.
Di mata semua orang, awak menaikkan taraf dia.
Walaupun hakikatnya, awak yang menanggung kesakitan jiwa.
Menyeka air mata yang mengalir akibat perbuatan dia.
Yang sekejap baik, lama pula membawa celaka.

Awak.
Dia suruh awak bersedia.
Kononnya untuk menghadapi apa sahaja.
Awak sendiri kabur dengan tujuannya.
Apa mahu dibukakan segala rahsia.
Yang tersimpan kejap dan tidak pernah terbuka.
Dia mendesak dengan kata ia bakal membuat awak ceria.
Tapi apa yang awak hadapi adalah sebaliknya.
Di mana dia ketika awak memerlukan kehadiran dia?
Di mana dia ketika manusia lain menghentam awak begitu sahaja?
Di mana dia ketika orang sibuk mencari awak dan bertanya?
Awak hadapi segalanya bersendirian cuma.
Hanya awak yang hadam segala derita.
Hanya awak yang menahan empangan air mata.
Bukan dia yang awak cinta.

Awak.
Permainan dia sentiasa sama.
Bukan awak tidak pernah menjadi mangsa.
Tapi awak lembutkan hati dan terima segala.
Dengan harapan tidak berulang lagi peristiwa lama.
Dengan doa agar dia sudah berubah kepada yang lebih baik hendaknya.
Tapi malangnya, apa yang awak hajatkan belum terlaksana.
Dia masih belum puas buat awak rasa berduka.
Dia belum puas hapuskan senyuman gembira.
Entah sampai bila awak mahu tegarkan jiwa.

http://farm6.staticflickr.com/5226/5741743590_2d23c19342.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Seseorang yang cukup rapat dengan awak sudah memberikan amaran.
Supaya awak tidak lagi lakukan kesilapan.
Semoga awak tenang menghadapi segala ujian.
Sejak awak mula tunjukkan kematangan.
Sejak awak tidak lagi menunjukkan tanda penderitaan.
Sejak awak bagaikan hidup dalam kegembiraan.
Tapi awak, sampai bila awak mampu bertahan?
Sampai bila awak mampu teruskan?
Sampai bila awak mahu hidup dalam lakonan?

Awak.
Dia pemusnah senyuman.
Sejarah sudah membuktikan.
Dia pernah merenggut senyuman awak penuh keganasan.
Dia pernah memusnahkan senyuman penuh kebahagiaan.
Dia pernah memutuskan sebuah hubungan.
Dan tidak mustahil untuk dia ulangi perbuatan.
Sebab dia tidak pernah tunjuk sebarang tanda perubahan.
Untuk menuju kebaikan.

Awak.
Masih mahu teruskan lakonan?
Masih mahu hidup dalam penderitaan?
Masih mahu paksa diri ukir senyuman?
Semuanya terpulang pada tuan punya badan.
Segala nasihat sudah dicurahkan.
Sudah tiba masa untuk buat keputusan.

Nota Kaki :
Orang sibuk nak cari hadiah kahwin (lagi). Hujung minggu ni musim mengawan tiba. Kalau aku kahwin, hadiah impian = mesin kopi atau espresso :p

Zara : Menyayangi orang sepenuh jiwa atau sepenuh hati kadangkala memerlukan pengorbanan yang bukan sedikit. Adakah kau sudah bersedia untuk mencanai perasaan sendiri supaya kebal? (Shafaza Zara, 19 Januari 2012)

Tuesday, January 17, 2012

#03 : Ini Cerita Seorang Perempuan



Sejak kebelakangan ini, ada sahaja soalan pelik yang diterima. Jujurnya memang selalu, walaupun benda itu aku sudah nyatakan dengan jelas di dalam blog. Tetapi aku harus akui, bukan semua orang baca apa aku tulis. Lagipun, aku bukan deretan penulis blog yang punya pembaca yang ramai ataupun peminat tegar. Ini kan Zara, manusia beku yang suka sembunyikan rasa tanpa mahu sesiapa baca.

