Saturday, March 31, 2012

Keputusan #01.


Dalam hidup ini, terlampau banyak benda yang perlu kita buat keputusan. Dari se-enteng (semudah) kita mahu bangun pagi atau tidak selepas jam penggera telefon berbunyi sehinggalah bagaimana kita mahu keadaan ranjang kita sewaktu merebahkan diri bila malam tiba nanti. Itu baru keputusan-keputusan kecil yang kita buat untuk kepuasaan kecil peribadi. Belum lagi kita buat keputusan besar yang kemungkinannya merubah seluruh benda dalam hidup kita suatu hari nanti. Sebagai contohnya, pekerjaan, pertunangan, perkahwinan dan lain-lain. Dan itu, cuma sebahagian.

Ada keputusan yang kau kena fikir banyak kali - dengan mengambil kira semua aspek, kesan positif dan negatifnya, serta apa yang menyebabkan kau mengambil keputusan sedemikian rupa. Pastinya bukan sesuatu yang mudah memandangkan, perkara sebegini kebiasaannya besar dan akan memberikan impak yang bukannya sedikit. Sementelahan pula, cagarannya adalah hidup kau sendiri. Kau renung, kau tenung dan kau amati semua benda dengan mengambil kira kebaikan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan jika bakal muncul. Dan kau sanggup duduk diam, demi kebaikan dan berusaha agar semuanya mengikut apa yang perlu selesaikan.

[Sumber gambar]

Dalam membuat keputusan, pastinya perlu disertakan dengan keberanian. Dan keberanian itu datang dengan keyakinan. Adakah kita mampu buat keputusan yang mampu mengubah landskap kehidupan kita dan yakin di hujung nanti pasti kejayaan akan menjelma? Sudah tentunya dengan doa, usaha, tawakal - penyerahan serta keyakinan kita yang tinggi, memungkinkan segalanya. Tetapi adakah kita bersedia jika ia bukan ditakdirkan untuk kita?

Dan aku, tiada jawapan untuk itu buat masa ini.
Sekurang-kurangnya.

Zara : Kita dilahirkan untuk jadi diri kita, bukan menjadi seorang yang sempurna. Kita ada kerana kita jadi diri kita, bukan kita mahu hidup di bawah bayangan orang lain selamanya. (Shafaza Zara, 31 Mac 2012)

Friday, March 30, 2012

Manis.


Cuaca bahang.
Sekejap panas, sekejap mendung, bikin orang meradang.
Ada yang berlari melangkah setiap penghadang.
Ada yang melompat melepasi tiang penghalang.
Ada yang melontar kuat sehingga terhentak tiang.
Tapi itu tidak menghalang orang bersorak menang.
Ataupun menangisi kekalahan dan kecewa bukan kepalang.

Disebalik keghairahan sukan yang walaupun sesetengah orang lihat setakat peringkat rendah - aku lihat ianya sebagai satu simbol penghargaan kepada mereka yang mencari bakat dan berusaha keras demi diri sendiri. Bukan mereka yang datang dengan sia-sia. Sepanjang beberapa hari ini, aku lihat ada air mata yang tumpah, ada yang mengeluh kecewa dan tidak kurang juga muka penuh senyuman apabila pingat kemenangan tersarung di leher mereka. Ini gelanggang mereka, dan aku cuma sebagai pengurus (yang tidak berbadan kurus) tetapi mahu setiap daripada mereka menikmati keindahan kenangan zaman remaja, zaman persekolahan yang tidak pernah aku nikmati dahulu.

Dan petang hari ketiga, sewaktu aku jaga khemah seorang diri sambil membaca buku, aku didatangi oleh seorang yang tinggi dan memakai nombor di dadanya. Dengan senyum manis, dia  hulurkan ini dan berlalu pergi meninggalkan bayang-bayang yang tidak setinggi dirinya. Aku buka dan aku ketawa seorang diri.

http://farm8.staticflickr.com/7108/7027976297_7b5875030f.jpg
[Flickr aku]

Mengenangkan ada budak aku yang berlari bersama penghantar nota ini (ya, kalau budak aku sendiri - ada yang makan kaki sebab berani beri begini) dan penghantar pesanan ini dari sekolah lain, aku hanya tersenyum sahaja bila nampak dia di kawasan pertukaran baton. Sekurang-kurangnya aku buat apa yang dia minta bukan?

