Wednesday, August 29, 2012

Terima Kasih Atas Segalanya.


Jatuh bangun.
Senyuman dia tidak tergugat sedikit pun.

Susah payah.
Dia belum jumpa sebab untuk goyah.

Dia mungkin lemah.
Bukan buat segalanya kerana Allah.
Dalam pemikiran dia hanya untuk Mak dan Abah.
Oleh itu, dia tidak akan mengalah.

Yang dia kejar dalam dunia ini ada dua.
Satu bahagia.
Dua redha ibu dan bapa.
Itu sahaja.

Terima kasih atas segala kurnia Maha Pencipta.
Dia masih hidup dalam sebuah nyawa.
Hitung pendeknya sebuah nyawa.
Sebelum hari perhitungan tiba.

[Sumber gambar]

Buat Abah dan Mak yang disayangi.
Terima kasih atas jasa dan limpahan budi.

Buat keluarga yang sentiasa di sisi.
Walaupun buruknya aku, terima kasih masih menemani.

Buat sahabat baik sampai mati.
Doa kau lebih daripada cukup untuk aku berani.

Buat rakan-rakan yang mengirim pesanan dari pagi.
Kalian antara sebab perjuangan aku tidak akan terhenti.

Buat KOPI.
Pastikan tahun depan saya tidak bujang lagi.

Hihihi.

Friday, August 24, 2012

Hijau.


Tahun ni macam-macam warna yang aku jumpa.
Macam-macam jenis kain yang aku rasa.
Tapi dalam keluarga tiada yang serupa.
Dan itu buat aku sedikit gembira.

Terima kasih pada rakan sekerja.
Walaupun kita semua ada kain yang serupa.
Hanya dibezakan dengan warna sahaja.
Yang penting baju raya aku tidak sama.
Lompat terbang ke udara.

Semua orang gigih beraya.
Tapi sebab sakit aku tahan gila.
Kalau tidak, ketagih bagaikan apa.
Ah, penangan dadah beli sendiri sahaja.
Aneh-aneh sahaja raya.

http://farm8.staticflickr.com/7110/7847967950_82084fd47e.jpg
[Flickr aku]

Ada orang tanya, adakah ini raya terakhir sebagai bujang?
Aku hanya ketawa riang.
Malangnya, itu bukan jawapan senang.

Nota Kaki : Baju raya hijau awak cantik. Lagi cantik kalau baju itu dipadankan dengan baju hijau yang awak suka itu.

Thursday, August 23, 2012

Raya : Kalaulah Diberi Pilihan.


Raya kali ini aku sakit. Pakej lengkap demam, selsema dan batuk memang merengsakan. Aku tinggi dengan suhu dan kandungan dadah dalam badan juga. Beraya dalam keadaan begini memang buatkan aku separa nanar - dan bikin otak aku serabut juga. Sesak dan sakit. Benci.

Dengan segala macam agenda - dan juga benda yang aku tak berapa gemar tapi perlu hadam atas tanggungjawab sosial (bak kata adik lelaki aku) - maka, kita turutkan sahaja walau hakikatnya hati membengkak dan mulut banyak mengomel belakang di dalam Adam Awraq. Ah, kalau sahaja Adam Awraq punya telinga, pasti sudah tuli mendengarkan segala macam umpatan, kejian dan apa sahaja dosa kecil didalamnya. Nah, hanya untuk melepaskan perasaan. Bukan mahu mengata (ah, sama sahaja nilai dosanya).

http://farm6.staticflickr.com/5094/5424947078_7808240e3b.jpg
[Sumber gambar]

Kalau raya adalah satu pilihan, aku mungkin hanya akan berada di surau atau masjid di pagi raya dan menjelang matahari terpacak di kepala - aku sudah kembali bekerja. Cuma itulah, aku cuma insan yang mengikuti arus dan belum pernah ada kekuatan untuk menongkahnya.

Cuma satu yang aku suka tahun ini. Baju raya warna hijau.

Saturday, August 18, 2012

#29 Ramadhan : Ini Mungkin Terakhir.


Bagi sesetengah orang, ini sudah menjadi Ramadhan terakhir buat mereka. Bukan permintaan mereka - tapi sudah tertulis dalam qada' dan qadar Allah. Dan bagi sesetengah daripada kita, mungkin kita semua menyedari bahawa entah bila akan bertemu dengan Ramadhan kembali. Mungkin ini yang terakhir - kita sendiri tidak tahu. Buat yang sudah ghairah menanti lebaran, Syawal menjelang - kita doakan agar mereka juga menyedari hakikat ini dalam keterujaan beraya nanti.

Apa pun, selamat menyambut Syawal buat semua pembaca Dunia Sebelah Zara. Maaf jika sepanjang menulis ada membuatkan kalian terasa atau ada sahaja yang kurang elok pada daya pembacaan. Maaflah, saya hanya penulis BMR (Bahasa Melayu Rendah). Tidak mampu untuk petah dan tangkas menulis dengan kudrat yang tidak seberapa.

Alhamdulillah. Orang yang ditunggu sejak sekian lama oleh semua orang sudah pulang akhirnya. Terima kasih Ya Allah kerana mendengar permintaan kami semua yang lemah ini. Moga pulangnya memberikan cahaya dan kegembiraan buat mereka yang menunggu penuh sabar.

[Sumber gambar]

Ini Ramadhan pertama.
Ini mungkin juga Syawal pertama.
InsyaALLAH.

Friday, August 17, 2012

Sakit Sendirian.


Sedikit demi sedikit nikmat baik itu ditarik pergi. Dia abaikan sahaja pada mulanya. Bergerak harus sahaja laju. Apa sahaja yang mendatangkan kesakitan dia abaikan supaya tidak ada benda yang terlepas daripada genggaman dia. Barangkali sebab dia mengejar masa - maka apa sahaja yang melengahkan dia - dia tempuh sahaja. Enggan mahu berhenti berehat, kerana pada dia - rehat membuang setiap detik nyawa yang berharga. Yang dia tahu, dia kembali jadi manusia seperti sebelumnya. Kerja tidak tentu masa, tidak tidur semalaman demi mengejar cita-cita. 

Senyuman dia sudah semakin palsu. Anehnya, dia berlakon tanpa dia mahu. Dia bekerja bagaikan hanya dia sahaja yang mahu hidup atas dunia. Kesihatan mula terjejas lagi dan dia masih tidak mahu berehat. Dua tiga hari sekali dia akan tumbang tidak sedarkan diri atas ranjang - terjaga hanya apabila pagi menjelang dan dia melenjan bekerja lagi. Bukannya wang ringgit yang dia kejar. Gajinya begitu juga - tetapi ada matlamat yang dia mahu capai di luar sedar dan batas kemampuan dia. Barangkali hanya dengan kerja keras dan mendera diri - dia mampu lupakan segala kesakitan dan kepayahan yang dihadapi. Dia tiada air mata. Dia masih mahu terus kuat kerja.

Tapi dia lupa satu perkara. Betapa dia keraskan diri, kentalkan jiwa - badannya tetap akan menderhaka. Derhaka apabila sampai satu tahap nyawa semakin rapuh dan kekuatan dia dimamah dari dalam - dia tersentak bahawa dia sedang hadap dunia ini seorang diri. Dia sedang hadapi kesakitan sendirian lagi. Terlentang jatuh sakit dan tanpa sedar air mata menitis di pipi - dia sakit dan dia sedang tanggung sendirian lagi. Telefon genggam dalam tangan tidak berbunyi - kosong tanpa apa-apa, sama seperti jiwanya yang semakin mati. 

[Sumber gambar]

Dia tumbang lagi. Suhu badan meningkat tanpa dia sedari. Moga sahaja dia tidak perlu menipu untuk melarikan diri bagi sebotol air yang meneruskan oksigen berlari dalam badannya seperti hari-hari terdahulu melihatkan dia sebagai pelarian dari rumah sakit tanpa pengetahuan keluarga. Dia benci jarum itu ditusuk dan air mengalir masuk badan. Sudah tidak rela dijamah kesakitan tatkala semua orang lain sedang bergembira.

Ketap bibir.
Tahan air mata mengalir.
Dia biarkan imaginasi dia melayang tanpa tabir.

#28 Ramadhan : Tragedi.


Tragedi berulang lagi.
Tragedi terjadi lagi di pagi hari.
Tragedi walaupun bukan sama tapi masih tinggal kesan tragis ini.

Kalau dulu tahun lepas pada 10 Ramadhan.
Tahun ini pada 28 Ramadhan pula.

Bezanya dahulu tanpa setitik darah.
Hanya ada tulang yang patah.
Berkejar dilarikan kereta sakit tak cukup tanah.