Aneh.
Dalam aku sembunyikan, ada juga yang nakal meneka. Dengan deretan soalan yang aku dapat dari "Formspring". Kelakar juga sebenarnya bagaimana semua itu berlaku. Adakah aku sudah menulis dengan sedikit telus hingga mengakibatkan benda sebegini jadi bacaan orang. Aku sendiri kurang pasti. Lagi pula, benda peribadi aku bukanlah sesuatu yang menarik untuk dikongsi dengan orang, aku rasa. Bukan tidak pernah aku menulis benda sedemikian, ia jadi bahan kutukan pula. Tapi, apalah sangat mulut (dan tangan) manusia kan? Mereka memang tidak akan pernah mahu berhenti.

Jadi, aku buka sedikit ruang untuk menulis buat diri. Lepaskan apa yang aku tanggung dengan berbual dengan kawan baik yang memahami. Mengingatkan aku kembali apa yang aku mungkin terlupa dalam hidup ini. Benda bukan mudah - mencari sahabat sejati. Orang yang tidak akan mengangguk kepala sahaja pada kau, tetapi akan menolong terajang kepala tersebut jika ada kesalahan. Dan aku, ada sahabat sedemikian rupa. Bukanlah dia pijak kepala aku, tapi secara metaforanya, dia manusia yang boleh baca aku dalam keadaan yang aku sendiri tidak tahu bagaimana. Untuk itu, aku sangat berterima kasih pada dia. Orang yang aku sudah anggap seperti keluarga.

http://farm3.staticflickr.com/2496/5797491379_d95cd351a1.jpg
[Sumber Gambar]

Kebelakangan ini mungkin emosi sedikit kurang stabil. Disebabkan oleh kekangan masa dan juga kerja aku rasa, maka tumpuan aku menulis kurang. Tidak termasuk dengan hubungan jarak jauh yang aku ada. Alhamdulillah, bila dengar nasihat sahabat aku, aku kembali ke satu peringkat di mana, aku susun semula apa yang aku mahukan dalam hidup. Ambil beberapa langkah ke belakang, tetapi tidak berhenti. Dan itu memang gaya kami saling menasihati. Melihat ke belakang bukan bermaksud kalah atau mundur, tapi lihat semula apa yang telah dilalui serta belajar sesuatu daripadanya. Baiklah, itu tentang sahabat-sampai-mati aku.

Dan semalam, aku berbual dengan si dia kesayangan aku. Berbual tentang banyak perkara. Sesuatu yang unik aku rasa bagi kami adalah kebolehan kami berbual tentang perkara yang mungkin tidak sama dengan orang lain. Pastinya tiada tajuk spesifik memandangkan, aku dan dia datang dari dua dunia berbeza. Seorang sudah memasuki alam pekerjaan dan seorang lagi masih belajar. Tetapi, itu bukan satu masalah. Er, mungkin sedikit masalah bagi aku bila musim peperiksaan ataupun menghantar tugasan tiba. Kurang komunikasi dan kadangkala aku tidak dapat mengawal diri. Tetapi memandangkan aku juga kadangkala sibuk, itu sesuatu yang aku boleh memaafkan diri sendiri. Hello, aku pun manusia juga.

Dia sendiri ketawa dengan pelbagai soalan yang aku terima. Kata dia, orang kenal aku, tapi orang tidak kenal dia. Jadi, soalan itu semua aku yang perlu jawab, bukan dia. Mungkinlah disebabkan aku menggunakan laman sosial secara meluas, dan dia kurang - lebih kepada permainan SC2 dia sahaja. Heh. Tapi, ada benarnya. Kalau mengikut kata sahabat baik aku sendiri, tanggungjawab sosial aku lebih berat, daripada apa yang orang lain mungkin lihat. Jadi, menulis tentang apa sahaja tentang diri aku, atau benda lain - tanggungjawab sosial aku masih lagi berat.

http://farm8.staticflickr.com/7004/6710839929_e3cef1fc12.jpg
[Sumber gambar] - Kami dan ini sekeping sahaja yang aku ada.