Ah, budak-budak mahu dewasa.

Zara : Hidup ini kadangkala sangat kelakar. Di saat kita sangka kita miliki segalanya, rupa-rupanya, kita akan kehilangan semuanya.

Wednesday, March 28, 2012

Lupa.


Kita kena akui yang manusia mudah lupa. Lupa semua benda hatta cermin mata yang tersangkut di atas kepala pun boleh menggeledah satu rumah membawa ke kereta dan entah ceruk mana lagi di cari sebelum meraba atas kepala dan hey, cermin mata ditemui. Itulah manusia yang penuh dengan kelemahan, kesilapan. Alasan lupa juga sering digunapakai oleh anak-anak sekolah jika tertinggal buku, lupa menyiapkan kerja sekolah dan diamalkan sehingga ke alam pekerjaan. Segalanya terlupa. Segalanya bukan mereka, dan diserapkan dalam kehidupan dengan alasan paling enteng atas dunia - "Saya terlupa".

[Sumber gambar]

Malangnya, bila manusia terlupa terlampau banyak perkara, natijahnya memang berbaur celaka. Setiap kali terlupa, sering sahaja alpa (dan sengaja pula tu!), maka seharusnya manusia begini dihumban ke dalam satu lubang paling dalam dan ditimbuskan dengan tanah supaya mereka ambil masa duduk sejenak (mungkin, kalau tidak mati) - untuk memikirkan apa yang mereka telah lakukan di atas muka bumi. Ya, asyik sahaja terlupa sehingga menyakitkan manusia sekeliling, selayaknya mereka mati (ya, mungkin sekali lagi).

Dan lupa ini terlampau banyak kumpulannya. Sebagai contoh (beberapa sahaja) - ada yang lupa dia pasangan siapa, ada yang lupa siapa kekasih hatinya, ada yang lupa tanggungjawab pada keluarga dan sebagainya. Ah, benda yang rapat, yang intim pun boleh lupa, memang memualkan rasa bukan?

Lupa siapa pasangan hidup adalah paling menjengkelkan. Kita lihat ramai orang yang berlaku curang sana sini, menjual maruah ke hulur ke hilir tanpa menghiraukan pasangan yang setia menunggu di rumah. Padahal, belanja kahwin pun entah sudah lunas ataupun belum. Menghenjut sana sini, mencanang kononnya tidak bahagia, tapi bagaimana mahu bahagia kalau hanya sebelah pihak sahaja berusaha? Kegilaan apakah melihat benda yang tiada timbal balik, bagaikan neraca yang berat sebelah. Kesudahannya, pemberat menjadi beban pada pasangan yang setia, dia yang menanggung derita atas kecurangan kau yang sungguh celaka.

"Kenapa kau buat pasangan kau begitu?"
"Eh, aku ada pasangan eh? Aku lupa"

Ba Alif Ba Ya.

Ada pula yang lupa dengan siapa dia berpacaran. Nah, ini sering menggunakan alasan bahawa mereka belum punya ikatan yang sah, maka berpelesaran adalah tidak salah. Bagus manusia dalam golongan ini sebab mereka merasakan dunia adalah kepunyaan mereka dan pembohongan sudah jadi zikir wajib setiap kali mereka mengeluarkan bicara. Ditambah pula dengan manusia lain yang mereka jalinkan hubungan, sama sepadan, tiada malu tiada segan. Buat apa sahaja yang mereka suka, dan berharap agar kedua-dua hubungan mampu membuatkan mereka gembira.

Ya, kau bosan dengan kekasih gelap kau, kau kembali pada mereka yang menunggu dan memaafkan kau setiap kali. Kau benci dengan kekasih gelap kau yang banyak bunyi, kau tinggalkan si jalang itu dan kau kembali kepada yang masih telan dan hadam segala kesalahan kau ibarat dia hirup kopi setiap pagi. Dan kesalahan ini lebih mengasyikkan apabila kekasih gelap juga memainkan peranan bagi meneruskan kelangsungan drama dosa berpanjangan setiap kali.

"Awak lupa ke yang dia itu kekasih saya?"
"Tak, saya tahu, saya ingat"
"Sudahnya kenapa awak masih ganggu dia lagi?"
"Saya anggap dia kawan saya"
"Kawan apa kalau menggunakan bahasa manis begitu siap dengan aksi awak yang mengiurkan lagi?"
"Tepuk sebelah tangan tidak berbunyi. Tanyalah dia pengarang jantung hati"

Ba Alif Ba Ya.