Tahun ini jadi dirodok pisau sewaktu membelah.
Alhasilnya bersemburan darah.
Bergegas ke klinik tampung bendalir merah.

[Sumber gambar]
Ah, sama lagikah tahun ini lebaran seperti tahun sebelumnya?
Tiada kemeriahan - yang tinggal hanya sekadar apa sahaja.
Mungkin sekali lagi kami hanya perlu tahu redha.
Dan teruskan hidup sederhana.

Thursday, August 16, 2012

#27 Ramadhan : Belajar Buat Kopi Sedap.


Setiap hari belajar untuk buat kopi sedap. Proses yang diambil mungkin lebih lambat daripada orang lain. Tiada mesin khas - tiada kelas khas untuk itu semua. Tapi belajar dengan bersungguh-sungguh demi memastikan kopi yang bakal dinikmati nanti adalah kopi yang terbaik. Mungkin bukan untuk orang lain, tapi memadailah untuk diri sendiri. Kopi bukanlah minuman rasmi bagi sesetengah orang - bahkan boleh menyebabkan sakit kepala barangkali, tapi bagi manusia lain, kopi adalah penerus kelangsungan hidup mereka. 

Kopi O sedap rasanya. Suka minum yang jenis dikisar khas dan bukan yang sudah tersedia. Barangkali sebab nikmatnya berbeza. Barangkali juga menghirup setiap titisan yang ke rongga memberikan kesegaran sempurna - nikmat yang hanya penggemar sahaja yang kenal rasa. Jadi, Kopi O dan segala tulisan serta kepingan gambar yang bersusun memberikan kelainan pada minuman lain.

Frappucino mungkin sejuk. Tapi tidak beku seperti ais ketul yang tidak diusik. Sedikit demi sedikit Frappucino mula diletakkan bersama minuman panas macam Kopi O. Americano mungkin sesuai untuk Kopi O - sebab yang pastinya Kopi O tidak mahu label espresso. Dia tidak pekat begitu - bahkan kepahitan dan kemanisannya seimbang. Espresso mungkin lebih pahit tapi dalam sedap dan manisnya Frappucino - dia tetap mahu ditembak sedikit espresso. Mahu lebih dekat perasaan pada Kopi O.

"Mesin espresso tu nampak bagus"
"Awak teringin juga ke?"

"Awak kan suka kopi?"
"Memanglah suka. Saya memang nak belajar buat kopi"

"Jadi nak beli mesin tu?"
"Sedang fikir lagi. Harganya sangat berbaloi"

"Dah tu nak ke?"
"Memanglah nak. Awak nak ke?"

"Saya takdelah gila sangat kopi. Tapi ada tempat nak letak?"
"Saya takde tempat nak letak. Bukan ada rumah sendiri"

"Jadi, kita fokus cari mana nak letak mesin tu dulu ya?"
"Maksud awak, rumah?"

(hanya ada ketawa kecil dihujung)

Pentax K1000 and Coffee
[Sumber gambar]

Kopi O diletakkan di atas meja.
Ditunggu tangga hingga jam dua.
Dari panas meruap hingga sejuk kebas rasa.
Kelibatnya muncul dan Frappucino tarik nafas lega.
Kopi O direngguk ke tekak dan titisan akhir dicicip bahagia.

Kadangkala pahit.
Kadangkala manis.
Kadangkala panas.
Kadangkala sejuk.

Seimbang lebih baik.

Wednesday, August 15, 2012

#26 Ramadhan : Itu Sebab Manusia Berbeza.


Sejak kebelakangan ini, ada benda yang kurang menarik berlaku. Mungkin apabila kita ternampak sesuatu yang mencuit hati dengan cara orang membenci tetapi masih berlagak suci - kita hanya akan senyum dan ketawa bila manusia demikian semakin menjadi-jadi. Ah, hanya sekadar sebaris dua ayat gurauan dengan orang lain, terus dijaja dan dijadikan bahan untuk mengeji. Tidak mengapa - anggap sahaja ujian disebabkan oleh sebegini memang wujud sejak berzaman lagi.

Mungkin kadangkala mahu marah, mahu lepaskan apa yang terbuku dalam hati secara membabi buta tapi mengenangkan apa yang dipesan oleh sahabat-baik-sampai-mati-pijak-kepala pernah beritahu, tanggungjawab sosial itu menjadikan diri mengulum sahaja kepayahan dengan salakan dan tempikan anjing-anjing yang kehausan. Sepatutnya kena buka kasut dan ambilkan air (kalau kita tengok cerita teladan masa kecil dahulu) - tapi dalam sesetengah situasi, mungkin ada benarnya, membiarkan ia terus menyalak adalah lebih baik - sebab mungkin ia sedang gembira akan sesuatu yang bahagia ataupun terjumpa kelemahan mangsa - dan dia akan berhenti bila penat nanti (walaupun kalau tengok situasi dikebanyakan kawasan - bila ada anjing berhenti menyalak - ada anjing lain sebagai sekutu yang menyahut). Mungkin sama-sama kencing di tempat yang sama sebagai penanda kawasan.

Itu juga membawa mengenangkan kembali cerita yang ditonton suatu ketika dahulu. Juga mengenai anjing yang taat setia dan sangat memahami keadaan sekeliling. Bila ada benda yang ia tak suka - ia akan jauhkan diri tanpa ada apa-apa reaksi. Begitu juga kalau ia suka, ia hanya akan mengangkat telinga dan gembira sahaja. Berlainan dengan sekumpulan anjing lain yang sama - ia hanya hidup dengan apa menerima apa yang berlaku dalam hidupnya dengan gembira. Lupa apa tajuk cerita itu -_-" 

Apa pun, kembali kepada persoalan asal - itu sebab manusia berbeza. Dalam erti kata lain, untuk menyenangkan hati orang yang langsung tidak ada kaitan hidup mati dengan kita berbanding orang lain yang memberikan nilai sangat bermakna - aku percaya seperti yang dikatakan oleh kawan baik aku - pilih keutamaan kita. Sebab kita sendiri tahu keutamaan kita dan apa yang penting dalam suatu jalinan hubungan dengan masyarakat. Sebenarnya, ia bergantung pada keadaan juga kan? Kalau benda itu melibatkan pungutan derma ataupun kerja amal - kita patut tolong walaupun mungkin benda itu tiada kaitan dengan kita. Tapi dari segi kemanusiaannya, ya, kita perlu.

*******

[Sumber gambar] - Salah satu sebab kenapa aku nak mesin pembuat espresso (ada beza antara mesin pembuat kopi dengan espresso) daripada LOBO. Masih memikirkan tawaran lumayan tersebut.

Seperti yang dinyatakan dalam penulisan beliau, aku setuju bahawa setiap satu daripada kopi yang ada di dunia ini berbeza. Bergantung kepada jenis biji kopi, penyediaan dan sebagainya. Dan begitu juga dengan selera manusia. Tak ada yang sama. Ada yang suka kopi kosong semata. Ada yang suka pekat dan dari hasil yang pertama. Ada yang mahu dicampurkan susu, gula, karamel dan entah apa-apa lagi. Makanan dan minuman dalam seni yang tersendiri. Kopi salah satu daripadanya - pendapat peribadi aku tentunya.

Jadi, bagaimana mahu mendapatkan kopi yang sedap? Sudah tentu dengan belajar mengenai kopi lebih baik daripada sebelumnya. Bohonglah kalau Kopi O dan Frappucino sama rasa walaupun mungkin daripada biji kopi dan mesin yang sama. Kesedapan dua benda berbeza bakal memuaskan salah satu daripada dua tetapi bagaimana kalau kita gabungkan berdua?

Kopi O sedap ketika panas.
Frappucino enak ketika sejuk.

Tetapi.
Kebelakangan ini.
Misteri.

Anehnya Kopi O lebih sejuk dari Frappucino.
Mungkin itu yang menjadikan kesedapan ia tiada tara.

Tuesday, August 14, 2012

#25 Ramadhan : Adakah Itu Berjaya Melupakan?


Sekarang ini, ada sahaja status yang naik di Twitter akan diikuti dengan hujungnya, "...., adakah ini cinta?". Bila baca banyak kali benda yang sama, aku ketawa sebab status makan nasi sejuk beserta telur goreng juga diletakkan "adakah ini cinta?" - Itu mesti cinta diri sendiri dan perut barangkali. Internet adalah sesuatu yang menyeronokkan (dan menyakitkan) pada masa yang sama. Telan dan hadam, itu fakta yang semua orang perlu terima.

