Wednesday, October 31, 2012

Jamuah Teh Dan BOLA | Kenapa Bukan Kopi?


Salam semua.
Ini ada satu pengumuman. 

Ingat lagi tulisan aku tentang BOLA - dan cerpen Jersi Nombor 7 aku? Kalau ingat baguslah. Kalau tak ingat, aku akan nyanyikan lagu "Tolong Ingatkan Aku" buat kalian dalam masa dua minit supaya kalian ingat. Ah, tekan saja pautan yang disediakan - mana tahu boleh segarkan kotak ingatan kalian tentang itu.

Baiklah, tanpa membuang masa, haruslah mahu berkongsi bahawa pelancaran BOLA akan diadakan pada hujung minggu ini dengan dibarisi kedatangan para penulis BOLA - sama ada secara nyata, ataupun virtual (gitu!). Aku letakkan apa yang terdapat di Mukabuku di sini. Untuk RSVP sila tekan [sini]

Majlis santai untuk melancar & meraikan antologi BOLA.

Buku BOLA akan dijual.

Beberapa penulis BOLA akan hadir!

Jamuan ringan disediakan.

Tarikh : 3 November 2012 (Sabtu)

Masa : 3.00 hingga 4.30 petang

Lokasi:
Silverfish Books
28-1 Jalan Telawi
Bangsar Baru, KL
Tel: (03) 22844837


SINOPSIS:
BOLA ialah kumpulan 19 cerpen Fixi yang diilhamkan oleh permainan yang adiktif ini. Ada hantaran lambung yang cantik, ada larian solo yang menggamit memori, dan sudah pasti ada bentesan keras yang layak dilayangkan kad merah.Buku ini dicetak hanya sekali pada Oktober 2012 dan 1,500 keping dihasilkan. Ia tidak akan dijual di kedai-kedai buku tapi hanya online dan di events sepanjang Oktober-Disember 2012.

http://fixi.com.my/wp-content/uploads/wpsc/product_images/9789670374161.jpg.jpg
[Sumber gambar : Laman sesawang Fixi. Boleh tempah di sini dan di majlis pelancaran nanti]

Jadi, insyaALLAH, siapa yang punya kesempatan untuk hadir - dijemput hadir. InsyaALLAH, aku akan datang sekali bagi meraikan majlis ini. Ada penulis - penulis hebat Fixi seperti Syaihan Syafiq, Nadia Khan, Raja Faisal, Shaz Johar, Faizal Sulaiman dan lain-lain bakal hadir khabarnya. Mana tahu anda peminat Amir Muhammad (aku merupakan peminat tegar dia sebenarnya - sejak aku nampak kelibat dia dengan Allahyarham Yasmin Ahmad) - kalian pastinya boleh bertemu Encik Amir, dia peramah. 

https://fbcdn-sphotos-h-a.akamaihd.net/hphotos-ak-ash3/527945_10151565158140543_582930452_n.jpg
[Gambar : Kesayangan - kesayangan tulang belakang penulisan ini bakal hadir juga khabarnya. Tengah : Syaihan Syafiq (penulis BISIK) dan Faizal Sulaiman (novelis Fixi juga)]

Majlis ini kemungkinan bakal jadi majlis terakhir aku hadiri mengenai buku memandangkan aku semakin sibuk dengan urusan sekolah sehinggakan masa menulis semakin terhad. Barangkali BOLA akan jadi naskah terakhir aku menulis. Entahlah. Cuma, itu majlis yang aku sangat berharap akan bertemu dengan manusia - manusia yang banyak membantu aku sehingga tahap hari ini - membentuk siapa aku dalam menulis. Walaupun jujurnya, aku ternampak sesuatu yang aku kurang gemari saat aku menulis ini, aku percaya bahawa aku boleh mengharunginya dengan baik.

Oh, siapa yang dah beli BOLA dan mahu aku tandatangan (heh! Macam kau ada peminat) - boleh sahaja bawa ke Silverfish nanti. Aku pastinya tidak akan keberatan mahu turunkan tandatangan buat kalian semua.

Jumpa di sana.

Nota Kaki :
Kenapa jamuah teh? Saya nak jamuan kopi, Encik Amir. Lalalala.