Malangnya manusia begini kau temui setiap kali dalam hidup. Kalaupun bukan dalam hidup kau, pastinya dalam hidup orang lain, bahkan kita sering disuakan dengan cerita begini dalam peti bercahaya di rumah yang sering dihiasi berita penipuan janji manis manusia. Ya, kalau mahu lihat realiti paling penuh penipuan, buka sahaja ketika waktu perdana - pada pendapat aku. Ha ha ha.

Dan itulah. Manusia begini selalu lupa satu perkara atas dunia. Kesedapan membuat dosa itu memang akan buat kita semua ketagih. Sekali buat, terlepas, kita akan buat lagi. Sehingga berulangkali dan sekalipun ditangkap, mereka akan mengulangi kerana sudah lali. Konsep karma itu wujud wahai manusia - dalam semua agama (walaupun kita tidak panggil karma). Hukuman Yang Maha Berkuasa itu ada. Kalau hari ini kau buat baik pada manusia, mungkin balasan itu kau akan dapat baik - jika tidak di dunia, mungkin di akhirat sana. Sama juga kalau kau buat jahat, mungkin natijahnya tidak akan pada kau, tetapi pada manusia sekeliling kau, yang menanggung akibat atas perbuatan kau yang menyakitkan.

Seperti yang Puan Mulia pernah nyatakan kepada aku, dia berkongsi apa yang dikatakan oleh Profesor Hamka :

Buat baik, dibalas baik, itu perkara biasa.
Buat baik, dibalas buruk, itu perkara biasa.
Buat buruk, dibalas buruk, itu perkara biasa.
Buat buruk, dibalas baik, itu adalah perkara luar biasa.
Maka, berjaga-jaga.

Itu sahaja.

Zara : Kehidupan kita pastinya akan berbeza dan berlainan jika kita berhenti membenarkan manusia lain melarutkan dan meracuni kita dengan ayat dan kata-kata mereka yang bertintakan iblis dan bersadurkan syaitan. (Shafaza Zara, 28 Mac 2012)

Monday, March 26, 2012

[Ulasan] : KOPI - Antologi Cerpen Fixi


Kali pertama dalam sejarah sejak aku berjinak-jinak dengan Fixi pada bulan enam tahun lepas, aku terpaksa (ya, kau baca terpaksa di situ) - baca ulasan orang lain terlebih dahulu berbanding aku yang menulis tentang bahan bacaan keluaran FIXI. Ironinya, kali ini adalah buku yang aku tersenarai sebagai salah seorang daripada penulisnya. Janggal pula rasa bila mahu bicarakan tentang naskah comel yang tersusun indah dalam beg aku ini.

Sebab aku salah seorang penulisnya?
Entahlah.

Mungkin sebab aku sebaris dengan manusia-manusia lain yang lebih hebat gaya bahasa, penceritaan dan juga pengalaman - di mana aku manusia yang cetek dengan segalanya serta katik. Ya, katik. Huh!

[Flickr sendiri] : Bak kata Syaihan - ada Burberry, ada LV, baca KOPI, minum teh lemon, tapi naik bas. Kemain "hipster". Ceh!

Bagi seorang penagih tegar kopi (minuman) dan adrenalin aku lebih banyak terangsang dengan kehadiran kafein, secara jujurnya tawaran menulis KOPI aku anggap satu peluang untuk aku meneroka sisi gelap tulisan aku. Tulisan aku yang sedikit berbeza daripada blog walaupun boleh dikatakan bukannya bagus sangat berbanding orang lain. Peluang tidak akan datang banyak kali dan kesempatan yang aku ada, aku gunakan sebaiknya. Aku garap Barista Cinta dalam keadaan otak aku tidak mencerna apa-apa kecuali mendengar lagu Korea - kumpulan 2 AM. Lagu yang langsung tidak ada kena mengena dengan tulisan aku.

Jadi, adakah aku akan mengulas semua cerpen dalam KOPI? Aku cuba dan memandangkan ini ulasan seorang amatur, gadis yang terlampau gilakan buku, aku boleh katakan tulisan aku berdasarkan perasaan peribadi. Tidaklah bagus mana, tetapi, biarlah. Aku punya suka.