Itu yang membawa kepada "Bantah Seksyen 114A" yang tersebar luas di Internet sekarang. Tak kira apa yang kau lakukan, kau akan terdedah kepada risiko jika ada yang menggunakan identiti kau - dalam erti kata lain, kalau identiti kau diceroboh. Untuk penerangan lanjut, boleh lihat gambar dibawah atau rajinkan diri mencari pautan yang berkenaan.

http://stop114a.files.wordpress.com/2012/08/stop114a-malay1.png?w=620
[Sumber gambar]

*******

Disebabkan tulisan tentang SAILANG - ada yang sampai berdebat dengan aku di pesanan Mukabuku. Macam aku katakan, itu pendapat masing-masing. Mungkin tiada niat mahu menyailang tapi makhluk lagi satu yang curang - kau bukan di pihak yang salah. Dah orang tu yang berpaling tadah daripada pasangan dia (tanpa pengetahuan kau barangkali) - makanya kau bukan sailang. Lagi pula, kadangkala kau memang tiada niat sebagai perampas atau apa sahaja. Kehadiran kau bahkan dialukan. Macam beberapa orang kenalan yang menjadi bukan isteri pertama - kehadiran mereka dialukan dengan syarat dan keadaan yang mereka sendiri lebih tahu.

Titik.
Cukup tentang itu buat masa ini. Cuma yang penting, jaga diri jangan sailang hak orang. Sebab kita sendiri tidak suka hak kita diperlakukan sedemikian rupa. Betul kan? *senyum*

*******

Ada seorang pembaca bertanyakan aku soalan malam tadi. Dia bertanyakan apakah petunjuk dia sudah berjaya melupakan seseorang yang pernah dia cintakan sepenuh hati. Aku sebenarnya kurang pasti kalau kita berjaya melupakan sepenuhnya manusia yang kita pernah menaruh perasaan dan harapan disebabkan setiap orang adalah berbeza.

Ada kenangan kita dengan manusia berkenaan - tidak kira baik atau buruk dan aku percaya, kalau buruk - lagi lama orang ingat berbanding baik. Contohnya mudah sahaja : kalau hari ini kau dapat gula-gula daripada seorang rakan, apakah kau masih ingat lagi keadaan tersebut selepas beberapa tahun jika dibandingkan dengan kenangan kau terjatuh tangga dihadapan seluruh masyarakat sekolah akibat tangga licin?

Jadi, mari tanya beberapa soalan ini sebagai penanda aras - apakah kau sudah melupakan (sedikit barangkali) tentang seseorang yang pernah kau cintai itu ya?

[Sumber gambar]

1 - Nampak dia muncul di talian (baca : online) - tapi kau sudah tiada niat langsung mahu menegur dia.
Tiada niat, tiada keinginan, langsung tiada. Bukan mengekang atau menghalang diri yang meronta-ronta mahu lakukan.

2 - Segala bentuk SMS, BBM, WhatsApp, Viber, Twitter dan sebagainya tidak mendorong kau untuk membalasnya.
Seperti yang pertama, tiada langsung kau rasa nak balas. Bukan halang diri ataupun tiada kredit, lupa bayar bil ataupun langganan data Internet sudah limitasi.

3 - Dia datang jumpa dan hati kau langsung tiada rasa.
Bak kata Najwa Latif, budak yang nak ambil SPM itu - Kosong, kosong, kosong. Nada. Langsung tiada terdetik seperti saat kau bersama, hanya dengan emotikon senyum pun kau dah melonjak hingga terlekat di siling rumah. Eh.

4 - Apa sahaja yang dia cakap atau lakukan tidak beri kesan.
Ini bukan berpura-pura kuat, tabah atau apa sahaja. Ini memang bak kata orang, macam curah air ke daun keladi. Apa sahaja bekas pasangan kau lakukan pada kau - kau hidup lebih baik daripada sebelumnya. Kalau hidup macam biasa, itu ada terkesan sebenarnya tu. Heh!

5 - Dia tayang kekasih barunya dan kau boleh ketawa.
Sebab kau dah tayang kekasih baru kau juga? (angkat kening)

6 - Keluarga dia merayu kau, tapi hati kau langsung tak goyah.
Itu bukan petanda kau kurang ajar tapi sebenarnya, kau mahu mengajar dia bahawa - setiap manusia ada limitasi masing-masing dan bukannya boleh dianggap akan kekal di takuk lama sentiasa. Katak pun melalak duduk bawah tempurung - bak kata Malique dan Jamal Abdillah. Ya, lagu aku maafkan kamu tu.

7 - Dengar lagu sepanjang percintaan bersama dia ibarat dengar lagu biasa.
Masa bercinta kebanyakannya ada lagu yang dedikasikan khas untuk si dia kamu itu kan? Jadi setiap kali lagu itu keluar di radio terus macam - "Eh, lagu kita!" - padahal radio memang putarkan lagu itu. Siap berduet lagi kalau bersama. Tapi bila dah berpisah, lagu itu hanya ibarat angin lalu menyapu telinga yang fokus memandu. Begitulah konsepnya lebih kurang.

Jadi, itu sedikit sebanyak soalan yang boleh ditanyakan pada diri sendiri. Sila jawab mengikut turutan dengan tanyakan hati sendiri dan bukan ikut gerak hati yang kadangkala boleh bawa mati.

Monday, August 13, 2012

#24 Ramadhan : Jangan Usik Hak Orang - Sailang


Salam semua.
Minggu terakhir sebelum Ramadhan meninggalkan kita dan entah bila mahu bertemu lagi. Hujung minggu bila melalui jalan-jalan yang menjadi tumpuan umum yang membeli belah, rasa mahu hentak kepala di cermin kereta. Sesak sehingga jalan yang sepatutnya tidak apa-apa pada hari biasa, boleh buatkan terperangkap lebih setengah jam. Kegilaan apakah? Dan paling memalukan - sewaktu menemani Puan Mulia mencari samping si kecil semalam - aku hampir PITAM - melayang dalam kedai sebelum aku bergegas ke kereta - baring dan mengurut diri sendiri. Kali pertama jadi begini - ada ke nak pitam masa berbelanja? Tak serupa perempuan betul. -_-"

Bila kami membeli belah sekarang ini untuk hari raya, seperti tahun-tahun sudah dalam keadaan sederhana. Sekarang kalau keluar, hanya bertiga dengan si kecil itu. Ataupun cukuplah sekadar aku dan Puan Mulia. Kalau dulu, ambil kau - lapan orang sekaligus pergi beli pakaian. Sekarang semua budak-budak itu dah tinggalkan rumah - sambung belajar sana sini, maka nanti sahaja bila balik baru kita uruskan. Tidak ada yang perlu berlebihan, sekadar keperluan. Puan Mulia sendiri belum jumpa lagi baju kurung untuk dia. Ah, dia memang jenis sederhana. Kalau baju berbatu-bata, berkilauan meriah semua memang bukan selera dia. Ayat dia semalam memang tak boleh tahan :

"Ni apa pesen baju raya semua macam baju tunang dan kahwin ni?"
"Sekarang punya begini la kot?"

"Habis tu, kalau raya pun dah pakai lace dan batu-batu kilat ni, orang tunang pakai apa sekarang?"
"Nanti Along tunang, Along pakai baju kurung biasa. Corak-corak"

Terus kena jeling. Wah! Kemain gatal kau Zara sebut hal tunang. Ada duit ke? Takde kan? Duduk diam-diam. Ada calon ke yang nak masuk meminang? Kalau takde, duduk senyap-senyap di satu sudut kotak empat persegi warna biru. Berangan.

Sewaktu membeli belah, bila nampak keluarga lain yang mengheret anak ramai memilih pakaian dan keperluan raya - pastinya mengimbau kenangan sendiri yang melalui benda sedemikian. Panas cuaca, letih puasa dan sebagainya - dengan yang menangis, meraung, merajuk bagai - banyak drama. Macam semalam, ada budak kecil yang sentuh-sentuh kasut sebab nak pilih agaknya, Mak dia datang dan cubit tangan dia kata jangan sentuh barang orang. Pemutusnya, budak itu menangis dan hentak-hentak kaki di lantai. -_-"

Kata kuncinya adalah : Jangan sentuh barang orang.

[Sumber gambar]

*******

Barang orang, hak orang, kepunyaan orang : serasanya mempunyai pengertian yang hampir serupa. Sejak dari kecil, kita diajar oleh ibubapa dan orang dewasa lain untuk tidak mengusik atau menyentuh barang orang lain. Cuba sahaja ke rumah orang sewaktu beraya - pastinya ibubapa dalam kereta sudah mengingatkan supaya berkelakuan baik dan jangan merayau dan mencuit-cuit barang sesuka hati di rumah orang lain - hatta rumah datuk/nenek sendiri kan? Konsep itu sudah diamalkan dan diterapkan sejak kecil.

