Sunday, May 05, 2013

Perjalanan 30 : #10


Seawal pagi sudah keluar memastikan tugasan bakal dimulakan tanpa sebarang kesalahan. Tanpa sebarang masalah yang bakal merencatkan perjalanan. Ini kali pertama tugasan diterima, semoga segalanya berjalan baik dan dapat pulang ke teratak keluarga tanpa masalah.

Hari ini setiap rakyat yang layak mengundi akan keluar beratur beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat dalam memilih pemimpin. Tidak kira sama ada wajah baru ataupun wajah lama, pemimpin yang bakal dipilih akan menerajui kawasan dan mengemudi negara selama mereka memegang tampuk kuasa. Semoga pilihan yang bakal dibuat adalah tepat dengan mengambil kira semua aspek yang kita suka ataupun tidak suka.

Sesuatu yang perlu kita ingat bahawa apabila berakhirnya hari ini --- pelbagai kemungkinan mungkin terjadi. Senario negara mungkin bertukar wajah dengan pemimpin baru, dengan pimpinan gaya berbeza ataupun jika masih diberikan mandat kepada muka-muka lama, kita sebagai rakyat akan tetap meneruskan kehidupan seperti biasa. Pergi kerja, pulang kerja, berehat di rumah dan mengulangi rutin harian itu sentiasa.

Keesokan hari bakal menjelma, tanpa mengira siapa menang atau kalah, kita sudah memilih pemimpin yang kita suka. Bukan kita sahaja, bahkan setiap daripada mereka yang layak juga telah menentukan siapa yang mereka mahukan --- sama ada mereka sanjungi ataupun mereka benci. Pilihan di tangan setiap dari kita dan hanya perlu dilunaskan sahaja.

Mungkin pada hari ini kita masih boleh bertepuk tampar dengan calon-calon pemimpin kita, mungkin kita masih boleh kongsi minum dari bekas yang sama dan ketawa meriah dengan jenaka yang entahkan lucu ataupun sekadar menjaga air muka.

Jika ditakdirkan mereka menang pada hari ini, permulaan hari esok barangkali mula mengubah siapa mereka. Pembawakan diri juga berubah. Kita mungkin sudah semakin jauh daripada mereka. Entah-entah sudah dilupakan jerit payah melaung sokongan dari sekecil-kecil perkara sehinggalah memasang bendera sepanjang beberapa batu dan unit marhalah.

Adakah sepanjang tempoh dua minggu ini --- kita telah menolak mereka yang kita sayangi hanya disebabkan oleh perbezaan parti dan warna bendera yang menaungi?

Bila segalanya berakhir tengah malam ini nanti, mereka yang kita mungkin sudah ludah bersulamkan benci itulah yang bakal menyediakan sarapan pagi. Rumah yang kita tidak mahu jejak disebabkan perbezaan ideologi itulah yang bakal kita rebahkan tubuh penat menjelang dinihari.  Sahabat yang kita lemparkan jelingan penuh dendam itulah yang bakal dihubungi untuk bersaing ke tempat kerja mencari rezeki.

Sebab itulah teman-teman.
Pentingnya besederhana.
Mengamalkan sikap terbuka.
Tanpa mengira bangsa ataupun agama.
Serta warna dan jenis bendera.

Selamat keluar mengundi.
Kalian punya masa lagi.
:)

[Sumber gambar]

2 comments:

reenapple said...

Selamat Mengundi juga. =)

g0m0k9enDek said...

kesederhanaan~