Zara : Aku dengan Syaihan tengah pening nak pakai baju apa. Boleh? Hahaha :D

Monday, October 29, 2012

Clubmod : Kegembiraan Membeli Belah.


Salam sejahtera semua.
Kali ini mahu bercerita mengenai kegembiraan manusia yang suka membeli belah secara atas talian (baca : online shopping). Ada di antara kita yang dihimpit dengan kesibukkan, jarang berpeluang untuk keluar dan membeli belah. Kita lebih gemar membeli belah secara atas talian memandangkan kebanyakan daripada kita menghabiskan masa di hadapan Internet - tidak kira komputer, telefon pintar, tablet dan segala jenis gajet canggih lagi. 

Ehem.
Perempuan pula - suka mencuci mata dengan membuka satu demi satu blog atau laman sesawang yang menjual pelbagai benda menarik di atas talian. Kalau kita tidak dapat menghampiri barang, biar barang datang kepada kita (sesetengah pendapat - dan aku sendiri pun guna). Masalah yang sering dihadapi oleh perempuan (ataupun kebanyakkan pengguna lain) adalah kadar kepercayaan kepada sesuatu blog ataupun laman sesawang yang menjual barangan - boleh dipercayai ataupun tidak. Jadi, hari ini, aku mahu berkongsi tentang satu laman yang menjual aksesori kegemaran ramai.

https://lh5.googleusercontent.com/-5LcQ3kIBdsI/UI0UeG_zBlI/AAAAAAAAErM/DZDsXLOCXrk/s720/Watches%252BClubmod%252BZara.png
[Clubmod]
Gambar paparan CLUBMOD.


Jadi, seperti yang boleh dilihat di atas, ada beberapa barangan yang boleh didapatkan daripada Clubmod. Barangan untuk lelaki dan juga perempuan - daripada jam tangan, kaca mata, beg bahu (shoulder bags), beg silang (sling bags), dompet, beg sandang dan sebagainya. Jadi, mari kita lihat secara ringkas - paparan beg berkenaan.

https://lh4.googleusercontent.com/-hmH9m4tGv84/UI0Ud8_DViI/AAAAAAAAErE/R_DH6rJipVY/s720/Clubmod%2520%252B%2520Sling%2520Bags%2520%252B%2520Zara.png
[Contoh paparan : Sling bags - Comel!]

Boleh tekan untuk lihat dengan lebih jelas beg yang diminati.

http://cdn.shopify.com/s/files/1/0108/9432/products/linaenvelopeturquoise_large.png?74http://cdn.shopify.com/s/files/1/0108/9432/products/linaenvelopeturquoise45deg_grande.png?74 http://cdn.shopify.com/s/files/1/0108/9432/products/linaenvelopeturquoiseside_grande.png?74
http://cdn.shopify.com/s/files/1/0108/9432/products/linaenvelopeturquoiseinside_grande.png?74http://cdn.shopify.com/s/files/1/0108/9432/products/linaenvelopeturquoisecloseup_grande.png?74

Bagaimana mahu membeli?

1. Pilih barangan yang anda suka.
2. Pilih berapa kuantiti yang anda mahukan.
3. Seterusnya, boleh check out (seperti yang kebanyakan yang kita biasa lakukan)
4. Pilih kaedah pembayaran.
5. Pilih kaedah pos.
6. Pilih bank.

Tetapi.

Ya, ada tetapi. Kalau di blog lain, kita perlu bayar terlebih dahulu semasa menempah barangan kan? Di Clubmod, anda boleh menempah terlebih dahulu tanpa perlu membayar. Menarik bukan? Dalam email yang akan anda terima daripada Clubmod, mereka akan menyatakan ID barangan ataupun tempahan anda. Anda akan diberi masa melunaskan pembayaran dan barangan anda akan diproses sebaik sahaja anda membayar. Sila bayar secepat mungkin supaya anda dapat barangan yang anda mahukan.

Tambahan menarik (selain daripada laju yang amat laman sesawang ini : ciri-ciri yang sangat bagus untuk membeli belah tanpa gangguan iklan pelik dan sebagainya) - dalam tempoh 24 jam pembayaran, barangan akan diproses untuk dihantar terus ke rumah anda - mengikut kaedah pengeposan yang anda pilih.