1. Kopi 3 Rasa - Shaz Johar.
Seperti dalam 2 novel terdahulu beliau - Kougar dan Tabu, Shaz Johar mengangkat feminisme dalam tulisannya. Sesuatu yang aku sendiri akui, sebagai perempuan, aku sendiri gagal untuk melihat perempuan dengan cara sedemikian rupa. Ya, macamlah kau perempuan kan Zara? Dan, aku perlu akui yang aku bertuah, disebabkan aku menghadiri majlis pelancaran KOPI, aku dapat menonton filem pendek adaptasi dari cerpen ini. Tengok filem pendeknya, aku boleh memahami dengan jelas apa yang disampaikan oleh pengarah dan juga Shaz sendiri dalam cerpennya. Jadi, bila baca cerpennya, terus mengesahkan apa yang bermain dalam minda.

Kopi 3 Rasa sendiri ada sindiran halus yang tepat apabila kita dihidangkan dengan pecahan cerita berbeza daripada watak berbeza tetapi kebanyakannya adalah realiti kehidupan yang kita sudah lihat lama. Tumpukan pada watak Datin, Sarah dan Datuk serta kesengsaraan (dalam diam) yang dihadapi oleh pembantu rumah yang setia.

Selingan : Kalau ada yang berkesempatan menonton filem pendek tersebut, sila tonton dengan penuh penghayatan sebab bila anda baca cerpen ini, yang akan terbayang dalam minda anda adalah watak Datuk lakonan Tok Rimau (yang sentiasa jadi sumber inspirasi aku menulis dalam bahasa Melayu). Dan Shaz Johar adalah comel.

2. Bersaksi Kopi - Dayang Noor
Ceritanya manis dan pahit juga. Manis mengenangkan pertemuan dua jiwa, mengenangkan ayat Tiramisu = Till Then I Miss You" dan pahit bila mengenangkan dalam realiti, aku mengenali manusia seperti Armin. Kelakuan yang sungguh sama, hingga membuatkan aku hampir sahaja mengangkat telefon dan bertanyakan manusia itu sebelum aku teringat yang dia benci kopi. Sebuah cerita yang mudah difahami (buat yang merungut tentang novel Jerat beliau) dan mengakulah, setiap daripada kita mungkin pernah melalui benda yang sama.

Dayang Noor sangat peramah dan suka ketawa. Senyuman yang sangat manis.

3. Kopi Kola - Nadia Khan.
Tulisan salah seorang #idebewe kesayangan aku. Cerita paling logik bila kita membicarakan tentang percintaan dua darjat. Usahlah nak mengharap akan ada cerita macam jiwang semacam atau entah apa lagi senarai cerita jika dua kasta berbeza mahu bersama, pastinya kesudahannya bakal berbunga sahaja. Ini manis, ini ada pahit dan buat kau tersenyum di akhirnya. Adakah percintaan dua jiwa akan menyatu?

Nedd adalah comel. Suka tengok muka Nedd ketawa dan senyum. Oh ya, Nadia Khan adalah penulis Kelabu

4. Kopi, Donut dan Bayang Gadis Berambut Hijau - Adib Zaini.
Dari penulis Zombijaya yang terkenal dengan imaginasi tinggi, dalam cerpen ini kau akan dibawa menghalusi perasaan seorang lelaki yang kehilangan (putus cinta) dengan seorang gadis berambut hijau. Tapi, bukan tentang itu sahaja yang mahu dinyatakan. Perlakuan apabila putus cinta itu yang mencorakkan cerita ini. Di akhir cerpen ini, kau (mungkin) akan kata - "La, dia nak cakap pasal ni ke?"

5. Cinta Kopi - Gina Yap Lai Yoong.
Konflik seorang lelaki yang kehilangan pekerjaan dan menghabiskan masanya di sebuah kedai kopi Bintang Duit (gelaran aku untuk Starbucks). Perkenalan dia dengan seorang barista menyebabkan dia melihat kehidupan dari sudut berbeza walaupun pada akhirnya, kebenaran yang terbongkar adalah sesuatu yang kita tidak dapat jangka.

Gina merupakan penulis Ngeri - dan ya, Gina adalah peramah juga. Nampak dia hadir dengan sekumpulan yang mungkin ahli keluarga (lupa nak ditanya). Bila agaknya aku akan dapat merasai benda sedemikian rupa?