Jadi, bagaimana dengan pertemuan budak berdua di atas ini?
Terima kasih secara jujurnya dengan seorang yang agak dikenali di alam maya ini - daripada blog penulis itu sebenarnya, aku mula berkawan dengan dia. Dia merupakan kenalan kepada penulis tersebut. Persahabatan bermula dengan dia mengirim gambar yang aku suka dari koleksi dia. Perbualan hanya berlangsung di Twitter. Mulanya di susur masa, tapi mungkin sebab dia kurang selesa, kami berpindah ke bahagian pesanan. Tiada apa yang dibualkan sangat pada mulanya. Cuma setiap hari ada sahaja benda yang diperkatakan - dari sekadar bertanya khabar hinggalah apa yang dibuat di sekolah, universiti dan benda berkaitan dengan teknologi. Mungkin disebabkan dia adalah seseorang yang berkaitan dengan teknologi dan juga gajet, maka, isi perbualan itu kebanyakannya berkisar tentang itu. 

Hampir setahun berkawan - komunikasi menggunakan Twitter DM ataupun mel elektronik semata. Tiada telefon, pesanan ringkas dan sebagainya. Hanya dua benda itu sahaja, dan dalam proses berkawan itu juga sebenarnya, banyak benda aku belajar dan dia banyak berkongsi maklumat dengan aku. Bahkan, aku mula kenal laman sesawang teknologi seperti Gizmodo dan sebagainya. Ya, ketika aku mula menukar telefon biasa kepada telefon pintar, membeli kereta sendiri - dia sudah ada dengan aku. Ucapan ulang tahun kami pada tarikh yang sama, walaupun berlainan tahun hanya dia hantar menggunakan Twitter ketika itu. Ah, pada aku ketika itu, seorang teman yang baik muncul dan kebetulan dia seperti seorang kembar.

Ada banyak peristiwa yang berlaku dalam masa yang singkat - banyak benda yang aku belajar tentang hidup dan Alhamdulillah, aku tidak keseorangan. Tatkala menghadapi masalah, aku ada sahabat yang cukup istimewa - dan sentiasa menyokong aku. Walaupun sahabat itu mungkin tidak pernah bercakap terus dengan aku tentang ini, aku dapat rasakan bagaimana dia sentiasa ada tatkala aku memerlukan.

Ada satu ketika, aku tidak terikat dengan si dia lagi dan saat itu aku mula teruskan hidup seperti biasa. Kesakitan aku tanam dan aku lebih tertumpu pada kerjaya aku, lebih daripada seharusnya. Kesihatan, kegembiraan, semuanya aku humban demi mengejar apa aku mahukan dalam kerjaya aku. Yang aku tahu, kerjaya membuatkan aku lupa semua masalah peribadi dan aku boleh lebih fokus. Tetapi, aku mungkin lupa, ujian itu datang untuk menguji aku sebagai manusia. Aku dan si dia masih berhubungan sesekali sekala sebab pada aku, dia tetap seorang rakan baik yang aku tidak akan lupa.

http://farm3.staticflickr.com/2212/5701510561_c9a847f117.jpg
[Sumber gambar] - Ini bukan kami tentunya.

Tanpa ada ikatan atau hubungan yang wujud - hanya sekadar istilah kawan baik, pertemuan kali pertama diatur. Si dia singgah ke rumah untuk mengambil sesuatu, bersama dengan adik perempuannya. Kebetulan mereka dalam perjalanan ke sekolah adik mereka di dalam salah satu daerah di Johor. Jadi, itu kali pertama bertemu di alam nyata, tanpa ada halangan kepingan kaca dan melihat pergerakan video di Skype semata. Pertemuan singkat dan sekadar berbual endah tidak endah sahaja. Aku lebih banyak berbual dengan adik perempuan dia sahaja. Dan aku rasa, tidak sampai satu jam pun mereka di rumah aku. Kebetulan bulan puasa. Berikan hadiah ulang tahun kelahiran dia dan satu hidangan sebagai bekalan. Pencuci mulut.