Bagaiman ia tiba?

http://farm9.staticflickr.com/8051/8130262005_ce8364cd3e_c.jpg 

http://farm9.staticflickr.com/8191/8130292172_2c1b1da5e8_z.jpg
[Boleh dibuka dengan lebih jelas dalam Flickr aku]
Tengok sampul sahaja dah tahu apakah barangan di dalam. Tak perlu belek dengan gigih tengok kertas penghantar. Barangan tiba dalam sampul ada 'bubbles' - Ala, benda yang kau suka picit-picit bagai tu. Ya, jadi kualiti barangan adalah tidak terjejas. Barang juga masih dalam beg plastik - jadi kau boleh periksa sama ada barangan itu sudah disentuh ataupun tidak.

Bagi gadis-gadis di luar sana yang mencari aksesori, terutamanya beg tangan ataupun beg apa sekalipun yang menarik, comel dan mudah urusannya - aku akan mencadangkan Clubmod. Sudahlah warnanya menarik, pilihan yang banyak juga - bahkan, boleh digayakan dengan pelbagai acara. Biasanya gadis-gadis suka beli baju secara atas talian kan? Jadi, setelah beli baju - apa kata, cari aksesori untuk dipadankan di Clubmod?

Maklumat :

Ketahuilah bahawa pasukan (team) Clubmod adalah mesra pengguna dan jika kalian email mereka ataupun tweet, pastinya mereka akan balas. Kenapa Clubmod jadi pilihan yang baik?

  • Laman sesawang yang tidak serabut. Lancar dan laju serta kemas.
  • Proses pembelian yang menjimatkan masa.
  • Layanan yang baik daripada Team Clubmod bila bertanya.
  • Penghantaran yang cepat, kemas dan selamat.
  • Barangan yang comel ada depan mata - tak perlu keluar mencari.
  • Ehem, ada artis yang pakai juga. :D

Oh, bagaimana dengan barangan yang aku terima daripada Clubmod? Digayakan sekali semasa Hari Raya Aidiladha. Terima kasih kepada Clubmod dan juga kepantasan mereka menghantar barangan - tiba selang sehari daripada tempahan.

http://farm9.staticflickr.com/8056/8130290614_5d98381271_z.jpg
[Flickr aku] : Baju kurung moden, shawl biru, beg silang/Joyce Blue Clubmod

Jadi, kepada yang berminat, kalau mahu mendapatkan pandangan - aku boleh dihubungi di Twitter : @zara_syed - di situ aku akan jawab apa yang mungkin kalian mahu tahu tentang ini, serta kalau meninggalkan ulasan, aku akan jawab kali ini. :)

Nota Kaki : Masa nak pilih beg dari Clubmod, kepala aku pening dengan pelbagai warna yang comel. Jadi aku suruh Kopi tolong pilihkan. Dia pilih beg yang boleh masukkan iDraki iFtiqar aku. Siap periksa ukuran dan sebagainya. Yang pertama dia berkenan adalah warna kegemaran dia. Yang ini adalah pilihan kedua dan warna kegemaran bersama. Heh!

Saturday, October 27, 2012

Anehnya Manusia.


#1

Entah kenapa bila aku terbaca sesuatu bila bangun awal pagi tadi, hati aku runtun. Sakit bila mengenangkan ada manusia, kelompok manusia yang entah kenapa suka sekali menyakiti tanpa sebab yang jelas. Bila mahu ditanya, mereka dengan baculnya mengekang diri mereka dari disentuh, dari ditanya - tetapi masih lagi dengan asyik mengata, tanpa dapat diketahui mengapa. Ah, sialan benar manusia - manusia begini. Kalau benar aku punya salah pada mereka, mengapa mereka tidak mahu beritahu sendiri? Mengapa mereka lebih suka menanam rasa benci dalam hati - memberikan tanah subur buat iblis dan syaitan dalam diri untuk bertapak kukuh?

Anehnya manusia.

#2

Alhamdulillah. Hari raya berlalu dengan berita yang disampaikan buat semua sanak saudara dan keluarga. Benda baik haruslah dikongsikan bersama, lebih-lebih lagi acara yang melibatkan keluarga. Moga mereka ada kelapangan waktu bagi meraikan acara itu nanti. Bahkan, suka duka, manis kehidupan memang dikongsikan dengan keluarga.  Aku percaya yang lainnya, berkongsi cerita gembira itu bersama - dalam kelompok kami sahaja.

