Sunday, September 22, 2013

Demi Amanah.


Salam.
Aku baru balik dari kursus selama 5 hari 4 malam. Kursus CPD (Continuing Profesionalisme Developement). Kalau kau tanya aku tentang pengisian kursus, tentunya aku akan kata menarik (walaupun ada beberapa gaya penyampaiannya buat aku sedikit tepu). Keseluruhannya bagus cuma tempat adalah paling teruk pernah aku pergi.

Kau nak kata aku berkira?
Memilih?

Aku beritahu sebab dan selepas tu, kau boleh kata apa sahaja (lagi).

  1. Dalam bubur sarapan pagi ada lipas berenang.
  2. Masa masuk, cadar berhabuk, dan bilik air sangat berlumut.
  3. Hanya hari pertama sahaja bilik dikemas. Sehingga hari terakhir, tiada pengemasan.
  4. Lauk ikan keli ada telur lalat.
  5. Ikan goreng busuk --- digoreng garing dengan tepung demi hilang busuk, kot.
  6. Barang aku hilang dalam dewan seminar. 
  7. Tuala yang disediakan pihak hotel tak berganti sampai hari terakhir. Takpe.

Dengan pelbagai keadaan fizikal di atas, aku jujurnya lebih senang dengan kursus seminggu sebelum ini di Pangkor. Aku tidur 5 hari 4 malam dalam khemah dengan cuaca hujan lebat, air masuk khemah, tapi masih gembira. Makan beratur panjang dengan peserta hampir 300 orang (mungkin lebih) hanya di kantin tapi makanannya lazat. Penat macam nak mati buat aktiviti --- bertampal dengan koyok segala tapi masih sedap. Masih nikmat berbanding duduk dalam dewan tetapi dengan keadaan fizikal di atas.

Heh.

Tapi, itu bukan perkara pangkal yang aku mahu ceritakan.
Jauh menyimpang aku ni.

Bila pergi kursus ni, aku sedar banyak benda.
Aku terkenang diri aku yang dulu.
Yang masih belajar dalam cari siapa aku.
Dalam konteks seorang guru.

Dilahirkan dan dibesarkan oleh guru.
Dididik oleh pelbagai jenis guru di sekolah.
Diberikan pelbagai maklumat, ilmu di pengajian lebih tinggi.
Aku rasa aku jumpa pelbagai jenis tenaga pengajar.

Dan satu pun tidak pernah buat aku benci dengan istilah belajar.
Langsung tidak pernah.

Kalau pun dulu aku sering gagal Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Sejarah --- tapi seorang di kalangan guru aku tak pernah panggil aku bodoh. Benda yang aku rasa menjadikan siapa aku hari ini adalah tidak pernah guru aku panggil aku bodoh. Walaupun ada sahaja budak lain, kawan dan bukan kawan yang panggil aku bodoh sebab selalu angkut huruf G --- aku tenang sahaja dan anggap itu cabaran. Aku lulus semua sekali mata pelajaran di atas dan daripada 4 yang aku nyatakan di atas, hanya Biologi aku cukup-cukup makan. C6. Yang lagi tiga, aku dapat A1 (Sejarah) dan A2 (Fizik dan Matematik Tambahan).
 
Semuanya sebab cikgu.

Jadi, bila ditanya, dibandingbeza dengan pelbagai kerjaya lain, ada orang tanya kenapa aku duduk dalam kerjaya ni. Kerjaya yang orang sekarang pandang rendah dan sebagainya. Mungkin tahap dan nilai guru sekarang dilihat tidak sama dengan zaman kegemilangan satu masa dulu. Entah.

Jawapan aku mudah.
Demi kegembiraan.

Aku gembira dengan kerjaya aku. Aku sentiasa merasakan hidup memerlukan kegembiraan --- jadi sebagai seorang guru, aku merasakan bahawa kegembiraan itu adalah perlu. Semangat yang pernah ditanyakan oleh seorang pensyarah aku dulu --- masih aku rasakan dalam hati. setiap hari, bekerja melihatkan mereka yang duduk depan mata aku, aku sentiasa mengenangkan diri aku yang suatu ketika dahulu pernah duduk di situ. Bagaimana guru-guru aku melayan aku, aku sedaya upaya mahu buat perkara yang sama untuk anak-anak dihadapan aku.

Demi senyuman.
Aku akan kuatkan usaha.
Untuk jadi yang unggul dalam membawa rasa cinta.
Kepada ilmu, buat mereka.

Ini adalah amanah.
Amanah yang dititipkan buat aku.
Sekuat mana cabaran yang aku hadapi dalam kerjaya ini, aku tak mahu tumbang dihadapan mereka yang aku harus kelihatan kuat sentiasa. Yang aku mahu pamerkan rasa kuat dan bangga akan sedikit perubahan yang mungkin aku dapat rasa.

http://distilleryimage8.ak.instagram.com/ae6c810c21d811e3b4cc22000a1fbe13_7.jpg
[Instagram aku] : Beritahu diri sendiri bahawa kerja adalah amanah. Senyum dan teruskan usaha.

Apa yang aku hadapi hujung minggu ini, buat aku berbelah bagi.
Dengan keputusan yang aku buat secara peribadi.
Adakah demi kepuasan sendiri.
Ataupun sekadar berusaha sepenuh hati.
 
Nota Kaki :
Nanti aku kongsi sedikit ilmu yang didapati dari kursus itu yang aku rasa sesuai untuk kalian di sini.

2 comments:

g0m0k9enDek said...

pegi pangkor tu kem koku kebangsaan ke..? masa 2011 pegi cabaran tuah kat pusat koku melaka x..?

pengisian CPD tu berkisar apa ye... apa yg kita kena buat? huhuhu~ tunggu next post la rupenyeeee...

AkuBukanLelaki said...

sabar ye zara,
aku pahamm
aku pahammmm
paham sangatttt