Seperti juga kali pertama bersama, aku sendiri tidak tahu bagaiman hubungan kali kedua kali bermula. Tiba-tiba sahaja kami kembali bersama, seperti suatu ketika yang kami pernah lalui - hubungan lebih daripada sekadar sepasang kawan baik. Hubungan yang ada rasa cinta. Pertemuan kali kedua lebih aneh sebenarnya. Tidak sampai lima belas minit, itulah di luar rumah aku - di tepi jalan, berhadapan dengan rumah jiran aku. Ibu si dia ada bersama, puas aku mengajak masuk tetapi mereka menolak akibat kesuntukan masa, baru pulang menghantar adik ketiga ke sekolah asrama. Berbual dengan ibu dia dalam masa lebih kurang sepuluh minit - dan dengan dia tidak banyak bercakap pun sebenarnya, dia sekadar hulurkan hadiah ulang tahun kelahiran buat aku. Dan itu pertemuan kali terakhir sebenarnya sebelum dia berangkat pulang ke tempat dia belajar. 

Sepatutnya ada satu lagi pertemuan, tetapi keadaan tidak mengizinkan termasuk kekangan masa. Jadi, dia membuat panggilan telefon kepada Abah dan berbual bersama. Apa isi perbualan antara dua lelaki tersebut, hanya mereka yang lebih tahu sebenarnya. Cukuplah untuk menyatakan yang aku gembira bila keluarga aku tahu dengan siapa aku berkawan. Sekurang-kurangnya, apa yang aku lakukan dalam pengetahuan mereka. Jadi, sejak kali terakhir bertemu pada awal September itu, aku mungkin (dan doakan sahaja), akan ada pertemuan lagi pada bulan Julai yang akan datang. Dan sehingga saat aku menulis ini, semuanya dalam keadaan baik-baik dan kami masih lagi dalam proses belajar tentang satu sama lain, kerana setiap hari pasti ada benda baru kan?

http://farm6.staticflickr.com/5148/5701509399_59f77e2fc6.jpg
[Sumber gambar]

“But let there be spaces in your togetherness and let the winds of the heavens dance between you. Love one another but make not a bond of love: let it rather be a moving sea between the shores of your souls.” - Kahlil Gibran


Nota Kaki :
Dijemput untuk berkongsi pandangan dalam satu majlis bersama pelajar pada awal bulan Februari di salah satu pusat pengajian tinggi. Alhamdulillah.

Zara : Sesetengah orang akan membuatkan kamu kuat dengan menyakiti dan meninggalkan kamu. Sesetengah daripada mereka mungkin akan menyebabkan kamu lebih baik dengan mencintai dan menyayangi serta kekal bersama kamu. (Shafaza Zara Syed Yusof, 17 Januari 2012)

Sunday, January 15, 2012

#01 : Kehendak Sendiri, Keluarga Atau Masyarakat?




Terlampau mahu menjaga hati orang, aku kadangkala terlupa yang aku masih perlu menjaga hati sendiri. Takut orang lain terluka dengan tindakan aku, aku balut kesakitan, kemarahan sendiri dalam diam. Aku biarkan manusia teruskan dengan kisah mereka, ukir terus luka pada jiwa aku walaupun ternyata, aku semakin lama semakin dihambat kesakitan yang bukan sedikit. Menahan perasaan sendirian mungkin buatkan aku lebih tabah dari selalunya, tapi aku sendiri tidak tahu sampai bila aku boleh bertahan. Doa sahaja aku boleh bertahan sehingga ke akhirnya.

Lantang sendirian.
Manusia yang beku. Perasaan aku mungkin hanya sesetengah daripada mereka yang mengenali dengan rapat atau memerhati dalam diam sahaja boleh baca. Keras sungguh mungkin hingga aku takut untuk biarkan ia terbuka dengan sendiri pada yang menghampiri. Takut dilukai dan melukai dengan tindakan manusia yang aku percayai mungkin. Tapi itu yang aku belajar dari dulu hingga kini. Biar aku tanggung sendiri asalkan manusia di sekeliling aku puas hati. Lakonan atas dunia dan senyuman itu lebih bermakna buat diri.

http://farm4.staticflickr.com/3231/5865271152_0424d19f0b.jpg
[Sumber gambar]

Itu sedikit sahaja tentang aku.
Dan kebelakangan ini, soalan-soalan yang singgah kepada aku banyak berkisar tentang kehendak diri, keluarga, masyarakat ataupun berkaitan dengan cinta mereka. Aku sekadar tersenyum. Setiap daripada kita ada hak dalam hidup sendiri. Mohon kau jangan lupa perkara itu, kerana kita yang menentukan sama ada kita mahu gunakan hak itu ataupun tidak. Terpulang pada diri masing-masing, bukannya  ada orang yang akan tolong kita sentiasa (dalam soal ini, pastinya Yang Maha Esa sentiasa mendengarkan kita) - dan kita adalah tuan punya diri, kita yang boleh tentukan kemahuan sendiri.