Ada yang senyum. Ada yang ketawa. Ada yang menangis gembira. Reaksi berbeza tapi menunjukkan bahagia.

Anehnya manusia.
(Tapi dari segi baik)

#3

Sudah terbiasa dalam zon selesa menyiapkan segalanya dengan keluarga serta teman yang dikasihi. Bila mengenangkan ada manusia yang boleh hidup seperti tidak punya keluarga, aku merasakan aneh - aneh sahaja, bagaimana hari kebesaran yang mulia tidak diraikan bersama. Tolak ke tepi tanggungjawab tentang kerja, amanah yang dipikul dan sebagainya sebab itu memang ada bahagian masing-masing yang lebih utama, tetapi ini - punya cuti, punya waktu tetapi tidak bersama keluarga. Masa hari kebesaran diraikan bersama dengan rakan-rakan sahaja. Apa tidak terlintas mahu pulang mengunjungi keluarga? Rapuh begitu sekali institusi kekeluargaan?

Anehnya manusia.

#4

Terlampau banyak benda atas dunia.
Kau ragut satu demi satu tanpa sisa.
Pernahkah kau terfikir ada hati yang terluka?
Pernahkan berhenti sejenak, periksa jika ada yang cedera?

Tidak.
Kau tidak pernah berhenti sejenak.
Mungkin kejahatan penuh hingga hati tidak berkocak.
Tiada terlintas ada jiwa yang koyak.
Tidak terfikir jika ada yang rabak.
Yang rosak.

Kau teruskan sahaja.
Kau bunuh segala yang di depan mata.
Sialan benar hidup atas dunia.
Kau sajikan segala penuh cela.
Kau hadam segala bentuk celaka.
Pada kau, kau yang berkuasa.
Walaupun pengecut lebih tepat pada muka.

Kau boleh terus beraksi.
Dengan bersembunyi.
Dengan hanya berkuasakan papan kekunci.
Kau boleh laksanakan dan berlagak suci.
Cuma jangan lupa, ada hari.
Yang segalanya bakal terbukti.
Kau manusia yang lupa diri.
Yang laju menulis di bahu kiri.
Tegar, laju dengan saksi.

Kau menyakiti.
Dan kau hidup penuh iri.
Moga kau temui kegembiraan yang kau cari.
Sehingga tangan kau perlu digari.
Nanti.

[Sumber gambar]

Terima kasih pernah hadir dan membentuk siapa aku hari ini.
Terima kasih tulus dari hati.

Thursday, October 25, 2012

Sakit Menunggu.


Benda yang paling orang benci adalah menunggu.
Sungguh banyak terbuang waktu.
Menghitung masa bertemu.
Mengira detik berlalu.
Jadi penunggu.

Dalam menunggu, manusia harap sesuatu.
Apa yang dihajatkan mereka, ikut buku.
Pasangan kekasih menunggu waktu bersatu.
Pasangan kahwin bersedia cerai talak satu.
Ibu mengandung sudah pastinya menunggu.
Sesiapa sahaja buat begitu.
Tunggu.

[Sumber gambar]
Bangun pagi.
Beritahu diri sendiri.
Eh perempuan, sudah hampir hari.
Yang kau tunggu selama ini.
Setahun kau jengah takwim sambil berdiri.
Menunggu dan menanti.

Si manusia beku yang tampal senyuman.
Apakah perasaan semakin nyaman?
Lihat sudah tiba masa yang dinantikan?
Sudah hampir tiga tahun dalam bidang pekerjaan.
Ya, kerjaya perguruan.

Nota Kaki : 26 Oktober, genap 3 tahun dalam bidang ini. Masih punya 35 tahun untuk berkhidmat. Dan dua perenggan di atas tiada kaitan dengan pekerjaan aku. Itu ditujukan kepada manusia-manusia yang sedang menunggu sesuatu dalam hidup mereka.

Monday, October 22, 2012

Bahagia Durjana.


Bila kau bangun, terjaga dari mimpi yang indah.
Kau mungkin akan senyum tak sudah.
Tolak ketepi semua benda susah.
Kau hargai nikmat mimpi meriah.
Yang bikin kau bahagia dalam resah.
Dan hidup tidak bemakna pasrah.