6. Luwak dan Kretek - Ridhwan Saidi.
Tipulah aku kata kalau aku tak "bias" bila baca karya Ridhwan Saidi. Aku baca Cekik, aku baca Amerika dan ya, aku sudah memiliki Mautopia. Jadi, dalam Kopi, cerpen ini antara yang aku tunggu. Permulaan cerpen ini kita dapat mengesan sindiran (aku lihat ia sebagai usikan nakal) penulis kepada soalan yang bermain pada pembaca dan peminat Fixi. Novel Cekik memang kita tidak akan dapat di pasaran terbuka - walaupun ada sahaja yang membolosi rak buku aku rasa.

Kita dibawa kepada pergolakan seorang wanita yang merupakan isteri kedua, bermisai, berselendang ala Yuna (kenapa masa baca bahagian ini aku terbayangkan seseorang?) yang mencari novel biru (pada pemahaman aku - Cekik) sehingga ke pesta buku sehingga berjumpa seorang lelaki yang berkepala musang  (Ridhwan Saidi adalah jelmaan musang?) yang membawa dia menikmati kopi luwak (kopi tahi musang) untuk mengetahui rahsia boleh menulis dengan bagus.

Ridhwan Saidi seorang yang suka senyum walaupun aku lihat dia ada ketegasan yang disembunyikan di sebalik wajah dia. Mungkinkah sebab aku bayangkan dia adalah orang yang berbeza, tapi, itu bayangan aku sahaja. Heh.

7. Kopi Percik - Amal Hamsan.
Gadis yang buat aku terpegun bila baca Heroin, berjaya buat benda yang sama bila aku baca Kopi Percik. Sementelahan pula, aku dah menonton filem pendek adaptasi cerpen ini, percik yang aku sangka lain, membawa kepada pengertian lain. Di akhir cerita ini, aku tertanya-tanya, apakah aku bakal punya pengakhiran yang sama kerana aku manusia yang sangat gilakan kopi. Ketagih adalah lebih tepat.


Amal, aok buat koi bangga sungguh dengan hasil tulisan aok. Sungguh ni.

8. Kau Kopikoku - Dheepan Pranthaman.
Cerita ini manis. Memang manis bila mengenangkan kau mungkin pernah melalui perkara serupa ketika membesar. Tapi harus kita ingat, semanis mana kopi, di hujungnya ada kepahitan yang boleh buatkan kita tersedak. Dan ya, Dheepan berjaya dalam ini.

9. Kopi Jantan Kaw - Nik Adam Ahmad.
Ini hebat, dengan gambar sahaja dia mampu buat kalian duduk dan renung cerita yang boleh ditafsirkan dengan pelbagai gaya.

10. Cethu - Nabila Najwa.
Gaya bahasa dia mengingatkan aku pada Ophan Bunjos (Ghost Writer) yang merupakan salah seorang penulis Kontrol Histeria dan juga BIN. Bahasa Indonesia - sementelahan latar belakang pertama adalah di satu kawasan di tanah seberang itu. Aku tidak dapat mengulas lanjut tentang ini, tetapi aku boleh katakan rentetan dan susunan cerpen dia - tentang kehidupan seorang doktor itu membuatkan kita angguk, diam, baca, angguk dan tekun lagi.

11. Barista Cinta - Shafaza Zara Syed Yusof
Takkan aku nak mengulas cerpen aku sendiri? Tapi aku ada dapatkan ulasan khusus dari salah seorang penulis yang aku anggap rakan maya yang dikasihi walaupun sehingga kini aku tidak dapat temui - Luc Abdullah. Berikut adalah ulasan dia tanpa aku ada membetulkan mana-mana perkataan.

 Khusus punya, mula-mula aku baca, aku ingat ia tentang kisah cinta barista muda, somehow ia tentang affan, dan barista itu menegur
.
2. aku baca 2x untuk faham seluruhnya cerita, sebab ia dipecahkan kepada beberapa part, jadi aku biasanya akan baca 2x. kali pertama macam tak sangkut paut, sebab aku terlepas pandang scene nama affan pada tag nama, kali kedua aku faham what it is all about.