Malangnya, bila menginjak dewasa, sesetengah daripada kita terlupa dengan konsep tersebut dengan mengambil kira rasional kita sendiri yang kadangkala langsung tidak rasional. Dihijabkan pandangan atas dasar suka suatu benda itu - tidak kira barang, hatta manusia sekalipun - kalau kita suka, kita mahu dapatkan juga. Caranya : cantas laluan orang dan masuk bersaing dan malangnya bukan secara sihat. Dalam erti kata lain, sailang hak orang.

Mari kita tengok pendapat sesetengah orang tentang perkara ini :

01 - Kekasih orang : Ala, baru kekasih orang. Apa yang nak kecoh sangat. Bukan dah jadi hak milik rasmi lagi. Persaingan masih terbuka - siapa yang dapat dahulu, dia yang punyalah kan? Tak payah susah-susah nak fikir hak orang ke apa. Kalau hak tu maksudnya dah kahwin. Ni kalau setakat bercinta, hak apanya? Mana ada hak sebagai kekasih atas dunia ni?

Untunglah kalau semua kekasih orang kau boleh sebat buat sesuka hati kau sebab kau anggap dia bukan hak mutlak kekasih dia lagi. Habis nanti, kalau kau punya kekasih (setelah kau berjaya sailang contohnya) - bolehkah orang gunakan alasan yang sama untuk cantas kekasih kau pula? Bolehkan? Kata bukan hak sesiapa dan persaingan terbuka macam tender kantin pejabat - maka, semua orang ada hak nak bida kan? Konsep pembalasan balik itu ada. Jangan lupa.

02 - Tunang orang : Belum kahwin. Setakat tunang boleh putus. Alangkah kahwin pun boleh bercerai, inikan setakat tunangan orang. Belum tahu hubungan mereka stabil. Entah-entah sebab lama sangat bertunang, mereka dah bosan dan terpaksa sahaja meneruskan perkahwinan sebab tak mahu ada keluarga yang malu. Ya la, dah bertunang hebat dengan pelamin bagai - takkan nak putus tunang pula kan? Tapi, kalau tunang orang tu pun rela, apa salahnya menyelit dalam hubungan kan?

Main sedap je eh? Padahal dalam agama pun dah diingatkan jangan menganggu tunangan orang. Kalaupun dia itu kekasih lama kau yang sudah berjanji sehidup semati walaupun kubur berasingan - tunang orang tidak boleh diganggu. Cuba sekejap letak diri kau dalam situasi pasangan dia. Apa perasaan kau, bila dah bertunang - dah ikat sebelah kaki dengan pasangan dan tunang kau kena rampas dengan orang lain? Kau suka eh?

03 - Suami/Isteri orang : Perkahwinan mereka tak bahagia. Pasangan duduk jauh antara satu sama lain, jadi cuma temankan sahaja bila sunyi. Entah macam mana, boleh tersangkut pula. Padahal cuma nak kawan-kawan sahaja.

Hakikatnya, kenapa perlu masuk dalam hubungan paling suci itu? Perkahwinan yang dibina atas pernikahan yang suci - ikatan dua jiwa - tidak kira mereka punya masalah ataupun tidak, kau sebagai orang luar, tidak ada hak untuk kacau dan masuk campur (kecuali kau berkaitan dengan undang-undang contohnya). Kalau tak, jauhkan diri daripada menyemak dalam urusan rumahtangga orang lain. Kalau bermasalah sekalipun, itu bukan alasan untuk bercinta dengan salah seorang daripada mereka. Gila ke apa?

http://farm8.staticflickr.com/7015/6416450955_cc52c14e97.jpg
[Sumber gambar]

Kalau kita ada orang yang kita sayang sepenuh hati, jaga dia baik-baik. Bukan abaikan dan apabila terlepas, kita mengogoi sekuat hati kerana kita tidak tahu - siapa yang bersedia untuk mengambil kepunyaan kita pada bila-bila masa. Kalau tidak manusia, siapa tahu yang akan ambil itu adalah Yang Maha Kuasa?

Zara : Ada orang kata, bila seseorang itu berpacaran ataupun sudah menjadi hak orang lain, nilainya di mata orang lain menjadi tinggi secara tiba-tiba dan terus menjadi tarikan magnet untuk semua. Betulkah?

Sunday, August 12, 2012

#23 Ramadhan : Penipuan Terbesar Perempuan.


Ah.
Perempuan kadangkala ada ciri-ciri yang serupa walaupun mereka menafikan yang mereka serupa dengan perempuan lain. Benda yang mereka tak nampak tapi mereka buat tanpa disedari. Yang dibuat di luar sedar ataupun yang memang serupa sahaja.

Tapi, penipuan perempuan yang paling besar ada satu.
Yang tidak boleh dinafikan.

[Sumber gambar]

"Saya baik-baik sahaja"
"I'm okay"
"I'm fine"
"Nothing"

Susah.

Saturday, August 11, 2012

#22 Ramadhan : Harga Biasa, Harga Raya.


Semalam kononnya keluar membeli sedikit barang keperluan untuk memulakan operasi membuat kuih Puan Mulia. Sebelumnya, melunaskan hajat beliau untuk mencari seorang yang beliau baca di dalam surat khabar. Setelah puas berpusing dalam keadaan panas terik dan pendingin hawa (ke penghawa dingin?) di tahap maksima - kami tiba di tempat tujuan dan kurang daripada setengah jam, semuanya selesai.

Jadi, ke kedai bahan dan peralatan kuih yang baru. Baru dalam erti kata kami tak pernah beli di situ. Ada seorang rakan sekerja aku yang menyatakan di situ murah (dan kami kebetulan terjumpa dia disitu juga) - dan ternyata ada sesetengah barang yang murah kecuali mentega yang pastinya mencekik harga. Macam biasa - sebagai pengguna yang bagus, Puan Mulia enggan mahu beli dan bertegas untuk ke pasar raya berdekatan.

PM : Mahal ni sampai RM 4.40.
Aku : Mahal eh?
PM : Hari tu masa tengok cuma RM 2.80.
Aku : Dekat mana?
PM : Dekat E. Tapi, masa tu baru sehari puasa.
Aku : Hari ni mesti dah mahal juga.
PM : Hari tu Abah suruh beli - tapi tak beli.
Aku : Kenapa?
PM : Sebab baru awal puasa. Malas nak penuhkan peti ais dengan mentega.
Aku : Baik. Dah tu macam mana sekarang?
PM : Pergi E.

Sebagai puteri sulung yang taat (eceh!) - marilah kita bergegas ke pasar raya yang dimaksudkan. Sebelum masuk ke pasar raya berkenaan, Puan Mulia telah menegaskan bahawa hanya perlu beli dua barang iaitu mentega dan emping jagung sahaja. Dua benda sahaja dan seperti biasa - petang Jumaat, orang penuh macam ada jualan murah - padahal tiada apa pun.

PM : Eh, gula kastor. Tadi lupa beli.
Aku : Baiklah. (ambil, baling dalam bakul)
PM : Cepat pergi tempat mentega.
Aku : Baik.

(masa ni adik dah masukkan sebaris minuman kultur dalam bakul)

PM : Tengok harga mentega ni, Along.
Aku : Mana dapat harga awal puasa?
PM : Kesal pula tak beli awal.
Aku : Nak beli ke tidak ni?
PM : Harga sekarang RM 3.80. Bolehlah.
Aku : Murah dari kedai kek tadi.
PM : Tapi kalau nak banding dengan harga awal puasa.
Aku : Nak ke tak nak ni?
PM : Ambil sepuluh buku.

(maka aku tertonggeng-tonggeng capai mentega sampai cukup sepuluh)

PM : Dah cukup?
Aku : Dah.
PM : Pergi cari emping jagung.
Aku : Ya.

(tapi sempat capai jus oren 2 liter sebagai cukai pada Puan Mulia. Heh!)

[Sumber gambar]

Selesai dengan barang di pasar raya, Puan Mulia mahu carikan baju raya untuk adik. Budak itu tidak mahu baju raya baru dengan alasan nak pakai jubah - tapi Puan Mulia berkeras mahu dapatkan sepasang. Maka, sebagai pemandu yang setia - Adam Awraq (cucu hitam setia. wah!) - kami pergi ke tempat beli pakaian kegemaran jika dibicarakan tentang baju Melayu ataupun baju kurung dan yang sewaktu dengannya. Penat tawaf, si adik yang baru berusia 12 tahun itu sudah rambang mata - tak tahu mahu beli baju Melayu warna apa.

Adik : Mahal la baju.
PM : Biasalah harga macam ni.
Adik : Kalau tak nak baju Melayu takpe ke?
PM : Belilah. 