Kau tidur lagi.
Terjaga dengan mimpi buruk bagaikan mati.
Kau tersentak dan enggan tidur lagi.
Otak mengganas memikir mimpi.
Apakah itu petanda hubungan ini.
Apakah itu satu petunjuk tentang duniawi?
Atau hanya mainan durjana penghuni neraka abadi?

Kau sayang dia.
Dia umpama satu kurnia.
Dia kau ibaratkan bagaikan mimpi ceria.
Dan engkau enggan terjaga.
Dan biarkan segalanya hilang begitu sahaja.
Bagi kau dia adalah syurga dunia.

Tapi bila dia menyeleweng, kau marah gila.
Mulalah kau kata celakanya kau sebab percaya.
Pada sumpah dia.
Pada janji dia.
Pada manusia lain yang konon kawan semata.
Walaupun nikmat tertipu itu hanya kau yang rasa.
Dia mula jadi neraka.

Ya, mimpi ada indah bahagia.
Ya, mimpi ada celaka durjana.

[Sumber gambar]

Lord Zara : "I promise the moment I swear to you" - Benda begini kau tak boleh bawa main. Hati manusia bukan bahan mainan yang kau boleh campak sesuka hati (22 Oktober 2012)

*******

Dari tulisan asal aku di Terfaktab [sini]

Mereka Risau.


Isnin (22/10/2012)
Pagi

Ketua Keluarga Hebat (KKH)
Puan Mulia (PM)
Manusia Beku (MB)


KKH : Tak payah pergi sekolah hari ni.
MB : Kenapa?
KKH : Kenapa kau tanya?
MB : Ada kerja di sekolah hari ni.
KKH : Minta cuti. Kau ada cuti tanpa rekod yang kau boleh guna.
MB : Nantilah.

KKH berlalu pergi ke surau untuk solat Subuh.
MB pergi mengocak dadah awal pagi, Nescafe.

MB masuk dalam bilik dan membaca.
MB keluar dan nampak KKH di surau rumah.

MB jengah luar, hujan.
MB masuk tandas - hajat awal pagi.

(Bunyi barang berkeletuk di dapur - pastinya PM masuk)

PM : Kau pergi sekolah ke Along?
MB : Pergi Mak.
PM : Cutilah.
MB : Kenapa?
PM : Kau tak berhenti-henti ni. Dari JB, pastu kem kat Muar, lepas tu terus pergi Kelantan.
MB : Biasalah tu.
PM : Badan kau penat tu, pergilah rehat.
MB : Esoklah Along minta cuti.
PM : Esok nak buat apa? Badan kau penat hari ni.
MB : Hari ni ada kerja di sekolah - ada majlis.
PM : Kesianlah pada badan.

MB keluar tandas.
PM sedang mulakan tugasan memasak.
MB berlalu pergi - ganti tuala dengan seluar.
Taip entri.

[Sumber gambar]

Sebab itulah aku jadi manusia yang bawa bekalan ubat ke mana sahaja aku pergi. Bila aku mula sakit, ataupun menunjukkan tanda-tanda sakit, aku akan terus makan ubat. Supaya aku tidak sakit dihadapan dua manusia terbaik dalam hidup aku. Dalam minggu ini, aku demam dan selsema tanpa henti - Alhamdulillah, bukan di dalam penglihatan mereka.

Ya, aku anak degil yang mahukan mereka lihat gambaran aku yang sentiasa sihat supaya mereka tidak akan risau. Masih ramai lagi anak - anak mereka serta anak didik mereka di sekolah untuk dirisaukan. Bukan aku yang sudah berumur 25 tahun ini.

Terima kasih Abah dan Emak.

Saturday, October 20, 2012

Cermin #01



http://farm4.staticflickr.com/3429/3400884663_8aee1d31cd.jpg
[Sumber gambar]

Terpampang di muka hadapan media tidak kira bahasa, berita pejabat penerbitan buku terkemuka negara, Aksara Utama musnah dijilat api. Apa yang lebih memeranjatkan, sewaktu kebakaran berlaku, tujuh orang penulis terkenal sedang mengadakan mesyuarat menilai karya yang dihantar kepada mereka. Rutin mingguan dalam menerbitkan buku-buku yang berkualiti di dalam pasaran. Berita sebegini di awal pagi sememangnya membuatkan mata yang mamai ke tempat kerja, boleh tercelik dan cergas bagaikan tercurah air panas.