"Saya belajar ikut kemahuan keluarga saya. Saya tak dapat pilih apa yang saya nak. Terpaksa belajar buatkan saya cuma belajar nak puaskan hati mereka, padahal impian saya sendiri saya tak dapat"

Tahukah kau dalam hidup ini, kadangkala kita kena lepaskan apa kita mahu atau suka demi menggembirakan hati orang lain? Tapi, kadangkala, dalam kita buat begitu, kita boleh manipulasi perkara tersebut dengan jadikan ia menggembirakan kita juga. Persoalannya, bolehkah? Ya, itu soalan yang perlu ditanya pada diri sendiri. Dari masamnya limau, tidak mustahil untuk kita jadikan minuman yang manis bukan?

Mengikut pengalaman sendiri (heh!), aku belajar mengikut apa yang keluarga aku mahukan. Mungkin ada satu peringkat di mana Abah pernah beri aku peluang untuk memilih - transisi dari Tingkatan Tiga ke Tingkatan Empat, dan aku buat pilihan sendiri, mengikut impian aku yang sedikit tidak terlaksana. Itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan, walaupun aku tahu ada hasil yang baik juga. Matrikulasi, Mak yang susunkan pilihan untuk aku. Universiti - kursus yang dipilih pun mengikut pilihan Mak. Ya, ada orang kata aku terlalu mengikut kehendak keluarga. Alhasilnya, dalam aku memberontak dalam diam, aku dapat buktikan sesetengah orang mungkin silap. Pilihan aku di universiti mungkin mengikut Mak, tapi Mak berikan aku kelonggaran pilih benda yang aku suka asalkan aku masih dalam bidang pilihan dia - pendidikan. Jadi, aku pilih Kimia. Benda yang aku suka sejak sekolah. Jadi, dalam situasi itu, dua-dua pihak menang. Mak menang untuk aku pilih pendidikan, aku menang dalam benda yang aku nak - Kimia.

Jadi, adakah impian mereka menjadi impian aku?
Alhamdulillah. Menjadi apa yang mereka mahukan. Dalam diam sebenarnya, aku bersyukur aku mengikut pilihan keluarga. Aku tamat belajar pada bulan lima, aku mulakan kerjaya dalam bulan sepuluh - berbanding ada rakan-rakan yang masih mencari tapak dalam hidup mereka. Aku tak kata pilihan mereka salah, ataupun itu mungkin sebab terlampau mengikut kehendak hati masing-masing, tapi aku percaya, setiap daripada kita sudah ada rezeki yang telah ditakdirkan. Benar bukan?

http://farm3.staticflickr.com/2250/5790210508_1514625728.jpg
[Sumber gambar]

Kalau seorang perempuan tu dah ada teman lelaki. Dia sayang sangat dengan teman lelaki dia tu. Tapi teman lelaki dia selalu abaikan dia, abaikan dia berhari-hari, berminggu walaupun dia tetap tunggu dan cari teman lelaki dia. Teman dia buat tak layan. Sekali ada orang lain datang, nak kenalkan dia dengan seseorang yang berkenan dengan dia. Untuk dijadikan isteri. Apa yang perempuan tu patut buat? (dari kes di laman mukabuku DSZ)


Jadi bagaimana bila keadaan begini terjadi?
Kehendak diri untuk berada dalam situasi di atas kan?
Apa yang sepatutnya dibuat dalam menangani perkara sedemikian?