(dan aku pun sibuk nak beli sepasang untuk diri sendiri yang cuma ada sehelai baju)

PM : Jumpa apa yang kau nak, Long?
Aku : Rambang mata.
PM : Cepat beli.
Aku : Padahal hari biasa harga cuma RM 50 sepasang.
PM : Biasalah raya, memang dia tak turun harga.
Aku : Rayalah orang nak pakai baju banyak, makin mahal buat apa?
PM : Sebab ramai yang cari, memanglah dia tak kisah letak harga mahal sebab orang tetap akan beli.
Aku : Haish.

Disebabkan aku boleh dikatakan beli baju kurung sebagai pakaian rasmi ke sekolah - jadi haruslah aku mencari baju yang boleh dipakai seberapa lama mungkin tanpa lampuk ditelan zaman ke sekolah. Maaflah, aku rasa aku dan Puan Mulia hampir sama (tapi Puan Mulia menafikan dan kata aku lagi banyak baju dari dia - bila fikir balik, mungkin betul) - tapi kami berdua tak ada kegilaan pada pakaian sangat. Pakai sahaja apa yang ada dan tidak terlalu mengikut peredaran masa. Yang selesa dan berkualiti lebih penting. Jadi setelah berpusing-pusing, aku dapat sepasang di tempat yang sama beli baju Melayu adik. Sudah tentunya aku bayar baju raya aku sendiri. Heh :)

Aku : Betul ke harga baju ni begini?
Peniaga : Betul dik.
Aku : Kalau bulan depan saya datang dah jadi RM 50, saya terbalikkan bangunan ni. (ketawa)
Peniaga : (ketawa) Baju ni ada batu-batu kan dik?
Aku : Baiklah.

(aku adalah pelanggan yang kalah dengan peniaga cantik dan lemah lembut. Deng!)

Ah, menyampah dengan harga yang naik melampau-lampau bila mahu menjelang lebaran. Kalau kekal harga yang sama pun masih untung lagi, tapi itu mungkin adalah perancangan mahu dapatkan rezeki lebih di bulan Ramadhan dan membawa laba (harapnya bukan bala) sebagai persediaan menyambut lebaran. Barangkali. Perancangan perniagaan mereka bukan aku tahu. Apa pun, baju semalam tu menarik dan Puan Mulia dah bersedia untuk pinjam baju aku itu disebabkan dia berkenan dengan warnanya. Cewah!

http://farm7.staticflickr.com/6031/6311422237_65a95e2b70.jpg
[Sumber gambar]

Nota Kaki :
1. Terima kasih pada gadis manis yang menegur aku di kedai kain semalam. Terima kasih kepada baju FIXI yang aku pakai sebenarnya. Heh!
2. Operasi untuk membuat kuih pada hujung minggu, tapi aku masih ada timbunan kertas ujian yang perlu ditanda. Huh!

Friday, August 10, 2012

#21 Ramadhan : Bila Bukan Milikan Lagi.


Bila benda yang bukan milikan lagi disebut-sebut orang, pastinya ada hati yang tidak dapat tidak mengenangkan betapa payahnya melalui kehidupan sukar bagi memperjuangkan milikan itu suatu ketika dahulu. Banyak yang dilakukan, dikorbankan semata-mata untuk mempertahankan hak tetapi akhirnya, perlu akur bahawa takdir dan perjalanan hidup manusia ditentukan oleh Yang Maha Berkuasa. Sejauh mana kuat berusaha, tapi tanpa izinNya, segalanya tidak akan berlaku seperti yang dirancang. Bukankah Dia adalah sebaik-baik perancang buat hambaNya?

Tiada istilah kesal pastinya bila mengenangkan kehidupan yang sudah menghampiri takah semakin tua. Dalam erti kata lain, nyawa semakin pendek dan perlu sentiasa bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa. Walaupun setiap manusia mempunyai perancangan untuk mengejar kebahagiaan sebagai salah satu daripada syarat hidup mereka - pastinya apa yang berlaku seterusnya, mereka tidak akan ketahui. Manusia hanya perlu sentiasa perlu bersedia. 

*******

http://farm5.staticflickr.com/4088/5038021635_10f6320a48.jpg
[Sumber gambar]

Malam semalam berbual dengan seorang rakan baik yang mahu menjemput menghadiri majlis bahagianya. Perkhabaran baik itu sudah dicanang di Mukabuku, dan sebagai mungkin jemputan rasmi - dia menghubungi aku setelah meminta nombor telefon yang sudah ditukar sejak setahun lepas. Terima kasih kepada laman sosial - orang kadangkala lupa nak guna telefon sebab laman sosial percuma. Heh!

"Tahniah dah nak jadi isteri orang"
"Cuma tunang saja dulu"

"Tunang adalah satu langkah pertama"
"Tunang langkah bahaya sebenarnya"

"Tapi, lepas tunang kan kau nikah pada hari yang sama"
"Betul"

"Jadi, apa yang bahaya?"
"Kau tak tahu cerita ke?"

"Cerita apa? Aku lama tak dengar cerita kau"
"Takpelah, benda dah lepas"

"Kau tak nak cerita takpe"
"Nanti datang ya? Aku cuma buat benda kecilan sahaja"

"Kau kahwin dengan H eh? Lepas lama bercinta, akhirnya"
"Er, dengan H aku dah putus tunang"

"Apa?!" (boleh masukkan nada terkejut gila)
"Ya. Aku tunang dengan orang lain. Orang baru"

"Apa jadi dengan H?"
"Dia ada jalan hidup dia sendiri yang dia pilih"

"Kau camne?"
"Aku teruskan hidup baru"

"Maaf sangat sebab aku tak tahu"
"Takpe. Kalau kau pun terkejut camni, orang lain akan lebih terkejut sebab H bukan orangnya"

"Tapi, nama sama"
"Ya, nama panggilan memang sama. Cuma nama penuh berbeza"

"Sebab tu takde gambar eh?"
"Biar kawan-kawan tengok sendiri masa majlis"

"Apa pun, tahniah"
"Terima kasih. Satu je aku minta pada kau"

"Apa dia?"
"Jangan datang seorang diri lagi. Aku tak nak kau rasa kosong bila semua orang layan suami atau anak mereka"

"Bukan aku tak biasa"
"Aku dah lama sangat perhati. Bawalah sesiapa teman kau. Hatta biseksual pun boleh"

"Kau dah kenapa?"
"I know the pain of being alone in a happy event"

"Aku sentiasa gembira la"
"Your eyes didn't show that"

"LOL!"
"Bring someone ok? I reserved two seats for you"

"I'll sit on the both seats"
"You must be joking"

"My handbag need a good chair"
"Demmit girl"

http://farm7.staticflickr.com/6017/5934779750_d9c950e58f.jpg
[Sumber gambar]

Bila tahu dia boleh teruskan hidup tanpa manusia yang dicintai hampir dua belas tahun - aku tahu dia boleh lakukan dengan baik kali ini. Anak yang pernah kami semua ketuk pintu biliknya - panjat balkoni hatta minta kunci pendua daripada warden asrama akibat kecewa dengan perangai teman lelaki yang pernah menjadi tunangannya - akhirnya akan berkahwin dengan seseorang yang hanya dikenali dalam masa sebulan sahaja melalui keluarga.

Tahniah awak.Walaupun mungkin ramai yang akan terkejut semasa majlis nanti - aku tahu kau akan tabah hadapi apa sahaja. Bukan sedikit yang kau lalui. Siri cemuhan yang kau terima selama beberapa tahun - diganggu oleh kekasih lelaki yang kau cintai - hidup sama seperti bermadu walaupun kau tak sudi serta bermacam lagi. Tahniah kerana kau telah berjaya melarikan dan membawa kehidupan sendiri ke satu tahap lebih baik. 

Dan pastinya, kau layak untuk hidup gembira.
Betul.

Zara : Tahniah Pandalela Rinong - bawa pulang pingat gangsa. 

Thursday, August 09, 2012

#20 Ramadhan : Itu Bukan Pengakhiran.


Itu bukan pengakhiran kehidupan.
Masa masih banyak lagi.
 
Itu yang Abah cakap dengan aku bila dia nampak muka aku yang gundah gulana. Abah, ketika usia 41 tahun (sekarang sudah 51 tahun) mengejar impian seperti mana aku yang belum 25 tahun ini mahukan. Ya, dia sumber inspirasi terdekat - bagaimana seorang bapa pada enam orang anak mengejar impian dan membahagikan waktu dengan baik sekali. Setiap hujung minggu pastinya dia akan kembali ke teratak kami walaupun dalam kesibukan dan bebanan tugas dalam mengejar impian dia. Disebabkan itu jugalah sewaktu aku mulakan langkah pertama dalam kejar impian suatu ketika dahulu - Abah suruh aku pulang setiap minggu ke rumah - sebagaimana dia mampu lakukan walaupun berjauhan dari kami. Heh!