“Ha leído usted la noticia de hoy?” (Kau dah baca berita hari ini?)
“Perdón, ¿qué es?” (Maaf, apa dia?)

“Ha leído usted la noticia de hoy?” (Kau dah baca berita hari ini?)
“Oh, por hacer. ¿Por qué?” (Oh, dah. Kenapa?)

“Es demasiado extraño” (Cuma pelik)

                Tihani merenung muka Zara Zuyyin. Apa sahaja yang pelik dengan berita kebakaran? Benda biasa dan memandangkan Malaysia memang panas, kebakaran berlaku dalam keadaan pantas. Tambahan pula, pejabat penerbitan Aksara Utama terletak di tingkat lima. Sudahlah begitu, kedudukannya di kawasan yang sempit dan padat, menyukarkan pihak bomba untuk sampai dengan cepat. Kematian tujuh orang serentak itukah yang membuatkan Zara Zuyyin pelik? Logik akal Tihani mahu mencerna kelakuan kawan sekerjanya itu, tetapi memandangkan Zara lebih banyak membaca menggunakan telefon pintarnya, dia membatalkan hasrat untuk bertanya lebih lanjut.

                Tihani terasa mual. Pembawakan bayi pertama agak menyukarkan dia, memandangkan suami bekerja jauh dan dia duduk seorang diri di rumah sewa. Mujurlah Zara Zuyyin seringkali menemani dia di rumah sewa bila kelapangan, perasaan sunyi dan terkilan itu dapat diubati dengan membuat aktiviti lain. Tihani bangun, berpaut pada tepi meja. Matanya terpandang sesuatu di dalam bakul sampah biru di sebelah meja Zara Zuyyin.

                “Zara, itu bukan kerja yang kau cetak ke?”
                “Oh, ya”

                “Kenapa buang?”
                Totalmente sienten rechazados hoy. Estoy demasiado patético, supongo.” 

                “Siapa reject karya kau?”
                “Aksara Utama”

                “What? Bila?”
                “Mereka email aku petang semalam”
               
                Zara Zuyyin cuma tersenyum nipis tatkala Tihani menepuk bahunya dan meminta dia bersabar. Dia sudah puas menangis di dalam hujan petang semalam sewaktu berita itu diterima. E-mail dari Aksara Utama hanya menyukarkan dia meneruskan kegemaran dia. Balik dari sekolah, dia bergegas masuk ke bilik, dengan tidak menghiraukan jeritan ibu yang mengajaknya makan.

                “Aksara Utama”

(bersambung)
 

Friday, October 19, 2012

Cermin #00



http://farm4.staticflickr.com/3429/3400884663_8aee1d31cd.jpg
[Sumber gambar]

“Karya anda telah disemak dan dinilai oleh tujuh panel penilai. Malangnya, tema yang diterjemahkan oleh anda tidak menepati apa yang kami mahukan. Mungkin anda boleh menghantar karya anda kepada pihak penerbitan lain yang boleh memberikan lebih banyak peluang dan ruang dalam menjana karya tersebut.

Maaf dari pihak kami dan semoga anda berjaya pada masa akan datang. Anda digalakkan mencuba menghasilkan karya lain jika masih berminat mahu meluaskan tepak karya bersama kami

Terima kasih”

*******

Prangggg!


Thursday, October 18, 2012

Projek Kecil.


Orang macam aku hanya boleh menulis sesuatu yang dekat dengan diri aku barangkali. Benda yang menjadi sebahagian daripada pengalaman atau entah apa lagi benda merepek yang aku sendiri tahu. Yang menjadikan bagaimana Dunia Sebelah Zara mampu berjalan sehingga kini mungkin disebabkan itu sahaja.