Ada beberapa pandangan yang aku terima daripada pembaca, kebanyakannya membawa kepada jawapan yang sama - tinggalkan sahaja teman lelaki sedia ada memandangkan dia mengabaikan perempuan tersebut dan terima sahaja lelaki baru yang mungkin lebih menyayangi, malahan menyukai dalam diam. Dan itu, mewakili suara masyarakat secara umumnya. Kehendak masyarakat yang memandang perkara tersebut dalam keadaan yang agak zalim atau kejam, walaupun hakikatnya masih dalam proses bercinta dan masyarakat memandang isu tersebut untuk jangka masa yang panjang, suatu ketika pada masa akan datang.  Aku ada berkongsi pandangan peribadi aku juga.

[#1] : Perempuan tu dah tengok. Lelaki yang kawan dia nak kenalkan serba serbi elok. Dia tak bandingkan lelaki tu dengan teman lelaki dia sebab pada dia tak adil kalau bandingkan. Dia tetap sayang teman lelaki dia, tapi hati dia tak tahu boleh bertahan sampai bila dengan perangai teman lelaki dia. Ada satu tahap, dia fikir dia patut pergi saja pada lelaki yang baru sebab teman lelaki dia cuma cari dia bila perlu/bosan sahaja.

[#2] : Sebab itulah perempuan tu tahan je diri. Teman lelaki dia buat apa je, dia tak kisah. As long as teman lelaki dia takde perempuan lain sebab dia boleh terima semua benda kecuali tu. Bukan teman lelaki dia tak pernah buat hal dengan perempuan lain, tapi dia dah lupakan benda tu semua. Bila teman lelaki dia datang balik, cakap dah berubah, mahukan dia je, dia terima teman lelaki dia balik sebab dia sayang. Tapi bila asyik tahan sabar, dia sebenarnya dah tak boleh kawal diri. Dia rasa dia jahat sangat kalau dia buka peluang pada lelaki lain.

[#3] : Bila perempuan tu tanya kenapa teman lelaki dia buat camtu, that teman lelaki jawab - "Saje, suka-suka". Perempuan tu sentap jugalah, tapi dia ketawa je. Sebab dia tak nak marah/melenting pada teman lelaki dia. Teman lelaki dia tak layan dia macam teman wanita, macam kawan biasa je kot? Sebab teman lelaki dia kata tak nak manjakan. Takut teman wanita dia tak boleh survive kalau dia takde. Tapi dengan orang lain, boleh je teman lelaki dia layan. Teman wanita dia pelik. Bila tanya dah tak nak dia lagi ke, that teman lelaki kata nak lagi. =.="

Pastinya, jawapan aku juga mewakili salah satu daripada kehendak masyarakat (dan juga teman tentunya). Aku berfikir dengan meletakkan diri kalau berada dalam situasi sedemikian dan bagaimana dengan pengakhiran suatu cerita. Apakah akan ada kebahagiaan yang mampu menjelma dengan kesakitan yang tidak dapat dibayangkan untuk ditanggung oleh sebuah jiwa?

http://farm3.staticflickr.com/2732/5773254089_c890f0236c.jpg
[Sumber gambar]

Tidak salah mahu mempertahankan kemahuan diri sendiri, impian sendiri - tetapi dalam masa yang sama, janganlah sehingga melukakan hati keluarga. Kalau kau tahu apa yang kau mahukan, sangat jelas dengan kehendak sendiri, bincanglah dengan keluarga. Secara logik akal, manusia akan mendengar benda yang rasional dan punya alasan yang kukuh. Sifat degil sekalipun, biasanya akan luntur kalau diberitahu dengan cara baik dan berhemah serta berhikmah. Tetapi kita perlu jelas bahawa semua manusia tidak sama. Walau bagaimana kita berikan sesuatu yang penting kepada mereka, tapi kalau mereka tidak tahu menghargai, apa yang kita korbankan, beri dan cuba untuk puaskan hati, hanya akan dipandang sepi.

Baiklah.
Itu sahaja buat kali ini. Aku akan tulis lagi dengan berikan situasi yang diajukan kepada aku. Mungkin boleh membantu sesama kita sendiri. Siapa tahu kan?