3. Cara garapan memang lain dari apa yang biasa orang guna kan, buat aku terdiam sejenak dan kembali ke perenggan pertama untuk baca semula. Mungkin aku nampak perenggan awal macam monolog, dan kemudian beralih pada scene cerita, buat aku fikir, what's the next scene?

4. bila sampai ke bahagian akhir, perkataan 'eureka' muncul dalam kepala, sebab ia mencantum kesemua bahagian dalam bahagian akhir tu untuk aku tangkap what is 'Barista Cinta' all about, ustaz muda dan air mani, somehow aku ter-ketawa troll membaca hujungnya.

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/560650_10151412898170543_885375542_23328430_1453278595_n.jpg
[Terima kasih atas gambar ini Najwa Halmi - Aku kononnya nampak pro walaupun hakikatnya? Hah!]
Dan ramai orang kata Barista Cinta adalah lucah. 
Heh!
12. Hari Inditih - Asyraf Bakti.
Ketahuilah, selain Kontrol Histeria yang memang bacaan kegemaran sebab aku boleh bayangkan setiap aksara dan perlakuannya, Hari Inditih aku boleh bayangkan sedemikian rupa juga. Sampai aku pusing banyak kali buku ini dan juga Google untuk mengetahui sama ada, dia salah seorang daripada barisan KH ataupun tidak. Ini gila, tetapi siapa dapat sangkal bahawa minum kopi juga boleh gila?

13. Malam, Di Meja Kau Terlentok - Hafiz Hamzah.
Aku kurang memahami cerita ini (maaf!) tapi selepas pembacaan 2 kali, aku dapat simpulkan, ia lebih kepada monolog dan juga penceritaan yang mendalam dengan diselitkan nama-nama kopi yang aku dengan pantas mencari (dasar penggila kopi!). Aku mengesan sindiran juga di dalam ini, entah kalau aku salah pula tafsirkan sedemikian rupa.

14. Ritual - Luc Abdullah.
Penulis Sarkasis - Kontrol Histeria - .44 : Poin Empat Puloh Empat - dan dua lagi zine terbaru, Luc Abdullah yang misteri membawa sesuatu yang segar dalam penulisan walaupun ada yang menyatakan ianya jijik, lucah dan entah apa lagi. Aku baca cerpen Luc ini dan tersedak. Ini realiti kehidupan yang kita tidak boleh tutup mata. Ia berlaku secara berleluasa dan ya, kau boleh tak ambil peduli tapi kau perlu akui, ia sudah jadi hampir biasa dalam masyarakat kita.

Bila aku bertanya pada Luc kenapa aku tak rasa jijik dengan cerita ini (walaupun ada yang kata sedemikian rupa), jawapan Luc pada aku mudah sahaja.


"Mungkin kau dah biasa baca KH, yang Ritual hanya secebis kecil aura KH. ._.' tapi bagi yang tak baca KH, itu memang "Eww" bagi diorang."

15. Tangan Berulat - Fadli Al-Akiti.
Ini tulisan seorang yang hebat, dan aku jujurnya tidak hebat untuk mengulas karya seorang yang berkhidmat di Dewan Sastera. Tapi ya, berlaku adil dan jujur semestinya. Permulaan cerita, kita seperti akan terfikir tentang adakah manusia yang digambarkan telah ditanam hidup-hidup atau apa yang berlaku sebenarnya sebelum kita sedar bahawa kita sedang membaca tentang zombi (mayat hidup). Aku lihat watak Jenny sebagai seorang isteri yang tidak dapat menerima hakikat kehilangan suaminya - walaupun dia sendiri mempunyai pengakhiran menyayat hati. Tulisan ini menarik dan kalau kau biasa menonton Walking Dead (hatta Zombi Kampung Pisang) - pasti kau dapat membayangkan tulisan ini.

Adakah salah satu daripada fragmen Zombijaya yang hilang? Hanya Fadli yang ada jawapan tersebut. Dan tentang majlis pelancaran KOPI - apa kata kalian baca catatan beliau tentang itu? Sesuatu yang enak untuk dibaca sementelahan pula, tulisan dia adalah bahasa yang mengiurkan (mengiurkan di sini adalah bahasa yang sedap dibaca dan bukan merepek rempit gila)

16. Venti - Redza Minhat.

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/545741_10151413329955543_885375542_23330068_428449102_n.jpg
[Sebenarnya aku nak letak gambar lain, tapi biarlah aku letak gambar ini]

Redza Minhat adalah seperti Zahiril Adzim pada aku. Seorang yang mempunyai bakat besar tetapi tidak dikenali kecuali kau pengikut teater dan dia juga berlakon filem sebenarnya. Dia comel (kacak juga) tetapi ini bukan apa yang aku nak cerita.