Bak kata seseorang yang pernah wujud dalam hidup aku, "Blog awak adalah sebahagian daripada hidup awak. Sama ada pengalaman awak sendiri, pengalaman kawan-kawan ataupun minimal sebahagian daripada penceritaan khayalan awak seperti cerpen dan puisi. Yang lainnya adalah hidup. Hidup awak. Hidup awak sebagai manusia yang tiada perasaan"

Mungkin itulah yang aku suka tentang diri sendiri. Aku dikawal dalam banyak perkara (dan aku tidak perlu merungut tentang itu) - jadi, satu-satunya benda yang aku boleh menjadi siapa diri aku hanya dengan menulis. Menulis walaupun sekadar melepaskan perasaan yang marah ataupun terbuku yang aku tidak dapat luahkan kepada sesiapa. Ya, itulah barangkali mengapa aku berusaha untuk menulis bagi projek kecil yang dijemput oleh seorang rakan penulis. Khabarnya bakal memasuki proses cetakan - aku harap nanti akan ada peluang untuk kalian baca. 

http://farm9.staticflickr.com/8047/8091874779_961e9218a2.jpg
[Flickr peribadi]

Sebahagian daripada penulisan yang mungkin kalian akan dapat baca :

“Ini kopi awak”
“Saya biasa minum espresso”

“Kenapa tak nak cuba frappucino?”
“Tak kuat”

“Espresso boleh masuk dalam frappucino, Zuyyin”

Zuyyin angkat kepala. Lelaki itu tersenyum dengan kamera Pentax ME tergantung di leher – kegemaran yang Zuyyin tidak begitu mengerti. Mungkin dirinya sudah terbiasa dengan digital – dari jam tangan hinggalah ke meter kereta – maka benda yang perlukan penelitian mendalam serta kos yang tinggi hanya dipandang penuh minat.

“Hang tak minum apa-apa ke?”
“Aku cuma suka minum Kopi O.”

Nota Kaki :
Itu sahaja barangkali buat kali ini. Aku sedang menghadapi kesibukan yang bukan sedikit. Terima kasih badan yang menurut sahaja walaupun pastinya sudah semakin rapuh kekuatannya.

- using iDraki iFtiqar.

Wednesday, October 17, 2012

#WW19 : Magis.


“Bila semua ni bermula?”
“Aku pun tak tau. Mungkin sebab kau juga suka kopi macam aku. Magis.”
 
“Magis kata kau”

[Sumber gambar]

Nota Kaki : Itu sebahagian daripada ayat untuk tulisan yang akan keluar dalam bentuk cetakan nanti.

Tuesday, October 16, 2012

Terbuang Lagi.


Bas Transnasional yang membawa Tariq tiba di Bandar Muar. Dia langsung tidak teringat untuk berhenti di Tol Tangkak tadi. Gara-gara tertidur, dia terlepas perhentian yang paling dekat ke destinasi dituju. Enggan melayan perasaan terlampau lama, dia melangkah ke kedai berhadapan stesen bas yang sudah using pada pandangan matanya. Kedai istimewa yang sudah berubah wajah.

            “Piiiiinnnnnnnn!”

            Bunyi hon kereta panjang menghentikan langkah Tariq. Jari tengah yang dihulurkan keluar hanya buat dia tersenyum. Setakat jari tengah di Bandar Muar, apa yang dia mahu hiraukan? Budak-budak yang baru mahu kenal dunia, dia pedulikan. Jalan raya berlorong empat buat dia rasa seperti terperangkap di kota Jakarta. Macet. Jam Casio hitam di tangan dikerling.

            “Pukul 5, patut le. Orang balik kerja. Sesak mengalahkan Kolumpo”

            Jejantas buruk dijeling. Malas mahu didaki. Biarlah. Ini bukan Bandar raya besar, tidak guna jejantas akan disaman oleh pihak berkuasa. Tariq tumpu perhatian pada jalan, tangan diangkat, tahan kereta yang menyelit macam syaitan dan dia berjaya meloloskan diri ke hadapan kedai berwarna kuning merah. Senyuman terukir di wajah. Nafas dihela.

*******

[Sumber gambar]

            “Takde ke Blue Java Beans dekat sini?”
            “Lu ingat sini Starbucks ke, amoi?”

            “Ala Tommy, gua gurau dengan lu. Tapi gua kena bagitau lu juga, Blue Java ke, Kona ke, tak boleh lawan lu punya kopi tahu?”
            “Tipu. Kalau tak boleh lawan tu semua, kenapa lu kerja sama kedai sana tu?”

