Wednesday, November 20, 2013

Pelampung Hidup.


Ada ketikanya dalam gembira, menikmati hidup kita perlu duduk sejenak dan melihatkan kembali rentetan perjalanan yang membawa kepada siapa kita hari ini. Adakah kegembiraan yang subur dalam hati itu adalah kisah duka yang kita telan dan kemam dan berlagak kuat pada dunia? Adakah kebahagiaan itu kita bina atas kesakitan orang ataupun hinaan manusia yang bikin kita bangkit dan sedar bahawa hidup ini terlampau banyak kesakitan yang perlu kita sembuhkan luka?

Benar.
Gembira itu ada bayaran yang kita lunaskan dalam meminjam nikmat bahagia. Semuanya atas pinjaman Yang Maha Esa. Sedikit sebanyak itu adalah sesuatu yang kita tak seharusnya terlupa. Barangkali, dengan melihatkan apa yang telah dipinjamkan, kita bersedia untuk memberi balik tanpa penuh kesal atau berduka bila tiba masa. Menyedari hakikat segalanya ada cagaran dalam dunia, menikmati kebahagiaan secara sederhana dan hidup dengan senyap tanpa memikirkan kesakitan yang menjalar dalam setiap urat saraf, kita memikirkan yang kita masih bernyawa, itu sudah cukup buat kita sujud syukur pada Maha Pencipta.

Sesak.
Kita dalam apa jua keadaan sekalipun, anehnya masih perlukan orang lain sebagai tempat bersandar. Apatah lagi bila kita dalam kepayahan, kita mencari tempat berpaut. Hatta jauh mana kita pergi, kita masih melihat ada tempat untuk kita kembali. Menjadi anak kecil yang sentiasa memerlukan tangan untuk melintas jalan. Genggaman ayah-bonda, dengan jari-jari mereka memegang kita utuh, menjaga keselamatan kita, kenyataan itu sesungguhnya bagaikan kita sedang lemas di lautan dan mengharapkan seseorang melemparkan pelampung untuk kita berpaut.

Ya.
Sesungguhnya, kasih sayang keluarga adalah harta paling berharga dalam dunia. Barangkali ada yang menjadikan wang dan harta sebagai kiblat kebahagiaan dalam dunia, tetapi, jangan terlupa bahawa jika kita punya segalanya sekalipun, tanpa keluarga, kita bukan sesiapa. Membuatkan keluarga kita bangga dengan sedikit pencapaian kita (walaupun seringkali mereka tidak akan ucapkan dengan kata-kata), ternyata, ia adalah simbol bahawa mereka adalah penyelamat, tempat bergantung paling utama tatkala semua manusia barangkali sudah meninggalkan kita.

Keluarga.
Dalam ketawa kita menahan sebak di dada, menanggung semua kesakitan sendirian, akan muncul mereka dengan kata-kata paling dalam, paling menyentuh hati dalam diam, memberitahu kita dalam gelak dan senyuman mesra --- meyakinkan kita bahawa segalanya bakal baik-baik sahaja walaupun seluruh alam menghukum dan tidak pernah mesra. Baik dari segi rupa mahupun kedudukan harta benda, mereka masih lagi manusia yang tidak tegar melihatkan kita melarat menderita. 

Tangisan.
Jadi, bagaimana rasa mereka yang meletupkan pelampung hidup mereka sendiri? Melepaskan segalanya demi kepuasan peribadi walaupun hakikatnya itulah antara yang bakal menyelamatkan, mengangkat mereka apabila mereka jatuh terduduk, tenggelam dengan kesalahan sendiri?

http://farm8.staticflickr.com/7032/6838456423_6eb94f49ee_z.jpg
[Sumber gambar]

*******

"Kau memang"
"Memang apa?"

"Manusia yang paling sambil lewa"
"Maksudnya?"

"Kau tahu risiko dan kau masih ambil juga"
"Sebab masa itu langsung tak nampak apa yang bakal cedera"

"Sekarang?"
"Aku ada tempat berpaut yang orang lain tak ada"

"Siapa?"
"Keluarga"


2 comments:

DYatie said...

Ya sering mengingatkan diri saya; jangan berundur ke belakang, sesekali toleh ke belakang dan jangan pernah sesekali lupa akan kisah yang belakang itu.

:: Mrs.Eady :: said...

Kan..