Nota Kaki :
Kepenatan melunaskan urusan keluarga. Ketepikan soal kerjaya demi memastikan tidak ada pihak yang terluka. Pengorbanan itu kadangkala perlu demi memastikan senyuman manusia yang kita sayang tidak akan menghilang.

Zara : Hebatnya manusia yang tak mampu memaafkan manusia lain sedangkan Allah pun mampu mengampunkan hambaNya. Siapalah kita nak melawan Allah kan? Tapi terpulang. Kalau saya, saya akan memilih untuk memaafkan walaupun keadaan tidak akan kembali pulih seperti dahulu. (Shafaza Zara, 15 Januari 2012)

Thursday, January 12, 2012

Awak, Dia Sudah Penat Mencari.




Awak.
Dia sudah penat mencari.
Kelibat awak yang sering muncul dalam mimpi.
Dalam diam, dia menahan sunyi.
Ajar diri supaya jangan rasa sepi.

Awak.
Dia sudah penat mencari.
Awak yang dia tidak akan temui.
Walaupun dia ajar diri supaya terus menanti.
Gerangan manusia yang dia sendiri tidak kenali.

Awak.
Dia sudah penat mencari.
Kalaupun awak wujud, dia tidak mahu bergerak lagi.
Sengaja dia mahu duduk diamkan diri.
Supaya awak yang datang ke sisi.

http://30.media.tumblr.com/tumblr_la3xciU6Nl1qbpwzeo1_500.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Mungkin awak pernah muncul dalam hidup dia.
Mungkin dia terlepas dari jatuh cinta.
Kalaupun awak melalui, dia harap awak akan menyapa.
Supaya dia kenal bahawa awaklah orangnya.

Awak.
Mungkin sebenarnya awak adalah orang yang sentiasa di sisi.
Dia masih tidak sedar akan isi hati.
Bahawa awak yang sedang menanti.
Agar dia tahu yang dia tidak pernah sendiri.
Cuma awak masih enggan berkongsi.
Perasaan hati, luahan rasa peribadi.
Awak masih mahu memerhati.

Awak.
Kalaulah awak yang sedang di samping dia sekarang ini.
Awak berikan masalah supaya dia berdikari.
Supaya dia kononnya belajar erti sunyi.
Bila awak tiada di sisi.
Awak mahu dia belajar singkir rasa sepi.
Supaya bila awak tiada, dia tidak akan menangisi.
Tapi bagaimana kalau kekosongan awak mula diisi?
Dengan orang lain yang awak tidak sangkai?

http://24.media.tumblr.com/tumblr_ledsir3Fhe1qe6d3qo1_500.jpg
[Sumber gambar]

Awak.
Kalau awak datang, datanglah bila dia sudah bersedia.
Untuk mulakan segalanya.
Bukan termenung begitu sahaja.

Nota Kaki :
Tercucuk pin dalam jari masa menulis ini. Berdarah papan kekunci.

Zara : Kalaupun saya rindu, awak tidak akan pernah tahu kan?

Tuesday, January 10, 2012

Mungkin Bukan Dia Orangnya.




Teman.
Mungkin pada satu ketika kau menikmati hidup yang sangat membahagiakan.
Hidup yang sangat menggembirakan.
Segalanyanya berjalan mengikut aturan.
Segalanya elok terletak dalam acuan.
Tapi kau terlupa, hidup ini ada banyak cabaran.
Ada banyak dugaan.
Kegembiraan itu hanya pinjaman.
Yang dalam sekelip mata boleh ditarik tanpa boleh melawan.
Apa yang kita panggil sebagai ketentuan.
Suatu ketetapan.

Teman.
Di saat kau menyulam bahagia, muncul pula manusia ketiga.
Sibuk masuk mahu menyelit di antara kau dan dia.
Kau cuma tolak, tapi dia berusaha juga.
Pada kau aneh, syaitan mana menjelma jadi manusia?
Memporak peranda satu hubungan yang gembira.
Memusnahkan senyuman bahagia.
Dan mula mengundang derita.
Singgah dalam sebuah cerita.

http://farm6.staticflickr.com/5305/5885766281_2b6fa0435b.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Dalam kau mempertahankan hubungan, kau terpaksa mengalah.
Berundur bukan kerana kau kalah.
Tapi kau penat dan terasa lelah.
Hidup kau bertambah payah.
Hubungan menjadi lebih susah.
Kerana hanya kau yang berusaha, tapi si dia buat tidak endah.
Kau lepaskan sahaja, berikan ruang manusia lain mencelah.
Bukan kau tidak cinta, tapi kau lebih rela melepaskan dari terus resah.
Mengenangkan orang yang kau suka sudah berubah.