Lebih baik menunggu di hadapan.
Mungkin dalam kertas itu ada terselit kemarahan silam.

Itu yang sahabat-baik-pijak-kepala aku nyatakan. Aku hanya perlu beritahu dia satu ayat sahaja dan dia sudah mampu meneka apa yang berlaku pada aku. Seorang sahabat yang aku pastinya tidak mahu hilang atas dunia. Mungkin dia benar, sedikit sebanyak ada perasaan dan keinginan gila yang aku lampiaskan dalam timbunan kertas tersebut. Ada benda yang aku mahu larikan dalam pencarian dan perjalanan mengejar impian yang memerlukan lebih banyak pengorbanan berbanding sebelumnya.

Teruskan usaha.
Mulakan dengan rujukan lebih banyak.
Kumpul pengalaman lebih lama dan bermakna.

Itu yang bekas pensyarah aku nyatakan. Dia adalah sumber inspirasi aku juga dalam mengejar impian. Kali pertama mengenali dia sejak tujuh tahun lepas - dia sudah meletakkan sesuatu dalam diri aku. Untuk menjadi sebagus dan sehebat dia dalam perjalanan menjadi pendidik. Mungkin tujuh tahun lepas aku adalah anak naif yang memilih untuk gilakan ilmu lebih daripada benda lain - tetapi malangnya, sehingga kini, aku masih anak yang sedemikian rupa. Pertemuan aku dengan dia buatkan aku sangat gembira pastinya. Banyak benda yang boleh dibicarakan. Walaupun dia kata kami mungkin sudah jadi seperti kawan - tapi dia pastinya tersenarai dalam orang yang aku kagumi.

Selagi tidak berdarah, jangan kau akui yang kau pernah kecewa.

Itu yang diperkatakan oleh #TeamTBS aku - penulis #BISIK yang hebat - Syaihan Shandye Syafiq. Terima kasih atas sikap ambil berat itu. Memang harus diakui sedikit kecewa pada mulanya, tapi ya, kata-kata kamu betul. Usaha perlu diteruskan walaupun ternyata kegilaan tidak mungkin akan dapat ditampung buat masa sekarang. Apa pun kakak, saya akan tetap mengejar impian itu. Kakak jangan risau ya? Jejak langkah kakak akan saya kejar dari belakang. Ah, pingin untuk bertemu - mungkin sahaja pada majlis graduasi kakak nanti.

http://farm3.staticflickr.com/2161/2104313201_7393eeafd6.jpg
[Sumber gambar]

Mungkin kita ditakdirkan untuk belajar bersama.
Mungkin perjalanan itu lebih baik berteman.
Sokongan itu pasti sentiasa.

Terima kasih untuk itu. Terima kasih sebab keluarkan arahan tegas untuk duduk diam jadi budak baik dan memujuk dengan mengalihkan perhatian daripada benda sedih kepada benda lain yang lebih menggembirakan. Baju raya - beg tangan yang tiba dengan kiriman pos dan banyak lagi tetapi dipisahkan dengan papan nipis kaca menimbulkan rasa gembira dalam duka. Terima kasih atas kesedihan yang mampu dikongsi bersama. Terima kasih kerana turut merasai apa yang dilalui dan kekal memberikan semangat dalam usikan supaya otak terus lupa.

Terima kasih Abah.
Daripada Along.
 
Terima kasih Busuk.
Daripada Tengik.
 
Terima kasih Dr. Dij.
Daripada Shafaza.
 
Terima kasih Shandye.
Daripada Lord Zara.
 
Terima kasih Kopi O.
Daripada Frappucino.

Wednesday, August 08, 2012

#19 Ramadhan : Impian Terkubur Lagi.


Sewaktu aku terpaksa memilih antara kerjaya ataupun impian tersebut - aku memilih untuk teruskan kerjaya dengan menutup mata dalam impian tersebut. Kehendak Ketua Keluarga yang lebih suka aku mencari pengalaman kerja aku turutkan walaupun hati aku memberontak yang teramat sangat. Tidak mengapa, peluang itu mungkin akan datang lagi. Aku lepaskan impian itu berlalu pergi tatkala ramai kenalan yang aku kenali mengejar impian tersebut walaupun aku percaya setiap daripada kami ada matlamat dan niat masing-masing.

Kali kedua impian itu datang di hadapan pintu teratak keluarga - aku kembali bersemangat. Aku masih lagi dalam tempoh yang tidak membenarkan aku kejar impian secara halal. Pujuk hati agar tolak sahaja tawaran walaupun pastinya sampul itu berat dengan impian masa hadapan yang mungkin akan memberikan aku kegembiraan yang aku cari dalam hidup. Kali kedua, aku humban impian tersebut ke tepi. Supaya aku boleh menjalani hidup dengan baik - dan aku tunggu masa yang lebih sesuai lagi.

Bila kali ketiga ia datang, hati aku mula berbelah bahagi. Impian itu menyesakkan minda tatkala ada antara rakan-rakan yang sedang bergembira menjalani kehidupan baru mereka mengejar impian tersebut. Bila aku lihat perbezaannya, ada yang sekepala, sama matlamat dengan apa yang aku mahukan dalam hidup - hanya mahu membawa diri ke takah kehidupan yang berbeza - lebih baik daripada sebelumnya. Ada juga yang memilih impian tersebut, semata-mata untuk melarikan diri daripada terus diasak dengan pertanyaan bila mahu memulakan kerjaya walaupun mereka sudah menunggu lebih tiga tahun tanpa dirisik oleh sesiapa. Dan aku, memilih untuk terus menunggu saat aku halal mengejar impian tersebut. Ah, hati ayam sungguh. Bila dikatakan jika ada apa-apa berlaku, aku tidak akan diiktiraf dalam kerjaya - aku memilih untuk lupakan impian. Sampul berat itu aku letakkan ke tepi lagi dalam linangan air mata. 

Dan setelah bertahun impian itu berlalu dan aku tegar mengira waktu - saat untuk mengejar impian dalam keadaan halal akhirnya tiba. Senyuman dan sujud syukur sewaktu sekeping kertas yang menyatakan aku sudah boleh melaksanakan impian itu buatkan aku teruja. Pantas aku mencari setiap satu sumber untuk mengejar impian tersebut. Ah, selain itu aku mengunjungi mereka yang sangat bermakna dalam hidup aku - yang memberikan tunjuk ajar tanpa jemu - demi mendapatkan sokongan daripada mereka. Sedikit sokongan sebagai rujukan untuk aku kejar impian di gelanggang lain daripada sebelumnya.

Malangnya, malam tadi khabar itu muncul tanpa aku sangka. Mungkin itu natijah tiga kali aku menolak sehingga kali keempat - bila aku sudah cukup bersedia, aku terpukul dengan fakta bahawa aku gagal dalam mengejar impian tersebut (buat masa ini kalau seperti yang dikatakan oleh mereka yang aku sayangi). Mungkin gagalnya aku kali ini adalah petanda bahawa diri aku belum bersedia secukupnya menongkah kesakitan dalam mengejar impian (macam aku peduli dengan kesakitan dan kesengsaraan - manusia degil macam aku hanya tahu impian itu perlu dilunaskan).

Tiada air mata. Tiada raungan gila. Yang aku tahu, aku perlu teruskan hidup macam biasa. Kumpul pengalaman lebih banyak tanpa banyak bicara. Supaya aku berada dalam takah kematangan apabila saatnya tiba. Impian itu pastinya tidak akan terkubur dalam jiwa aku - itu impian sejak aku kenal tempat menimba ilmu yang membawa kehidupan lebih baik bagi sesetengah manusia. 

http://farm4.staticflickr.com/3043/3029754295_31941e1751.jpg
[Sumber gambar]

Kecintaan aku pada ilmu buatkan aku perlu menanggung ini semua buat masa ini. Tidak mengapa, ilmu itu ada di mana-mana walaupun layangan kertas hebat yang mengubah hidup bukan rezeki aku menjelang suku terakhir tahun ini nampanya. Selamat tinggal impian buat masa sekarang. Aku memilih untuk kurung diri dalam kontinium waktu demi lepaskan rasa.

Walaupun tidak dapat dinafikan aku tidur dalam keadaan kecewa.
Bukan rezeki. 
Belum masa.
Siapa yang tahu perancangan Yang Maha Esa?