            “Sebab gua barista sana. Sini lu sudah jadi barista. Nanti kalau kerja sini, setiap hari gaduh dengan lu, mana sedap kopi yang gua bikin? Gua bikin kopi dengan rasa cinta tahu?”
           
            Suara lelaki dan perempuan di kaunter kopi buatkan tumpuan Tariq terganggu. Cawan kopi disorong ke tepi, iPad bersarung LV dimasukkan ke dalam beg sandang. Tommy, lelaki Cina yang menyediakan kopinya sebentar tadi tidak menarik perhatian. Perempuan Melayu dengan gaya rambut ala Christina Perri itu menggamit perasaan. Susah mahu dicari perempuan yang pandai pasal kopi, dia ingat semua perempuan minum kopi campuran. Pearl Kacip Fatimah contohnya. Perempuan itu berjalan kasar melaluinya, Tariq kembali hirup kopi di cawan. Nikmat Kopi 434 hanya dapat dihayati di Muar. Ada istimewanya, sesuatu yang tempat lain tidak boleh tandingi. Hatta, francais lain yang telah dia lawati. Diam, dia capai roti bakar. Sua ke mulut.

            “Bro!”

            Sentuhan di bahu buatkan Tariq menoleh. Perempuan tadi kembali dengan muka tersengih. Tariq cepat-cepat capai kopi depan mata, dengan harapan tak tercekik roti bakar sapuan kaya. Celaka perempuan ini.

            “Kenapa?”
            “Badan kau ada bau Guatemala Antigua Santa Catalina”

            “Apa?”

            Jeritan Tommy buatkan perempuan itu ketawa dan keluar pergi. Tariq tunggu juga dia kalau kembali, tetapi selepas sepuluh minit, dia tidak muncul lagi. Lega. Dia bangun, capai beg dan Tommy, barista lelaki itu ucapkan terima kasih sambil tersenyum lebar. Tariq terfikir untuk tanya tentang perempuan pelik itu, tapi dia lain pula yang keluar dari mulutnya.

            “Nak pergi Tangkak, naik bas dari mana?
            “Oh, abang kena pergi stesen bas sebelah sana. Jalan kaki boleh, tunggu tepi jambatan lama sana pun boleh”

            “Terima kasih, Tommy”
            “Sama-sama abang. Minta maaf kawan saya tadi tu, dia punya hidung memang allergic dengan kopi. Saya pun tak tahu apa dia cakap pada abang tadi. Sorry aaaa”

            “Takpe”

            Tariq atur langkah menghala ke arah yang Tommy tunjukkan. Dia lihat bangunan lama, dia nampak papan tanda yang penuh dengan gambar pemimpin Negara – atau entah ahli politik, dia sendiri bukan ambil peduli. Dia belum merasai membuang undi yang menetukan corak politik Negara. Yang dia tahu, membuang undi di universiti demi memenuhkan tembolok sebab ada makanan tengah hari dan menghiasi meja belajar dia dengan cenderamata sebab sudi turun mengundi. Lebih dari itu dia tak ambil peduli. 

            Bas warna merah kuning menghampiri – Tariq nampak ada papan tanda tulis Tangkak. Dia berlari, tahan bas dan bayar tambang pada abang pemandu bas yang bercermin mata hitam yang tersengih girang. Entah kenapa dia rasakan renungan itu berbahaya. Mungkin sebab dia sendiri hilang dan tenggelam dalam kilauan cermin mata yang tidak melambangkan siapa dia. Aneh, dia sendiri kecewa tiba-tiba.

            Tariq bergerak ke belakang bas. Duduk di tepi tingkap, mahu lihat pemandangan yang pernah dia tinggalkan entah berapa lama, dia sendiri tidak pasti. Naik Jambatan Sultan Ismail – dia lihat sungai yang mengalir keruh, dia teringatkan tempat yang ingin dia tuju sekarang ini. Destinasi yang terlepas tetapi tetap akan dia kunjungi. Bukan kehendak diri sendiri, tapi atas permintaan manusia yang pernah berikan makna dalam hidupnya.

            Angin menghempas wajahnya, Tariq terlena. Dibuai mimpi.

*******

Nota Kaki : Tulisan yang terbuang dan ditolak. Sudah tentunya tajuk itu bukan yang sebenar.

 
.Dunia Sebelah Zara. Blogger Template by Ipietoon Blogger Template