Dalam Venti, Redza Minhat mengecam (menerusi watak di dalam cerpen tersebut) tentang mengapa perlu bayar harga yang mahal untuk segelas kopi dan beberapa perkara lain yang kita kadangkala jadi 'plastik' tanpa kita sedari. Kononnya tidak pandang jenama, tapi kita tetap dapatkan sesuatu itu, sanggup ikat perut dan sebagainya, atau beli sahaja barangan celup sebagai contohnya. Redza juga menulis tentang sesetengah masyarakat (sesetengah) yang memandang pelik pada percintaan berlainan bangsa dengan membangkitkan ayat-ayat yang aku rasa kalau diangkat ke teater ringkas pastinya menarik.

Adegan yang aku dapat bayangkan sambil ketawa (dan ngilu) adalah apabila Indra menyumbat kasut but steel toenya menusuk anus Hashim. Ngeri tapi aku terasa gelak mengenangkan ada momen yang bahagia terjadi pada Hashim yang kesakitan itu.

17. Kopi Julia - Faizal Sulaiman.
Siapa yang mengenali tulisan Faizal Sulaiman dan terbiasa dengan cerita yang dihidangkan buat pembaca di blog peribadi ataupun Aksara Keraian suatu ketika dahulu, pastinya amat mengetahui bahawa gaya imaginasi yang tinggi FS adalah menyenangkan dan susah untuk kita ketahui tanpa penghayatan yang mendalam. Bak kata FS sendiri, Julia itu bukan Bella, itu adalah saka.

Selingan : Selepas kenal FS lebih 2 tahun (semenjak berkarya di dalam Aksar Keraian) - minggu lepas adalah kali pertama aku bertemu dengan dia.

18. Secangkir Kopi Bersama Dia - Syaihan Syafiq
Untuk orang yang baca tegak sahaja tanpa pengulangan dan berhenti untuk memahami pertindihan adegan demi adegan dalam cerpen ini, kau mungkin akan keliru dengan apa yang cuba disampaikan oleh Syaihan dalam cerpen ini. Aku mungkin beruntung kerana telah menonton filem pendek tentang cerpen ini yang membantu pemahaman dan juga Syaihan sendiri yang membongkar (wah gitu!) cerita yang terselindung di sebalik cerpen ini.

Dan, ini kisah tentang seorang lelaki bergelar suami yang perlu buat pilihan dalam hidup. Dia mungkin telah tersasar dan natijahnya sungguh besar apabila dia mahu berpatah balik.

Selingan : Syaihan ini comel dan mudah mesra. Penulis berbakat dan hebat di pentas teater ini sudah muncul dengan novel bertajuk BISIK terbitan Fixi juga. Aku belum mulakan bacaan, nanti kalau dah habis baca, aku buat ulasan, macam biasa.

https://fbcdn-sphotos-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/558236_10151410829320543_885375542_23317729_352279442_n.jpg
[Muka Syaihan ini mengingatkan aku pada seorang teman lama. Budak NIT, kalau awak terbaca catatan ini, awak tahu awak siapa]

19. Kopi Mimpi - Raja Faisal
Apa akan jadi kalau kopi dah pupus di muka bumi?
Itu persoalan yang dibawa oleh Raja Faisal atau PapaKing kepada pembacanya. Muncul dengan karya bertajuk Invasi terbitan Fixi juga, aku merasakan yang kebolehan imaginasi dengan makhluk asing, haiwan mutan dan sebagainya memang kelebihan yang dimiliki oleh dia.

Er, aku sendiri tak boleh bayangkan kalau kopi sudah tiada atas muka bumi dan aku perlu bayar harga paling mahal untuk menikmati hidangan yang merangsang aku setiap hari itu.

*******

Dan, itu sahaja penulisan aku kali ini. Berjela sudah aku rasa.

Zara : Gagal buat kali pertama bila menghadap pengamal perubatan bertauliah. Aku perlu akui yang badan aku sudah tidak mampu mengikut kata hati lagi.

 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template