Tuesday, August 07, 2012

#18 Ramadhan : Petronas Merdeka Raya - Strangers


Kadangkala apa yang kita mahukan, tidak mampu kita miliki. Sejauh mana kita berusaha, itu sahajalah yang mampu kita dapat dan capai. Bukan kita tidak meletakkan sedaya upaya, cuma itu bukan rezeki kita. Bukan rezeki yang ditentukan untuk kita. Jadi, apa yang kita perlu lakukan bila perkara sedemikian berlaku? Duduk diam semata-mata dan terus mengalah pada kehidupan?

Pastinya tidak bukan?

http://farm8.staticflickr.com/7223/7301228994_c5462dcf09.jpg
[Sumber gambar]

Kadangkala ramai orang yang mengatakan bahawa kita layak untuk mendapat yang terbaik dalam hidup. Tidak kira dalam aspek apa sekalipun - tetapi ia akan membuatkan kita tertanya-tanya dan menduga, kenapa mereka berkata demikian tapi mereka tidak mahu memberi apa yang terbaik pada kita? Jujurnya, benda begini bukan urusan manusia. Bukankah kita semua bersetuju bahawa, usaha bagaimana sekalipun - di penghujungnya - masih terletak belas ihsan Maha Pencipta.

Kenapa mahu mengalah pada kehidupan?
Bukankah manusia adalah pejuang dalam diri sendiri.
Apakah sudah tidak mahu hidup atas dunia lagi?

*******


Ini bukan disebabkan oleh Redza Minhat di dalamnya. Cuma pesanan dan pengajaran yang terkandung disebalik filem pendek yang menyentuh jiwa. Sudah lama tidak dapat menonton sebegini rupa, selepas kali terakhir yang tidak perlu diberitahu bila.

Monday, August 06, 2012

#17 Ramadhan : Langkah Pertama


[Lady Antebellum - Just A Kiss]

Salam.

Ya, langkah pertama dalam setiap perhubungan adalah mungkin perkenalan. Macam kita membaca buku, bahagian yang kita nampak dulu adalah pengenalan walaupun aku percaya sesetengah daripada kita suka melangkaui bahagian tersebut. Entah kenapa walaupun harus diakui itu bahagian yang aku paling suka baca sebab ia akan menerangkan keseluruhan apa yang bakal berlaku dalam jalan cerita seterusnya.

Apa yang selalu diperkatakan, langkah pertama yang diatur dengan baik - insyaALLAH, akan membawa kepada kesudahan yang baik. Itu yang dinyatakan oleh seorang guru aku sewaktu mengajar Munakahat dulu. Ya sekalian, saya budak sekolah agama Johor dan dapat pangkat 1 untuk mata pelajaran tersebut walaupun sampai sekarang belum berkahwin. Eh. Abaikan. Jadi, secara asasnya - langkah pertama selalu melibatkan kehadiran mereka yang lebih banyak pengalaman serta pengamalan. Percayalah, dua benda ini berkaitan memandangkan daya penglihatan sesetengah orang adalah boleh dikaburi oleh perasaan.

Fikiran yang dikuasai oleh perasaan memungkinkan kita melupakan apa yang terhidang dihadapan mata. Sesetengah orang mungkin masih lagi dapat menggunakan lojik akal - tetapi sesetengahnya lebih suka untuk menggunakan kata hati yang acapkali menyeleweng bila dihijab oleh perasaan yang tebal entah berapa inci. Hakikatnya, manusia mudah untuk menerima perkara yang mereka suka berbanding dengan apa yang mereka benci. Setuju?

Itu yang membawa kita kepada perkenalan. Saling kenal-mengenal antara satu sama lain. Mungkin selama ini hanya kenal gambar ataupun muka melalui video Skype, tetapi apabila bertemu, mungkin apa yang dilihat selama ini agak menyimpang daripada realiti. Tidak mustahil untuk dua orang yang tidak pernah bertemu untuk menjalin perasaan hati. Sebab itu ada pendapat yang menyatakan bahawa - hati manusia itu aneh. Kita tidak akan dapat mengagak apa yang seketul darah merah boleh bawa kita. Ya, seketul darah yang berharga.

Question is (cewah!) - apakah langkah pertama akan disusuli dengan langkah seterusnya ataupun dibiarkan sahaja tergantung tanpa tindakan yang sewajarnya? Pastinya usaha dan doa tekun mohon agar semuanya berjalan dengan lancar tanpa ada masalah supaya kebahagiaan itu mendekati dan kegembiraan itu menjadi hak milik setiap insan yang hadir dalam sesi pertemuan. Bukankah hati yang bertaut kerana Allah itu lebih baik berbanding dengan perkenalan sia-sia yang tidak membawa ke mana-mana?

http://farm8.staticflickr.com/7257/7720568180_c0e5845209_z.jpg
[Flickr Aku]

Bila Kopi O dan Frappucino bertemu.
Hidangan kopi panas tidak dapat dijamu.
Hanya ada peluang duduk berbual di ruang tamu.


Sunday, August 05, 2012

Tulisan Telanjang.


[Sheryfa Luna - il avait les mots]

Entah kenapa apa yang ditulis, diterjemah dalam bentuk tulisan - menebar rasa, berkongsi cerita serta mendidik diri sendiri untuk tekun bekerja sudah jadi nanah bagi sesetengah manusia. Apakah dengan cubaan menjadi diri sendiri - melampiaskan perasaan yang acapkali tidak teratur mampu bunuh manusia lain yang tidak punya kena mengena? Aku seringkali tertanya-tanya tentang itu - yang malangnya, tulisan juga mampu diperkosa oleh tangan-tangan yang ajaibnya - memegang tinta iblis neraka.

Ya.
Tulisan jujur. Bercerita sebab aku percaya semua manusia punya jalan hidup sendiri. Cerita mereka sendiri - bahkan, ada cerita yang mereka dapati daripada pengalaman yang tidak boleh ditukar dengan wang melata. Ah, kalau sahaja kau tidak punya peranan dalam cerita yang disusun hambur tanpa nista, untuk apa kau merempan tidak tentu hala seperti aku kenal kau siapa. Bahkan anehnya, tulisan telanjang - tulisan tanpa berselindung atau menutup apa-apa tentang kehidupan, kau pula melenting bagai dibogelkan. Pelik.

Mengapa mahu mencari masalah tatkala aku tidak menyentuh sisi kehidupan orang lain - dan aku cuma cerita tentang diri sendiri. Tidak perlu hantar gerombolan manusia yang aku tidak kehendaki dalam cerita hidup aku yang kosong dan hanya bertikam lidah membunuh perkataan sepi. Kebodohan apa yang cuba dihidangkan bila cerita aku kau pusingkan di luar sana? Aku bahkan bukan sesiapa - jika mahu disusun atas tangga kebanggaan manusia lain seperti kau barangkali. Berdiri di tepi tangga juga aku mungkin tidak mampu, apatah lagi mahu impikan berdiri cecah anak tangga.

Tulisan telanjang - kalau ada cerita sekalipun, ia hanya cerita tentang aku. Tentang hidup aku yang berkongsi kamar tenang seorang diri - renung luar jendela dan panggung kepala merenung langit. Mengira kebahagiaan yang aku perolehi - sujud syukur dengan apa aku miliki. Apakah yang kau mahu bising pada kehidupan sederhana aku ini? Bahkan aku tidak punya apa-apa yang mampu bikin orang lain mahu iri hati.

Ah, gila.
Kenapa senyuman aku mahu kau renggut pergi?
Apa dulunya kau kekurangan kasih sayang duniawi?

http://farm6.staticflickr.com/5259/5530632586_b24bc79e70.jpg
[Sumber gambar]

Aku percaya bila kau benci diri aku - itu hanya petanda aku wujud dalam dunia. Aneh - kau benci tapi kau masih menagih membaca lagi. Adakah tulisan aku adalah dadah yang kau perlu hirup setiap hari?

#16 Ramadhan : Kita Berkenalan Dulu.


Seperti yang aku tulis dalam Perkenalan Dan Lamaran - kita tidak dapat menafikan bahawa seseorang yang mungkin terlampau asing bagi kita akan jadi manusia paling rapat. Benda itu berlaku dalam diri setiap orang dan walaupun kita cuba menafikan perkara berkenaan, cuba tengok rakan kita yang paling rapat. Adakah kita kenal dia suatu ketika dahulu? Pastinya tidak. 

"Woit, aku suka hang!"

Ya.
Kadangkala dengan pengakuan menyukai seseorang - seseorang yang menerima ucapan itu akan terkedu dan mula terfikir adakah seorang yang mengeluarkan ayat berkenaan mahu bergurau senda yang serasa tidak kena dengan tempatnya. Tapi bila mengenangkan ayat pengakuan yang mungkin boleh ajak bergaduh - yang mendengar hanya ketawa dan melontarkan pertanyaan adakah ayat itu sebenarnya untuk orang lain (sebab kadangkala orang buat pengakuan ni guna Twitter, SMS ataupun apa-apa lagi yang melibatkan kecuaian tinggi).