Teman.
Kau senyum dan berlalu pergi.
Walaupun hanya kau sendiri tahu sakitnya hati.
Orang yang kau sayang mengkhianati.
Bukan sedikit masa sudah kau baziri.
Tapi manusia sentiasa iri.
Apa yang orang lain ada, itu juga yang mahu mereka curi.
Kau relakan sahaja, sebab kau tahu kau tidak akan rugi.

Teman.
Kau jalani hidup baru.
Hidup sendiri tanpa mahu diganggu.
Kau sudah penat menguruskan hidup yang haru biru.
Apatah lagi menyingkirkan perasaan pilu.
Lelah setiap malam menahan sendu.
Mengenangkan pengorbanan yang hilang manis madu.
Tersisa cuma kenangan sepahit hempedu.
Yang kau enggan pandang, dan terus berlalu.

http://farm6.staticflickr.com/5077/5833160727_ac5d3b479c.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Kau sudah mulakan hidup semula.
Kau sudah sibukkan diri dengan bekerja.
Kau sudah penuhkan semua ruang masa.
Kerana kau mahu lupakan dia.
Dan buang segala kisah lama.
Dan juga, kau sudah berpunya.
Dalam erti kata, lebih baik berbanding dia.
Walaupun mungkin dia yang pertama.

Teman.
Secara tiba-tiba dia muncul lagi.
Datang menagih kasih yang dia curangi.
Habis diungkit segala janji.
Walaupun dia yang mengkhianati.
Dia seperti lupa diri.
Pada dia, kau akan tetap menunggu di sisi.
Hanya menunggu saat untuk kembali.
Walaupun hakikatnya dia yang pernah menolak kau ke tepi.
Kau diam dan ketap gigi.
Manusia apa dia ini?

Teman.
Kau diam tanpa mahu buat keputusan.
Kau beritahu dia yang kau sudah ada pasangan.
Kau nyatakan pada dia kau sudah mengikat tali pertunangan.
Kau hulurkan juga kad undangan perkahwinan.
Tapi pada dia itu semuanya pembohongan.
Dia tetap mahu menegakkan perjanjian.
Yang sudah berkurun lama ditinggalkan.
Cintanya sudah berkubur tanpa nisan.
Akibat dia hidup dalam kecurangan.
Meremukkan hati kau yang menahan segala kesakitan.
Tapi dia seperti lupa apa yang dia pernah putuskan.

http://farm6.staticflickr.com/5268/5830218096_33f6db95e9.jpg
[Sumber gambar]

Teman.
Dia minta untuk berjumpa.
Walaupun enggan, kau turutkan juga.
Setelah lama terpisah, kau bertentang mata.
Tiada lagi getaran di jiwa.
Tiada lagi sinar harapan bercahaya.
Jiwa kau kosong tanpa sebarang rasa.
Walaupun di jarinya masih tersarung cincin milik berdua.
Di saat itu kau memutuskan, bukan dia orangnya.
Yang kau mahu hidup bersama membina keluarga.
Walaupun dia merayu bagaikan orang gila.
Kau sudah mampu berlalu sambil tersenyum mesra.
Bagaikan tidak berlaku apa-apa.

Nota Kaki :
Buat seorang teman, walaupun hidup ini kadangkala menyeksa dan menyesakkan, ketahuilah, kita mampu untuk berusaha keluar daripada kesusahan sedemikian.

Zara : Kesibukkan melanda hingga Dunia Sebelah Zara agak terabai buat beberapa ketika. Oh ya, pertandingan Dunia Sebelah Zara berlangsung sehingga 31 Januari 2012 ya? :) Tidak semestinya kau tulis puisi, penulisan biasa sudah cukup sebenarnya.


 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template