Jadi apa yang perlu dilakukan?

Betul.
Tanya dulu sama ada pengakuan itu adalah untuk kau ataupun orang lain. Manalah tahu untuk orang lain - sekali hati kau yang berbunga riang ibarat taman bunga sewaktu majlis perarakan citrawarna tetapi sebenarnya untuk orang lain - terus jadi gurun yang gersang dan kering kontang. Sentap terus dalam hati dan rasa nak bunuh orang nanti. Heh. Jadi, kalau untuk kau, tahniah! Kalau bukan untuk kau - anggaplah, manusia memang selalu buat kesilapan. Ala, bercakap pun boleh terbelit lidah - apatah lagi yang melibatkan tulisan kan? Eh.

Apa langkah seterusnya?

Terus kahwin?
Amboi, gelojoh.

Kita berkenalan dulu. Mungkin sebelum ini sudah kenal - walaupun ambil endah tak endah sahaja kan? Sekarang adalah masa untuk saling kenal mengenal dengan lebih rapat. Tahu tarikh lahir, kerja dan kegemaran contohnya - padahal benda itu semua boleh dibaca di Mukabuku kan? Eh. Tapi tahu daripada orangnya secara peribadi lebih baik. Manalah tahu - imej yang selama ini kau kenal dia sebagai makhluk yang ganas dan garang serta sombong - tapi bila bersama kau rupanya dia seorang yang lemah lembut, manja, mampu menarik minat orang tua (keluarga, bukan orang tua mana) dan sebagainya. Kita tidak pernah tahu seseorang itu sehinggalah kita gabungkan pemerhatian dan pengetahuan. Ya, ia berbaur saintifik.

Dalam tempoh perkenalan inilah - kita boleh lakukan solat istikharah dan sebagainya. Mohon kepada Allah untuk diberikan petunjuk, sama ada yang membuat pengakuan ini adalah orangnya yang layak ataupun tidak disamping kita. Solat hajat juga janganlah dilupakan. Manalah tahu - dalam tempoh perkenalan ini, banyak benda yang kita tutup mata sebelum ini akan terbuka tabir kebaikannya. Kan?

[Sumber gambar]

Jadi, bila kita sudah memilih dia, apakah yang perlu dilakukan seterusnya?

Simpan rahsia tersebut daripada pengetahuan rakan-rakan dan sesiapa sahaja. Sengaja mahu berselindung depan orang kata masih bujang dan kosong tanpa pilihan - tapi hakikatnya dibelakang, sudah ada seseorang yang buatkan jantungnya berdegup kencang (asal cinta je jantung, dah kenapa?) - macam artis pula perangai kan? Tapi betul juga, benda yang masih tidak pasti tidaklah perlu dicanang merata. Manalah tahu kalau tak jadi, mana nak sorok muka kan?

Ehem.
Boleh juga benarkan dia jumpa keluarga kalau dia minta.
Kata nak berkenalan dulu. 
Eh.

Saturday, August 04, 2012

Perkenalan Dan Lamaran.


Kadangkala kita sudah kenal seseorang itu lama. Kenal dalam erti kata dia wujud dalam hidup kita selama beberapa tahun, tetapi anehnya dia hanya manusia yang kalau ada dan tiada - tidak banyak beza. Hidup kita masih sama. Hidup kita masih lagi berjalan tanpa kehadiran dia. Wujudnya dia sebagai satu manusia - kalau dia bertegur sapa dengan kita. Kalau tidak bertegur sapa, hanya nampak kelibat - itu hanya satu bukti kewujudan.

Sebab itu, Kahlil Gibran pernah menyatakan - "Usia perkenalan bukan suatu jaminan kita mengenali seseorang". Mungkin kita mengenali seseorang itu dalam tempoh yang cukup lama - bersama, kenal antara satu sama lain, tahu baik buruk segala - tetapi malangnya orang itu bukan untuk kita. Bukan untuk kita bersama-sama menjalani kehidupan yang kita mahukan. Bahkan, kehadiran dia mungkin hanya bawa lebih kesakitan yang kita sendiri tidak mahu bayangkan.

Tetapi, orang yang kita mungkin anggap wujud serupa tak wujud dalam hidup kita - yang hanya bertegur sapa sesekali sekala memberikan makna yang besar dalam hidup kita secara tiba-tiba. Kita tidak boleh menjangka sesuatu perkara akan berlaku sekelip mata di saat kita sedang bergelak ketawa - dan orang itu muncul begitu sahaja. Kadangkala kebahagiaan yang direnggut pergi mahu digantikan oleh kasih sayang yang lebih beerti. Kita tidak akan tahu rahsia Maha Pencipta.

[Sumber gambar]

"Woit, aku suka hang!"

#15 Ramadhan : Bayang Diri.


Kadangkala, orang yang kita paling suka tengok itulah yang akan buatkan kita jadi seperti bayang-bayang mereka. Tanpa mereka, mungkin sebahagian daripada kita kosong - mayat hidup yang berjalan mencari arah tujuan dan berlari pergi daripada sinaran cahaya terang (walaupun tanpa matahari - mana nak dapat bayang kan?)

Mungkin hidup ada banyak sangat warna.
Tetapi kita perlu pilih warna mana paling sesuai untuk kita.

Mungkin banyak sangat sumber kata.
Tapi kita lebih senang tenung muka tanpa bicara.

Mungkin ada banyak kamera.
Menimbun digital, tapi kita masih pilih analog sebab suka.

http://farm7.staticflickr.com/6048/6333884489_ca0149a6a5.jpg
[Sumber gambar]

Ada sebab mengapa perlu duduk minum kopi semeja.
Ada sebab kenapa senyuman itu tidak untuk semua.
Ada sebab kenapa hati berbunga tapi tarik muka.
Ada sebab kenapa kamera dibiar terbuka.
Ada sebab kenapa panggilan hidup sahja.
Ada sebab kenapa itu dibuat belaka.

Ya.
Sebab suka.
Sebab itu bahagia.
Sebab itu buat diri yakin akan segala.
Terima kasih atas semua rasa.

Friday, August 03, 2012

#14 Ramadhan : Kopi O Untuk Frappucino


[BigBang : Fantastic Baby]

Usai mengerjakan apa yang perlu, dia duduk membaca sebentar sambil mendengar lagu yang dia tidak faham butir bicara. Sudah jadi kebiasaan, dia memilik lagu-lagu bahasa asing dan bukan pertuturan apabila membaca. Supaya otaknya kekal fokus tanpa terikut-ikut lagu berkenaan (yang setelah beberapa lama akan ditukar apabila mula lekat di kepala). Jari menyelak satu demi satu halaman - tetapi sebelah tangan tidak gagal meneguk kopi panas sambil bersilih ganti dengan air masak biasa. Entah, mungkin mahu menyeimbangkan rasa ataupun mendapatkan tegukan sempurna.

Ada warna oren muncul di paparan komputer riba dan bunyi kelentang kelentung dari iPad memberhentikan pembacaan. Senyuman terukir membaca pesanan dan dia dengan tangkas menjawab soalan demi soalan - mengusik manusia yang jauh dari tangan - dipisahkan dengan jarak dan dilapisi cermin kaca bila berhadapan. Dia senyum sahaja - walaupun sesekali menarik muka - bergurau dengan yang berada di hadapan mata. Galak dia mengusik jelmaan salah satu tokoh yang muncul dalam buku sejarah sekolah sewaktu dia belajar dahulu.

"Kalau saya malas menaip, dan nak cakap sahaja boleh?"
"Mengelat"

"Malas ah nak taip"
"Lupa bawa balik headphone"

"Saya cakap, awak taip eh?"
"Serupa bisu dah"

"Mana ada"
"Ye la, boleh-boleh"

http://farm8.staticflickr.com/7264/7617676764_80750be334.jpg
[Sumber gambar]

Dia sedang belajar. 
Mereka sedang belajar.

Untuk kenal hati masing-masing. Untuk lebih tahu apa yang masing-masing perlukan dalam hidup ini. Mungkin terlampau banyak pengalaman lampau yang membantu mereka - untuk jadi lebih kuat dan tabah dan mencapai apa yang mereka hajatkan. Mungkin sahaja - siapa tahu ada rezeki untuk duduk minum kopi berdua - menikmati secangkir kebahagiaan bersama.

Kopi dan cinta sama.
Ia dalam keadaan terbaik sewaktu panas.

Terima kasih untuk hari-hari yang ceria.
Terima kasih untuk senyuman bahagia.

Terima kasih, Kopi O.
Dari Frappucino.

 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template